Bab 14
PAGI itu aku seperti tidak sabar-sabar mahu ke pejabat tempat Encik Naufal bekerja. Walaupun tugas menghantar dokumen terkena giliran Munirah, cepat-cepat aku tawarkan diri. Mujur tiada siapa yang perasan kecuali Fisha.
"Cari penyakit?" soal Fisha tapi aku tak jawab apa-apa. Aku tahu Fisha bimbangkan aku. Bimbang aku gagal mengawal diri ketika berhadapan dengan Encik Naufal dan pastinya hatiku bakal terluka lagi. Sebolehnya Fisha mengharamkan aku pijakkan kaki ke sana.
Entahlah. Naluri seperti memaksa untuk aku melihat dia.
Tanpa pedulikan kata-kata Fisha, terus saja aku bawa dokumen yang Puan Normah serahkan sebentar tadi. Aku tak peduli teguran Fisha. Aku mesti tengok dia. Hati aku tak sedap kalau tak tengok dia.
Sampai sana, aku tercari-cari Encik Naufal. Tempat duduk dia kosong.
"Encik Naufal mana?" Aku tanya Noni sambil pandang-pandang sekeliling. Mana tahu dia akan muncul tiba-tiba.
"Encik Naufal cuti. Mak dia masuk hospital. Dia mintak cuti nak jaga mak dia." Jawapan Noni buat aku tergamam. Jadinya semalam tu dia menjaga emaknya yang sedang sakit? Ya Allah, kenapalah aku tidak bertanya langsung tentang apa tujuan dia ke sana? Aku pula sibuk bercerita tentang bakal mak mentua. Nampak benar aku tidak mengambil berat tentang Encik Naufal. Seolah-olah aku mahu buang terus dirinya dari hidupku. Apalah salahnya aku bertanya kenapa dia berada di hospital?
Ah! Aku memang tak pandai mahu menjaga hati dia. Tidak sangka juga Encik Naufal sanggup menjaga emaknya. Baiknya dia.
"Mak dia sakit apa?" soalku ingin tahu.
"Entahlah. Dengar ceritanya pengsan tiba-tiba. Beruntung emak Encik Naufal ada anak macam Encik Naufal tu. Sanggup jaga mak. Sekarang ni mana ada anak-anak yang sukarela nak jaga mak," kata Noni lagi.
"Memang betul pun. Nak, nak anak lelaki. Memang susah nak jaga ibu bapa."
"Tu la pasal. Hai, beruntunglah siapa yang dapat Encik Naufal tu. Dahlah kacak orangnya, baik pula tu. Satu dalam seribu."
Ini yang buat aku tak sedap hati. Tak sedap hati sebab dah lepaskan seorang lelaki yang cukup istimewa.
Selepas mendapat beberapa pengesahan, aku terus beredar. Tak sanggup tunggu lagi. Melambung pujian Noni. Sampai di tempatku, aku ambil telefon bimbit dan bawa ke bilik air. Aku harus menghubungi Encik Naufal.
"Assalamualaikum, encik." Aku beri salam.
"Waalaikumussalam," jawab Encik Naufal. Suaranya kedengaran lemah dan seperti orang baru bangun tidur. Kasihannya dia. Sayu perasaanku tiba-tiba. Kalaulah aku dapat berkongsi kesedihannya. Dan kalaulah aku orang yang dapat meredakan perasaan gundahnya. Tapi apalah daya. Tidak kesampaian keinginanku.
"Emak encik sakit?" Perlahan aku bertanya.
"Hmmm, tapi dah beransur sihat. Hari ni dah boleh balik."
"Oh! Alhamdulillah, emak encik sakit apa?"
"Errr..." Encik Naufal seperti teragak-agak hendak menjawab. Suaranya tersekat. Ada yang mungkin mahu disembunyikan dari pengetahuanku atau itu masalah keluarga yang tidak mahu dikongsi dengan orang luar.
"Tiba-tiba pengsan. Mungkin darah terlampau tinggi kut," jelas Encik Naufal kemudiannya.
"Tak apalah, encik. Saya nak bertanya tentang tu saja. Encik jagalah emak encik baik-baik ya. Saya doakan emak encik cepat sembut. Encik jangan susah hati, ya. Jaga kesihatan encik sama." Rupa-rupanya aku masih sayangkan dia. Masih ada rasa sayang itu buat dirinya.
"Terima kasih kerana masih ambil berat tentang saya."
"Walau apa pun, encik masih kawan saya," balasku perlahan. Dan masih kekal bertempat dalam hatiku sehingga ke saat ini.
"Betul tu, kita masih boleh berkawan."
"Okeylah encik, saya nak sambung kerja. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam," jawab Encik Naufal.
Terdengar seperti ada sedikit keceriaan pada suaranya. Mungkin juga dia sedang menantikan panggilan daripadaku. Harap panggilanku dapat membantu meringankan tekanan perasaannya.
Selesai membuat panggilan, aku terus keluar. Dari tempat duduk, Fisha jeling tajam. Kenapa? Tak puas hati pula dia.
"Kau memang nak cari penyakit?" Garang lagaknya.
"Tak ada apa-apalah."
Aku balas dengan rasa kurang senang. Bukan aku buat apa pun. Sekadar bertanyakan keadaan mak Encik Naufal saja.
Kami tak sebut hal lain. Salah ke kalau aku sekadar ambil berat? Bukan aku ajak dia lari pun. Aku masih waras lagi.
"Tolonglah jangan buat perangai. Yang sakit nanti bukan orang lain. Kau juga. Yang terpaksa tengok kau menderita bukan orang lain, aku juga." Fisha belum sudah lagi. Kali ini aku tahu dia cuba ingatkan aku.
"Apa lagi tu?" tegur Puan Normah. Sekaligus perbualan kami jadi tamat. Berhenti di situ tetapi muka Fisha terus masam.
MALAMNYA, ketika aku sedang melayan mata, aku dikejutkan dengan satu panggilan. Encik Naufal. Sudah agak lama dia tidak menghubungiku. Mungkin dia ingin mencari teman untuk berbual. Tentu dia bimbangkan tentang kesihatan emaknya. Tak mengapalah. Sekadar berbual saja. Lagipun aku bukannya isteri orang.
"Assalamualaikum, encik." Dulu-dulu aku beri salam.
"Waalaikumussalam. Saya tak mengganggu awak ke?"
"Taklah. Tak ganggu pun." Sebenarnya ada juga rasa terganggu dengan panggilan tersebut tetapi tidak elok aku terlalu berterus terang. Baiknya aku buat seperti biasa saja kerana kami pernah rapat sebelum ini. Kenangan bersamanya tidak pernah terhapus walau sedikit. Dan dia tetap kekal bertakhta di sudut hati sehingga kini.
"Errr, emak encik dah keluar hospital?" Lebih baik aku tanyakan khabar mak dia.
"Alhamdulillah. Dah ada kat rumah ni."
"Alhamdulillah. Encik kenalah jaga sama emak encik tu. Jangan biarkan dia penat dan runsing."
"Hmmm..."
Seperti tidak suka saja aku bertanyakan tentang mak dia. Nak tak nak saja jawab.
"Bagaimana dengan kesihatan bakal mak mentua awak?"
Ikhlaskah dia bertanya? Atau sekadar untuk menyakiti hatiku?
"Mak saya beritahu dah keluar hari ni. Harap dia cepat sihat."
"Mungkin terlalu penat untuk majlis perkahwinan awak."
"Mungkinlah."
"Biasalah. Selalunya kaum emak yang bersungguh bila anak mereka mahu kahwin."
"Emmm..." Aku betul-betul kurang senang untuk berbicara tentang majlis perkahwinanku. Seolah-olah ada duri yang menikam hati.
"Pasti meriah, kan?"
"Entahlah."
"Awak macam mana?"
Kenapa dengan dia? Sekadar menghubungi aku untuk bertanyakan soalan seperti itu? Kenapa orang lelaki tidak begitu peka dengan emosi orang perempuan?
"Encik sengaja, kan? Tanya lagi soalan macam tu. Ingat saya seronok sangat ke nak kahwin?" Mataku kian pedih.
"Darlina, kenapa cakap macam tu, sayang? Saya yakin, satu hari nanti awak akan bahagia juga dengan suami awak. Percayalah cakap saya. Rasa cinta tu akan datang sendiri nanti."
Air mata sudah tidak boleh ditahan-tahan. Laju menuruni pipi. Basah dan sesungguhnya hatiku lebih basah lagi. Rindu benar akan sebutan sayang itu.
"Encik rasa saya akan bahagia? Encik fikir saya boleh lupakan encik dengan mudah? Encik adalah lelaki pertama yang saya cintai. Seumur hidup saya, saya tak pernah jatuh cinta dengan mana-mana lelaki lain, jadi encik fikir saya boleh melupakan cinta pertama saya begitu saja?"
Mustahil dia tidak merasakan sakitnya? Sedangkan kami berkongsi sakit yang sama.
"Maaf. Saya tidak bermaksud apa-apa."
"Tapi soalan encik tu baru saja melukakan perasaan saya. Sebenarnya saya cuba untuk menerima kenyataan bahawa jodoh kita mungkin sudah tersurat begini, tetapi setiap kali saya terkenangkan encik, perasaan saya jadi hancur. Jadi bagaimana caranya untuk saya hidup bahagia kalau semuanya sudah sedia terluka?"
Baru aku tahu orang yang bercinta itu memang aneh. Kadang-kadang gila mungkin.
Aku teresak-esak. Gagal mengawal perasaan sendiri. Entah kenapa mendengar kata-katanya menjadikan aku lebih emosi. Seolah-olah, dia sedang mengejek aku. Bertanyakan soalan yang dia sendiri sedia maklum.
"Maaf awak, saya tidak maksudkan apa-apa. Insya-Allah, awak akan pulih sendiri nanti. Awak sabar ya." Itulah bahasa memujuk Encik Naufal. Aku tahu dia juga sedang memujuk diri sendiri.
"Saya tengah bersabar sekarang. Dan berusaha untuk melupakan encik. Saya takkan jadi anak derhaka hanya kerana cintakan seorang lelaki. Saya sayang mak abah saya. Tak mungkin saya akan jadi anak derhaka hanya kerana cinta."
Memang aku nekad dan berusaha untuk menjadi anak yang solehah. Tiada maknanya hidup kalau tak mampu menyenangkan orang tua. Kalau tak mampu menyenangkan cukup kalau tak menyusahkan.
"Alhamdulillah. Saya percaya awak memang seorang anak yang baik. Biarlah masa yang menentukan segalanya. Okey ya. Nanti bila senang-senang saya hubungi awak lagi."
"Encik..." Seperti payah untuk melepaskan dia pergi.
"Awak sabar ya. Selamat malam, sayang.Assalamualaikum." Aku dapat rasakan seperti Encik Naufal cuba untuk mengelak dari berbual denganku lebih lama lagi.
"Encik...." Aku panggil lagi dia.
"Okey, sayang..." Suara Encik Naufal terus hilang. Dan semangat aku juga hilang sama sekali.
Aku belum lagi habis bercakap, senang-senang dia matikan panggilan. Kalau hubungi aku sekadar mahu menyakiti hatiku, baik tak payah.
Air mata tidak tertahan lagi.
"Kak long, kenapa ni?"
Farah datang dekat dan dia nampak terkejut. Cepat-cepat aku keringkan air mata.
"Kak long apa masalahnya ni? Sejak akhir-akhir ni orang tengok kak long macam susah hati saja. Kak long ada sembunyikan sesuatu daripada kita orang ke?"
"Mana ada..."
"Kak long..."
"Betul, tak ada apa-apa."
"Kak long tak pernah macam ni tau. Tak pernah tengok kak long susah hati. Tengok, badan pun dah susut. Dah tak cantik. Kak long comel kalau berisi. Ini siap menangis lagi. Kalau dah menangis mesti ada masalah besar."
Aku geleng. Sibuk betul Farah. Selagi dia tak dapat jawapan selagi itulah dia akan mendesak. Kenal sangat perangai Farah.
"Tak ada masalah apa-apa. Masalah kerja aje." Aku menipu. Tak ada jalan lain melainkan menipu.
"Cakaplah. Apa guna kita jadi adik-beradik kalau masalah kak long tak dapat orang tolong. Orang tak percaya masalah kerja. Dan yang orang tahu, kak long bukan jenis suka bawa balik kerja."
"Dah tak ada masalah. Nak cerita macam mana." Keras sikit suaraku. Sudah tak boleh nak berlembut lagi. Semakin diasak, semakin aku gagal mengawal perasaan.
"Tak apa, kak long. Lain kali orang kalau ada masalah, orang tak nak kongsi dengan kak long." Farah seakan merajuk.
Cakap saja tak nak kongsi dengan aku. Tapi belum apa-apa semua dah cerita pada aku sampai kadang-kadang aku pun bosan nak dengar.
"Tak apalah tak nak kongsi pun. Kak long tak kesah. Kalau rasa nak cerita, ceritalah. Kalau rasa nak hadap sorang-sorang, terpulang. Keputusan sendiri terletak pada diri sendiri. Orang lain tak berhak untuk masuk campur."
Kalau masih tak faham, aku pun tak tahu nak cakap apa lagi.
Akhirnya Farah keluar dari bilikku. Dia dah mula merajuk. Biar dialah. Tak sampai mana rajuk dia tu. Kadang-kadang dia pun boleh lupa yang dia sedang merajuk. Cuma yang aku bimbang kalau-kalau dia mengadu pada mak saja. Satu hal pula aku nak menipu. Harap Farah tak cerita apa-apa.
Aku cuba pejam mata. Harap-harap berjaya lupakan semuanya terutama Encik Naufal.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro