Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

PAGI, perasaan semakin girang. Rasa amat gembira. Julung-julung kalinya aku rasa begitu gembira sehingga aku terlupa hujung minggu nanti ada masalah yang lebih merunsingkan bakal menunggu. Aku sudah tidak peduli semua itu. Hari gembiraku baru bermula jadi aku tidak mahu ingat hari lain. Yang penting hari ini perlu dijalani tanpa memikirkan perkara lain. Aku mesti menjadi seorang yang paling gembira.

Waktu aku sampai di tempat letak kereta, aku lihat Encik Naufal sudah sedia menanti. Siap menyandar di tepi keretanya sambil pandang aku. Alahai, segaknya dia. Nampak lebih segak daripada biasa.

Aduhai... Bagaimanalah aku tidak tertawan dengan jejaka seorang ini? Wajahnya cukup mempesonakan. Emmm... Darlina, tolong sabarkan perasaan awak. Ingat ya, awak tu perempuan. Jangan melebih sangat. Tak elok orang pandang. Jadi aku cuba berlagak tenang sambil atur langkah perlahan. Berusaha juga kononnya

Dan debaran pun bermula.

"Selamat pagi," sapa Encik Naufal masa aku lalu di hadapannya. Hmmm, sah tunggu aku. Kalau tidak takkan nak sapa aku.

"Selamat pagi," jawabku tenang walau waktu itu aku rasa tak tenang langsung. Debar yang bermula tadi makin menggila. Kenapalah semuanya bagai mimpi saja? Bagai anganku masa-masa sebelumnya. Memang tak termimpi langsung bahawa satu hari Encik Naufal akan menyapa aku begini.

"Emmm... Dah lama encik sampai?" soalku untuk memanjangkan cerita.

"Lama juga. Dalam sepuluh minit macam tu." Lama juga sepuluh minit tu. Dia boleh buat macam-macam kerja. Tapi kenapa harus habiskan sepuluh minit semata-mata hendak bercakap dengan aku?

"Untuk Cik Darlina." Encik Naufal hulurkan sekuntum bunga raya pada waktu aku sedang mencari kata-kata untuk dijadikan bahan bercakap.

"Kata suka gila dengan bunga raya," ujarnya lagi. Kali ini bibir itu mengukir senyuman seindah suria. Cukup menawan. Dan-dan aku teringat kata-kata Fisha. Kata Fisha, kalau Encik Naufal senyum, bunga kembang boleh jadi kuncup. Punyalah teruk dia punya senyuman, begitu kata Fisha satu ketika dulu. Tapi kenapa aku nampak senyuman Encik Naufal cantik sangat? Ke aku memang gila bayang? Jadi apa yang kelihatan pada diri Encik Naufal aku nampak semua cantik saja? Ah! Peduli apa dengan kata-kata orang yang tak tahu menilai itu. Janji aku suka dan hati aku senang. Lain-lain, lantaklah!

Mata tak lepas pandang wajah dia. Seperti ada yang memaksa aku melihat wajahnya.

"Memang suka," jawabku. Ya, aku memang ada sebut aku suka bunga raya, tapi aku main-main saja masa tu. Kenapalah aku tak sebut bunga Rafflesia saja? Kan lagi bagus.

Aku ambil bunga raya tersebut dari tangan Encik Naufal dengan perasaan paling gembira walau yang dihulur itu hanyalah sekuntum bunga raya yang entah datang dari mana. Tapi itu sudah cukup buat perasaanku berbunga-bunga.

"Terima kasih." Aku mula atur langkah menuju bangunan utama. Encik Naufal ikut dengan beberapa langkah di belakang.

"Selamat pagi, adik manis." Ada suara menyapa aku. Aku toleh dan terlihat 3 orang mamat Bangladesh sedang tersengih kepadaku. Salah seorang daripada merekakah yang mengirim bunga padaku?

"Apa adik manis?" Aku bulatkan mata, geram. Berani betul sapa aku depan-depan Encik Naufal. Entah apalah yang Encik Naufal fikir nanti. Nanti dia ingat aku suka menggatal dengan mamat-mamat Bangladesh.

"Pagi-pagi, kena senyum adik manis. Tak boleh marah-marah," seloroh salah seorang daripada mereka.

"Banyaklah kau orang punya senyum. Nak kena hantar balik Bangladesh?" Aku tanya lagi sambil tunjuk wajah garang.

"Sorry, sorry, adik manis," jawab yang bercakap tadi sambil tunjuk gaya angkat tangan.

"Hah! Tahu takut." Aku cakap lagi. Cepat-cepat ketiga-tiga mereka masuk ke lorong menuju stor.

"Kejap." Aku panggil mereka bertiga. Mereka pusing semula pandang aku. Saja nak umpan dengan sesuatu. Sebabnya malam tadi orang tu tak cakap apa-apa pun. Hanya aku saja yang cakap kes kiriman bunga selesai.

"Ada siapa-siapa bagi bunga pada saya? Bunga ros. Itu bunga banyak duri."

Mereka bertiga bercakap sesama mereka dengan bahasa negara mereka. Mengumpat aku ke?

"Tu mesti cakap kotor. Kutuk saya?"

"Tak ada, kami tak ada hantar bunga."

"Ingat ya, siapa yang berani hantar bunga akan diambil tindakan tegas. Saya akan paksa kilang hantar kamu orang balik. Jangan berani buat macam tu. Pergi buat kerja sekarang."

Sekilas aku pandang Encik Naufal. Nampak dia tersenyum sambil jari main bibir. Tidak syak lagi. Dialah si pengirim bunga.

"Hmmm, ramai juga peminat Cik Darlina," kata Encik Naufal.

"Saja mahu menggatal tu. Kalau dilayan memang menjadi," balasku. Ah! Kepala dah jadi satu macam. Mahu aje aku baling dengan kasut budak-budak tu.

"Okeylah tu. Ramai peminat. Orang cantik memang selalu dapat perhatian, bukan?"

Hmmm, lain macam saja bunyinya. Cemburu ke? Takkan cemburu kut? Belum apa-apa dah mahu cemburu? Ni mahu kawan ke atau lebih daripada tu?

"Cakap bahasa Malaysia pun merangkak, ada hati mahu mengurat orang. Dulu mula-mula lagi teruk. Panggil saya roti manis. Mahu tak berasap satu badan." Sengaja aku cakap macam tu untuk memadam perasaan Encik Naufal kalau-kalau sumbu cemburu mula mahu menyala. Aku cakap kalau saja. Sekiranya tak betul, tak apalah. Aku tak kecil hati, tapi kalau betul memang aku berbesar hati.

Aku dengar Encik Naufal gelak sekali. Tandanya tidaklah dia cemburu dengan apa yang berlaku tadi. Aku saja yang fikir bukan-bukan. Ah! Jauhnya fikiran aku melayang.

"Okey, encik. Jumpa lagi nanti." Tak boleh sembang lama-lama. Aku orang HR. Saham kami tinggi. Mana boleh tunjuk perangai tak elok. Yalah tu. Cakap ajelah kau segan, Darlina. Kalau ikutkan, sampai petang kau nak berbual dengan dia.

"Eh! Kita sarapan bersamalah."

Ini memang benar-benar satu kejutan. Sejak bila pula dah pandai nak makan bersama?

"Tak apalah, encik. Kurang elok dipandang orang. Nanti apa pula kata peminat-peminat encik." Sebenarnya memang nak bersarapan dengan dia pun.

"Cik Darlina, kenapa cakap macam tu? Tak ada maknanya peminat-peminat."

"Lain kali ya. Saya janji nanti kita makan kat luar. Kat kafeteria ni tak berapa sesuai untuk kita." Aku cuba pujuk Encik Naufal. Pujuk? Gatal kau, Darlina.

"Janji?"

"Ya, janji." Aku senyum.

"Sebenarnya sayalah orang yang kirim bunga tu."

Akhirnya. Tekaanku memang tepat tapi serius tak sangka dia akan bagi bunga. Muka memang tak ada langsung ciri-ciri mat bunga.

"Ya? Terima kasih. Ingatkan budak production. Lepas ni tak payahlah bagi bunga. Takut kena hantar balik negeri." Aku bergurau.

"Nakal juga Cik Darlina ni." Dia ukir senyuman menawan.

Kami atur langkah menuju ke bangunan utama. Kemudian berpisah ketika sampai kafeteria. Aku ke meja yang biasa aku duduk dengan Fisha. Mujur masa itu Fisha belum sampai. Kalau tidak, mahu tak menang mulut dia kutuk aku bila nampak aku bersama Encik Naufal. Tapi serius, kepala aku memang sarat dengan banyak soalan. Antaranya, kenapa dia baik sangat hari ni?

MULA-MULA aku terima WhatsApp daripda Encik Naufal kurang 10 minit ke pukul 10.00 pagi. Memang susah nak balas WhatsApp Encik Naufal, sebabnya meja Puan Normah betul-betul berhadapan dengan mejaku. Tapi orang kata nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Kalau ulat dalam batu pun boleh makan, inikan pula aku setakat mahu balas WhatsApp. Takkan itu pun tak boleh nak fikir cara?

Cik Darlina, saya bosan...

Begitu WhatsApp pertama yang aku terima. Hmmm, bagus punya ayat. Dia ingat dia saja yang bosan? Aku ini lagi bosan. Ingat aku ni kuli saja tau. Kalau aku bos, sudah lama aku goyang kaki.

Aku pandang semua rakan sekerja lain terutama Puan Normah. Kalau dia tahu aku main WhatsApp, mahu bertempik dia. Memang peraturan kilang melarang penggunaan telefon waktu bekerja. Hanya kami saja diberi sedikit kelonggaran boleh pegang telefon sendiri. Pekerja di bahagian pengeluaran, semua telefon bimbit kena simpan di dalam locker.

Perlahan aku taip perkataan.

Saya lagi bosan...

Aku menantikan balasan daripada Encik Naufal. Masa itulah aku nampak Puan Normah tutup fail yang baru dia turunkan tanda tangan.

"Siapa mahu pergi stor?" soal Puan Normah. Terus aku angkat tangan. Masa itu juga aku perasan semua mata rakan lain pandang aku. Aku rasa mesti yang lain sangka aku dah buang tabiat. Mana pernah aku menyerah diri mahu pergi stor. Kalau boleh elak, memang aku mengelak. Walhal selalunya bukan muka orang lain pun yang kena pergi bahagian tu. Aku juga.

"Baik pula kau hari ni, Darlina. Ada apa-apa ke? Bukan ke kau selalu bergaduh dengan orang stor?" tegur Rissa.

"Saja, hari ni aku baik sikit." Aku bangun dan ambil fail atas meja Puan Normah.

"Hmmm, jangan pula kau bergaduh dengan budak-budak stor tu." Fisha ingatkan aku.

"Apa muka aku ni muka kuat bergaduh ke?"

"Tengok gaya macam mahu menyerang budak-budak stor saja." Fisha gelak-gelak.

Ceh! Aku tak terfikir pun mahu menyerang orang sekarang ni. Yang aku fikir aku mahu main WhatsApp dengan Encik Naufal. Mana tahu kat stor ada peluang. Sambil menyelam kenalah minum air.

Sementara tunggu lif, aku hantar WhatsApp untuk Encik Naufal.

Saya kena kerja kat stor hari ni, jom kita lepak kat stor.

Chewah, siap ajak Encik Naufal lepak kat stor lagi. Kalau dia mahu, hari ni memang hari bertuah aku. Tapi mana boleh dia suka-suka mahu lepak kat stor. Dia siapa, aku pula siapa. Mustahil sangatlah orang pengurusan mahu lepak kat kawasan stor tu. Kawasan yang aku rasa seperti bukan terletak kat Malaysia. Rasa sudah duduk Myanmar dan Bangladesh saja.

Alangkah terkejutnya aku sebaik saja sampai di pintu utama, aku sudah terpandang Encik Naufal sedang duduk di meja bahagian pengurusan stor. Laaa? Macam mana dia boleh sampai dulu? Ke, bosan tadi tu sebab kena kerja kat stor? Alahai, tak sangka cempedak jadi nangka. Pucuk yang aku cita, ulam yang datang. Apakah hari ini memang hari aku yang punya? Harap-haraplah.

"Selamat pagi semua." Aku cakap sebaik saja tiba. Fail yang Puan Normah suruh serahkan kepada Abang Khairi aku letak betul-betul depan Abang Khairi yang sedang berbual dengan Encik Naufal. Dan aku pilih duduk berhadapan Abang Khairi.

"Selamat pagi," jawab Abang Khairi selaku penyelia bahagian stor. Kemudian dia sendiri memeriksa fail yang aku hantar tadi.

"Minggu ni kita menerima tiga aduan tentang kelewatan penghantaran. Kami di bahagian pengurusan sangat memandang serius masalah ni kerana kita terpaksa tanggung kos kerugian yang pihak pelanggan alami gara-gara kecuaian kita," kata Encik Naufal. Aku dengar suaranya sangat serius. Tiada acara main-main seperti hari sebelumnya.

Aku tunduk pandang muka meja. Kemudian Encik Naufal tunjuk kertas yang mengandungi maklumat aduan pelanggan kepadaku. Apa hal pula tunjuk kat aku? Bukan aku tahu apa pun. Bahagian HR uruskan hal ehwal pekerja saja. Kali ni aku ke bahagian stor sebab pasal hostel pekerja asing.

"Kita kena cari di mana puncanya. Pihak penghantaran kena bertanggungjawab. Sebab semua urusan melalui pihak penghantaran terlebih dahulu," kata Encik Naufal lagi.

Aku meraup muka. Mencari di mana silapnya? Arahan semua betul. Schedule juga betul. Jadi mahu salahkan siapa lagi? Kalau aku cakap pihak stor yang salah, mahu kena pelangkung dengan Abang Khairi. Memandai pula orang HR nak salahkan bahagian dia. Aku kenal sangat siapa Abang Khairi. Mana mahu mengaku silap bahagian dia.

"Untuk kes ni siapa yang uruskan?" Encik Naufal tunjuk pada rungutan pelanggan di bahagian kedua.

"Saya." Aku jawab cepat, sebabnya memang aku yang uruskan perkara tersebut.

"Jadi awak kenalah berjumpa dengan wakil syarikat mereka untuk mohon maaf dan beri alasan-alasannya."

"Saya juga ke? Saya hanya tolong maklumkan ke bahagian penghantaran saja sebab masa tu orang bahagian sana kurang pekerja."

"Lain kali jangan sibuk-sibuk bahagian orang lain."

Garang betul. Tolong bahagian orang pun tak boleh.

"Saya nak bagi alasan apa?" kataku perlahan. Mula cemas bila pandang Encik Naufal yang berwajah garang. Tapi pada bibirnya aku nampak ada segaris senyuman. Apa hal pula nak senyum?

"Nak jumpa sekarang?" Aku tanya lagi.

"Awak nak jumpa tahun depan ke?" soal Encik Naufal. Cepat-cepat aku angkat gagang telefon atas meja Abang Khairi. Mahu hubungi pejabat penghantaran. Mahu hubungi ketua bahagian sana pula. Terpaksalah, sebab takkan aku yang kena tanggung sorang-sorang? Kata kerja berkumpulan.

"Helo, Encik Mahfuz. Saya Darlina bahagian HR."

"Ya, Darlina. Apa hal?"

"Pelanggan kat Pelabuhan Klang tu dah isu kompelin ke syarikat pasal syarikat kita dah lewat hantar barang. Orang pejabat pengurusan minta kita pergi ke syarikat tu sendiri untuk mohon maaf."

Saja sebut orang sebab aku tak nak sebut nama Encik Naufal.

"Eh, itu di luar bidang kuasa kami. Bahagian kami uruskan penghantaran saja. Semua isu berkaitan kompelin orang sana yang buat. Kita tak tahu apa-apa." Dari gaya percakapan Encik Mahfuz seolah-olah dia mahu lepas tangan. Ini yang buat darah aku mendidih. Aku sudah cukup baik tolong dia, dia pula balas macam tu. Selepas ni, jangan harap aku nak tolong lagi. Buat baik pun bukan orang kenang.

"Encik tolonglah pergi hadap mereka. Mohon maaf."

"Minta maaf. Tak ada masa saya nak buat macam tu." Encik Mahfuz terus letak telefon. Tak apa, Encik Mahfuz. Ada lori ada bas. Aku balas nanti. Tengoklah.

Aku tekan pula nombor pejabat HR.

"Helo." Suara Puan Normah.

"Puan, saya kena outstation. Ada kes."

"Kes apa?"

"Balik saya cerita. Nak cepat ni." Mesti Puan Normah syak berkenaan hostel.

"Yalah."

Selalunya memang aku juga yang kena kerja luar nak uruskan hal pekerja. Terutama hal-hal berkaitan pekerja asing. Kalau hostel bermasalah pun aku juga yang kena uruskan.

Selesai bercakap dengan Puan Normah, aku pandang Encik Naufal.

"Jomlah. Tunggu apa lagi?" Aku pula buat suara garang. Marah pada Encik Mahfuz belum habis lagi.

Encik Naufal terlebih dahulu melangkah. Aku ikut dia dari belakang. Terus saja kami ke tempat letak kereta.

"Kita guna kereta syarikat."

Kereta syarikatlah sebab kereta untuk urusan kerja. Takkan nak guna kereta dia? Kalau guna kereta dia serupa nak pergi taman bunga saja.

Sebaik sahaja dia tekan alarm, langsung aku buka pintu kereta dan masuk. Duduk diam-diam.

Encik Naufal terus memandu. Tapi aku perasankan dia memandu tidak menghala ke laluan yang betul.

"Encik kata mahu ke syarikat tu?" Aku ingatkan Encik Naufal. Mana tahu dia hilang ingatan pula.

"Masalah tu dah selesai sebenarnya. Kita orang dah selesaikan semua awal-awal lagi," jawab Encik Naufal tenang. Seperti tidak rasa bersalah langsung dengan kenyataannya. Sedang aku seperti orang hilang akal fikirkan alasan yang perlu aku berikan kepada syarikat tersebut.

"Habis tu yang encik ajak saya keluar ni kenapa?" soalku dengan rasa kurang senang. Memang betul-betul rasa tidak senang hati. Rasa seperti aku sedang dipermainkan.

"Cik Darlina janji nak belanja saya makan, jadi hari ni saya tuntutlah."

Terus aku pandang dia. Terlihat segaris senyuman di bibirnya. Laaa... Takkanlah. Hari ni baru berapa hari bulan. Gaji pun lambat lagi. Aduhai... Masa tu juga aku risau.

Tapi takkan pula nak cakap tak cukup duit. Malu aku nanti. Serius aku cakap, memang aku rasa cemas sekarang ini. Tambah cemas bila Encik Naufal singgah di salah sebuah restoran terkemuka. Teruklah aku kali ni. Ini sekali makan saja paling sikit dua ratus untuk dua orang.

Langkahku jadi lambat ketika menuju ke pintu masuk restoran tersebut sebaik sahaja keluar dari kereta milik syarikat. Kereta yang memang digunakan khas bagi tujuan-tujuan kerja di luar kawasan syarikat. Nampaknya Encik Naufal sudah menyalah guna kuasa yang ada padanya. Guna kereta syarikat untuk kepentingan peribadi. Kalau pihak atasan tahu, habislah dia. Tapi apa yang hendak dihairankan, sebabnya Encik Naufal juga salah seorang pihak atasan tu.

"Disebabkan Cik Darlina nak belanja saya makan, jadi sayalah yang kena oder makanan. Betul tak?" Encik Naufal jeling aku selepas itu sambil membaca menu yang disediakan.

Macam kurang oksigen saja aku rasa.

"Saya nak ayam madu berempah empat ketul. Sup kambing spesial untuk makan dua orang. Daging panggang air asam untuk set dua orang. Salad sayur dan pencuci mulut. Air pula, selasihku sayang untuk dua orang," katanya kepada pelayan yang berdiri di tepinya.

Pergh! Encik Naufal buat pesanan tak ingat dunia betul. Aku betul-betul cemas. Melihatkan dari gaya pesanan makanan, tu mahu mencecah ratusan ringgit. Aduhai...Menyesal sungguh rasanya.

"Errr, Cik Darlina nk tambah apa-apa?" soal Encik Naufal sambil pandang aku. Cepat-cepat aku geleng kepala.

"Itu saja," kata Encik Naufal kepada pelayan tersebut.

"Terima kasih," kata pelayan itu sebelum tinggalkan kami.

Cemasku semakin menggila. Kalau boleh lari, masa ini juga aku lari. Tapi tak boleh. Mana boleh lari sesuka hati.

"Hmmm, kenapa muka Cik Darlina nampak pucat?" Encik Naufal tanya aku. Pucat? Muka aku nampak pucat? Aduh! Malunya. Mana mahu letak muka ni?

"Encik, sebenarnya saya tak bawa duit." Baru aku teringat yang aku menonong aje pergi tadi. Lupa sungguh pasal beg tangan.

Dia senyum.

"Saya tahu tu."

Dah tahu kenapa suruh aku belanja dia juga? Saja nak mainkan aku rupa-rupanya.

"Cik Darlina jangan bimbang. Kali ni saya yang belanja Cik Darlina makan sebabnya inilah kali pertama saya bawa anak dara orang keluar makan. Harap tak ada yang marah ya."

Aku terus angkat muka. Pandang tepat wajah Encik Naufal.

"Tak ada siapa yang marah," jawabku perlahan. Rasa terkejut juga bila dengar Encik Naufal cakap kali pertama bawa anak dara orang keluar makan. Jadi sebelum ini dia memang tak pernah keluar dengan mana-mana gadis? Aku yang pertama? Dia nak cakap apa sebenarnya?

"Betul ke tak ada yang marah? Manalah tahu, kan?" Encik Naufal cakap lagi. Kali ni bersama senyuman. Kemudian jeling aku dengan jelingan yang susah perasaan aku nak faham.

"Siapalah yang nak marah? Lainlah encik, ramai sangat yang bakal marah nanti," balasku selamba.

"Saya pun tak ada yang marah. Single but not available."

Amboi, not available lagi. Apa maksudnya tu? Promosi ke? Tapi aku senyum saja. Suka juga dengar dia cakap macam tu.

Tidak lama selepas itu semua pesanan Encik Naufal sampai. Hmmm, melihatkan lauk-pauk yang terhidang, membuka seleraku untuk menikmatinya. Sangat berbeza dari makanan kafeteria. Dan satu lagi yang kami berdua harus ingat, kalau kami tertangkap, memang kami bakal dapat surat amaran. Kalau nasib tak baik, mahu digantung kerja. Dua hal tu aku tak kesah, yang aku takut mana aku nak letak muka. Sah-sah jadi buah mulut dan viral kilang.

"Jemput makan," kata Encik Naufal. Aku senyum dan pandang saja lauk yang terhidang. Agak segan sedikit.

"Hmmm, janganlah segan. Bukan tak biasa dengan saya," ujar Encik Naufal sambil letakkan seketul daging kambing ke atas pingganku. Mana tak segannya, sebab kami memang bukannya biasa lagi. Baru kenal-kenal gitu saja. Tetapi aku sangat-sangat berbesar hati kerana berpeluang makan berdua dengan Encik Naufal dalam keadaan begini. Lebih-lebih lagi dalam waktu kerja. Bukan senang untuk menikmati saat seperti ini dan aku sangat-sangat menghargainya.

Aku mula jamah makanan dengan penuh sopan. Menjaga tata tertib seorang gadis sebaik mungkin. Biar elok di mata Encik Naufal. Biar tidak nampak cacat celanya. Yang lebih penting jangan nampak gedik.

"Saya harap Cik Darlina tidak keberatan untuk keluar dengan saya lain kali. Saya betul-betul ikhlas mahu berkawan dengan Cik Darlina."

Aku berhenti mengunyah seketika. Cuba fahamkan maksud yang tersirat di sebalik kata-kata Encik Naufal. Bunyi ayatnya agak berat dan susah untuk difahami. Aku mana faham sangat bahasa tersirat lagi tersurat ni.

"Sangat ikhlas," kata Encik Naufal lagi.

Tapi bukankah ikhlas itu sebutan hati dan tidak perlu dilafazkan kerana ikhlas yang acap kali disebut-sebut, akan menjadi mainan bibir? Tak akan punya apa-apa makna lagi.

"Terima kasih." Aku ucap dengan perlahan. Hanya itu yang mampu aku sebut. Untuk sementara waktu ini, aku mahu menyimpan terlebih dahulu semua harapanku. Tak mahu terlalu menaruh harapan. Tetapi aku akan terus berusaha. Mudah-mudahan semuanya akan berpihak untukku.

Selesai makan, kami terus pulang ke syarikat. Aku dan Encik Naufal singgah di surau syarikat terlebih dahulu sebelum pergi ke pejabat masing-masing untuk menyambung kerja.

Sampai pejabat, aku nampak semua mata pandang aku. Mungkin semua fikir aku uruskan hal hostel pekerja. Kalau aku cerita pasal Encik Mahfuz, mahu Puan Normah serang pula lelaki yang tak patut ditolong tu.

"Kenapa?" Puan Normah mula bertanya.

"Kes Encik Mahfuz hari tu. Dia lepas tangan. Terpaksalah saya hadap. Dah selesai. Orang pengurusan dah tolong selesaikan." Aku jawab selamba.

"Habis tu nak susahkan kita kenapa? Gatal betul!" bebel Puan Normah. Aku sekadar angkat bahu. Tak mahu cakap lebih-lebih. Nanti tak pasal-pasal rahsia terbongkar. Tapi bila aku pandang Fisha, Fisha dah tengok aku semacam.

"Kau dah makan?" Dia tanya aku. Soalan serampang dua mata.

"Haah, saya lupa. Darlina dah makan ke?" soal Puan Normah. Aku pandang muka Fisha terlebih dahulu kemudian baru muka PuanNormah.

"Dah." Aku jawab sepatah.

"Kau makan kat mana?" Fisha ni memang. Soalan ada bunga-bunga ragu. Apakah dia sudah tahu aku keluar dengan siapa?

"Kat mulut." Aku ketawa.

"Tahulah mulut. Mana ada orang makan guna kaki. Aku nak tahu kau makan kat mana?" Fisha risik habis-habisan.

"Adalah... Tak penting semua tu. Janji aku makan," balasku. Aku sambung semula buat kerja. Tapi aku percaya, Fisha tetap tidak berpuas hati. Kejap lagi pasti dia tanya semula. Tak percaya tengoklah nanti.

LEPAS solat isyak, aku masuk bilik mak. Kebetulan abah baru siang tadi berlepas ke Kota Kinabalu atas urusan kerja selama seminggu. Walau abah tak banyak kesah tapi mak suka pengaruhi abah. Jadi aku memang tak boleh harapkan abah untuk sokong aku. Terpaksalah aku usaha sendiri.

"Mak, pasal yang nak merisik tu kalau mintak batal boleh tak?" Aku tanya mak perlahan. Cuba meraih simpati daripada mak walaupun aku tidak berapa yakin tapi aku harap sangat mak setuju dengan cadanganku. Aku rasa mak sudah bulat dengan keputusannya namun itu tidak bermakna aku boleh menyerah kalah dengan mudah. Orang kata berpantang ajal sebelum mati.

"Tengok dulu orangnya macam mana. Lagipun anak kawan mak tu pun cakap nak tengok kak long juga. Kalau dia tak nak, tak kesahlah," jawab mak tanpa mempedulikan cadanganku.

Senangnya orang sana bercakap. Ingat aku apa agaknya? Kalau suka ambil, tak suka buang. Dah rasa serupa barang dagangan pula. Macam aku tak laku sangat dan terdesak mahu berkahwin.

"Kalau dia suka?"

"Tengok dulu macam mana..."

Mak bercakap seperti yakin benar anak kawan mak tu tak suka. Buatnya kalau orang tu suka dan berkenan kat aku macam mana? Sedangkan aku baru saja membina impian bersama Encik Naufal. Benih-benih sayang juga baru tersemai. Takkan nak biarkan terkulai macam tu saja?

Ah! Serabut kepala jadinya.

"Kalau suka lagi bagus. Cepatlah mak terima menantu. Bila lagi. Adik-beradik mak yang lain semua dah bercucu. Tinggal mak sorang saja yang belum timang cucu. Jadi mak harap sangat benda ni jadi nanti," kata emak sambil lumurkan pelembab tangan ke seluruh tangan.

Beratnya mulutku untuk suarakan perkara sebenar. Takut mak melenting. Sudahnya aku bergerak tinggalkan bilik mak membawa harapan kecewa. Dengan jalan apa lagi untuk aku menolak? Sudah buntu. Tapi, jangan mudah putus asa, Darlina. Kalau namanya jodoh, susah untuk diramalkan. Yang penting, berusaha sebaik mungkin. Apa-apa di dalam dunia ini, bukan jenis yang datang bergolek, jadi aku tak akan menyerah dengan mudah. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro