Bab 1
"ADEH!" Surfina menenyeh matanya yang terasa silau dek kerana cahaya tadi. Dia mendengus. "Kau punya fasal lah ni!"
"Argh!"
"Apa, apa?" Surfina mula gelabah apabila mendengar jeritan itu. Dia memandang ke hadapannya. "Eh?"
"Bunian!" Seorang gadis dalam lingkungan 17 tahun menekup mulutnya. Matanya membulat. Jag yang digunakan untuk menyiram sebuah kubur terlepas daripada tangannya.
"Khalisya..."
Surfina memandang Sufyan yang asyik merenung batu nisan. Dia kembali memandang gadis tadi. "Err, hai?"
"Bunian!"
"Apa bunian-bunian ni? Kalau dia muncul nanti... "
"Kakak... Khalisya tu... nama nenek, kan? Perempuan ni... macam mama..." Sufyan menarik lengan baju Surfina. Kata-kata Surfina terhenti. Dia turut memandang batu nisan di sisinya.
"Apakah?" Surfina tersentak. Dia meneliti wajah gadis itu. "Ki... "
"Eh, bunian keluar juga ke waktu Zuhur ni?" Gadis itu mengutip jagnya yang terus bersedia untuk membuka langkah seribu. Apa yang disebutkan dua 'bunian' itu langsung dia tidak dengar.
Sekali lagi gadis itu ternampak mereka berdua, dia menjerit lagi. "Argh, bunian! Oh, budak kecil sahaja. Sekejap, budak?"
Sufyan sudah gelabah melihat gadis itu mahu melarikan diri. "Kejap! Kami... kami anak yatim piatu!"
"Sufyan!" Surfina terkejut. Dia menepuk bahu adiknya tanpa sedar.
"Hah?" Langkah gadis itu terhenti. "Anak yatim? "
"Uh... saya, Sufyan. Ni kakak saya, Surfina. Kami... kami datang ke sini sebab kami tak ada arah tujuan. Ibu bapa kami meninggal dalam kemalangan. Ibu bapa kami putuskan pertalian keluarga mereka, jadi kami langsung tiada tempat bergantung." Sufyan membuat muka sedih. Dia yang masih terduduk di atas tanah mula menguis-nguis tanah bagai anak kecil.
"Seriuslah?" Gadis itu membuat muka terkejut. Dia terus duduk mencangkung di hadapan dua beradik itu. "Dah tu, kau orang tidur mana?"
Sufyan menggeleng.
Mata gadis itu mula berkaca. Dia menggenggam tangannya. "Baiklah, mulai hari ini, biar korang duduk bawah jagaan kakak! Kakak dah berkahwin, jadi kakak hanya tinggal dengan suami kakak dalam rumah tu. Nama kakak, Umayma. Boleh panggil Kak Umayma."
Tangan Sufyan dan Surfina ditarik supaya bangun. "Jom, ikut akak." Umayma terus berjalan keluar dari tanah perkuburan itu. Dia mendekati sebuah motosikal. "Naik."
Surfina dan Sufyan berpandangan. Mereka berdua mengangguk. "Okay."
"Pegang kuat-kuat!"
"Vrooom!"
"Eh!"
Laju betul si Umayma tu bawa motor. Kalau tergolek dua budak itu, entah apalah jadi.
✧✧☘✧✧
Surfina dan Sufyan memandang rumah kayu yang tersergam indah di hadapan mereka. Rumah kayu itu tersangatlah tidak asing dalam hidup mereka.
"Kakak..." Sekali lagi Sufyan menarik lengan baju Surfina.
Surfina tersenyum. "Jadi, kita di masa silam?" Agak gila, tapi dia suka!
"Masuklah!" Muncul pula Umayma dengan seplastik barang basah dari kedai di tangannya. Sempat dia singgah ke kedai sebelum kembali ke rumah. Nasib jalan lengang, tak ada siapa persoalkan siapa budak berdua itu.
"Assalamualaikum!" Salam diberi, kaki kanan dilangkah masuk ke dalam rumah. "Woah!" Terpancar riak kagum pada wajah dua beradik itu.
"Hah, ini rumah ibu mertua akak. Tapi orang dalam rumah ni keluar. Ada kerjalah tu. Hah, tunggu kejap." Umayma berlalu pergi ke dapur. Kemudian dia masuk ke dalam sebuah bilik dan keluar semula dengan beberapa helai pakaian.
"Ambil ni. Dalam rumah ni ada dua bilik mandi. Pergi bersihkan diri dulu." Tuala dan pakaian dihulur kepada Surfina dan Sufyan.
Mereka berdua terus mencapai huluran itu. "Terima kasih, Kak Umayma."
Umayma tersenyum puas melihat pemergian dua beradik itu. "Sekarang, sesi berkungfu di dapur."
Gadis itu kembali ke dapur. Tangannya lincah menyediakan bahan-bahan untuk memasak. Apa ingat muka lawa tak pandai masak? Eh eh, mahunya kena ketuk nanti.
Setengah jam berlalu dan akhirnya dua beradik itu keluar dari bilik mandi. Mereka ternganga melihat Umayma yang sibuk bersilat di dapur.
Surfina mendekati Umayma. Tudung shawlnya dibetulkan sedikit. "Masak apa tu? Nak Fina tolong?"
Umayma melirik matanya ke sisi. "Oh. Boleh je. Akak nak masak ayam masak merah, sambal sotong dengan sup ayam. Surfina tolonglah apa-apa yang Surfina nak."
Surfina mengangguk. Dia memandang Sufyan. "Sufyan, kau buat air," arahnya.
Umayma memandang Sufyan. "Umur kau orang ni, berapa eh?"
"Saya dua belas tahun. Kakak saya tingkatan dua."
Umayma terangguk-angguk bagaikan burung belatuk kena patuk. Abaikan.
"Pandai betul kau orang kat dapur, eh," puji Umayma. Berbunga hati dia tengok Surfina dan Sufyan yang lincah di dapur.
"Eh, mesti!" Surfina tersenyum bangga.
"Ha..."
"Assalamualaikum!"
Pergerakan Umayma, Surfina dan Sufyan terhenti. Mereka berpandangan.
"Tu suami akak, Haq." Umayma memandang jam yang tersangkut pada dinding. "Sambunglah, akak tengok kejap."
Kedua mereka mengangguk. Padahal terketar juga dalam hati.
"Ha, balik pun! Lama pergi," sindir Umayma. Dia tersengih apabila Qaulalhaq memandangnya tajam.
"Ktung! Ktang!"
Qaulalhaq mengerutkan dahi. "Kau dekat sini, siapa dekat dapur?" soalnya, aneh.
"Oh, tu sekejap lagi kita bincangkan masa makan. Sekarang, awak pergi mandi. Busuk, berkubang dengan kerbau ke apa?"
Qaulalhaq mengeluh. "Iyalah..." Dia terus menuju ke bilik dengan sehelai tuala dan sepersalinan pakaian. Tiba di dapur, matanya membulat. "Oit, anak siapa kau kutip ni Umayma?" jeritnya.
Surfina dan Sufyan terkaku. Mereka memandang Qaulalhaq yang juga kaku memandang mereka.
"Mandi jelah dulu! Tak menyabar betul," balas Umayma yang baru turun ke dapur. Dia mendekati dua beradik itu. "Jom sambung."
Sekali lagi, Qaulalhaq mengeluh.
✧✧☘✧✧
Surfina dan Sufyan hanya diam memandang pinggan. Renungan tajam Qaulalhaq jelas membuatkan mereka tidak selesa.
"Haq, dahlah tu. Takut budak-budak tu," tegur Umayma. "Tadi saya pergi kubur. Naik motor macam biasa. Tiba-tiba diorang muncul. Baru nak lari, Sufyan kata mereka anak yatim piatu. Tak ada yang tanggung. Itu yang saya bawa balik."
"Bam!"
Terhinjut bahu Umayma, Surfina dan Sufyan. Mereka memandang Qaulalhaq yang baru sahaja menghempas meja.
"Sesuka hati kau je. Buatnya mereka ni scammer? Tak pun baik untuk culik kau ke? Entah-entah menipu! Siapa je datang ke kubur untuk diambil sebagai anak angkat? Agak-agaklah!" Qaulalhaq mula menyembur kata-kata pedas.
Umayma pula yang panas hati. "Eh, awak ni. Kot ya pun jagalah mulut tu! Kesian budak-budak ni. Anak yatim piatu, kot! Mulut awak tu main lepas je, tak fikir pun perasaan orang lain!"
"Dah tu perasaan aku?"
"Kita mampu, kan? Takkan nak biar je mereka berdua terkapai-kapai tanpa arah tuju? Kalau ada yang culik nanti?" sambung Umayma.
"Eh, siapa yang salah sekarang ni?" Qaulalhaq pula yang keliru. Macam terbalik sahaja ayat.
"Awaklah! Nak marah, boleh. Tapi jaga mulut tu! Awak cakap macam mereka ini tak ada perasaan. Hish!"
Qaulalhaq dan Umayma mula bertekak di meja makan. Surfina dan Sufyan hanya merenung mereka berdua tanpa kata.
"Surfina. Sufyan. Kalau dah habis makan kau orang boleh masuk bilik yang sebelah bilik akak masuk pagi tadi. Rehat je dulu. Biar akak kemas semua ni." Umayma menamatkan pertelingkahan itu dengan mengarahkan dua beradik itu ke tempat yang lebih selesa.
Surfina dan Sufyan hanya akur. Nak kata lebih, mereka tidak dikenali. Hanyalah orang asing yang tiba-tiba menyibuk.
Qaulalhaq merenung Surfina dan Sufyan. Dia kembali memandang Umayma dengan riak tidak puas hati. "Kita sambung nanti." Dia juga bangun dan menuju ke sinki dengan pinggannya.
Umayma yang masih di meja makan melepaskan keluhan berat. "Salah ke?" bisiknya perlahan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro