Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

LEPAS subuh kami semua dikerahkan bangun dan berkumpul dalam kumpulan masing-masing. Ada acara maraton tepi pantai. Entah apa-apalah, pagi-pagi buta disuruh berlari tepi pantai. Kalau aku tahu tak ingin aku nak sertai hari keluarga kali ini. Menyusahkan betul.

Nak tak nak terpaksa juga, kalau tidak semua ahli akan kena denda. Awal-awal lagi Encik Zainal sudah keluarkan arahan, siapa yang lambat, akan kena denda. Kerana takut dengan denda, seawalnya kami berkumpul.

Encik Zainal datang bersama Encik Naufal sambil bercakap-cakap. Hmmm, segaknya Encik Naufal. Dengan memakai T-shirt berwarna putih dan berseluar sukan serta bertopi, aku rasa dia lain sangat. Makin sedap mata memandang.

"Assalamualaikum dan selamat pagi semua." Encik Zainal memberi salam sebaik sahaja mendekati kumpulan kami.

"Kita akan mulakan acara maraton kita sehingga ke hujung pantai. Lebih kurang tiga kilometer. Di hujung sana nanti akan berlangsung semua acara. Harap kita sudah bersedia," kata Encik Zainal. Kemudian dia minta kami semua bersurai dan bersedia untuk memulakan acara.

Aku tak tahu nak cakap apa. Bersedia apanya kalau tak pernah lari langsung. Nampak benar tak pernah bersenam. Mahu terkejut urat-urat aku nanti.

"Selamat pagi, sayang," tegur Encik Naufal dari belakang. Terus aku toleh. Aduhai... Ini yang tak tahan. Agak-agak boleh lari karang, terus jadi batu. Senyumannya pula sunggun-sungguh menawan.

"Encik cakap dengan saya ke?" Aku tanya. Saja, konon-konon tak faham.

"Tak agaknya. Saya cakap kat pokok ni," balas Encik Naufal sambil pegang pokok ru.

"Kesian pokok tu. Mahu demam dua tiga hari." Aku cuba bergurau, lepas tu aku ketawa perlahan.

"Dah tahu orang cakap dengan dia, lagi tanya." Encik Naufal jeling aku. Jelingan manja yang menggoda.

"Oh! Cakap dengan saya ke?" Aku balas sambil tersenyum. Semakin selesa bergurau dengan dia.

"Buat lawak pula pagi-pagi ni," balas Encik Naufal.

"Salah ke saya bergurau dengan tuan cincin ni?" Aku tunjuk jari manis yang sudah tersarung dengan cincin pemberiannya semalam.

Dia tergamam. Kemudian kembali tersenyum.

"Sayalah orang paling bahagia." Dia pegang dada dia.

"Saya juga orang paling bahagia sekarang ni."

Aku tak tipu. Memang aku bahagia. Sangat-sangat bahagia. Susah untuk aku zahirkan dengan kata-kata betapa bahagianya aku. Bercinta dengan lelaki yang menjadi intaian selama ni bagaikan satu mimpi.

"Insya-Allah, kita akan terus bahagia."

"Aminnn..." Aku aminkan doa Encik Naufal.

Selepas itu kami mula berlari-lari anak dan saling beriringan dengan Encik Naufal. Kemudian aku rasa ada orang tampar bahuku. Larianku terhenti dan toleh belakang.

Macam mana aku boleh lupa dengan sahabat baik aku Fisha?

Encik Naufal teruskan lariannya tanpa menunggu aku lagi.

"Amboi, amboi... Tak ingat kawan nampak," tegur Fisha.

"Manalah aku perasankan kau."

"Yalah, sebab sekarang dah berdua kan, tu yang tak ingat orang lain."

"Mana ada." Aku bantah, tapi memang ya kut. Aku memang tak ingat sesiapa tadi. Yang aku ingat hanya Encik Naufal.

"Mana ada, mana ada. Habis lepas solat menonong keluar tu kenapa?" Fisha ajuk cakap-cakapku. Ada nada sindiran di situ. Tapi aku suka dengar. Rasa macam lucu pula.

Aku gelak sambil tampar bahu Fisha.

"Mana ada." Aku ulang lagi ayat yang sama bila aku sendiri tidak tahu untuk berkata apa. Aku sambung berlari-lari anak. Fisha juga sama.

"Seronoklah bila dilamun cinta macam ni? Sampai tak ingat apa-apa." Fisha perli lagi.

"Mana ada..."

"Kau cakap lagi mana ada, aku campak kau ke tengah laut tu. Aku tak kira. Aku nak tengok orang tu nak selamatkan kau atau tidak," kata Fisha lagi.

"Mestilah dia selamatkan aku. Sayang gila dia kat aku tu." Aku jawab sambil gelak dengan kuat. Suka hati betul pagi ni. Rasa semuanya indah belaka. Beginikah yang dirasakan oleh orang-orang yang sedang dilamun cinta?

Bahagianya...

"Huh! Perasannya, mari aku tolak kau. Kita tengok macam mana." Fisha tolak badanku ke tepi pantai. Aku bertahan sambil menjerit. Peserta lain yang turut sama berlari-lari anak terpanggil melihat kami.

"Lantak kau, orang tu dah datang sini." Aku gertak Fisha bila nampak Encik Naufal lari ke belakang semula bila Fisha masih berusaha untuk tolak aku ke dalam air.

"Kenapa bergaduh ni?" soal Encik Naufal sambil cekak pinggang.

Aku pandang Fisha dan Fisha pandang aku. Bergaduh? Apa hal pula kami bergaduh? Gila apa nak gaduh-gaduh.

"Sampai nak bertolak-tolak bagai ni kenapa?" soal Encik Naufal lagi.

"Tak ada apa-apa encik, kita orang gurau saja," jawab Fisha.

"Gurau apa macam nak bergaduh saja?" Nampaknya Encik Naufal masih tidak berpuas hati dengan jawapan Fisha.

"Eh! Kita orang memang macam ni. Bukan saja nampak macam bergaduh, nampak macam nak berbunuhan pun selalu," jawab Fisha dengan selamba. Gaya orang tak takut langsung. Sedangkan aku rasa Encik Naufal tu dah fikir bukan-bukan. Air mukanya sudah menjelaskan kebenaran kata-kataku. Akhirnya aku tutup mulut sebab tahan gelak. Tak dapat aku bayangkan rupa Encik Naufal. Sayang punya pasal.

"Betul?" Encik Naufal tanya aku.

"Ya." Aku cakap sepatah dan aku sambung gelak sebab lucu sangat tengok muka Encik Naufal. Serius amat.

"Aku pergi dululah," kata Fisha selepas itu. Dia sambung berlari-lari anak tanpa hiraukan aku.

"Betul bergurau? Bukan bergaduh?"

Aku garu kening. Apa hal pula tanya soalan serius sangat ni? Tadi tu memang nampak macam kami bergaduh ke? Kalau ya pun nak bergaduh, takkanlah kat khalayak ramai ni. Agak-agaklah juga kalau nak fikir macam tu.

"Emmm..." Aku jawab.

"Ingatkan dia cemburu sebab kita dah jadi pasangan kekasih. Mana tahu dia minat saya ke?"

Kalau Fisha dengar, mahu muntah hijau kawan tu. Fisha nak minat Encik Naufal? Tak larat aku nak bayangkan. Masa mula-mula aku cakap Encik Naufal handsome gila dan ada gaya-gaya Jerry Yan, masa itu juga Fisha mahu pijak aku. Siap cakap Encik Naufal tu manusia tidak berperikemanusiaan dan tak layak disayangi. Masa tu aku benar-benar sakit jiwa dengar kutukan Fisha. Punyalah dia menyampah.

"Jadi memang ramailah yang minat encik?" Aku tanya.

"Ramai tu tidaklah, tapi rasanya ada dua tiga orang kut."

"Dua tiga orang? Tak naklah saya kalau macam ni. Saya tak suka teman lelaki saya jadi intaian perempuan lain. Tak payahlah kita bercinta-cinta." Aku buat-buat merajuk. Pamer muka kurang senang. Yalah, siapa pula suka buah hati jadi pujaan orang.

"La... Macam tu pula. Saya gurau sajalah. Tak ada perempuan yang suka dengan sayalah." Encik Naufal macam pujuk dan aku pula tunjuk bakat merajuk buat kali pertama.

"Malaslah nak layan." Aku masih lagi dengan jiwa kacau.

"Ada juga yang nak kena peluk ni. Orang main-main ajelah."

Aku sambung berlari-lari anak tanpa menunggu. Kononnya nak jauhkan diri. Encik Naufal juga turut berlari bersama denganku. Kemudian aku rasa dia tarik lenganku.

"Tak ada apa-apa, okey."

"Okey, puas hati?" soalku. Encik Naufal balas dengan tersenyum. Aku sebenarnya yang terlebih puas hati. Puas hati sebab rasanya Encik Naufal serius dengan kata-katanya.

SEPAGI suntuk kami didera dengan pelbagai permainan. Kemudian berakhir dengan acara penyampaian sijil dan hadiah. Selepas acara berakhir, aku rasa tak berdaya langsung. Sampai bilik sudah pukul pukul 2.00 petang. Lepas solat zuhur aku terus terbaring. Pukul 3.00 petang, kami dijadualkan pulang.

Di dalam bas, Encik Naufal masih duduk bersebelahanku, namun masing-masing terlelap dan kurang bercakap. Nampak layu benar.

Sampai rumah lebih kurang 7.00 petang. Aku beri masa untuk merehatkan diri sebelum berbual dengan ahli keluarga yang lain. Masa makan malam aku nampak wajah emak cukup ceria. Abah juga sama. Apa sudah jadi ni? Tapi aku tak tanya apa-apa. Mana tahu abah dapat bonus atau abah sudah dinaikkan pangkat. Buat sementara waktu aku diamkan saja. Lepas makan aku masuk bilik. Telefon bimbit atas meja solek sudah berkelip-kelip tandanya ada panggilan tidak dijawab. Cepat aku ambil. Hmmm, siapa lagi kalau bukan dia? Tak apalah, karang aku telefon baliklah.

"Kak long tahu tak?" soal Farah sebaik sahaja dia masuk bilikku.

"Tahu apa?" soalku lemah. Kalau ikutkan, aku tak mahu melayan Farah. Penat sangat. Telefon bimbit aku letak semula di atas almari solek.

"Tarikh perkahwinan kak long dah ditetapkan."

"Hah?"

"Tarikh perkahwinan kak long dah ditetapkan. Tiga bulan dari sekarang," jelas Farah lagi. Aku tak boleh fikir apa-apa lagi. Sesuatu yang benar-benar mengejutkan. Terus saja cari mak. Ingin bertanya lebih lanjut. Harap Farah sekadar main-main dan mahu menyakat aku.

"Memang betul. Mak dengan mak Izwan dah dapat kata putus. Majlis pernikahan akan berlangsung tiga bulan dari sekarang."

Jawapan mak benar-benar buat aku diamuk resah.

"Tapi mak, kenapa tak minta persetujuan kak long terlebih dahulu? Kenapa memandai buat keputusan?" Hampir-hampir aku gagal mengawal emosiku. Sedikit kasar suaraku.

"Mak ingatkan kak long setuju sebab tak berbunyi apa-apa. Sebab itu mak dan abah setujukan saja," jawab emak.

"Bila masa kak long cakap kak long setuju? Kak long tak cakap apa-apa pun."

"Kak long tak payah cakap apa. Mak dan abah dah buat keputusan. Kak long setuju atau tak, majlis tu kami akan langsungkan juga," tegas emak.

"Mak, janganlah macam ni. Janganlah buat keputusan terburu-buru. Sepatutnya mak kena fikirkan juga tentang kebahagiaan kak long." Mata dah pedih. Sikit masa lagi memang aku bakal menangis.

"Sebab fikirkan kebahagiaan kak longlah mak dan abah buat keputusan ni. Budak Izwan tu baik orangnya. Pandai mengambil hati. Hormat orang tua. Memang sesuai sangat jadi menantu mak."

"Abah..." Aku merengek pada abah pula.

"Abah ikut saja cakap mak. Abah pun berpendapat sama macam mak. Baik pada mak, baik pada abah. Abah tak ada sebarang bantahan," tegas abah.

Macam mana ni? Aku baru saja terima cinta Encik Naufal. Aku baru saja mahu memulakan bab cinta dengan Encik Naufal, kenapa terus berakhir dengan perkataan tamat? Apa harus aku lakukan? Apa yang aku nak beritahu Encik Naufal? Ah! Kepala dah serabut semacam.

"Kak long jangan nak mengada-ada. Keputusan mak muktamad. Mak tak nak dengar sebarang alasan lagi. Selama ini mak dah beri masa yang cukup buat kak long untuk cari pilihan sendiri. Tapi sampai sekarang pun tak berbunyi apa-apa. Jadi sekarang biar mak yang tentukan semua. Kak long cuma perlu ikut saja."

Aku sudah tidak tahu untuk berkata apa-apa. Kalau aku bersuara pasti akan buat mak dan abah kecik hati. Untuk mengelak dari kejadian tu berlaku, aku terus tinggalkan mak dengan abah. Di dalam bilik aku menangis sepuas-puasnya. Sudah melihat impian yang baru aku bina semalam hancur berkecai. Telefon bimbit yang berbunyi juga tidak aku layan. Tiba-tiba saja semuanya jadi kosong. Semuanya sudah punah. Aku tak boleh mengelak lagi. Kalau aku mengelak bermakna aku bakal jadi anak derhaka. Aku tak mahu bergelar anak derhaka hanya semata-mata cintakan seorang lelaki. Tapi apa yang harus aku lakukan sekarang ini?

Kata-kata Fisha malam tu mula bermain dalam fikiranku. Betul kata Fisha, aku suka membuat keputusan dengan tergesa-gesa. Aku ingatkan dengan setuju menerima cinta Encik Naufal mampu menyelamatkan keadaan. Rupa-rupanya aku sedikit terlewat. Mak sudah rancangkan segalanya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro