Bab 13
Tengah hari keesokannya aku minta keluar sekejap. Mahu pergi melawat Mak Cik Julia. Karang kata tak ziarah dia pula, nampak sangat aku tak suka. Kebetulan hospital tempat Mak Cik Julia menerima rawatan hanya terletak di Subang Jaya sahaja. Tak jauh dari tempat kerjaku. Sebelum bertolak, aku telefon mak untuk beritahu kehadiranku. Kebetulan mak juga sedang menziarahi dan mahu menjaga Mak Cik Julia hari ini.
Sayang betul mak dengan sahabatnya. Sanggup menjaga lagi. Mungkin begitulah nanti persahabatan aku dengan Fisha. Saling menjaga waktu senang dan susah. Masalahnya, keakraban itu bersangkut paut pula dengan anak-anak. Anak-anak dipaksa kahwin hanya untuk mengukuhkan tali persahabatan mereka. Itu yang tak seronoknya.
Waktu aku tiba di pintu masuk hospital, aku terpandangkan Encik Naufal. Kenapa pula dia ada di hospital ini? Siapa yang sakit? Aku cuba buat tidak nampak, sebabnya aku tahu Encik Naufal sedang berusaha untuk mengelak dari bertemu dengan aku. Aku tahu juga dia sedang berusaha membuang aku sejauh mungkin dari hidupnya dan aku nampak kesungguhannya untuk melupakan aku. Jadi, aku juga perlu memberi sokongan kepadanya dengan elakkan diri sama.
Berusaha bagaimana sekalipun untuk mengelak, ternyata gagal bila Encik Naufal berdiri betul-betul di hadapanku.
"Darlina." Encik Naufal sebut nama aku. Tanpa teragak-agak aku terus pandang wajah Encik Naufal. Wajahnya nampak muram dan seperti tidak terurus. Susuk tubuhnya juga nampak menyusut. Luluh perasaanku melihat dia begitu.
Aku senyum, sekadar mengambil hati. Kami pernah saling mengenali sedikit masa lalu, jadi apa salahnya aku anggap dia sebagai teman? Encik Naufal balas dengan senyuman hambar. Terasa betapa terpaksanya Encik Naufal membalas senyumanku.
"Datang melawat?" Nak pula dia bertanya. Ingatkan dah tak nak ambil tahu tentang aku.
"Ya, bakal mak mentua saya dimasukkan ke hospital ni," jawabku perlahan. Bimbang juga perkataan mak mentua itu akan menambah lagi luka dalam hati Encik Naufal. Habis takkan aku nak menipu sebut orang lain sakit? Sebut juga satu doa.
"Oh, apa sakitnya?" soal Encik Naufal lagi. Serba salah aku nak jawab. Ikhlaskah dia bertanya?
"Diserang sakit jantung. Tapi alhamdulillah, keadaan dah stabil," balasku.
"Emmm, baguslah."
"Saya minta diri dulu." Tak sanggup untuk aku berbual dengannya lebih lama. Makin terasa pedih hati. Aku cuba tersenyum. Tapi kali ini senyumanku serba kelat
"Ya, silakan."
"Assalamualaikum." Salam aku ucapkan sambil atur langkah.
"Waalaikumussalam," jawab Encik Naufal. Kami berpisah dan sesungguhnya perpisahan itu memang telah terjadi dan sangat menyakitkan.
Aku terus menuju ke arah lif dan Encik Naufal ke pintu utama. Seperti ada sesuatu yang mendesak untuk aku menoleh semula ke arah Encik Naufal. Bila aku pusing belakang, aku nampak Encik Naufal juga sedang pandang aku. Dia angkat tangan kanan paras dada dan senyum. Bertambah sayu perasaanku.
Tak apa, hidup kita akan baik-baik saja nanti. Kita akan saling melupakan. Seiring berjalannya waktu, kita akan sedar antara kita tak pernah wujud sama sekali. Kita akan saling melupakan.
MAK CIK JULIA peluk aku dengan erat. Terasa seperti kasihnya sudah ada untukku. Tak sanggup aku gores hati perasaannya semata-mata kerana cinta. Bukan senang untuk memiliki kasih mentua. Jadi, aku harus menghargainya. Berapa ramai mereka yang menderita hanya kerana gagal memiliki kasih sayang seorang ibu mentua.
"Bila mak cik boleh keluar?" Pelukan aku lepaskan dan aku memilih duduk di birai katil.
"Esok lusa dah boleh keluar. Bukan serius pun." Begitulah orang tua. Sakit seteruk mana pun berusaha untuk menutupinya di depan orang lain. Melihatkan wajah Mak Cik Julia pucat lesi, aku tahu keadaannya memang agak serius.
"Kenapa sampai boleh pengsan ni? Agaknya mak cik terlalu penat buat kerja sebab itu mak cik penat. Tak payahlah bersusah payah sebab majlis kahwin kita orang. Mak cik jagalah kesihatan. Buatnya masa majlis nanti mak cik jatuh pengsan macam mana?" Aku lahirkan kebimbanganku. Memang aku bimbang melihat keadaan Mak Cik Julia. Nampak benar terlalu teruja dengan perkahwinan yang bakal berlangsung.
"Bukan sebab majlis kahwin tu. Memang mak cik tak berapa sihat kebelakangan ni."
Yalah tu. Macamlah aku tak nampak apa yang berlaku. Sesungguhnya aku faham akan kegembiraan Mak Cik Julia dan mak. Nampak benar mereka sangat memberi perhatian terhadap perkahwinan aku dengan Izwan. Tetapi bila sudah jadi begini, semua orang susah hati.
Mak Cik Julia kesat air matanya.
"Mak cik tak payahlah susah-susah untuk majlis tu. Kalau kesihatan mak cik tidak mengizinkan, kita buatlah ala kadar. Yang wajibnya nikah saja. Kenduri-kendara tu sekadar meraikan." Cakap macam mana pun kedua-dua mak ni takkan faham. Tapi sebagai anak dan sebagai bakal menantu, aku perlu bersuara juga. Bukan niat hendak menegur tapi hendak memperbetulkan.
Mak Cik Julia pandang wajah mak. Mak pula tunduk. Apa mak rasa bersalah ke sebab mak pun bersungguh-sungguh dalam hal ni?
"Majlis tu penting buat kami. Bukan selalu kami buat majlis kahwin. Ini yang pertama buat kami. Jadi kami kena buat bersungguh-sungguh." Mak jadi tukang jawab. Baik mak atau Mak Cik Julia, aku rasa jawapan mereka tetap sama. Tidak kiralah siapa yang menjawab.
"Ya, kak long tahu. Tapi janganlah sampai memudaratkan kesihatan masing-masing. Semua orang susah nanti. Kak long nak nikah pun tak seronok kalau bakal mak mentua kak long jatuh sakit macam ni." Nampaknya aku harus menggunakan hak aku sebagai anak untuk menyedarkan kedua-dua emak ini. Mereka seperti terlampau berlebihan.
"Mak cik janji, mak cik akan jaga kesihatan mak cik." Mak Cik Julia pegang tanganku dengan erat. Jatuh kasihan pula aku melihat keadaan Mak Cik Julia. Bagaimanalah kalau dulu aku berkeras menolak pinangannya? Sudah pasti harapan Mak Cik Julia bakal berkecai.
Akhirnya aku pasrah. Kasih ibu adalah segalanya. Kasih ibu adalah kasih sejati. Tiada yang lebih istimewa daripada kasih sayang seorang ibu. Dan mudah-mudahan perjalanan hidupku diberkati.
"Kalau buat ala kadar pun saya tak kesah. Janji kita lepaskan perkara yang lebih penting." Aku masih cuba menarik perhatian kedua-duanya agar lebih memahami keadaan. Perkara pokok bukanlah majlis kenduri kendara, tetapi majlis akad nikah itu.
Keduanya diam. Mungkin kalah dengan kata-kataku. Atau masih cuba untuk tidak peduli.
"Mak dah makan ke belum ni?" soalku kepada mak. Wajah mak pun nampak pucat. Bimbang juga mak jatuh sakit nanti.
"Tadi anak Mak Cik Julia pergi belikan," jawab mak. Masa mak menjawab, mak pandang wajah Mak Cik Julia. Seperti serba salah saja mak menjawab.
"Abang Izwan pergi belikan?" Tapi tak nampak pula bayang Izwan. Mustahil aku tak kenal bakal suamiku. Kalau boleh elak, memang aku elak. Tak nak aku jumpa dengan dia.
Mak tak jawab tapi mak pandang Mak Cik Julia. Mak serupa takut-takut pun ada. Apa yang tak kena?
"Bukan. Anak mak cik lagi sorang," jawab Mak Cik Julia.
"Tak apalah kalau begitu. Saya pun tak boleh lama. Kalau tak ada apa-apa saya minta diri dulu." Tak kesahlah anak yang mana satu. Janji mak aku makan. Aku cium tangan mak dan peluk mak erat. Aku benar-benar sayang mak.
"Mak tunggu Mak Cik Julia sampai pukul berapa ni?" soalku dan lepaskan pelukan.
"Karang abah jemputlah," jawab mak.
Aku dapatkan pula Mak Cik Julia dan peluk erat juga Mak Cik Julia. Sungguh, rasa kasih memang sudah tertumpah.
"Jaga kesihatan mak cik baik-baik. Jangan fikirkan sangat soal majlis kahwin tu."
Kemudian Mak Cik Julia cium pipiku dan air matanya tumpah.
"Maafkan mak cik. Mak cik dah menyusahkan hidup Na."
"Kenapa mak cik cakap macam tu? Tak ada yang menyusahkan." Sayu perasaanku ketika itu dan terasa cukup hening. Damai aku rasakan.
"Yalah, Na terpaksa ikut kehendak mak cik. Mak cik rasa macam mak cik pentingkan diri sendiri saja."
Dah lambat nak cakap macam tu. Aku pun dah putus dengan Encik Naufal. Dia pun dah tak nak pandang muka aku.
"Mak cik jangan fikir apa-apa lagi. Yang penting kesihatan mak cik tu kena jaga. Majlis tinggal dua bulan saja lagi. Kalau mak cik terus-terusan macam ni, susah nanti. Takkan mak cik tak nak tengok majlis pernikahan kita orang?" Aku gosok-gosok belakang Mak Cik Julia.
"Kita nak gembira semuanya bukan mahu susah hati." Aku lepaskan pelukan.
"Saya pergi dulu," ujarku sebelum tinggalkan bilik Mak Cik Julia.
"Hati-hati bawa kereta, sayang," pesan Mak Cik Julia. Aku angguk sambil tersenyum. Mak ekori aku hingga keluar bilik. Selepas tutup pintu bilik, mak peluk aku erat sambil menangis.
"Kenapa pula ni, mak?" Pelik juga, kenapa mak menangis? Mak Cik Julia ada penyakit serius ke sehingga tak boleh diselamatkan?
Mak hanya menangis tanpa menjawab soalanku terlebih dahulu, jadi aku hanya mampu peluk mak semula. Pasti ada yang menjadi kebimbangan mak. Tak perlu aku serabutkan lagi keadaan dengan mendesak mak. Lambat-laun nanti aku akan tahu juga. Untuk sementara waktu biarlah mak bertenang terlebih dahulu.
"Dahlah, mak jangan risau sangat. Takut mak pula yang jatuh sakit. Kalau dua-dua orang kuat tumbang, siapa yang nak uruskan majlis tu nanti?" Aku pujuk mak. Akhirnya mak leraikan pelukannya dan sapu air mata dengan tudungnya. Aku pula sapu air mata mak yang masih tertinggal dengan tangan. Kemudian aku cium pipi mak.
"Mak Cik Julia tak ada apa-apa tu. Esok lusa dah boleh keluar. Mak janganlah susah hati."
Mak senyum serba kelat. Mungkin hendak menyedapkan hatiku.
"Kak long pergi dulu, ya. Dah lambat ni. Karang sampai malam pula kak long kena tahan."
"Hati-hati bawa kereta."
"Baik mak, assalamualaikum."
"Waalaikumussalam." Cepat-cepat aku atur langkah menuju lif. Hendak mengejar masa. Ketika berjalan menuju ke tempat letak kereta, aku nampak Encik Naufal berjalan bersama bungkusan makanan di tangannya. Dia senyum sebaik sahaja terpandang wajahku. Lama aku rindukan senyumannya.
"Awak dah makan?"
Masih ambil berat lagi rupa-rupanya.
"Belum."
"Kalau begitu, saya belanja awak makan."
"Eh! Tak payahlah. Lagipun saya nak cepat ni."
"Yalah, hati-hati memandu. Tapi jangan lupa makan. Jangan biarkan perut awak kosong."
Terpaksa dengar ceramah pula. Masih sayang rupa-rupanya. Mana mungkin dengan mudah singkirkan seseorang dari hidup bila seseorang itu sudah lama bertakhta dalam hati. Mungkin itulah yang Encik Naufal rasa sekarang ini. Walau sudah berpisah, sayang itu pasti ada.
Kami berpisah di situ. Sampai sudah Encik Naufal pandang aku. Aku tahu perasaannya. Aku tahu apa yang dia rasa, tapi tidak cukup kalau aku sekadar tahu saja. Apalah dayaku lagi kerana aku lebih merasakannya.
Sabarlah sayang, sudah tersurat bukan jodoh kita.
"Awak..." Dia menghampiriku.
"Nah ambil satu. Awak makanlah bila sempat. Sekarang ni rasanya kafeteria dah tutup."
"Eh, saya boleh tahan lagi." Aku menolak.
"Janganlah macam ni. Risau saya kalau awak tak makan."
Aku segera ambil kerana aku sudah kesuntukan masa. Lagi lama aku berdalih, lagi lambat nanti.
"Terima kasih."
"Sama-sama."
"Saya pergi dulu."
Dia angguk. Aku melangkah laju.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro