Bab 12
BEBERAPA hari selepas itu aku merasakan Encik Naufal seperti mengelak terjumpa atau berselisihan denganku. Susah untuk melihat kelibatnya di mana-mana. Benar-benar dia sudah berjauh hati denganku. Atau mungkin dia sedang berusaha untuk membawa diri. Perasaanku tambah pilu setiap kali terkenangkan dirinya. Walaupun sedikit demi sedikit aku dapat mengawal emosiku namun rasa sayangku buat Encik Naufal sikit pun tidak terkurang. Makin sayang dan makin rindu.
Pagi tadi di tempat letak kereta, kerana perasaan rindu yang sudah tidak tertanggung, aku beranikan diri menunggu dia di tempat biasa. Cukup kalau dapat melihat dirinya dari jauh. Tapi sampai sudah kelibatnya tidak kelihatan. Rupa-rupanya dia terlebih dahulu tiba.
Keretanya sudah terparkir di kawasan personal vehicle. Padan tiada di kawasan tempat letak kereta untuk pekerja biasa. Sampai begitu sekali Encik Naufal jauh hati.
Nampaknya semuanya betul-betul sudah berakhir.
Sampai ofis, aku sambung semula melayan gundah. Sejak 'putus' secara rasmi, aku jarang bersarapan di kafeteria. Tak mahu terpandang wajah Encik Naufal.
Aku sedang berusaha untuk melupakan dirinya, jadi aku tidak boleh langsung terpandang wajahnya.
"Morning, dear!" Fisha laung sebaik sahaja sampai.
Aku angkat muka dan pandang Fisha yang cantik. Sekadar beri pandangan kosong tanpa ada semangat mahu balas ucapan Fisha.
"Dah okey?" soal Fisha pula sambil pasang plag komputer.
"Sikit-sikit." Aku jawab malas.
"Alhamdulillah... Lega aku dengar," balas Fisha.
"Kau boleh lupa ala-ala Jerry Yan kau tu. Aku yakin kau boleh," kata Fisha lagi.
Teman yang sentiasa memberikan sokongannya tak kira waktu duka atau gembira. Bukan Fisha saja, bahkan teman-teman lain juga. Cuma aku lebih rapat dengan Fisha.
Aku angguk. Sedang berusaha bersungguh-sungguh sekarang ini. Tak mengapa, setidak-tidaknya pengalaman semalam lebih mendewasakan diriku.
Lepas Fisha masuk, Munirah dan Rissa datang serentak, terakhir Puan Normah.
Puan Normah datang ke tempat aku dan hantar fail yang tertulis perkataan schedule dengan besar.
"Sekarang! Orang production dah mengamuk. Ada pekerja asing nak sampai," arah Puan Normah. Kemudian Puan Normah kembali ke tempat duduknya. Nak tak nak aku bangun. Kemudian berjalan tinggalkan pejabat.
Sementara menunggu lif tiba, aku baca sekali lalu. Ramai betul pekerja asing yang masuk sekarang ni. Tambah peninglah kepala aku nak uruskan mereka.
Aku terus masuk sebaik sahaja pintu lif terbuka. Tergamam seketika bila nampak Encik Naufal berada di dalam lif. Sungguh aku ingin menatap wajahnya tetapi aku tidak berdaya. Benar-benar tidak berdaya. Kelak yang aku tatap hanyalah wajah yang penuh kelukaan, jadi aku putuskan untuk pandang lantai lif saja.
Berlalu beberapa ketika berada di dalam lif yang sepi, pintu lif terbuka. Aku terus melangkah untuk menuju kawasan production. Tidak sangka Encik Naufal juga menuju ke tempat yang sama.
Di dalam kawasan production, kami buat kerja masing-masing. Aku periksa semua identiti pekerja yang masuk.
Encik Naufal pula dengan kerjanya.
"Hmmm, kenapa senyap sunyi saja ni?" soal Encik Zainal. Mungkin menyedari ada sesuatu yang tidak kena antara kami.
Aku pandang wajah Encik Naufal dan dia juga pandang aku. Kemudian Encik Naufal terus buat kerjanya semula.
Selesai turunkan tandatangan di beberapa dokumen, Encik Naufal terus beredar tanpa berkata sepatah kata pun.
"Kenapa tu?" soal Encik Zainal sambil pandang langkah Encik Naufal yang menjauh.
Aku angkat bahu sambil pandang langkahnya juga. Sayu hatiku melihat dia begitu.
"Macam gaya orang putus cinta saja," tokok Encik Zainal. Aku sudah tidak terkata. Begitukah gayanya orang putus cinta? Nampak ketara di mata yang memandang? Kesiannya dia.
Aku sambung buat kerja aku dengan rasa terpaksa. Tak boleh nak layan perasaan. Pekerja asing yang baru masuk harus diuruskan dengan cepat.
Aku perhatikan sorang demi seorang pekerja asing yang sebahagiannya dari Bangladesh dan Myanmar.
Setiap kali aku melihat mereka, perasaan aku sedih sebenarnya. Siapa saja yang suka berjauhan dari keluarga. Kalau aku sendiri tak sanggup nak berpisah lama. Namun demi kelangsungan hidup, mereka terpaksa tinggalkan orang tersayang. Aku pula ada hati mahu tinggalkan keluarga hanya kerana cinta. Tak berbaloi, Darlina.
Kebanyakan mereka tak boleh bertutur menggunakan bahasa Inggeris. Jadi terpaksa menggunakan jurualih bahasa yang terdiri dari kalangan mereka yang sudah lama bekerja.
Tugas untuk mengajar bahasa Malaysia pula adalah tugas Munirah. Setiap hari bermula pukul 10.00 pagi hingga 11.00 pagi Munirah akan masuk production untuk mengajar pekerja baru.
Selesai mengambil data semua pekerja, aku kembali ke bahagian HR semula. Jelas sekali bayangan Encik Naufal mengekori aku hingga ke tempat dudukku. Benar-benar menghantui fikiranku.
Tak mengapa, Darlina. Pelan-pelan nanti kau akan berjaya juga lupakan dia.
SEBAIK sahaja aku sampai rumah, aku nampak mak kelam-kabut. Abah juga. Pelik pula aku melihat tingkah kedua-duanya. Seperti ada perkara besar yang sedang berlaku.
"Kenapa?" Aku tanya Farah yang aku kira sudah lama sampai. Jadi aku rasa Farah lebih tahu keadaan sebenar kenapa mak dan abah jadi begitu.
"Mak Cik Julia," jawab Farah sambil pandang mak yang sedang cari kasut dalam rak kasut. Tapi jawapan Farah tak habis. Hanya separuh sahaja jawapannya. Lagilah mengundang rasa ingin tahu aku.
"Kenapa dengan Mak Cik Julia, mak?" Aku tanya mak terus.
"Mak Cik Julia diserang sakit jantung," jawab mak.
"Hah?" Aku terkejut. Mak Cik Julia diserang sakit jantung? Tiba-tiba saja atau sebelum ini jantung Mak Cik Julia memang bermasalah? Mujur aku tak buat perangai. Kalau tidak, mahu juga dia diserang sakit jantung.
"Habis tu?" Aku tanya lagi. Tidak berpuas hati dengan jawapan yang mak berikan.
"Ada kat hospital."
"Tak jadi buat majlis kahwinlah?" Cepat aku tanya sebab bunga-bunga harapan seperti sudah tumbuh mekar dalam perasaan.
Abah terus campak bantal sofa ke mukaku tanpa bercakap. Jadi tahulah abah tengah bengang dengan aku. Namun aku sambut dengan tergelak kecil. Lucu melihat wajah abah begitu.
"Jadi, apa pula tak jadinya..." kata mak sambil betulkan tudung.
Aku melihat ada kerunsingan pada wajah mak dah abah. Kelihatan seperti ada yang membimbangkan mereka.
Aku tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran mak dan abah. Mak dan abah tentu risaukan tentang majlis perkahwinanku. Kalau terjadi apa-apa kepada Mak Cik Julia, tentu majlis perkahwinanku bakal tertunda. Sedang abah dan mak sudah merancang segalanya.
Sanak saudara juga sudah diundang semuanya. Masalah nanti kalau semua kaum keluarga bertanya.
Itulah pasal. Belum apa-apa sudah menjemput orang. Timbul masalah begini, sendiri juga yang susah.
"Nak kak long ikut sekali?"
"Tak payah!" Serentak abah dan mak jawab. Terkejut aku jadinya melihatkan abah dan mak begitu. Seperti marah. Walhal bukan aku yang menjadi punca Mak Cik Julia diserang sakit jantung. Aku sudah beri kata persetujuan terhadap perkahwinan yang bakal berlangsung walau tanpa relaku. Kalau tak benarkan aku ikut sudahlah, jangan nak marah-marah aku.
Mereka terus beredar selepas itu tanpa pedulikan kami.
"Kenapa pula Mak Cik Julia diserang sakit jantung tiba-tiba?" Aku tanya Farah. Mana tahu Farah tahu sesuatu. Farah jongket bahu.
"Macamlah orang tahu," jawab Farah dengan nada kurang menyenangkan. Mungkin aku banyak soal.
"Mak cakap Mak Cik Julia tak sedarkan diri tengah hari tadi," kata Farah selepas itu.
"Bahaya tu." Aku pilih duduk di atas sofa. Terbayang wajah bakal mentuaku yang cukup ceria. Walau aku marah tapi tak sampai mana marahku. Melihat keramahan dan kemesraan yang Mak Cik Julia tunjukkan, perasaanku kembali sejuk. Setidak-tidaknya aku bakal memiliki seorang ibu mentua yang sayang kepadaku.
"Kak long tanyalah Abang Izwan. Mesti dia tahu."
"Nak tanya guna apa? Mana kak long ada nombor telefon dia."
"Laaa... Nombor bakal suami pun tak ada?" Farah cekak pinggang. Macam pelik sangat.
"Takkan kak long yang terhegeh-hegeh tanya nombor telefon orang tu?"
"Tak faham betullah dengan kau orang ni."
Farah tinggalkan aku selepas itu. Tak ingin aku nak tanya nombor telefon orang tu. Buat malu saja.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro