Bab 5
HARI minggu itu, awal-awal lagi mak sudah ke pasar. Mak cakap mahu masak nasi minyak, ayam masak merah, dalca dan acar nanas. Istimewa betul. Terpaksalah aku dan Farah tolong walaupun aku langsung tak ada hati hendak tolong mak. Memang betul-betul tak ada hati. Kalau boleh lari, memang dulu-dulu aku lari. Tapi masalahnya aku memang tak boleh lari ke mana. Mahu tak mahu kena tunggu juga tetamu yang datang.
"Cuba pakai cantik-cantik sikit." Mak tegur aku bila jam sudah menunjukkan ke angka 12.00 tengah hari. Bermakna tetamu bakal sampai.
Habis apa masalahnya? Pakai cantik macam mana lagi? Nak datang-datanglah. Kenapa beria-ia mahu sambut? Ah! Tak senang betul. Untuk tidak membuatkan mak bising-bising, aku ikutkan saja. Bersiap ala kadar agar mata mak sedap memandang. Aku sendiri tak faham cantik yang bagaimana mak maksudkan.
Debaran di dada kian menjadi-jadi bila aku terdengar ada bunyi kereta tiba di halaman rumah. Bermakna orang yang dinanti-nanti muncul juga. Tak ada apa-apa yang menimpa kepada tetamu tersebut. Bermakna juga permintaan jahatku tidak tertunai sama sekali. Ada juga aku bermohon, agar tetamu yang bakal berkunjung itu ada masalah dan tidak dapat hadir. Nampak nasib tidak menyebelahiku.
Mak cepat-cepat ke muka pintu untuk menyambut tetamu yang sampai. Wajah mak nampak gembira dan berseri-seri. Mak benar-benar berhajat kali ini. Dia seperti sudah tidak sabar-sabar untuk menerima menantu. Tak sanggup pula hendak hampakan harapan mak. Tak tergamak nak buat mak sedih.
"Dah sampai orang yang kita tunggu, jemput masuk." Kata alu-aluan daripada mak. Kemudian mak dan kawan mak saling berpelukan. Lagak seperti sudah lama tidak bertemu.
"Inilah anak bujang kita, Izwan," kata kawan mak sambil perkenalkan lelaki yang datang bersama. Jadi dialah orang yang bakal dikenenkan dengan aku? Hmmm, orangnya berkulit cerah. Tinggi lampai dan wajahnya cukup sederhana. Nampak macam orang baik-baik saja.
"Apa khabar, mak cik?" Lelaki bernama Izwan bersalaman pula dengan mak. Huh! Tunjuk baik. Mahu ambil hati mak la tu. Dan-dan aku rasa harapan sudah punah. Mesti kawan ni pun galak nak kahwin. Sebab itulah dia suruh mak dia tolong carikan bakal isteri. Punyalah ramai anak dara dalam dunia ni, aku juga yang jadi pilihan mak. Macam tak ada gadis lain.
"Khabar baik," jawab mak dengan gembira.
"Maaflah, ayahnya tak dapat turut serta. Ada kerja sikit," tokok kawan mak. Wanita itu berwajah lembut. Wajah menyenangkan.
"Suami kita pun ada urusan di Sabah. Minggu depan baru balik." Mak pun beritahu sama. Baguslah. Masing-masing tanpa suami. Jadi cerita tidaklah panjang nanti sebab dua watak utama tidak turut serta.
"Tak mengapalah. Janji kita dapat temukan mereka ni sudah cukup," jawab kawan mak.
Aku terus bersalaman dengan kawan mak.
"Ini Mak Cik Julia. Kawan baik mak masa jadi staff nurse dulu. Alah, kak long biasa jumpa dengan Mak Cik Julia dan juga Izwan ni," kata mak masa Mak Cik Julia peluk aku dengan erat.
"Betul tu. Na dengan Izwan biasa main masa kecik-kecik dulu. Izwan dengan adik dia. Takkan Na tak ingat?" tokok Mak Cik Julia sambil lepaskan pelukannya. Manalah aku ingat zaman kanak-kanak dulu sebabnya zaman kanak-kanak memanglah zaman aku bermain tanpa ingat apa-apa. Tapi aku rasa memang betul sebab selain kak long, nama panggilan aku memang Na.
"Jom kita duduk. Kenapa berbual sambil berdiri pula?" pelawa mak. Aku pandang saja wajah lelaki yang kalau ada jodohku dengan dia. Ada senyuman di bibirnya dan aku balas tapi tak ikhlas. Senyuman aku terpaksa. Aku bergerak ke dapur selepas itu. Mahu tengok Farah buat air. Sebenarnya hendak mengelak.
"Tu dia kak long, boleh tahan juga pilihan mak," usik Farah. Farah ni karang memang nak kena dengan aku.
"Lelaki berwajah maskulin," tokok Farah lagi. Banyaklah dia punya maskulin. Maskulin apa benda macam tu? Encik Naufal 10 kali ganda maskulin daripada dia.
"Ya kan ajelah, kak long. Dah kira sempurna dah tu. Nak macam mana lagi?" Farah tolak bahuku dengan bahunya. Melebih pula Si Farah ni. Karang aku buat perangai baru tahu.
"Hesy, budak ini. Pandai-pandai pula dia. Kalau macam tu, Farah sajalah yang ambil," balasku.
"Habis, Helmi orang nak letak kat mana?" Bulat mata Farah pandang aku.
"Hah! Kalau macam tu jangan banyak cakap."
Aku sudahlah bengang. Farah tambah serabutkan lagi kepalaku.
"Kak long ni pelik betullah. Dah ada orang nak masih jual mahal pula. Kak long tahu tak, orang lain tu siap ada yang mandi bunga, punyalah nak kahwin. Kak long pula main tolak-tolak. Kalau dah ada pilihan sendiri tu lainlah. Tak faham betul."
Rasa macam nak koyak-koyak saja mulut dia. Dia mana faham apa yang aku rasa sekarang ni.
"Kak long tahu tak, jodoh pilihan ibu bapa tu, adalah jodoh yang berkat. Doa restu daripada ibu bapa tu yang penting. Akan bahagia hingga ke anak cucu." Farah mula susun ayat perasan bagus. Buat aku loya saja.
"Ah! Pandailah kau bercakap. Kenapa Farah sendiri tak minta mak atau abah yang pilihkan? Kenapa cari sendiri?" balasku.
"Sebab orang laku. Kak long tu tak laku. Sebab itu mak kena masuk campur. Kalau tidak, jangan harap nak kahwin." Farah gelak perlahan. Saja nak buat badan aku berasap.
"Yalah, kak long sedar, kak long ni tak laku. Siapalah kak long ni, kan!" Aku buat muka sedih. Sebenarnya tak rasa apa pun dengan cakap-cakap Farah. Dah faham sangat mulut dia.
"Alaaa... Merajuk pula kak long kita ni." Farah dakap aku erat. Tahu Farah akan pujuk aku. Selalunya Farah memang begitu. Puas dia kutuk aku, pandai pula dia pujuk.
"Dah-dah. Kak long nak hantar air kat depan tu." Aku tolak badan Farah perlahan.
"Kejap." Farah tarik tanganku. Dia betulkan letak tudung kepala.
"Biar orang nampak cantik," kata Farah selepas itu.
"Habis dah memang tak cantik," balasku sambil cubit pipi Farah.
"Cantik, siapa cakap tak cantik. Kak long ni macam bunga mawar, cantik tapi berduri."
"Hmmm, pandailah."
Aku terus bawa dulang ke ruang tamu.
"Jemput minum." Aku atur cawan ke atas piring. Tuang air selepas itu. Selepas ni baru hidang nasi.
"Na, kerja di mana?" soal Mak Cik Julia.
"Saya kerja di Glenmarie," jawabku tanpa pandang sesiapa walaupun aku tahu semua mata sedang perhatikan aku. Tak perlu kut aku sebut alamat penuh. Bukan nak minta kerja pun. Lagipun aku malas nak menjawab soalan-soalan tentang kerjaku.
"Oh ya? Entah-entah satu tempat dengan adik. Adik pun kat Glenmarie juga, kan bang?" soal Mak Cik Julia kepada Izwan. Hmmm, dah besar pun masih dipanggil abang juga. Nampak sangat anak emak. Ah! Tak sanggup aku kahwin dengan anak emak. Payah nak uruskan.
Ingat Glenmarie tu kecik agaknya boleh kerja satu tempat dengan anak dia. Aku ni kerja kilang. Kilang minyak masak.
"Hmmm, betul tu. Adik pun kerja kawasan situ," jawab Izwan.
Aku bawa semula dulang ke dapur. Tak nak aku bersembang sama. Baik aku tolong Farah hidang lauk.
"Kak long duduk saja kat sana. Orang boleh buat sorang-sorang," arah Farah.
"Hesy! Tak nak, kak long. Kak long bukannya ramah macam Farah. Dengar orang bersembang buat apa?" bantahku.
"Mereka tu datang nak tengok kak long."
"Ah! Tak ada maknanya nak tengok-tengok. Entah jadi entah tidak."
"Jadi aje tu nanti," balas Farah.
"Eh! Dia pula yang melebih. Kalau agak-agak suka, ambil ajelah. Kak long tak kesah pun."
"Kak long ni, tak boleh langsung orang nak bergurau sikit."
"Nak bergurau sekalipun, agak-agaklah. Kalau setakat menaikkan lagi suhu badan kak long, baik jangan bergurau." Geram saja aku rasa.
"Dah, dah. Jangan nak marah lagi. Semua dah siap ni. Kak long pergi ajelah jemput tetamu tu."
Pandai Farah pujuk aku.
MASA makan tak banyak yang kami bualkan. Mak bercerita dengan Mak Cik Julia. Jadi aku dan Izwan buat acara sendiri. Acara apa lagi kalau bukan acara makan. Dari riak air muka Izwan, nampak benar tak sukanya dia akan atur cara hari ini. Kalau dia tidak suka, aku seribu kali merasakannya. Kalau dia terpaksa, aku pula dipaksa. Baguslah kalau macam tu. Harapan aku sangat cerah untuk bersama Encik Naufal.
Encik Naufal? Memanglah aku tak boleh lupa langsung nama tu.
"Macam mana?" Mak tanya sebaik sahaja tetamu pulang. Seperti tidak sabar-sabar mak hendak tahu keputusanku. Susah untuk aku beri jawapannya. Kalau aku cakap tidak suka, tentu mak terasa. Sedangkan aku mahu menjaga hati mak sebaiknya. Aku tak mahu hati mak tergores walau sedikit.
"Boleh tahan. Segak. Memang sesuai untuk kak long," kata Farah. Mujurlah adik aku seorang ini terlebih ramah. Sekurang-kurangnya Farah sudah menjadi penyelamatku. Cara Farah menjawab itu membuatkan suasana menjadi ceria sedikit.
"Mak tak tanya Farahlah," marah mak sambil tampar bahu Farah. Farah sudah gelak. Aku juga tumpang tersenyum.
"Hmmm..." Aku tarik nafas panjang. Susah nak cakap sebab awal-awal lagi aku memang tak suka. Jadi aku tak boleh beri sebarang jawapan dengan ikhlas.
"Macam mana orangnya?" Mak tanya lagi. Mak macam terdesak sangat untuk dengar jawapanku.
"Bolehlah," jawabku sepatah untuk menyedapkan hati mak. Mak senyum saja selepas tu. Harap-harap orang sana tak suka dengan aku. Aku tak kesah kalau Izwan nak kutuk aku. Kutuklah. Aku rela dan suka kena kutuk asalkan aku tak jadi kahwin dengan dia.
"Kak long..." Ummar serahkan telefon bimbitku. Waktu itu kepala dah fikir Encik Naufal tapi agak kecewa bila nampak nama Fisha.
Hesy! Fisha ni. Buat aku angin aje.
"Weh, macam orangnya?" Terus Fisha tanya. Aku bergerak ke halaman luar rumah dan duduk di atas pangkin yang abah bina khas untuk kami bersantai di luar rumah.
"Emmm... Boleh tahan. Segak juga orangnya. Tapi aku rasa dia macam tak sukakan aku saja," jawabku.
"Kenapa pula?" soal Fisha lagi.
"Yalah, aku ni tak pandai nak bergaya lepas tu aku tak pandai nak menggedik. Lagipun aku tengok lelaki tu macam ala-ala kurang sikit," jelasku lagi
"Kurang macam mana tu? Kurang akal atau kurang apa? Kau jangan cakap lelaki tu kurang ajar."
Aku gelak. Buat lawak pula Fisha dengan aku.
"Aku rasa lelaki tu macam sosial sikitlah. Jadi mana sesuai perempuan yang ala-ala alim macam aku." Aku gelak dengan kuat. Perasan sekejap.
"Banyaklah kau punya alim. Aku tak nampak kat mana alimnya kau tu. Kalau orang alim, tak ada nak jatuh cinta dengan lelaki. Ini nampak lelaki macam kucing nampak ikan."
"Weh Fisha, mulut kau tu ada insurans ke tidak? Suka-suka kau kutuk aku."
"Yalah, yalah. Aku telefon ni nak tanya pasal tu aje. Takut esok pagi bengkak lagi mata kau tu. Kalau bengkak tak apa lagi. Takut hilang ajelah mata tu."
Melampau dah ni. Kutuk tak ingat langsung.
"Sabar ajelah aku dengan kau ni, Fisha. Tak ada nak meraungnya sebab aku tahu, aku ni tak menepati cita rasa lelaki tu. Jadi harapan untuk aku bersama Encik Naufal memang terbuka luas."
"Apa dia? Aku tak berapa nak dengar cakap kau tu? Peluang terbuka luas kau dengan Encik Naufal? Eh! Kau cakap apa ni?" Fisha buat lawak lagi.
"Sorrylah. Tadi tu aku cakap bahasa Jerman. Tu yang susah kau nak faham." Aku gelak lagi. Suka main-mainkan Fisha.
"Yalah, gelaklah. Menyesal aku telefon. Aku ingat sekarang ni kau tengah meraung-raung. Kalau aku tahu, tak nak aku telefon."
"Terima kasihlah sebab kau ambil berat tentang aku. Setakat ni aku masih tak apa-apa. Masih okey. Kau doa-doalah lelaki tu tak berkenan kat aku."
"Pelik betullah kau ni. Benda yang betul-betul datang tergolek tak nak pula. Yang entah apa-apa tu juga yang digilai. Tak faham aku."
"Masalahnya yang tergolek tu aku tak berkenan." Mana boleh paksa untuk aku sukakan seseorang.
"Okeylah. Jumpa esok," kata Fisha sebelum suaranya hilang di sebalik talian. Aku tarik nafas lega selepas itu. Lega seleganya. Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan lancar dan baik-baik saja.
Berlalu beberapa minit, telefon di tangan berbunyi lagi. Kali ini aku boleh senyum lebar bila melihat nama di skrin telefon bimbitku. Encik Naufal.
"Assalamualaikum." Laju aku beri salam.
"Waalaikumussalam. Banyak kali saya call tapi tak jawab."
Merajuk ke? Eh, takkan merajuk pula? Belum apa-apa dah pandai nak merajuk? Alahai...
"Oh! Maaflah. Tadi saya di bawah. Telefon kat atas," jawabku dengan perasaan berbunga-bunga. Suka sangat mendengar suara Encik Naufal.
"Masak ke?" soal Encik Naufal lagi.
"Hmmm..." Tak tahu nak jawab apa, cakap ajelah macam tu. Lagipun malaslah nak cakap ada tetamu yang datang. Nanti dia tanya. Mana tahu kalau terlepas cakap, susah pula nak terangkan. Baiklah aku jangan banyak cakap.
"Tentu sedap masakan Cik Darlina."
"Masak campak-campak saja tadi tu. Asal boleh makan jadilah. Encik dah makan ke belum?"
"Jamah mi segera saja. Mak dengan abang keluar tadi. Entah ke mana. Tak ada siapa yang masak."
Sah tak tahu masak tu. Tak apa, aku pandai masak. Aku masak memang sedap.
"Alaa... Kesiannya. Itulah, belajarlah sikit masak. Masa-masa darurat bolehlah masak. Taklah kelaparan."
"Saya memang tak tahu masak. Masak mi segera pandailah. Harap dapat isteri nanti pandailah masak. Senang sikit saya."
"Itu kalau dapat yang pandai masak. Buatnya dapat jenis tak pandai macam mana? Mahu makan kat luar juga."
"Tapi Cik Darlina pandai masak, kan? Cukuplah kalau Cik Darlina saja yang pandai masak. Kalau dua-dua pandai masak, meriah pula nanti dapur kita."
Aku sudah tidak terkata. Apa makna cakap-cakap Encik Naufal tu? Apa makna dapur kita? Aku tak faham apa-apa. Aku dengan dia bakal berkongsi dapur ke? Habis dapur saja ke yang hendak dikongsi? Yang lain-lain tu tak mahu kongsi sama? Aduhai...
Encik Naufal tak bercakap selepas itu. Mungkin dia mula terasa yang dia dah terlepas cakap. Tapi aku tak akan sebut apa-apa pasal kongsi dapur tu. Tak akan sama sekali.
"Errr... Mak dengan abang dah sampai tu. Saya call Cik Darlina nanti. Assalamualaikum!" Dan-dan mak dah balik. Bunyi kelam-kabut saja. Ke, nak tutup malu?
"Waalaikumussalam," jawabku. Kemudian aku tarik nafas lega. Minta-mintalah hajat Encik Naufal hendak berkongsi dapur denganku menjadi kenyatan satu hari nanti. Mudah-mudahan...
"Siapa telefon, kak long?"
Farah ni mengejutkan saja.
"Sibuklah."
"Cara kak long senyum lain macam. Macam kekasih yang telefon."
Malas aku nak layan. Aku terus masuk ke dalam rumah. Karang kalau dia tahu lain macam pula yang jadi. Baik dia jangan tahu apa-apa.
"Kak long!"
Aku buat tak dengar. Biar dialah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro