Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

PAGI, sebaik sahaja masuk kawasan tempat letak kereta, aku nampak Encik Naufal juga baru sampai. Jadi aku ambil keputusan untuk duduk sekejap dalam kereta. Biar kawan tu masuk terlebih dahulu. Bukannya apa, aku sudah malas untuk menonjolkan diri secara berlebihan. Dengan erti kata lain, aku ini perempuan. Mana boleh tunjuk perangai lebih-lebih. Sikit tidak mesti orang lain perasan, terutamanya Encik Naufal kalau aku tunjuk sangat perangai gedik. Mana nak letak muka kalau dia tahu aku suka dia? Mesti malu besar nanti. Lebih baik aku berhati-hati.

Hah! Sedar pun kau, Darlina. Ingat tak sedar. Begitu aku terdengar suara-suara halus dalam diri. Sedar, bukan aku tak sedar cuma sebelum-sebelum ini aku sengaja buat-buat tak sedar, sebab aku betul-betul suka dengan dia.

Sambil tu aku ada fikir juga tentang perbualan mak dengan abah malam tadi yang aku terdengar secara tidak sengaja. Walau tidak jelas, aku cukup pasti, mak sedang rancangkan sesuatu untuk aku. Sesuatu yang bakal membuatkan aku sakit hati dan tak boleh berfikir apa-apa lagi. Mungkin aku bakal dikahwinkan. Satu kes lagi edisi kahwin paksa. Nampak benar tak lakunya aku sampai terpaksa pula dikenenken oleh orang tua.

Runsing aku jadinya. Bukannya aku ini tua benar. Belum masuk 24 tahun. Yang mak kalut sangat ni dah kenapa?

Dalam kepala serabut fikirkan semua itu, aku terkejut bila ada orang ketuk cermin tingkap. Bila aku toleh, terkejut aku tadi bertambah sekali ganda. Encik Naufal? Terus aku turunkan cermin tingkap.

"Kenapa, encik?" Aku tanya. Nak tahu juga kalau-kalau aku ada buat silap sehingga Encik Naufal datang jumpa aku. Aku dah masuk kawasan tempat letak kereta yang dikhaskan untuk MD ke? Tapi aku bukannya mamai sampai tak boleh bezakan semua tu.

"Saya ingat awak tidur dalam kereta tadi," ujarnya dengan wajah serius. Jantung aku sudah berdegup sangat luar biasa. Kenapa pula dia tegur aku hanya kerana perkara remeh? Ke dari tadi dia tunggu aku? Sudah Darlina, jangan nak merepek bukan-bukan. Orang tu cuma ingat kau dah mati dalam kereta ni aje.

"Taklah. Saya tak tidur pun." Aku jawab sambil senyum tak berapa nak jadi. Sambil tu kawal juga rasa malu. Memandai aje tuduh aku tidur dalam kereta. Ingat aku ni jenis perempuan yang suka merayap malam ke?

"Apa-apa hal sarapanlah dulu." Kumis tipis yang menjadi hiasan sekitar bibir menambah lagi ketampanan wajahnya.

Tak berkedip aku pandang muka dia. Hampir saja aku hilang ingatan. Mujur sempat sedar. Sebenarnya apa maksud dia tu? Dia suruh aku sarapan atau dia sedang pelawa aku sarapan dengan dia? Tak faham aku. Kalau nak ajak aku sarapan bersama, cakap ajelah. Aku tak kesah pun. Boleh saja. Tak ada masalah pun kalau nak ajak aku bersarapan bersama.

"Kalau ya pun, sarapanlah dulu. Sarapan tu penting. Sumber tenaga kita. Tak elok abaikan sarapan."

Mahu beri ceramah pasal sarapan rupa-rupanya. Aku dah perasan semacam. Mati-mati ingat mahu ajak aku sarapan sekali. Tapi pelik juga. Yang sibuk cerita kepentingan sarapan tu apa kes? Tiba-tiba aje buka topik pasal sarapan. Kami di HR rasanya belum pernah buat kempen mari bersarapan di kafeteria.

"Terima kasih." Aku ucap kemudian naikkan semula cermin kereta.

Aku keluar dari kereta dan pandang muka Encik Naufal. Pelik betul dia hari ini. Dah tiga tahun aku kerja dan tiga tahun juga aku kejar dia, kenapa tiba-tiba dia bagi coklat? Pagi ni siap tunggu aku lagi. Ke, dia dah tahu aku minat dia? Fisha dah dedahkan rahsia aku ke? Nak mati agaknya kalau berani-berani buat macam tu.

"Encik tak sarapan ke?"

"Kejap lagi."

Dia ingat aku nak ajak dia sarapan sama agaknya.

"Saya pergi dulu." Dia minta diri. Takut aku ajak sarapan la tu. Dan-dan minta dirinya. Eh, pinggan tak retak, nasi pun tak dingin la.

Kemudian dia atur langkah menuju ke bangunan utama. Aku hanya perhatikan saja langkah Encik Naufal. Betul-betul tak sangka pagi ni aku akan disapa oleh Encik Naufal. Entah mimpi apalah dia buat macam tu.

Tiba di pintu utama, aku nampak Encik Naufal toleh belakang dan terus pandang aku. Lama dia pandang aku. Uiks, kenapa pandang-pandang? Apa yang tak kena ni? Aku pakai baju terbalik ke? Ke dialah orangnya yang hendak dikenenkan dengan aku? Mak cakap dengan mak dia ke semalam? Mustahil. Mana mak kenal dengan mak Encik Naufal? Jangan mengarut yang tidak-tidak, Darlina.

Atau mak Encik Naufal pun bekas staff nurse juga? Perlu ke aku tanya pada mak siapa yang bakal dikenenkan dengan aku? Kalau betul Encik Naufal, kejap ini juga aku suruh mak nikahkan kami.

Kami punya sejarah sama tentang coklat. Aku tak suka makan coklat sebab mak pernah cakap coklat dibuat daripada tahi kambing. Encik Naufal pun sama. Tak mungkinlah. Ah! Karut semua tu. Aku masih tidak mahu percaya apa-apa saja tentang Encik Naufal. Semuanya adalah mustahil. Habis cerita. Jangan fikir apa-apa lagi, Darlina.

Aku melangkah dengan perlahan. Lemah dan lesu jadinya. Kemudian atur langkah menuju ke bangunan utama. Tiba-tiba saja hilang semangat. Tidak seperti hari-hari sebelumnya. Ini semua gara-gara aku curi dengar perbualan mak dengan abah. Kalau aku tak galak sangat nak curi dengar, mesti aku tak tahu apa-apa. Mesti aku masih gembira.

"Selamat pagi!" Fisha sapa aku dari belakang. Kuat dia bercakap serupa aku jauh sebatu.

"Pagi..." Aku jawab lemah. Malas.

"Kenapa ni? Nampak tak ceria langsung. Tak macam selalu. Kalau tidak bukan main lagi kau tanya pasal orang tu. Hari ni boleh tak tanya apa-apa. Apa kes ni?"

Dah nama pun sahabat sejati. Mestilah nampak setiap perubahan yang aku alami.

"Aku tak ada moodlah. Rasa mahu balik rumah saja. Golek-golek atas katil."

"Kau demam ke?" Lepas cakap, Fisha terus pegang dahiku.

"Taklah. Aku sihat. Sihat sesihatnya. Cuma aku tak ada mood saja," balasku lagi. Perkataan mood itu aku kuatkan sikit agar Fisha tak tanya apa-apa lagi.

"Kau jarang macam ni. Ini mesti ada benda yang tak kena ni." Fisha tak sudah meneka. Aku faham sangat dengan Fisha. Cepat saja nampak perubahan diriku. Mujurlah tak cakap aku dah buang tabiat.

Aku tak layan Fisha. Terus jalan menuju ke kafeteria. Aku cuma ambil air kopi. Minuman yang jarang-jarang sekali aku ambil, hanya untuk keadaan tertentu. Fisha pula jamah makanan yang biasa dia ambil untuk sarapan. Masa makan aku tak bercakap langsung. Fisha juga. Mungkin Fisha fikir aku kurang sihat jadi dia lebih selesa makan dengan tidak bercakap-cakap.

Encik Naufal masih duduk di tempat yang sama. Sesekali bila aku angkat muka, aku nampak dia pandang aku. Renungannya seperti sembunyikan sesuatu. Aku semakin tidak faham dengan sikap Encik Naufal tu. Apa sudah jadi ni? Dia dah hilang ingatan ke asyik pandang-pandang aku? Ke saja mahu buat perasaan aku gila semacam. Tapi aku malas mahu fikir apa-apa. Biar dialah. Kepala aku sendiri sudah cukup berserabut.

Lepas Fisha habis makan, kami sama-sama masuk pejabat. Tak ada apa-apa yang pelik hari ni. Bila tiba masa bekerja, kami buat kerja macam biasa.

Tengah sibuk buat kerja, Jefri budak pejabat datang hantar jambangan bunga. Siapa pula yang galak bagi aku bunga? Ingat aku makan bunga ke?

"Siapa bagi?" Aku tanya dia.

"Aku tukang sampai saja. Lain-lain aku tak tahu."

Aku pandang Jefri atas bawah. Muka lapar rasuah.

"Berapa kau nak untuk bocor rahsia?"

"Aku tak tahu siapa yang bagi sebab minah kat lobi yang suruh aku bagi kat kau. Kau tanyalah minah Cina opera tu."

Aku pandang lagi Jefri atas bawah.

"Sumpah." Jefri angkat tangan kanannya paras dada. Kemudian dia terus beredar.

"Amboi, dah ada yang kirim-kirim hadiah nampak. Sejak bila dah ada buah hati ni?" Fisha tegur dari tempat duduknya.

"Aku pun baru hari ni dapat tahu aku ada buah hati. Jangankan kau, aku pun pelik ni." Aku jawab dengan selamba.

"Boleh percaya ke?" Fisha serupa tak percaya. Dari cara dia cakap macam aku simpan rahsia daripada dia.

"La, aku kan tergila-gilakan orang..." Mujur tak terlepas cakap. Payah karang nak menjawab.

Aku ambil kad ucapan yang terselit di celah bunga. Belum sempat aku baca, Fisha dah rampas.

"Kepada dirimu yang selalu ada dalam hati ini."

Fisha baca ayat yang tertulis pada kad ucapan.

"Pergh, jiwang habis." Puan Normah dah ketawa.

"Hati-hati, Na. Aku takut mamat Bangladesh yang bagi bunga tu. Kau selalu sangat berurusan dengan mereka." Munirah juga turut ketawa.

Aduhai, jadi bahanlah pula. Tapi serius, aku nak tahu juga siapa yang berani hantar bunga kepada aku. Selama tiga tahun kerja di kilang minyak ni, tak pernah aku terima bunga.

Ke Encik Naufal yang bagi?

Takkanlah dia.

MASA balik, aku bawa jambangan bunga pemberian orang bersama. Takkan nak buang pula? Bunga ros lagi. Tentu mahal. Bawa balik sekurang-kurangnya boleh mengharumkan bilik.

Aku, Fisha dan Munirah sama-sama menunggu lif. Rissa dan Puan Normah dah balik dulu. Munirah tak sudah-sudah usik aku dengan mamat Bangladesh yang kerja di bahagian production.

Aku dengarkan saja sebab aku tak rasa pun mereka yang bagi bunga. Pada mereka bagi bunga, baik beli makanan. Nak pikat aku pun tak guna, buang duit.

Pintu lif terbuka. Ada tiga orang dalam lif. Salah seorangnya Encik Naufal. Fisha dah cubit lengan aku. Si Munirah tak sudah-sudah lagi gelakkan aku.

"Aku rasa mesti mamat Bangladesh yang bagi bunga kat kau tu kerja syif pagi."

Dalam lif pun Munirah bercakap pasal mamat Bangladesh. Kalau dengan sumbat bunga ros ni boleh buatkan dia senyap, memang dah lama aku sumbat.

"Yakin aje kau mamat Bangladesh yang bagi bunga. Buatnya ada orang kita yang syok dengan Darlina, macam mana?"

Fisha bela aku. Dia pun nampaknya naik menyampah dengan Munirah. Dari mula aku dapat bunga tadi dia mengusik, sampailah dah nak balik. Dapat kenakan orang memang bahagia sungguh dia.

"Orang kita mana ada yang suka bagi bunga. Lelaki Malaysia tak romantik macam lelaki asing."

"Aku doakan kau dapatlah jodoh dengan lelaki asing tu."

"Aminnn..." Aku aminkan doa Fisha.

"Weh..." Munirah dah gelabah. Tahu takut.

"Maaflah, kami tak dapat pergi majlis sambut menantu kalau jauh-jauh sangat. Kalau setakat Bangladesh boleh lagi kut. Kalau Myanmar pun boleh lagi." Makin galak Fisha menyakat.

"Janganlah. Aku tak nak."

Aku dan Fisha ketawakan dia. Tak sangka masa aku tengah ketawa, Encik Naufal pandang aku. Wajah dia serius saja. Darlina, dengan muka macam tu, kau jangan haraplah kawan tu yang bagi bunga.

Maka, kemungkinan untuk mamat Bangladesh yang bagi kau bunga, sangatlah tinggi. Aku reda kalau sudah tertulis mamat Bangladesh yang bagi aku bunga. Nak diapakan lagi?

Kami sama-sama keluar lif. Aku menuju ke keretaku dan Fisha menuju ke tempat letak kereta dia. Munirah pula naik bas.

"Suka bunga ros ke?"

Langkah kaki terhenti bila mendengar suara Encik Naufal menyapa. Maklum, kereta dia dekat saja dengan kereta aku.

"Taklah, saya suka bunga raya." Aku buat lawak bodoh.

"Ya ke suka bunga raya?"

"Suka gila."

"Siapa yang bagi bunga tu?"

"Tak tahulah siapa bagi. Kawan cakap mamat Bangladesh kat bahagian production yang bagi. Kan saya selalu berurusan dengan mereka."

"Tak ada maknanya mamat Bangladesh yang nak bagi bunga."

Eh, macam marah bunyinya. Ada apa-apa ke?

"Macam kawan saya cakaplah. Orang kita ni jarang nak bagi bunga bagai. Kurang romantis sikit. Rasanya betul kut mamat Bangladesh yang bagi. Mereka bab ayat perempuan kan pandai. Tu pasal ramai yang jatuh ke pelukan lelaki Bangladesh."

"Habis, awak suka ke kalau mamat Bangladesh yang bagi bunga kat awak?"

"Rezeki jangan ditolak, encik. Musuh jangan dicari. Tak salah kalau orang nak bagi bunga. Saya okey aje. Bagi bunga aje pun, takkan nak bagi hati sekali."

Pandai pula aku menjawab.

"Selalunya kalau dah bagi bunga tu nak bagi hati sekalilah. Mana ada orang saja-saja bagi bunga."

Dia pun pandai menjawab juga rupa-rupanya. Tapi cara dia jawab tu macam cemburu aje. Takkan nak cemburu kut?

"Tak kesahlah. Tapi soal hati tu perkara peribadi. Bagilah satu kontena bunga tapi kalau hati tak suka, tak boleh nak kata apa juga."

Aku sambung melangkah menuju ke keretaku. Dia pun pergi ke kereta dia.

Dalam kereta baru aku tersedar sesuatu. Apa yang aku merepek dengan Encik Naufal tadi?

Tapi, dia juga yang sebut pasal bunga. Bukan aku saja-saja merepek.

Encik Naufal terus memandu keluar. Cara bawa kereta macam marah. Apa kena pula mamat tu? Angin tak tentu pasal.

SAMPAI rumah, aku nampak ada tetamu datang bertamu. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Baya-baya mak dan abah. Demi menghormati tetamu yang hadir, aku cium tangan kedua-dua tangan tetamu perempuan sambil bertanya khabar.

"Amboi, dah ada yang bagi bunga ke?" Tetamu wanita menegur. Nampak saja.

"Mamat Bangladesh kat tempat kerja aje ni, mak cik. Suka-suka nak mengusik saya." Aku buat helah.

"Dah berkenanlah tu." Tetamu lelaki pula membalas.

Aku tak menjawab sebaliknya tersenyum. Selepas itu mereka sambung berbual dengan mak dan abah. Aku masuk ke dapur terlebih dahulu untuk ambil balang kaca dan bawa masuk ke dalam bilik. Balang itulah aku isi dengan air dan letak bunga yang kononnya mamat Bangladesh bagi.

Kad ucapan aku ambil dan bawa ke atas katil. Ayat yang ditulis tak serupa langsung ayat orang asing. Tulisan pun kemas saja. Mustahil mamat Bangladesh. Tapi kan, tulisan ni macam biasa saja nampak. Aku cuba ingat tapi tetap tak ingat tulisan siapa.

Pintu bilik diketuk. Mematikan terus lamunanku.

"Mak suruh turun. Ada meeting tergempar." Farah buat muka selamba.

Meeting tergempar? Apa yang tergemparnya?

Aku bergegas turun ke bawah. Rupa-rupanya tetamu sudah pulang.

"Duduk, kak long. Kita berbincang."

Kata-kata mak buat dada aku berombak kencang. Mak nak ajak aku berbincang pasal apa? Macam-macam aku fikir dan akhirnya aku pilih untuk mendengar saja apa yang bakal diperbincangkan daripada berteka-teki sendiri.

Mak serahkan kotak kecil berwarna biru. Nampak macam kotak cincin saja. Kian berombak dadaku.

"Apa ni, mak?" Aku tanya juga walaupun aku sudah tahu jawapannya apa. Hati dah mula berlagu cemas. Sudah mula fikir yang bukan-bukan. Kalau dah ada kotak cincin, tu bermakna adalah cincin di dalamnya. Fikir secara logik, aku dah dapat agak cincin tu mewakili apa. Tentu saja mewakili satu ikatan yang bakal terjalin tidak lama lagi. Lainlah kalau tetamu tu bawa sebuah basikal atau seguni beras. Jadi aku dah tahu cincin tu untuk apa.

Tiba-tiba saja aku rasa tak sedap hati. Hatiku tambah tak sedap bila mak mula bercakap.

"Mereka tu datang ada hajat," kata mak memulakan bicara yang aku kira bakal menggores hati dan juga perasaanku. Aku memang dah agak. Memang ada hajat. Dan hajat tu aku faham sangat.

"Mereka nak kenenkan kak long dengan anak mereka." Mak cakap lagi. Hati yang tidak sedap tadi dah jadi huru-hara. Semakin tak keruan rasa.

"Mak nak kak long terima."

Seperti satu perintah daripada mak.

"Tapi, mak..."

"Tak ada tapi-tapi lagi. Kak long nak tunggu apa lagi? Dah ada orang masuk meminang, baik kak long terima saja. Mak pun dah tak sabar nak terima menantu." Langsung mak tak beri aku peluang untuk bercakap.

"Mana boleh main terima macam tu saja, mak. Ini zaman apa ni main kahwin paksa-paksa?" Aku menjawab. Menjawab bukan bermakna aku melawan. Menjawab tandanya aku tidak bersetuju dengan permintaan mak.

"Nak tunggu apa lagi? Mana nak cari jodoh orang baik-baik macam tu?" Suara mak dah kuat. Jarang mak tinggikan suara. Aku tahu mak marah bila aku seakan-akan membantah permintaannya. Jadi aku tidak boleh kata apa lagi. Terpaksa aku tutup mulut namun retak hatiku tiba-tiba sudah jadi seribu. Mudahnya mak menilai orang dengan perkataan baik. Belum kenal hati budi, terus cakap jodoh orang baik-baik.

"Bukan kak long tak kenal dengan mereka. Anak kawan mak tu pun dah biasa jadi kawan sepermainan kak long masa kecik-kecik dulu." Mak masih berusaha mempengaruhi aku.

Siapa pula kawan sepermainan aku masa kecik-kecik dulu? Ramai sangat kawan lelaki yang jadi geng aku, manalah aku nak ingat semuanya.

"Ini siapa pula, mak? Mana kak long kenal semuanya. Lagipun zaman kecik-kecik dulu dah bertahun berlalunya." Aku cakap bersama keluhan berat.

"Ada, masa tu kak long kecik lagi. Tak silap mak umur kak long sembilan atau sepuluh tahun macam tu." Rendah sedikit suara mak. Tidak setegang tadi.

Alahai mak ni. Kenapa tak cakap zaman aku masih bayi lagi? Macamlah aku boleh kenal semua budak-budak tu.

"Mak bagilah kak long fikir dulu. Benda ni mana boleh main terima macam tu saja. Lagipun kak long belum puas enjoy. Kak long pun muda lagi." Aku cuba meraih simpati mak tapi aku yakin sangat-sangat jawapan aku tu bakal membuatkan mak melenting semula.

"Nak fikir apa lagi? Umur kak long dah dua puluh empat tahun. Nak tunggu mak mati baru nak kahwin?" Suara mak kembali kuat. 24 tahun dah kalut nak kahwin. Orang umur 54 pun ada yang tak kesah.

"Mak!"

"Lainlah kalau kak long dah ada pilihan hati sendiri. Kalau betul kak long ada pilihan hati sendiri, mak sedia tolak pinangan kawan mak tu. Tapi kalau kak long masih belum ada sesiapa lagi, mak nak kak long terima pinangan ni. Jangan nak bagi alasan apa-apa. Mak kenal dengan budak tu. Orangnya baik. Berbudi bahasa. Hormat orang tua. Rupa paras pun elok. Kak long nak cari macam mana lagi?"

Kali ni mak memang dah nekad nampaknya untuk terima menantu.

"Kak long kena ingat, kadang-kadang jodoh tu hanya datang sekali saja seumur hidup. Kalau kak long tolak, jangan harap nak dapat jodoh lain." Mak ugut aku sebelum tinggalkan ruang tamu.

Masa itulah wajah Encik Naufal menari-nari dalam kotak ingatanku. Aku terbayangkan wajahnya yang tenang. Renungan matanya yang cukup mendamaikan hatiku serta senyuman yang paling menawan. Setitis demi setitis air mata luruh. Terlalu mustahil untuk aku meminta Encik Naufal jadi kekasihku buat masa ini. Kalau buat juga perkara tersebut ibarat aku membogelkan diri di dataran syarikat. Mustahil aku sebodoh itu semata-mata hendak memuaskan hati sendiri.

Ah! Kenapa ruang dunia ini aku rasakan semakin sempit?

"Kak long ikut aje cakap mak tu, habis cerita. Tak payah nak fikir-fikir lagi. Dah mak cakap baik budaknya, memang betul baiklah."

"Awak jangan banyak bunyi. Kalau tak tahu apa-apa, baik jangan cakap apa-apa." Aku marah Farah. Terus Farah tutup mulut.

Sakitnya hati aku...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro