Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

WAKTU aku tiba di kawasan tempat letak kereta, aku lihat Encik Naufal sudah setia menunggu. Sayu hati sudah tidak terkata sebaik sahaja terpandang wajah Encik Naufal. Bagaimanalah untuk aku berterus terang dengan dia? Sudah tidak terbayang apa yang bakal berlaku. Bukan lagi hancur, tetapi sudah lumat semua impian kami.

Encik Naufal melangkah perlahan mendapatkan aku dan aku rasa seperti sesuatu sedang meragut jiwa dan ragaku. Sakitnya bukan kepalang lagi. Namun aku perlu bertahan. Perlu menenteramkan diri sebaik mungkin.

"Selamat pagi, sayang." Perlahan perkataan yang terucap dari mulut Encik Naufal. Jiwaku lagi terseksa. Tambahan lagi melihatkan senyuman yang sudah terukir di bibirnya. Nampak benar-benar ikhlas.

"Selamat pagi." Aku jawab sambil berusaha tahan sebak.

"Kita sarapan dulu," pelawanya dengan wajah gembira.

"Errr... Saya dah sarapan tadi." Terpaksa menipu walau di luar kemahuanku sendiri.

"Tak sudi nak sarapan dengan saya?" Encik Naufal buat muka. Dan dan aku mengalah. Apa salahnya waktu yang tertinggal ini aku habiskan masa dengannya? Mungkin akan jadi kenangan seumur hidupku.

"Nak makan apa?" soal Encik Naufal ketika kami sudah menapak di ruang kafeteria. Aku geleng kepala. Memang tak ada selera langsung untuk makan.

"Sayang, kenapa ni? Macam tak semangat saja. Takkan penat semalam tak habis lagi?" Encik Naufal pandang wajahku tepat.

"Muka pun pucat semacam."

Aku sekadar senyum tawar. Kata-kata Encik Naufal benar-benar buat aku mahu meraung. Nampak bersungguh benar dia menagih kasih sayangku. Tapi apa lagi yang tertinggal untuknya bila emak sudah ambil semuanya? Satu pun emak tidak tinggal untuk kami berdua.

"Tak sempat nak bersolek tadi," jawabku perlahan.

"Tak bersolek pun tak apa. Dah cantik," kata Encik Naufal lagi sambil tersenyum. Dia tunjuk meja kosong seperti meminta aku duduk di situ, sedang dia menuju ke arah hadapan untuk mengambil sarapannya. Akur dengan arahan, aku ke tempat duduk yang masih kosong itu.

Aku duduk dan meraup muka. Besar duka yang aku tanggung sejak semalam, lagi besar duka yang bakal Encik Naufal pikul kemudian nanti. Rasanya biar aku berterus terang daripada membiarkan Encik Naufal menaruh harapan lebih tinggi. Kata orang, lagi besar harapan kita, lagi besar sakit bila harapan itu berkecai. Jadi aku mahu berterus terang sekarang. Biar selesaikan masa ini juga.

Aku buka beg tangan sambil pandang kad jemputan berwarna merah jambu. Betul-betul aku tidak sangka, mak dan Mak Cik Julia buat kerja secara senyap-senyap. Menurut cerita Farah, mak dan Mak Cik Julia sengaja perangkap aku dan Abang Izwan dengan kad jemputan tu. Sengaja edar kad jemputan kepada tetamu agar tiada di antara kami yang bakal menolak rancangan perkahwinan tersebut. Liciknya kedua-dua emak ini mengatur rancangan. Dari situ aku sudah dapat tangkap, Abang Izwan juga terpaksa. Kalau tidak, masakan Mak Cik Julia juga terdesak buat kerja begitu. Tak logik betul, majlis kahwin 3 bulan lagi berlangsungnya tapi kedua-dua emak itu sudah edar kad jemputan.

Apakah perlu aku ajak Encik Naufal lari saja? Tak kesahlah nikah di mana, asal kami berdua dapat bersama. Tapi tergamakkah aku melukakan hati emak? Aku tak sanggup. Mati kerat lapan sekalipun aku tak akan buat perkara tak senonoh tu. Aku lebih rela menderita seumur hidup dari melihat mak yang menderita kerana perbuatanku.

Encik Naufal tatang tray yang berisi dengan segelas jus oren dan teh tarik bersama empat keping roti bakar. Kemudian duduk di hadapanku.

"Minum, sebab dah temankan saya." Encik Naufal letak jus oren di hadapanku. Demi menjaga hatinya buat kali terakhir, aku teguk juga jus oren dengan perasaan hiba. Aku tunggu biar Encik Naufal selesai sarapan, barulah aku berikan kad jemputan perkahwinanku.

Aku letak kad jemputan di hadapan Encik Naufal sebaik sahaja dia selesai bersarapan dan aku mula menangis. Encik Naufal buka perlahan dan aku nampak wajahnya pucat. Tak sanggup untuk aku lihat wajahnya begitu.

"Maaf." Aku tutup mulut dan air mata luruh dengan laju. Lama Encik Naufal lihat kad jemputan perkahwinanku.

"Mohamad Izwan Syukri?" soalnya perlahan. Aku sudah tidak tertahan. Hanya mampu menangis.

"Kenapa tak berterus terang saja? Tidaklah saya menaruh sebarang harapan," kata Encik Naufal sambil menyandar. Aku nampak matanya merah. Ya Tuhan, dugaan apakah ini?

"Saya tak tahu apa-apa. Tahu-tahu mak dah tetapkan semuanya." Aku cuba berterus terang. Encik Naufal diam tapi aku nampak satu-satu air matanya luruh. Cepat-cepat dia sapu dengan tangan.

"Maaf, saya tak boleh terima cincin encik ni." Aku letak juga cincin pemberian Encik Naufal di atas meja.

"Tak apalah kalau macam tu. Tahniah. Selamat pengantin baru. Simpanlah cincin tu sebagai tanda kenangan kita." Encik Naufal bangun. Kemudian dia terus pergi. Kad jemputan juga dia tinggalkan begitu saja. Kalau dia sedih, aku lebih merasakannya. Sejuta kali aku rasa sakitnya.

Aku bangun. Kad jemputan yang Encik Naufal tinggalkan, aku letak semula di dalam beg tanganku. Sambil tahan perasaan, aku terus menuju ke arah tangga. Aku tidak mahu ke tingkat 4 menggunakan lif. Bimbang aku meraung di dalam lif nanti. Jadi aku lebih rela memanjat tangga.

Sampai pejabat, hanya ada Puan Normah yang sedang tertangkup di mejanya. Masih kepenatan agaknya. Jadi aku putuskan untuk ke bilik air yang terletak di hujung pejabat. Sampai bilik air, aku terus menangis. Sudah tidak tertahan. Tidak sangka kisah cinta antara aku dan Encik Naufal berakhir begitu saja. Semudah ini.

"Na, kenapa ni?" soal Fisha sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik air. Terus aku dakap Fisha dengan erat dan menangis sekuat-kuatnya.

"Kenapa ni? Siapa buat kau ni?" Bertalu-talu soalan daripada Fisha. Tapi aku memilih untuk menangis terus. Setidak-tidaknya dapat melegakan sedikit perasaanku. Fisha seperti memahami keadaanku. Dia tepuk bahuku perlahan. Seperti memberi sedikit sokongan.

Setelah puas menangis, aku lepaskan pelukanku. Perlahan aku keluarkan kad jemputan perkahwinan yang Encik Naufal tinggalkan tadi dari dalam beg tanganku. Lalu aku serahkan kepada Fisha.

Sebelum keluarkan kad dari sampul, Fisha pandang aku. Aku terus basuh muka dan pandang cermin. Nampak benar mukaku bermasalah. Sudah merah dan mata juga membengkak.

"Kad kahwin kau?" soal Fisha.

"Mak aku dah rancang semuanya senyap-senyap. Malam tadi adik aku beritahu, perkahwinan aku dah ditetapkan. Pagi tadi sebelum pergi kerja, mak aku tunjuk kad kahwin ni." Aku sambung menangis. Tapi kali ini tidak sesedih sebelumnya. Sudah terkurang sedikit.

"Itulah aku dah cakap." Fisha tampar bahuku. Aku tahu aku bakal mendengar ceramah percuma daripada Fisha. Tapi aku rela kerana aku sedar sebahagiannya berpunca daripada aku juga.

"Aku dah agak benda ni mesti jadi macam ni. Aku kenal sangat dengan mak kau tu. Dia kalau dah buat keputusan takkan tarik balik."

Mestilah Fisha kenal mak aku. Sejak tiga tahun ni kerap benar Fisha datang ke rumah. Bukan setakat makan minum, bahkan bermalam pun selalu. Maklum, kampung Fisha di Perak. Kalau tak balik kampung, dia akan habiskan masa bersama keluargaku.

"Aku dah tak tahu nak buat macam mana." Aku hendak sambung menangis tapi aku tahan.

"Encik Naufal tahu?"

"Tadi aku dah tunjuk kad jemputan tu. Aku tak sanggup nak pandang muka dia. Kami baru nak mula, dah putus. Sedih sangat." Aku teresak-esak juga akhirnya. Fisha peluk aku erat.

"Ini namanya bukan jodoh kau dengan Encik Naufal. Kau kena reda. Nasib baik benda ni berlaku waktu kau baru bermula dengan Encik Naufal. Buatnya kau orang dah bercinta gila-gila, memang lagi kacau. Mahu ada yang bunuh diri." Fisha gelak dan terus saja aku tolak badan Fisha. Sempat lagi dia buat lawak.

"Aku ni tengah sedih, tahu tak?"

"Tahu, tapi takkan kau nak menangis sepanjang hari? Mak kau dah siap buat kad jemputan, mana boleh tarik-tarik lagi. Jangan disebabkan lelaki, kau jadi anak derhaka. Kasihan mak kau. Dia yang kandungkan kau, dia yang lahirkan dengan azab sakit yang tak terkata. Sebelum kau buat apa-apa, kau fikir balik."

"Aku masih boleh berfikir dengan waras, Fisha."

"Dia mak kau. Apa pun yang dia lakukan, semata-mata demi kebahagiaan kau. Janganlah kau menambahkan lagi bilangan ahli kumpulan Tanggang. Cukuplah mana yang ada sekarang ni." Aku tahu Fisha sedang berusaha memujuk aku. Fisha tak mahu aku jadi anak derhaka semata-mata kerana cinta.

"Aku tahu. Sebab itu aku ikutkan saja cakap mak aku. Kalau tak, memang aku ajak Encik Naufal lari."

"Hesy! Lelaki bila-bila masa pun kau boleh jumpa. Tapi mak kau, itulah satu-satunya di dunia ni."

"Aku tahu. Aku sayang mak aku. Aku sayang abah aku. Takkanlah aku nak buat perkara bodoh. "

"Sudahlah jangan ingat lagi. Hmmm, cepat pakai bedak, karang riuh pula satu ofis tengok muka kau kalah hantu tonjeng," usik Fisha lagi.

Aku peluk Fisha dengan erat. Bertuah kerana memiliki seorang kawan yang sangat memahami dan selalu ada ketika susah dan senang aku.

"Terima kasih, Fisha. Kaulah sahabat aku."

"Dahlah. Aku tetap akan jadi sahabat kau sampai bila-bila."

"Aku tak tahu aku boleh lupakan Encik Naufal atau pun tak."

"Boleh. Kau boleh lupakan dia. Dia baru tiga tahun muncul dalam hidup kau. Aku tahu kau mampu lupakan dia."

Ya, Encik Naufal baru tiga tahun muncul dalam hidup aku. Sedangkan aku sudah hidup bersama keluargaku sejak lahir lagi. Mustahil aku hendak singkirkan keluargaku hanya kerana lelaki yang baru saja aku kenali.

Memang aku anak yang paling tak berguna kalau ikutkan perasaan. Aku tak mahu jadi anak derhaka semata-mata kerana cinta. Sia-sia aku dilahirkan hanya semata-mata untuk jadi anak derhaka.

"PERHATIAN semua!" Tiba-tiba Fisha berdiri di tengah ruang pejabat sebaik sahaja kami selesai makan tengah hari. Semua mata tertumpu ke arahnya.

"Ada berita tergempar." Fisha tunjuk pula kad jemputan perkahwinanku. Aku sudah tidak kesah. Terserah untuk Fisha buat apa. Hilang sudah semangat. Sekarang aku hanya mahu berusaha untuk memujuk perasaan agar lupakan Encik Naufal. Itu yang perlu aku lakukan sekarang ini.

"Dalam ofis ni bakal tercipta sejarah penting di mana, salah seorang daripada kita bakal memecah rekod."

"Siapa?" Serentak Rissa dan Munirah tanya.

"Tiga bulan dari sekarang, bakal menyaksikan salah seorang pekerja di bahagian HR bakal menamatkan zaman daranya dan sekaligus menjadi pekerja pertama mendirikan rumah tangga dalam kalangan kita. Harap selepas ni ramailah yang menyusul sebab dah ada yang pecah pintu," kata Fisha lagi. Aku nampak Puan Normah bangun dan rampas kad jemputan daripada tangan Fisha.

"Betul, Darlina?" soal Puan Normah selepas itu. Aku angguk perlahan.

"Takkanlah..." Munirah juga bangun. Kemudian kad jemputan berpindah tangan pula.

"Habis kau dengan Encik Naufal?" Munirah tanya.

"Tak ada apa-apa hubungan pun. Hanya sekadar teman biasa." Fisha tolong jawab dengan gaya tangan yang menunjukkan isyarat tiada.

"Betul ke? Bolehlah aku masuk jarum lepas ni. Kalau Darlina yang hodoh ni pun boleh pikat Encik Naufal, takkan aku yang cantik jelita tak mampu," ujar Munirah sambil pandang aku. Puan Normah juga pandang aku. Aku tahu Munirah sekadar bergurau. Sebab itulah aku tak rasa apa-apa pun. Dah biasa dengan mulut jahat dia.

"Terpaksa mengikut arahan mak. Jadi ni kira kahwin paksalah." Fisha masih jadi 'bagi pihak' untuk menjawab semua soalan. Aku hanya mendengar sambil cuba menahan perasaan sebak. Tidak boleh menangis sama sekali.

"Tahniah, Darlina," kata Puan Normah sambil mendekatiku. Dia hulur tangan. Aku sambut dengan perasaan pilu. Aku tidak mahu sebarang ucapan tahniah kerana tidak bermakna apa-apa. Sekadar menambah lagi sakit yang ada.

"Pecah rekod kau, harap lepas ni jodoh kita semua pula." Munirah datang sama. Dia peluk aku. Lepas tu Rissa datang. Beri ucapan dan peluk juga.

"Dah, buat kerja buat kerja. Lambat lagi kahwinnya. Entah jadi entah tidak..." Aku cakap sambil buat-buat sibuk.

"Hesy! Apalah. Orang kalau nak kahwin kena tunjuk gembira. Dia ni mintak tak jadi pula. Tak faham betul," kata Munirah sambil menuju tempat duduknya semula.

"Biasalah. Kahwin paksa memang macam tu. Mula-mula memang benci amat. Tapi yang peliknya tu, lama-lama boleh dapat anak. Macam mana tu? Siapa nak jawab?" Rissa macam perli. Tapi ada aku kesah? Kepala aku sudah cukup serabut nak fikir semua ni. Mereka pula seperti menambah lagi serabut kepala aku.

Serentak dengan itu ofis riuh dengan gelak ketawa.

"Siang aje tak kawannya. Bila malam kawan gila." Puan Normah tumpang sindir aku. Aku buat tak faham juga. Mujur waktu itu telefon di atas meja Puan Normah berbunyi. Jadi sesi kutuk aku berhenti setakat itu. Keadaan kembali tenang bila masing-masing kembali dengan kerja masing-masing.

"Giliran siapa meeting untuk kebajikan pekerja asing bulan ni?" soal Puan Normah memecah keheningan suasana pejabat sebaik sahaja letak gagang telefon. Aku angkat kepala. Rissa, Munirah dan Fisha terus pandang aku. Jadi maknanya aku yang kena pergi. Memang giliran aku pun. Terpaksalah aku pergi.

Dengan langkah longlai aku bangun. Bersama buku nota dan sebatang pen, aku terus ke conference room. Belum sempat aku masuk, aku nampak Encik Naufal tiba. Kenapa harus dia yang datang mewakili bahagian pengurusan? Sedangkan ramai lagi pekerja di bahagian pengurusan yang boleh menghadiri mesyuarat? Encik Naufal juga yang mereka suruh. Bagaimana untuk aku berhadapan dengan dia kelak? Terasa seperti tidak cukup ruang untuk bernafas.

Aku berdiri seketika di tepi pintu masuk. Hendak memberi laluan kepada Encik Naufal masuk terlebih dahulu dan kalau ada kesempatan, aku ingin meminta maaf dengannya. Minta maaf dengan tulus ikhlas. Tidak sedikit pun terlintas untuk menyakiti hatinya begitu sekali. Tapi aku harus melupakan semua impian demi seorang wanita yang telah mengandung dan melahirkan aku.

Encik Naufal langsung tak pandang aku. Dia hanya tunduk dan terus jalan. Sayu perasaan sudah tidak terucap. Mahu saja aku meraung di situ. Sedang semalam kami begitu mesra dan hari ini seperti langsung tidak mengenali.

Ketika di dalam conference room, Encik Naufal masih begitu. Dia langsung tak angkat muka. Wajahnya sangat muram. Aku tahu dia kecewa tapi aku ini terlebih lagi. Aku lebih mengharapkan kasihnya, jadinya aku yang terlebih kecewa.

Aku tarik nafas panjang. Cuba bertahan sedaya mungkin. Tidak mahu menampakkan apa-apa kerana semuanya ternyata sudah berakhir.

Ketika Puan Nabilah memulakan mesyuarat, aku terus pandang wajah Encik Naufal. Tiba-tiba aku nampak air matanya jatuh. Terus air mataku luruh sama. Rupa-rupanya, kami sama-sama menangis.

MALAMNYA aku mengurungkan diri di dalam bilik. Makan malam juga tidak aku jamah. Hilang selera sejak Farah khabarkan perkara tersebut. Hari ini, aku jamah hanya sepotong buah tembikai. Itu pun puas Fisha berleter. Entah kenapa tekak terasa pahit semuanya.

Aku ambil telefon bimbitku. Ingin bercakap sendiri dengan Encik Naufal. Aku tidak mahu Encik Naufal fikir aku sedang main-mainkan dia. Lama aku menunggu panggilanku dijawab. Hampir saja berputus asa. Namun akhirnya Encik Naufal jawab juga.

"Assalamualaikum." Aku beri salam dengan suara terketar. Sangat gementar.

"Waalaikumussalam..." Jelas kedengaran suara Encik Naufal. Seperti tidak bermaya.

"Encik, saya..."

"Tak apa. Saya faham. Awak tak perlu jelaskan apa-apa lagi. Anggap saja apa yang pernah berlaku di antara kita seperti tidak pernah terjadi."

"Saya minta maaf, saya tak tahu apa-apa dalam hal ni." Aku mula menangis.

"Saya faham." Halus suara Encik Naufal di hujung talian.

"Encik tak akan faham. Encik tak tahu apa-apa sebab encik tak rasa apa yang saya rasa. Saya terpaksa."

"Saya faham. Saya mengerti. Sesungguhnya, kesudahannya kita memang akan begini. Jadi tidak perlu kita salahkan sesiapa. Memang sudah tertulis, jodoh kita tiada. Kita masih di pihak yang merancang, tetapi Tuhan yang menentukan."

Air mata tambah laju. Sudah tidak tertahan.

"Tapi saya sayangkan encik." Terluah juga kata-kata keramat itu. Kata-kata yang aku cuba simpan agar tidak terluah. Tapi kini aku mahu Encik Naufal dengar sendiri sebelum semua terlambat.

"Saya sayangkan encik," ulangku.

"Saya juga sayangkan awak..." Aku dengar Encik Naufal menangis. Sungguh aku dengar tangisan Encik Naufal.

"Encik, janganlah menangis. Hati saya sakit dengar encik menangis. Encik nak kita lari ke?" Aku tanya dia.

"Jangan!" Encik Naufal separuh menjerit.

"Jangan buat benda bodoh tu. Saya tak setuju," kata Encik Naufal lagi.

"Kita ada keluarga. Jangan buat perkara yang boleh memalukan keluarga kita. Pasangan hidup, kita boleh cari. Tapi keluarga tak boleh kita cari di mana-mana. Kita reda saja, ya." Bersama sedu-sedan, Encik Naufal seperti sedang pujuk aku.

"Saya sedih sangat. Rasa tak boleh nak bernafas."

"Saya juga sedih. Tetapi apakan daya saya. Saya reda. Mungkin semua sudah tersurat. Tetapi mengenali diri awak adalah sesuatu yang terindah dalam hidup saya. Saya akan simpan kenangan kita untuk selama-lamanya."

Tambah meruntun jiwaku mendengar kata-kata Encik Naufal. Sungguh, apalah daya kami.

"Okey, Darlina. Saya doakan awak akan bahagia selalu. Tolong sayang bakal suami awak dengan sepenuh hati. Usah kenang lagi cerita kita."

"Encik..."

"Selamat malam. Assalamualaikum." Suara Encik Naufal hilang terus selepas itu dan aku sambung menangis sepuas-puasnya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro