Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

KENAPA dia tunggu aku? Setelah hampir sebulan lebih, inilah julung-julung kalinya aku melihat dia di tempat letak kereta. Masih mahu memujuk atau mahu menyakiti hatiku seperti malam tadi? Kenapa harus jadi begini? Bukankah elok kami jangan berjumpa lagi kalau sekadar mahu pamerkan luka masing-masing?

Sebaik sahaja keluar dari kereta, aku melangkah perlahan tanpa mempedulikan Encik Naufal. Entah kenapa marahku masih tidak surut-surut lagi. Rajukku masih terbawa-bawa. Aku tak tahu kenapa aku boleh jadi tidak sematang ini. Sedangkan setiap masalah itu dicari jalan penyelesaiannya. Bukan dengan cara dielak atau dihindari.

"Selamat pagi." Encik Naufal sapa aku terlebih dahulu. Ramah dan mesra seperti selalu. Tak ada tanda-tanda dia bersedih atau berduka seperti sebelum ini.

"Selamat pagi." Aku jawab nak tak nak. Tapi langkah terhenti juga. Seperti ada kuasa yang memaksa aku berhenti. Dan seperti ada kuasa juga yang memaksa aku pandang wajah Encik Naufal.

"Maaf pasal malam tadi." Mendatar suaranya dan aku seperti terperangkap.

"Tak perlu minta maaf. Dalam hal ni saya yang salah. Saya yang emosi tak tentu pasal sedangkan encik biasa-biasa saja, kan? Tak rasa apa-apa, kan?" Tenang aku menjawab namun berbaur sindiran. Kalau tak faham juga, tak tahulah aku nak cakap apa lagi.

"Saya tahu awak marah."

Dah tahu aku marah, kenapa tanya lagi? Sengaja mahu menambah kemarahan yang ada.

"Boleh tak jangan tanya soalan yang encik dah tahu jawapannya? Itu namanya soalan bodoh."

"Okey, sekali lagi saya minta maaf."

Aku buat tak peduli. Sakit hati.

"Kita sarapan dulu, okey?"

Aku geleng.

"Saya dah bersarapan di rumah tadi." Memang betul. Aku memang jamah nasi goreng yang mak masak. Sebabnya aku tak mahu bersarapan di kafeteria. Kalau aku bersarapan di sana, tentu aku bakal terpandang Encik Naufal, rupa-rupanya aku tidak perlu ke kafeteria bila awal-awal lagi Encik Naufal sudah sedia menunggu.

Tanpa menunggu Encik Naufal lagi, aku terus ke lif. Encik Naufal pula masih tidak bergerak. Wajahnya menunjukkan kehampaan yang sangat ketara. Ah! Siapa suruh buat pasal dengan aku.

"Helo cik kak, kenapa muka macam tikus mondok tu?" tegur Fisha. Fisha ini pun satu. Saja cari pasal pagi-pagi buta ni. Kalau ya pun nak bergurau, tengok keadaan jugalah.

Aku tak jawab. Tandanya aku tak suka.

"Orang kata, jangan masam-masam muka, tak baik. Lagi-lagi yang nak naik pelamin. Takut tak naik seri," tokok Fisha.

Hah! Lantaklah tak naik apa pun. Ada aku kesah? Janji aku ikutkan cakap orang tuaku. Lain-lain aku tak peduli. Bukan aku harap apa-apa pun dalam perkahwinan ini. Untuk harapkan bahagia langsung tidak.

Fisha diam sudahnya bila aku tak cakap apa-apa. Tahu aku marah agaknya.

Sampai pejabat, semua sudah menunggu. Hari ni memang aku sengaja datang lambat.

Puan Normah serahkan beberapa tugasan yang perlu aku selesaikan. Semua mengenai hal ehwal pekerja asing kerana itu memang bidang kerja aku. Jadi terpaksalah aku hadap semuanya.

Khabarnya semalam ada kekacauan berlaku di asrama pekerja lelaki. Ada yang cedera dan sudah dirawat sebagai pesakit luar. Ini yang buat aku naik angin. Kalau aku ada kuasa memang aku belasah sorang-sorang.

"Meeting sekarang dengan wakil pekerja asing," arah Puan Normah.

"Aku rasa nak bunuh orang aje ni."

Aku merungut perlahan.

"Bunuh aje..." balas Fisha.

Aku melangkah menuju bilik perwakilan. Ada ramai pekerja asing sudah menunggu. Dari pihak kilang, beberapa pengawai sudah menunggu.

"Apa masalahnya lagi ni?!" Aku terus menengking. Fail aku hempas atas meja. Tak peduli dengan orang-orang besar kilang yang sedang menunggu. Hari ni agaknya ada yang nak mati dengan aku.

"Dah bagi asrama bagus-bagus masih tak puas hati? Apa yang tak cukup?!" Aku menjerit dengan kuat.

Masing-masing kehairanan.

"Kalau tak puas hati, jangan datang kerja kat sini. Balik negara asal kau orang sekarang juga. Saya boleh belikan kau orang tiket." Hilang sudah kesabaranku.

Semua senyap.

"Darlina, sabar."

"Encik diam. Jangan pandai nak suruh saya sabar. Saya yang uruskan semua ni. Saya yang uruskan pekerja asing. Encik tahu semua okey. Semua selesai. Dah kecoh macam ni baru tunjuk muka!" Dengan Encik Arifin aku tengking.

"Uiks, dengan saya pun kena?"

Aku jeling tajam.

"Beritahu saya, apa masalah kau orang?"

Mereka saling berpandangan.

"Cerita cepat!!! Aku banyak kerja tau tak?!" Aku bercekak pinggang. Nafasku sudah naik turun.

"Awak duduk dulu." Terasa seperti ada seseorang pegang kedua-dua bahuku dan dia suruh aku duduk. Aku duduk seperti diarahkan.

Encik Arifin kipas aku dengan fail tadi.

"Minum dulu."

Aku angkat muka. Encik Naufal ke yang suruh aku duduk tadi? Dia buka penutup botol mineral dan serahkan kepadaku. Aku sambut dan segera teguk air.

"Awak sabar ya." Dia gosok belakangku.

"Tunjuk muka siapa yang bergaduh di asrama malam tadi!" Aku masih gagal mengawal suaraku.

Seorang lelaki Bangladesh tampil ke hadapan.

"Saya, cik."

"Apa pasal bergaduh?"

Lelaki tu tunduk.

"Ini amaran saya yang pertama dan terakhir. Kalau terjadi lagi pergaduhan, satu asrama saya arahkan balik. Saya tak peduli. Ramai lagi pekerja lain yang nak kerja. Kat sini kita cari makan sama-sama. Apa pasal nak bergaduh?" Aku pandang sorang-sorang. Entah faham ke tidak apa yang aku cakap. Kalau aku cakap bahasa Inggeris pun tak guna. Bukan faham pun. Buat penat.

"Kalau rasa nak kerja, kerja baik-baik. Kalau rasa tak mahu kerja, cakap baik-baik dengan saya. Bila-bila masa saya boleh hantar kamu semua balik. Saya boleh ambil pekerja lain. Hati saya pun senang."

Aku teguk air.

"Saya ada kerja. Kamu semua pun ada kerja, tak boleh kita kerja baik-baik? Semua pun bukan orang kaya. Kalau kaya kita tak kerja sini. Balik sana rumah goyang kaki."

Kenapa cara aku bercakap dah macam Bangladesh?

"Sekarang bersurai!"

Terlupa aku ada pengawai atasan. Ah! Lantaklah. Bukan boleh buat apa pun.

Seorang demi seorang tinggalkan bilik perwakilan.

"Tak sangka garang betul awak ni. Padanlah semua pekerja takut dengan awak." Encik Arifin datang menghampiriku. Dua orang lagi kaki tangan kilang juga datang dekat.

"Geram saya. Sikit-sikit bergaduh."

"Habislah siapa jadi suami awak nanti. Silap hari bulan memang kena gusti dengan awak." Seorang lagi orang kuat kilang bersuara dan dia mula bergerak keluar. Diikuti yang lain.

Aku masih belum bersedia hendak bangun. Bila nampak aku serupa malas nak bangun, Encik Naufal tarik kerusi dan duduk sebelah aku.

"Kuat berleter juga awak ni ya." Dia tongkat dagu. Kemudian dia tersenyum.

"Encik, saya tengah marah tahu, tak. Yang main drama apa hal?" Aku marah dia balik. Dia sambut dengan ketawa. Gembiranya dia. Tak susah hati langsung. Aku sorang aje ke yang patah hati?

"Minum dulu. Sejuk sikit." Dia serahkan semula botol mineral. Aku sambut dan teguk. Kemudian dia ambil botol mineral dari tanganku. Dia teguk sampai habis.

"Letih saya nak dengar awak berleter nanti. Tapi awak jangan bimbang, saya akan cuba belajar untuk tahan dengan leteran awak."

"Encik cakap apa ni? Encik pun nak kena dengan saya juga ke?" Aku bangun dan ambil fail yang aku bawa tadi. Encik Naufal ikut dari belakang.

"Yalah, nak belajar tahan dengar suara awak membebel."

Entah apa-apalah dia ni. Merepek tak tentu pasal. Aku sudahlah angin satu badan. Dia pula merepek yang bukan-bukan. Tapi sebenarnya aku rasa sedikit lega. Dengan luahkan kemarahanku, separuh rasa sudah hilang.

Aku terus saja masuk pejabat semula.

"Encik Arifin cakap teruk awak mengamuk, Darlina. Habis awak bantai budak-budak Bangladesh tu."

Belum pun sempat aku duduk, sudah ada yang mengadu pada Puan Normah. Ini mesti Encik Arifin jadi tukang sampai.

"Kan saya cakap saya nak bunuh orang hari ni. Nasib baik tak sempat bunuh."

Kata-kataku disambut ketawa oleh teman-teman yang lain.

"Sekali Darlina mengamuk, baru ada akal masing-masing." Fisha menyampuk.

Baru mereka tahu siapa aku yang sebenarnya. Sesekali memang mendapatlah.

"Apa punca pekerja tu bergaduh?" Rissa bertanya.

"Aku dengar berebutkan minah Myanmar yang kerja kilang elektronik. Bukan ke bangunan asrama kilang kita dekat dengan bangunan asrama pekerja kilang tu?" Fisha tolong jawab. Sebenarnya aku pun tak sempat nak tanya tadi. Masuk-masuk aku terus mengamuk.

"Kalau dah lelaki tu lelaki juga. Bergaduh mesti pasal perempuan. Macam-macam betullah. Nasib baik aku tak jaga bahagian pekerja asing ni. Mahu setiap hari darah aku mendidih." Fisha tergeleng.

Selepas tu kami sambung buat kerja masing-masing. Nak tengok aku mengamuk lagi, buatlah perangai.

Bukan saja aku sakit hati dengan pekerja yang bergaduh. Dengan Encik Naufal pun aku sakit hati juga. Boleh pula dia gembira macam tu sekali. Walhal sebelum ini serupa orang nak mati sangat. Tak faham aku.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro