Bab 3
"KAU menangis?" Datang-datang, Fisha terus tanya aku. Mungkin dia sudah nampak mataku bengkak dan air mata masih bersisa di kelopak mata. Nampak saja dia. Kalau begini, mana boleh aku simpan rahsia apa-apa. Sah, Fisha tanya habis-habisan nanti.
Aku pilih berdiam diri untuk seketika waktu. Buat sementara, aku tak mahu bercerita apa-apa. Memang sepanjang malam tadi aku menangis. Dan tangisan itu berlanjutan sepanjang aku pandu kereta tadi. Tetapi sebenarnya aku sendiri tidak tahu kenapa aku boleh jadi begini. Apa yang aku ratapkan juga aku tidak tahu. Yang pastinya memang air mataku tumpah mencurah-curah. Memang rasa sangat sedih.
"Darlina, kenapa ni?" soal Fisha lagi. Seperti yang aku jangkakan, Fisha mula mendesak. Selagi aku tidak bercerita, dia pasti akan tanya habis-habisan.
Aku sapu air mata. Fikiranku jadi kosong. Langsung tidak tahu untuk memberi sebarang jawapan.
"Cakaplah! Jangan buat aku susah hati. Kau tak percayakan aku ke? Selama ni pernah ke aku burukkan kau?" Fisha asak aku lagi dan nada suaranya juga seperti cemas.
"Tak ada apa-apalah," balasku. Rimas dengan sikap terlalu mendesak Fisha. Kalau aku cerita sekalipun bukan Fisha faham, lagi digelakkan adalah. Bukan aku tak kenal siapa Fisha.
"Tak ada apa-apa? Kau nak suruh aku percaya tak ada apa-apa? Eh! Bengkak mata kau tu bukannya sebab anjing jiran kau mati kena langgar tau tak? Ini mesti ada sebab." Fisha mula berkias seperti selalu, jadi aku terpaksa mengalah.
"Ada orang merisik aku." Aku cakap sambil pandang muka Fisha. Harap Fisha percaya. Kalau tak percaya pun tak apa tapi jangan cakap apa-apa. Cukuplah aku seorang saja yang rasa kesusahan ini.
Aku tengok lama Fisha pandang aku.
"Kau boleh tak jangan merepek yang bukan-bukan? Kalau ya pun kau nak bergurau dengan aku, agak-agaklah sikit," kata Fisha kemudiannya. Aku dah agak. Sah, Fisha tak percaya.
"Ini yang aku malas nak cerita apa-apa dengan kau. Bukannya kau percaya pun. Buat penat aku cerita." Panas hati tiba-tiba. Bila aku tak cerita dia desak, bila cerita tak boleh terima pula. Makin bengang aku rasa.
"Yalah, macam mana aku nak percaya, kalau aku rasa cerita kau ni macam cerita kartun saja," balas Fisha. Kalau dia gelak, aku tak teragak-agak belasah dia kat sini juga. Mujur dia tak gelak.
"Aku tak main-main, okey. Memang betul ada orang merisik aku petang semalam. Mak aku dah paksa aku terima. Puas hati?" Aku marah Fisha.
"Habis tu yang menangis sampai bengkak mata tu kenapa? Aku ingat besar sangatlah masalah sampai aku sendiri naik bimbang. Kalau setakat orang merisik kau, buat letih aku saja bimbangkan kau." Mungkin Fisha rasa menyesal juga sebab desak aku jawab soalan dia.
"Sebab aku tak suka. Hati aku dah ada pada orang lain!" Masih tak faham-faham.
"Hati kau dah ada pada orang tu?" soal Fisha sambil mulutnya terhala ke arah lelaki berkemeja biru tangan panjang yang baru melangkah menuju ke bangunan utama.
Aku diam sebab rasanya jawapan Fisha itu memang tepat. Memang sebab Encik Naufal.
"Aku nak gelak, rasa kesian. Nak kata kau bodoh, rasa tak patut sangat, tapi aku nak cakap juga. Kau ni aku rasa memang tak cukup!"
"Fisha!" Aku separuh menjerit dan sebenarnya aku separuh kecewa mendengar kata-kata Fisha. Tidak memahami keadaan betul.
"Helo, kawan. Jangan menaruh harapan yang bukan-bukan boleh tak? Benda yang kau idamkan tu ibarat langit dengan bumi jauhnya. Tak mungkin akan jadi kenyataan. Encik Naufal tu siapa? Kau pula siapa? Sedarlah diri tu sikit. Lagipun lelaki tu takkan pandang kau sama sekali. Jadi, kau kena sedar diri. Ingat dia akan terima cinta kau yang tulus ikhlas tu?"
"Sampainya hati..."
Aku tahu Fisha bukan ada niat untuk menyindir aku, tapi dia cuba menyedarkan kawan dia yang tak berapa mahu sedar sejak akhir-akhir ini.
"Kau ni mengalahkan budak-budak sekolah yang tengah galak usung majalah hiburan K-pop. Macam itulah lebih kurang. Dah tua pun masih perangai macam budak-budak. Minat orang tak tentu pasal. Tolonglah sedar diri sikit." Fisha mula membebel. Pedih juga telinga mendengarnya. Mujur Fisha kawan baik aku. Kalau tidak, dah lama aku maki hamun.
"Susahlah bercakap dengan kau ni. Langsung tak faham soal hati dan perasaan. Cinta tu bukan milik budak-budak saja," marahku.
"Eh! Aku rasa lebih susah hati sebab ada kawan macam kau ni." Fisha membalas dengan agak kasar. Kata-kata yang mematikan terus selera untuk bersarapan pagi. Jadi aku putuskan untuk ke pejabat saja.
Fisha pula terus ke kafeteria. Aku rasa, hari ni memang aku tak boleh buat kerja.
"SIAPA yang nak jadi wakil bahagian kita untuk dengar taklimat hari keluarga nanti?" soal Puan Normah. Keempat-empat kami diam. Rasanya tak ada seorang pun yang sudi menyerah diri untuk duduk berjam-jam di bilik persidangan hanya semata-mata untuk mendengar taklimat yang entah apa-apa. Lebih baik buat kerja. Lagi bagus.
Aku tak berani angkat muka. Takut terpilih tapi aku sempat juga jeling Puan Normah. Nampak dia sedang menggulung kertas kecil. Hmmm, sah. Puan Normah buat cara biasa. Bila tiada yang sanggup, maka sistem undian pun terpaksa dijalankan. Itulah cara seadil-adilnya.
"Disebabkan sorang pun tak mahu pergi, terpaksalah saya buat cara ni. Siapa yang dapat nombor satu, dia kena pergi conference room." Puan Normah sudah selesai menggulung kertas. Dia taburkan di atas mejanya.
Keempat-empat kami kelam-kabut bangun dan terus ke meja Puan Normah. Masing-masing berebut kertas yang siap digulung kecil. Kertas inilah yang bakal menentukan nasib kami.
"Yes! Selamat!" Fisha menjerit kecil. Kemudian dia menari-nari sebab gembira. Aku terus buka dan nampak nombor yang ada padaku.
"Alaaa..." Aku mengeluh.
"Alhamdulillah!" kata Munirah pula.
"Aku pun selamat." Rissa tumpang gembira.
"Jadi, dengan segala hormatnya dipersilakan ke conference room sekarang. Orang dah nak mula tu," arah Puan Normah.
Dengan langkah longlai, aku berjalan perlahan menuju ke bilik persidangan yang terletak di tingkat atas sekali. Apalah nasib aku hari ni. Tak bernasib baik langsung. Sudahlah malam tadi ditimpa perasaan kecewa, hari ni terpaksa tanggung beban bosan pula. Kenapalah aku diseksa begini?
Waktu aku sampai, semua wakil bahagian sudah sedia menanti. Aku terus pilih tempat mana yang ada.
"Semua wakil bahagian dah ada?" soal Encik Lokman selaku ketua urus setia bahagian pengendali acara temasya hari keluarga syarikat yang bakal berlangsung selama 3 hari 2 malam itu. Kemudian Cik Sheila selaku setiausaha bahagian pengendali acara mengedarkan risalah untuk wakil bahagian yang hadir.
"Errr, encik duduk sana. Sini khas untuk wakil pekerja biasa saja," kata Cik Sheila. Terus aku angkat muka. Encik Naufal?
"Ada masalah kalau saya mahu duduk sini?" soal Encik Naufal dengan wajah yang serius. Terus Cik Sheila serahkan risalah kepada Encik Naufal dan beredar selepas itu. Ah! Kenapa pula ni? Banyak lagi tempat lain yang kosong, kenapa pilih duduk sebelah aku? Aku memang suka pilih tempat belakang sebab senang aku tidur nanti.
"Sila matikan telefon bimbit anda semua. Kita tidak mahu majlis taklimat kita ini terganggu dengan bunyi-bunyi yang tidak sepatutnya," arah Encik Lokman. Aku nampak Encik Naufal keluarkan telefon bimbitnya. Aku pula memang tak bawa. Ada dalam beg tanganku.
Encik Lokman mula memberi taklimatnya dan aku mula bosan. Selepas aku menguap kali ketiga, Encik Naufal hulurkan gula-gula HACKS kepadaku. Terkejut aku dibuatnya. Untuk tidak menghampakan Encik Naufal, terpaksalah aku terima pemberiannya.
"Terima kasih." Aku ucap perlahan.
"Sama-sama," jawab Encik Naufal. Juga dalam nada perlahan.
"Hanya aku cinta kau seorang," bisiknya lagi.
"Hah?" Terkejut ni. Aku memang mendengar dengan jelas setiap patah perkataan yang Encik Naufal tuturkan. Hanya aku cinta kau seorang. Sepuluh kali ulang pun aku takkan tertinggal satu perkataan pun.
"Itulah makna HACKS."
"Oh." Buat aku terkejut saja. Bahaya betul kalau ditimpa perasaan ni. Ingatkan tadi dia cakap ayat tu untuk aku. Mata yang mulanya malap, cerah tiba-tiba.
"Tapi betullah maknanya, kan? Hanya aku cinta kau seorang."
Aku angguk. Ya kan saja. Betullah tu. Hanya aku cinta kau seorang. Akulah manusia paling bahagia dalam dunia ni kalau Encik Naufal benar-benar ucapkan ayat tu pada aku. Kau jangan nak mimpilah, Darlina.
"Hanya aku cinta kau seorang." Dia ulang lagi ayat tu dan aku takkan tertipu sama sekali.
Aku masukkan gula-gula HACKS ke dalam mulut. Namun gula-gula tersebut tak mampu untuk mengurangkan rasa mengantukku. Aku menguap lagi. Entah apalah yang Encik Lokman terangkan. Tak menarik minat aku langsung. Aku nampak mulut dia hanya terkumat-kamit saja.
"Bosan betul." Aku dengar Encik Naufal bersuara. Terus aku pandang wajahnya. Encik Naufal juga pandang wajahku.
"Menyesal datang," katanya lagi.
Laaa... Aku ingat aku seorang saja yang bosan. Rupa-rupanya ada geng.
"Memang bosan," balasku, sebab tak mahu biarkan Encik Naufal bercakap sorang-sorang. Lagipun inilah peluang keemasan untukku. Mana pernah dapat duduk bersebelahan begitu dan berbual dalam keadaan tenang dan sedikit mesra.
"Encik Lokman ni dari tepi memang dah sah macam Shah Rukh Khan. Tapi bila tengok dari depan, Kublai Khan pun tak sanggup mahu mengaku saudara."
Aku tergelak perlahan sebab betul-betul tak tahan. Pandai juga Encik Naufal ni buat lawak. Betul-betul buat aku geli hati. Aku nampak badan dia pun bergoyang sama sebab tahan ketawa.
"Nampak saja garang tapi takut dengan bini tu," kata Encik Naufal lagi. Kali ini dia seperti berbisik.
"Encik kutuklah. Kalau dia dengar mahu tak menang nak lari nanti." Aku bisik juga. Melayan cakap Encik Naufal.
"Awak perhatikan dia. Kejap lagi dia mesti angkat pinggang seluar dia." Encik Naufal berbisik semula. Selepas itu betul-betul Encik Lokman angkat pinggang seluarnya. Serentak dengan itu kami ketawa. Mungkin ketawa kami agak kuat, sehingga mengundang perhatian pekerja lain.
Bulat mata Encik Lokman pandang kami. Macam tahu saja kami tengah gelakkan dia. Aku buat tak tahu selepas tu. Begitu juga Encik Naufal. Kemudian aku menyambung mendengar taklimat. Tiba-tiba aku terkejut bila Encik Naufal hulurkan kertas yang sudah dibentuk menjadi seekor burung.
"Cantiknya, terima kasih," ucapku dengan perasaan gembira. Tak sangka Encik Naufal juga tahu hasil kerja lipatan kertas. Aku lihat dia melipat lagi. Kertas yang mengandungi maklumat dan atur cara hari keluarga sudah menjadi burung.
"Yang tadi tu jantan. Ni burung betina pula," kata Encik Naufal. Aku dah tergelak. Lawak juga Encik Naufal ni. Boleh tahan.
"Jangan sesekali pisahkan mereka." Masa bercakap, aku nampak Encik Naufal jeling aku. Manja jelingannya dan aku mula terasa-rasa.
Aduhai... Apa sudah jadi ni?
"Hidup kita dijadikan berpasang-pasangan untuk kita saling sayang menyayangi. Saling melengkapi satu sama lain."
Aku balas dengan tersenyum sambil perhatikan burung-burung kertas. Ya, saling melengkapi antara satu sama lain.
"Hidup dengan kasih sayang dan sama-sama mencipta bahagia."
Kali ini aku angkat muka dan pandang Encik Naufal. Kenapa beritahu aku semua tu? Salah makan vitamin ke apa dia ni? Merepek yang tidak-tidak. Aku pun naik seram dengar.
"Hanya aku cinta kau seorang." Dia ulang semula ayat tu.
"HACKS, kan?" Aku tunjuk balutan gula-gula Hacks.
"Ya, HACKS." Dia tersenyum. Cantiknya senyuman dia. Betul kata Rissa, kalau jarang senyum, sekali senyum semua akan jadi cair. Memang betullah tu. Perasaan aku sudah mula cair sekarang ni.
Selesai saja taklimat, aku bangun. Encik Naufal juga.
"Saya pergi dulu."
Eh, siap minta diri lagi. Aku perhatikan saja Encik Naufal keluar. Sumpah, dalam masa dua jam ini aku langsung tak ingat pasal semalam. Dan aku baru terjumpa Encik Naufal yang sebenarnya. Sebelum ni dia yang lain. Dia yang sombong. Hari ni aku jumpa Encik Naufal yang kelakar, yang peramah dan yang romantis.
Hanya aku cinta kau seorang.
Bahagianya.
Aku rasa seronok sangat. Rasa betul-betul berbaloi duduk di bilik persidangan selama 2 jam ini. Rasanya kalau satu hari pun aku sanggup, janji Encik Naufal duduk sebelah aku. Ternyata Encik Naufal tidaklah seperti yang aku lihat. Dari posisi lain, dia juga lelaki yang biasa-biasa saja. Lelaki yang pandai membuat suasana menjadi ceria. Tak adalah seperti kata orang, lelaki sombong dan egois. Mungkin penampilan yang membuatkan dia nampak sombong. Tapi bila mengenali dirinya dengan lebih dekat, aku rasa dia tidak teruk sangat. Dia cukup sederhana walaupun jawatan yang dia sandang agak penting, tapi bila berbual dalam keadaan begitu, tak terasa pula seperti berbual dengan orang besar kilang.
Sebaik sahaja aku duduk di tempatku, masing-masing mata pandang aku.
"Jangan tanya apa-apa ya. Ini pun baru bangun tidur." Aku terus cakap. Memang betul pun. Aku tak tahu apa-apa sebab aku tak berapa dengar taklimat tadi. Aku galak bergurau senda dengan Encik Naufal.
"Tak boleh pakai langsung. Sempat lagi dia buat burung. Memang betullah kau ni, Darlina," rungut Fisha. Mungkin terlihat dua ekor 'burung' yang aku bawa bersama. Besar maknanya burung-burung ini buatku.
"Jangan kata aku, kalau kau sendiri pun mesti terlentok. Kalau yang tukang sampai taklimat tu handsome macam Fahrin Ahmad ke okey lagi. Ini susah aku mahu cakap," balasku dengan selamba. Cuba sembunyi rasa seronokku.
"Siapa yang jadi jurucakap kali ni?" soal Munirah.
"Alah, buah hati Puan Normah dulu." Aku cakap sambil gelak. Mula terbayang cara Encik Lokman angkat seluar.
"Siapa?" Serentak Munirah dan Fisha tanya. Rissa sekadar tumpang tengok saja. Puan Normah sudah tercengang.
"Encik Lokman!" Aku jawab sambil tergelak. Masa tu aku rasa Puan Normah sudah baling penutup pen ke arahku. Memang kecoh cerita pasal ni sebelum Puan Normah kahwin dulu. Masa tu Puan Normah belum jadi ketua bahagian kami.
"Tu cerita lama la," kata Puan Normah. Kami gelakkan Puan Normah ramai-ramai. Serius aku cakap, aku memang sangat suka dengan rakan sekerjaku. Walaupun kerja kami banyak tekanan, tapi bila bekerja dengan rakan sekerja yang tahu akan tugas masing-masing, kerja jadi mudah dan tidak membebankan.
"Dah, dah, sambung kerja. Tak siap jangan keluar rehat." Puan Normah keluarkan arahan. Aku tahu dia alah malu. Jadi kami semua buat kerja masing-masing. Demi menjaga keharmonian, kami bergurau ala kadar saja. Hanya untuk memeriahkan suasana.
Aku sambung buat kerja ditemani dengan dua ekor burung yang sangat romantis.
"Apa pasal kau senyum aje sejak tadi? Pagi tadi bukan main hujan lebat." Fisha tegur masa kami dah siap-siap nak rehat.
"Pagi tadi mana ada hujan. Masa bila hujan?" Munirah menyampuk.
Aku dan Fisha pandang Munirah.
"Pagi tadi hujan lebatlah!" Fisha tak mahu mengalah.
"Mana ada..."
Aku tak peduli kedua-duanya. Makin dilayan makin menjadi-jadi. Baik aku pergi kafeteria. Dahlah perut lapar semacam. Pagi tadi memang tak selera nak makan tapi sekarang aku rasa lapar sangat.
Waktu beratur untuk mengambil makanan, aku tak sedar Encik Naufal beratur sama di belakangku sehinggalah dia bersuara.
"Tak ada pula asam pedas hari ni."
Sebaik sahaja mendengar suaranya, terus aku pandang dia. Berjodoh betul kami hari ni. Asyik bersama saja. Tapi aku suka. Suka sangat-sangat. Saat paling bahagia dalam hidupku.
"Encik, hari ni hari Khamis. Menu asam pedas hari Isnin saja," jelasku. Langsung tiada rasa kekok lagi bila berbicara dengan jejaka seorang ini. Entahlah, mungkin aku sudah mula mengenali sikap sebenarnya.
"Oh! Ya ke?" katanya lagi.
"Ya, hari ni kari ayam." Aku jawab sambil ambil seketul ayam dan letak ke atas pingganku.
"Tolong ambilkan saya kepak." Dia hulurkan pula pinggannya. Dengan senang hati aku cari kepak ayam dan letak ke atas pinggannya.
"Kuah lebih sikit," kata Encik Naufal lagi. Akur dengan arahan, aku sendukkan kuah kari dan letak di tempat yang sama. Selepas itu aku bergerak ke tempat letak sayur.
"Nak sayur?" Aku tanya.
"Tak nak, kalau makan sayur, mahu saya tak cukup waras dua tiga hari," jawabnya. Aku sambut dengan tergelak kecil. Boleh lagi Encik Naufal buat lawak di tengah khalayak ramai begini. Macamlah hanya kami berdua saja di kafeteria. Sedang mata yang lain galak pandang kami. Tapi, ada aku kesah?
Akhir sekali kami ke bahagian pencuci mulut. Aku ambil piring kecil dan letak 3 hiris buah tembikai. Kemudian aku serahkan kepada Encik Naufal.
"Terima kasih," katanya. Aku diam saja sebab sibuk ambil pencuci mulut untukku. Kami bergerak ke kaunter pembayaran bersama-sama.
"Saya belanja awak hari ni," kata Encik Naufal tiba-tiba sebaik saja kami sampai di kaunter.
"Tak naklah encik." Aku tolak. Tak mahu berhutang apa-apa. Tak nak termakan budi.
"Sekali sekala, janganlah hampakan saya pula." Encik Naufal seakan-akan merayu.
Aku diam, fikir sekejap. Mahu terima ke tidak.
"Saya gembira sangat sebab dapat kutuk orang tu." Muncung mulut Encik Naufal sudah terarah kepada Encik Lokman yang baru saja muncul dari pintu utama kafeteria. Hampir terburai ketawaku namun aku kawal memandangkan ramai pekerja lain di belakangku yang menunggu giliran untuk membayar harga makanan.
"Okeylah, encik kira sekali jus epal hijau saya." Akhirnya aku akur dengan permintaan Encik Naufal. Itu pun demi kegembiraan dia. Suka tengok dia gembira sebab bila dia gembira, aku tumpang sama gembira. Mungkin berlebih gembira lagi.
"Terima kasih kerana sudi terima," kata Encik Naufal sambil tersenyum. Kemudian dia menjeling manja. Aduhai, tak makan pun rasa kenyang bila melihat senyumannya begitu.
"Saya yang kena cakap terima kasih. Terima kasih sebab sudi belanja saya. Lain kali saya pula belanja encik."
"Okey, no hal. Tapi tak nak kat kafeteria. Kat luar," kata Encik Naufal. Kat luar? Encik Naufal minta aku belanja kat luar? Maknanya hubungan kami bukan setakat dalam syarikat saja? Sudah ke luar kawasan tempat kerja? Ini petunjuk kepada perkembangan positif. Ah! Seronoknya.
"Insya-Allah. Saya pergi dulu." Aku minta diri.
"Silakan. Selamat menjamu selera." Aku nampak dia senyum dan aku tidak keberatan untuk membalas senyumannya. Aduhai hati, haruskah kita menaruh harapan?
Aku terus jalan menuju meja di mana Fisha sudah sedia menanti.
"Amboi, amboi! Bukan main lagi aku tengok. Berbual mesra nampak." Masa aku labuhkan punggung, Fisha sambut aku dengan kata-kata begitu.
"Nampak ke?" Aku tanya.
"Apa pula tak nampaknya? Aku rasa semua orang pandang kau orang berdua," jawab Fisha. Aku balas dengan senyuman saja. Betul-betul rasa seronok.
"Tak pernah-pernahnya orang tu bercakap dengan pekerja perempuan, dengan kau galak pula," tokok Fisha.
Pun aku tak cakap apa-apa juga. Lebih selesa melayan perasaan seronok. Kemudian aku nampak Encik Naufal duduk di tempat biasa. Dia pandang aku dan tersenyum. Aku balas senyumannya dan aku nampak dengan jelas dia kenyitkan matanya selepas itu. Waktu itulah perasaanku berbunga-bunga. Waktu itu juga aku seperti diberi satu kekuatan untuk lakukan sesuatu. Aku akan dapatkan dia. Ya, aku akan berusaha untuk dapatkan dia.
MALAM tu emak beritahu aku, hujung minggu nanti kawan mak bakal datang dengan anak lelaki dia. Mulanya fikiranku kalut juga. Namun aku cuba bertenang. Berpantang ajal sebelum mati. Sebelum tiba harinya, segalanya berkemungkinan untuk terjadi.
Aku ambil burung-burung yang Encik Naufal buatkan khas untuk aku semasa berada di bilik persidangan tadi lalu aku bawa terbaring sama di atas katil. Bila mengingati peristiwa siang tadi, fikiranku jadi lapang. Sungguh istimewa saat itu. Tak pernah sekali aku terfikir akan berbual dengan Encik Naufal dalam keadaan sangat mesra.
Tiba-tiba aku ternampak seperti ada tulisan di antara lipatan burung tersebut. Cepat-cepat aku buka.
Kalau sudi, terbanglah ke sini...
Ada tertulis nombor telefon bimbit selepas ayat tersebut. Hmmm, begitu rupa-rupanya. Ada hati nak berkenalan. Okeylah kalau macam tu. Tak salah kut kalau aku mulakan dulu. Kawan aje pun.
Aku ambil telefon bimbitku di dalam beg tangan dan bawa semula ke atas katil. Apa salahnya mencuba? Orang tu sudah beri laluan, kenapa tidak digunakan sebaiknya? Kalau aku tak telefon, apa pula kata dia nanti?
"Helo, assalamualaikum." Bersama debar aku memberi salam.
"Waalaikumussalam. Siapa ni?" soal Encik Naufal. Memang jelas aku dengar suara dia.
"Saya, pekerja bahagian HR," aku jawab. Malas nak sebut nama. Segan sebenarnya.
"Cik Darlina?"
Eh, dia tahu nama aku?
"Ya, saya."
"Maknanya Cik Darlina dah nampak apa yang tertulis pada burung jantan tu. Hmmm, dah makan?"
Pelik. Macam mana dia tahu nama aku? Aku ingatkan dia tak tahu. Nama penuh pula tu. Aku cuba ingatkan semula peristiwa siang tadi. Seingat aku, aku memang tak ada sebut langsung namaku.
"Sudah. Encik?" jawabku walau aku masih tertanya sendiri macam mana dia boleh tahu namaku. Ah! Nak pelik apanya? Bukankah aku satu tempat kerja dengan dia? Seperti mana aku tahu nama dia Naufal, mungkin begitu juga dengan aku.
"Sudah juga," jawab orang di sana.
Setakat itu saja kemampuan aku berbicara. Aku kehabisan kata-kata. Tak tahu nak cakap apa lagi. Segan sebenarnya.
"Macam mana dengan keadaan bahagian HR?" soal Encik Naufal lagi.
Hek eleh, formalnya soalan. Aku telefon dia bukan nak bercakap tentang tempat kerja. Kalau mahu cakap benda tu, esok lusa pun boleh cakap. Tapi malam ni aku nak dengar cerita lain. Cerita yang boleh membangkitkan semangatku.
"Okey. Biasa saja."
"HR memang bahagian paling glamor, kan?"
"Tak adalah."
"Apa-apa semua cari bahgian HR. Nak-nak hujung tahun, kan?" Aku dengar Encik Naufal ketawa. Masa itu aku terbayang bibirnya. Tentu sangat cantik bila dia ketawa begitu.
"Biasalah. Hujung tahun, kan."
"Okeylah encik, saya telefon encik ini pun sebab ternampak nombor telefon encik yang encik tulis pada burung tadi." Sebenarnya, aku masih mahu berbual dengannya, namun rasa tidak manis pula. Jadi aku kenalah pandai bawa diri.
"Oh! Apa cerita burung tu? Dah beri makan?" Encik Naufal tanya. Aduhai, lawaknya soalan.
"Burung-burung tu tak lalu nak makan sebab ingat tuannya," jawabku selamba.
"Mengada-ada betul burung-burung tu. Dah bagi pasangan pun masih ingat tuan lagi? Selalunya kalau berdua dah tak ingat dunia."
Serius aku tak faham makna kata-kata Encik Naufal. Takkan perli pasangan burung tu.
"Errr... Cik Darlina, terima kasih untuk saat-saat gembira kita tadi. Saya sangat menghargainya," kata Encik Naufal. Tiba-tiba saja aku dengar suaranya sudah lain. Apa hal pula ni? Drama sebabak pula ke?
"Saya pun gembira juga. Kalau encik tak ada tadi, mahu tertidur saya."
"Yalah, mahu tak tertidur, tukang sampai sikit punya handsome." Tak habis-habis lagi dia kutuk Encik Lokman. Nampak saja dia ni serius tapi boleh tahan juga orangnya.
"Saya tadi tu terpaksa juga jadi wakil sebab Puan Normah buat undian. Kalau tak, saya pun tak mahu dengar semua tu." Tak tahu nak cakap apa, terpaksalah tuturkan ayat tak penting tu.
"Ingatkan memang wakil HR."
"Sepatutnya family day memang orang HR uruskan tapi tahun ni bahagian akaun pula nak ambil alih. HR lagi suka."
"Tu saya pelik. Selalu HR yang uruskan."
"Okeylah encik, ya. Tak mahulah kacau encik, mungkin encik nak berehat."
Alahai Darlina, bersopannya awak malam ni.
"Lain kali bawalah sudu."
"Bawa sudu? Kenapa?" Aku tanya. Pelik sungguh. Tiba-tiba sebut pasal sudu.
"Kalau nak kacau saya."
Aku gelak dengan kuat. Ambik kau! Kan dah kena. Aku dengar Encik Naufal juga ketawa. Macam manalah aku boleh jadi pembaris pula? Tak dapat tangkap langsung makna kata-kata Encik Naufal.
"Cik Darlina." Dia panggil aku ketika ketawaku masih bersisa.
"Ya, saya."
"Saya ada satu permintaan."
"Permintaan? Permintaan apa tu, encik?"
"Sudi tak awak jadi kawan saya?"
"Kawan encik?" Aku tanya bersama rasa hairan.
"Ya, kawan saya."
Takkan aku nak tanya kawan macam mana? Nanti kalau dia beri jawapan yang pelik-pelik, aku juga yang malu.
"Apa salahnya. Saya lagi suka." Terpaksa jawab lebih kurang.
"Terima kasih kerana sudi berkawan dengan saya."
"Encik ni, kenapa cakap macam tu? Siapalah saya ni. Dah dapat kenal dengan encik pun kira beruntung sangat. Kat syarikat tu, ramai yang nak kawan dengan encik," balasku.
"Saya tak nak kawan dengan orang lain. Saya nak kawan dengan Cik Darlina saja."
"Oh! Ya ke? Betul ni?" Aku tanya separuh terkejut. Rupa-rupanya dia nak kawan dengan aku seorang saja.
"Betul, saya nak kawan dengan Cik Darlina seorang saja. Boleh, kan?"
"Boleh, apa salahnya..." Serta merta aku teringat kiriman bunga yang aku terima. Mungkinkah dia si pengirimnya?
"Terima kasih. Mulai sekarang kita kawan ya. Hmmm... Selamat malam."
"Encik!" Aku menjerit sebelum dia putuskan talian.
"Ya saya."
"Errr... Encik ke yang hantar bunga untuk saya?" Aku tanya terus sebab kalau aku tak tanya mahu aku tak tidur satu malam. Aku dengar dia ketawa saja. Ketawanya itu juga satu jawapan. Jadi memang dialah orangnya? Aduhai, seronoknya.
"Okey, encik. Selamat malam."
"Selamat malam." Suara Encik Naufal hilang dan aku melompat-lompat atas katil. Rupa-rupanya dunia ini aku yang punya. Jadi aku sudah tidak kesah siapa yang bakal datang minggu hadapan. Aku akan berusaha untuk dapatkan apa yang aku nak. Jadi anak derhaka pun aku sanggup.
Kes kiriman bunga tu kira dah selesai.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro