Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

HAH, kau orang dah siap ke belum?” tanya Puan Marisa. Sempat dia menilik wajahnya di hadapan cermin. ‘Cantik juga aku ni. Patutlah ramai terpikat,’ desisnya sendiri dalam hati.

  “Sudah!” Lima orang itu sudah lama berbaris di hadapan rumah. Encik Zakaria juga sudah memanaskan enjin kereta Protonnya. Hanya menunggu kehadiran permaisuri istana itu sahaja.

  “Ibu lambat sangat…” Umayma tersengih.

  “Mana ada ibu lambat. Kau orang tu yang awal. Orang lain masih makan, yang kau orang pula sudah berdesup duduk depan cermin,” sindir Puan Marisa. Qasyid yang sedari tadi berada dengan anak keduanya didukung.

  “Biasalah ibu, teruja katakan.” Surfina mencelah. Awning tudungnya dibetulkan. Sufyanlah, tiba-tiba menyentuh awning tudungnya. Memang makan sebiji penumbuklah jawabnya.

  “Sudah-sudah. Kalau asyik berbual memang kita tak ke mana. Masuk kereta cepat,” arah Encik Zakaria. Selepas membaca doa, dia menekan pedal minyak dan keretanya meluncur laju ke destinasi yang dituju.

  “Kita nak pergi mana?” tanya Sufyan. Dia tidur awal semalam, jadi sesi perbualan keluarga itu masih menjadi rahsia buatnya.

  “Pusat beli-belah. Pukul lima petang nanti ibu, ayah dan Qasyid kutip kau orang. Jadi kau orang ada banyak masa berempat. Pastikan Haq dan Umayma sentiasa berada dengan Surfina dan Sufyan. Ibu tak mahu ada kes hilang, sesat dan seangkatan dengannya. Faham?” Puan Marisa mengeluarkan arahan mandatorinya. Wajib dipatuhi atau makan kuali!

  “Faham!”

  “Eh, sekejap. Maksudnya kami kena jaga…” Ayat Qaulalhaq tergantung.

  “Ya, jaga Surfina dan Sufyan.” Ringkas Encik Zakaria memberi jawapan.

  “Ala, ibu…” Qaulalhaq mula merungut. Ingatkan dapatlah dia berdua dengan Umayma. Rupanya dia kena jaga dua mahkluk kecil yang suka menyibuk itu.

  “Apa ibu-ibu? Ibu, ayah dan Qasyid nak berjalan ke tempat lain.” Puan Marisa buat-buat tidak tahu. Malas mahu layankan anak keduanya itu. “Sekurangnya kalau Surfina dan Sufyan ada, tak adalah pergaduhan nanti. Kalau kamu bergaduh dengan Umayma pun, ada juga yang boleh jadi penyejuk.”

  “Betul, betul!” Serentak Umayma, Surfina dan Sufyan menjawab.

  “Umayma, kau pun?” Terkedu juga si Qaulalhaq. “Iyalah…” Mahu atau tidak, lelaki itu perlu akur juga. “Hancur harapan,” bisiknya sendiri.

  “Tabahlah…” Sufyan yang duduk di sebelah Qaulalhaq lantas menepuk bahu lelaki itu. Apabila Qaulalhaq menjelingnya tajam, dia terus memberi senyuman sucinya.

  Umayma dan Surfina menahan tawa mereka. Encik Zakaria dan Puan Marisa menggelengkan kepala. macam-macam karenah betul. Perangai Qaulalhaq juga semakin berubah sejak kehadiran dua beradik itu dalam keluarga mereka.

  “Okay, dah sampai. Ingat ya, pukul lima petang.” Sempat Encik Zakaria mengingatkan. Usai bersalaman dengan anak menantunya, dia menarik Sufyan dan Sufyan menarik Surfina. “Jagakan budak berdua itu. Memang umur sudah 17 tahun tapi kadang-kadang perangai kalah tujuh tahun. Ayah serahkan tugas ni pada kamu berdua.”

  Surfina dan Sufyan membuat tabik. Mereka bersalaman dengan pasangan itu dan sempat mencubit pipi Qasyid. Selepas kereta Proton itu hilang dari pandangan, barulah Surfina dan Sufyan berpaling memandang pasangan remaja itu.

  “Okay, jom!” Kedua beradik itu mengukir senyuman selebar mungkin.

  “Ayah cakap apa tadi?” tanya Umayma. Lama juga ayah mertuanya berbisik kepada dua beradik itu.

  “Tak ada apalah. Pesanan ringkas je,” jawab Surfina.

  “Ya, yalah tu pesanan ringkas.” Qaulalhaq membuat muka. Dia masih tidak dapat menerima hakikat bahawa dia dan Umayma tidak dapat berdua, sebaliknya perlu menjaga dua ‘kanak-kanak kecil’ itu.

  “Iya. Tak nak percaya sudah.” Sufyan tersengih. “Sekarang ni kita nak pergi mana? Takkan nak makan? Tadi dah sarapan, kalau makan lagi membazir pula.”

  “Entahlah. Ada idea?” Umayma memandang suaminya. “Haq?”

  Qaulalhaq menggeleng. Dia memandang Surfina. Surfina juga menggeleng lalu memandang adiknya.

  Surfyan mengeluh. Dia yang tanya, dia yang kena jawab. “Sufyan terfikir pasal wayang dan arked je.”

  Bercahaya wajah Umayma dan Surfina. “Wayang!” Mereka berdua menarik tangan Qaulalhaq dan Sufyan lalu diheret ke tingkat paling atas. Selepas menentukan wayang apa mahu ditonton, Qaulalhaq dan Sufyan dipaksa beratur untuk membeli tiket manakala dua gadis itu membeli popcorn dan air.

  “Jom masuk.” Qaulalhaq menjadi ketua. Wajahnya dan Umayma memang matang, jadi sekali pandang memang bagaikan keluarga bahagia dengan dua ‘budak kecil’ itu.

  Satu jam dan tiga puluh tujuh minit kemudian, barulah mereka berempat keluar dari panggung. Sempat lagi Sufyan dan Qaulalhaq mengkritik watak antagonis filem itu. Lain pula dengan Umayma dan Surfina yang masih angau dengan kekacakan watak antagonis lelaki.

  “Dah pukul sebelas setengah. Kita nak pergi mana?” tanya Sufyan.

  “Tak tahu.” Serentak ketiga mereka menjawab.

  Sufyan menepuk dahi. Memang tak boleh pakai betul tiga orang tu. Sia-sia sahaja dia bertanya. “Sudahlah, jom pergi arked.”

  “Jom!” Sekali lagi, Umayma dan Surfina mengheret dua lelaki itu. Mereka menghabiskan masa di arked hampir satu jam sementara menunggu waktu Zuhur pada jam 1.30 minit petang.

   Masa masih berbaki satu jam jadi mereka berempat duduk di restoran pula. Waktu makan tengah hari sememangnya akan memenuhkan setiap restoran. Mujur masih ada kekosongan.

  “Lepas ni pergi mana?” Buat kali ketiga Sufyan bertanya biarpun dia sudah tahu jawapannya.

  “Tak tahu.” Kan dah cakap! Tapi yang itu Qaulalhaq jadi tidak mengapalah. Sufyan memandang Surfina dan Umayma pula.

  “Shopping!”

  “Kau orang ni memang sekepala betul,” ujar Qaulalhaq.

  “Cakap orang. Awak dengan Sufyan pun sama je,” jawab Umayma. “Cuma Sufyan lagi comel daripada awaklah.”

  Qaulalhaq yang sedang minum air tersedak. “Eh, apa pula? Aku lagi comel daripada budak ni.” Laju sahaja lelaki itu menukar fakta.

  “Jadi abang Haq mengaku comellah? Tak kacak? Lelaki comel ni tak menarik tau dalam pandangan kak Umayma.” Surfina pula menambah minyak. Sengaja, mahu melihat reaksi Qaulalhaq.

  “Itu lainlah… Ni antara aku dengan Sufyan je. Maksudnya kau tak disayangi Umaymalah.” Qaulalhaq menukar topik dengan menarik Sufyan pula.

  Sufyan merungut. Asyik dia sahaja. Dia tanya soalan, dia sendiri jawab. Bila dia berdiam diri, namanya pula dipetik. “Dahlah tu. Bergaduh je kau orang ni. Anjing dengan kucing pun tak macam ni. Kau pun sama, kak. Sufyan ketuk satu-satu nanti baru tahu,” ugut Sufyan.

  Qaulalhaq, Umayma dan Surfina terus diam sebelum…

  “Comelnya, Sufyan!”

  “Adik Surfina tu. Tak sangka betul dia ni comel macam ni!”

  “Kau besar nanti jangan jadi buaya sudah. Mentang-mentang comel.” Qaulalhaq menggulingkan anak matanya. Tetapi, dia juga mengaku bahawa Sufyan itu comel. Dalam hati sahajalah…

  “Apa pula…” Sufyan memicit tepi dahinya. Lain macam betul perangai tiga remaja itu.

  Selepas makan, mereka berempat meneruskan misi membeli-belah. Dalam kes ini, Umayma mengheret mereka bertiga. Pada mulanya Surfina juga teruja tetapi selepas tiga kedai, Surfina sudah penat. Ini sudah kedai kesembilan. Qaulalhaq, Surfina dan Sufyan terduduk lelah di sebuah kerusi.

  “Adik tak sangka pula mama seaktif ni,” bisik Sufyan kepada Surfina.

  “Kau ingat akak tahu? Akak ingat mama ni cool orangnya, tak macam perempuan lain yang gila shopping,” jawab Surfina. “Tapi mama ni periang terlebih. Perfectionist pula tu. Masuk pula dengan perangai emosional dia. Tak boleh bayang betul...”

  Sufyan memandang Qaulalhaq yang asyik merenung Umayma. Dia mencuit bahu kakaknya lalu menuding jari ke arah lelaki itu.

  Surfina mengangguk. “Abang Haq…” Jadi jeli sekejap. Walaupun dia memanggil lelaki itu dengan gelaran ‘abang’ setiap hari, Surfina masih belum terbiasa. Kadangkala perkataan ‘papa’ hampir terlepas dari mulutnya.

  “Apa?”

  “Tak nak temankan kak Umayma ke?” tanya Surfina. “Kalau nak pergilah. Surfina dan Sufyan duduk sini je.”

  Qaulalhaq menggeleng. “Malaslah.”

  Sufyan pula merengus. Degil kepala batu betul papanya itu. “Pergilah sana. Kalau ada lelaki mengurat kak Umayma kami tak tahu. Lagipun kak Umayma tu cantik orangnya. Nanti kalau jadi betul-betul jangan menyesal pula.”

  Qaulalhaq pula yang berapi mendengarnya. Teringat pula dia kes seketul makhluk Allah yang menyibuk dalam alam rumahtangganya. Mujurlah sudah dihalau ke Kuala Kangsar. Aman juga hidupnya. Itu pun dia bahagia juga dapat mengenakan lelaki itu dengan bantuan dua ‘kanak-kanak kecil’ itu.

  “Pergi sanalah.” Surfina dan Sufyan menolak tubuh Qaulalhaq supaya berdiri. Lelaki itu akur sahaja.

  “Papa degil sangat. Kalau kita tak tolong, agak-agak jadi apa pada hubungan mereka?” Sufyan tertabya-tanya.

  “Entahlah. Kalau kau nak tahu, lepas mama meninggal dulu, ada lalat sesat menyibuk nak papa. Mujurlah kakak kau ni pandai.” Surfina tersenyum bangga.

  “Yalah tu.” Sufyan membuat wajah menyampah. “Tapi mama dengan papa, cantik dan kacak. Umur baru 17 tahun. Kalau mereka berumur 20 dan ke atas nanti, mesti ada yang menyibuk.”

  Surfina mengangguk. Dia menilik jam di tangan. “Jomlah heret mama dengan papa keluar dari kedai. Dah nak Zuhur dah.”

  Mereka berdua mendekati pasangan itu yang sudah berada di kaunter pembayaran. Baru sahaja mereka mahu menegur, suara seseorang mencelah.

  “Comelnya anak kau orang ni!”

  Keempat-empat mereka berpaling ke arah kanan. Seorang wanita dalam lingkungan 30-an tersenyum memandang mereka.

  “Yang lelaki banyak ikut rupa ayahnya, yang perempuan banyak ikut ibunya. Cuma mata yang perempuan lebih kepada si ayah.” Wanita itu menyambung bicara.

  “Ha'ahlah, puan. Saya pun baru perasan.” Jurujual itu juga tersenyum.

  “Saya sebenarnya sedang cari keluarga yang sesuai untuk photoshoot. Kau orang pula memang menepati syarat. Nak cuba?” pelawa wanita itu.

  “Err…” Terkedu juga keempat-empat mereka.

  “Jangan risau, gambar tu hanya untuk diletakkan di butik ni sahaja. Tak ada disebarkan di mana-mana. Tengok tu…” Wanita itu menunjuk ke arah dinding di belakang cashier itu. Terdapat beberapa frame yang digantung, memaparkan beberapa buah keluarga.

  “Bolehlah. Jadikan kenangan.” Umayma tersenyum.

  Qaulalhaq, Surfina dan Sufyan terkejut. Namun apabila melihatkan senyuman lebar gadis itu, mereka menurut sahaja.

  “Pakaian pun sudah sama jadi, terus ambil gambar sahajalah, ya?”

  Teguran wanita itu membuatkan mereka berpandangan sesama sendiri. Patutlah semasa di restoran dan arked, ramai yang menegur mereka dengan perkataan, “Comel.”

  Selepas mengambil gambar sebanyak lima keping, mereka keluar dari butik itu dengan wajah termangu-mangu. Hanya Umayma yang masih ceria.

  “Seorang dapat lima keping gambar… Pemurah betul makcik tu.” Sufyan menggaru kepala.

  “Akak nak pergi tandaslah pula. Jom, Surfina. Nah, kau orang pegang ni.” Beg berisi pakaian yang dibeli dihulur kepada Qaulalhaq. Tangan Surfina ditarik dan langkah kakinya laju mencari tandas.

  Qaulalhaq dan Sufyan pun terus berpandangan sesama sendiri. Mungkin masih terkeliru atau sedang mencari persamaan mereka.

  “Ting!”

Sabtu, 19 Mei 2004 – 1.27 PTG
𒊹︎︎︎𒊹︎︎︎𒊹
Kau akan terima akibatnya.

  Mesej berisi satu ayat, empat patah perkataan dan dua puluh dua huruf beserta tiga space dan satu noktah itu berjaya membuatkan Umayma menggigil.

  Telefonnya terlepas dari tangan dan nyaris terjatuh ke atas lantai kalau bukan kerana tindakan spontan Surfina untuk menyambut telefon itu.

  “Akak?” tegur Surfina. Melihatkan tiada balasan daripada gadis itu, dia terus menepuk bahu Umayma.

  Umayma tersentak. Dia memandang Surfina. “Y... ya?”

  “Akak okay?” tanya Surfina. Memanglah jawapannya tidak, tetapi dia tetap mahu bertanya.
 
  “Akak… okay.”

  “Tipu. Kenapa akak terkejut sangat selepas baca mesej ni?” Telefon yang berada di tangannya dihala ke wajah Umayma. Surfina membaca mesej itu kerana reaksi Umayma sangat lain selepas membacanya.

  “I... Itu…”

  “Bagitahu Surfina, kak. Surfina pasti akak tak beritahu abang Haq lagi, kan?”

  Wajah Umayma memucat. Surfina mengetap gigi, sah!

  “Jangan bagitahu dia, Surfina. Nanti..."

  “Nanti apa, kak Umayma? Perkara ni serius!” Surfina mula mahu marah. Mujurlah dia tidak seperti Sufyan yang mendapat perangai meluru daripada Qaulalhaq.

  “Akak… akak takut.”

  “Kalau akak takut, akak perlu cerita. Jadi, sekarang cerita. Tandas ni kosong, hanya kita berdua. Kecualikan makhluk yang kita tak nampak.” Sempat Surfina bergurau. Memang sebiji macam Umayma.

  “Surfina tengok mesej pertama dia…” Mahu atau tidak, Umayma tetap perlu bercerita.

  Surfina akur. Dia terus mencari mesej pertama nombor misteri itu.

Sabtu, 8 Mei 2004 – 12.45 TGH
𒊹︎︎︎𒊹︎︎︎𒊹
Siapkan mesin masa itu. Kalau tidakaku akan bunuh seluruh ahli keluarga kau!
 
  Surfina meneruskan bacaan mesej yang lain. Habis sahaja membaca, dia mengeluh. “Benda ni bahaya, kak Umayma.”

  Umayma terdiam. “Tapi akak…”

  “Tak ada tapi-tapi, selepas ni, akak kena bercerita dengan abang Haq atau Surfina sendiri yang akan ceritakan. Telefon ni, Surfina pegang dahulu. Surfina tunggu di luar.” Gadis itu terus melangkah ke luar tandas. Dia ternampak kelibat Sufyan dan Qaulalhaq yang sedang duduk di sebuah meja di medan selera sambil minum air. Sempat!

  “Mana Umayma?” tanya Qaulalhaq.

  “Dalam tandas.” Surfina terus mencapai segelas milo ais yang Sufyan pesankan buatnya. Dia mahu Umayma sendiri yang bercerita, jadi dia diamkan sahaja dulu.

  15 minit berlalu dan Umayma masih belum keluar dari tandas. Surfina sudah cemas. Dia terus berlari masuk ke dalam tandas. Hanya ada dua orang wanita yang sedang membetulkan tudung. Surfina membuka kubikel tandas satu per satu.

  “Tak ada!” Wajah gadis itu memucat. “Akak ada nampak perempuan berbaju kemeja merah dan bertudung selendang hitam tak?” tanya Surfina kepada dua wanita itu. Apabila wanita berdua itu mengggeleng, dia terus meluru ke arah Sufyan dan Qaulalhaq.

  “Pergi tengok tandas lelaki, ada kak Umayma tak? Dia tak ada dalam tandas perempuan!”

  Qaulalhaq dan Sufyan membuntangkan matanya. Mereka berdua berlari dan kembali tidak sampai tiga minit. Jelas Umayma tiada bersama mereka!

  “Mana kak Umayma pergi? Mustahillah dia keluar tak nampak kita!” Sufyan menggaru kepala.

  “Tiada seorang pun perempuan berpakaian kemeja merah dan bertudung selendang hitam keluar dari tandas sejak tadi. Aku dah tengok sekeliling banyak kali.” Wajah Qaulalhaq memerah, risau dan marah.

  Surfina diam. Takut-takut, dia mengeluarkan telefon Umayma. “Tengok ni… Surfina baru tahu tadi, selepas paksa kak Umayma cakap. Dia kata dia akan jelaskan pada abang Haq selepas ni, tapi tak sangka…”

  Qaulalhaq hampir mengamuk di situ kalau bukan kerana Surfina dan Sufyan menenangkannya. Kehilangan Umayma Shaheera membawa impak besar kepada mereka bertiga, lebih-lebih lagi kepada Qaulalhaq, suami gadis itu.

  “Sudahlah. Kita solat Zuhur dulu. Semoga urusan kita dipermudahkan dan semoga kak Umayma selamat,” tegur Sufyan.

  Qaulalhaq dan Surfina akur. Mereka bertiga melangkah mencari surau. Doa buat gadis itu tidak putus-putus dari hati.

  “Semoga kau selamat… Umayma.”

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro