Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9 - Pengakuan

KEESOKAN hari, Abang Hafiz datang lagi ke klinik. Kata Kak Ani, selagi tidak lengkap borang kes, selagi itulah Abang Hafiz perlu datang. Kedatangannya kali ini ada senyuman. Mungkin sebab sudah kenal dan dia tahu yang aku ini juga kesayangan kakak angkatnya, Kak Ani.

Tetapi, aku sudah tidak menguruskan kes Abang Hafiz lagi. Kak Ani ambil alih sepenuhnya. Aku menyiapkan kerja aku. Sesekali, bila terpandang, kami berbalas senyum.

"Bila nak kahwin?"

Aku terdengar Kak Ani menyoal. Selamba badak betullah Kak Ani ni. Dalam hati aku sudah terbit rasa tidak senang. Abang Hafiz itu, kan ... baru kehilangan jari-jari tangan. Tidak sensitifkah soalan begitu diajukan padanya? Abang Hafiz tidak berkecil hati, ke?

"Nantilah, kak ...." balasnya bersahaja.

"Hasrat Hafiz nak hantar mak ayah ke Mekah dah termakbul. Bolehlah kumpul duit untuk kahwin pula. Jangan lambat-lambat, nanti jadi bujang terlajak." Kak Ani, kalau tak menyakat orang, memang bukan Kak Ani namanya!

"Insya-Allah, kak. Kalau ada orang nak ..."

Eh, kalau tak ada orang nak ... nak juga aku offer diri. Jangan risaulah, bang. Orang baik macam abang, ramai sahaja orang nak. Aku bercakap sendiri, dalam hati.

"Sudahlah tak kaya, jari pun tak ada ..." Abang Hafiz menyambung kata.

Halah, halah ... sedihnya!

"Mir!"

Tersentak aku. Kak Ani ni kan ... Nasib baik aku bukan jenis yang melatah. Kalau tak ... tidak fasal aku tersebut nama Abang Hafiz. Buat malu sahaja terkantoi!

"Ya, kak."

"Nak tak orang macam Abang Hafiz?"

Allahuakbar, Kak Ani! Soalan membunuh, ni! Nak jawab apa? Takkan nak kata, 'nak"? Jatuh harga diri sebagai perempuan. Tapi, kalau cakap 'tak' ... tentu Abang Hafiz kecil hati. Kak Ani ni memang buat aku serba salah.

Akhirnya, aku pilih untuk berlaku jujur. Terserahlah kepada Abang Hafiz untuk menilai diri aku bagaimana.

"Akak punya soalan ..." Aku mulakan dengan tawa. Kulihat, Abang Hafiz juga ketawa. Lega sedikit hati aku. "Okey je, kak. Lelaki baik macam Abang Hafiz ni, siapa sahaja yang tak nak." Jawapan umum. Aku tak kata aku nak, dan aku tak kata aku tolak. Kan?

"Hah, dengar tu!" Kak Ani pandang Abang Hafiz. Dia hanya melayang senyum tipis.

"Saya sebenarnya ... dah bertunang, kak."

Fuh, macam disambar kilat jantung aku! Tunang orang, kau! Sengaja agaknya bagi statement meraih simpati tadi. Nasib baik aku bukan jenis menggedik terus kata, 'Nak!' Apa motif entah Abang Hafiz mengada buat ayat-ayat macam menagih perhatian!

"Tapi ... tak tahulah kak ...." Abang Hafiz tertunduk. Suaranya merudum.

"Kenapa ni ..." Suara Kak Ani juga sudah mulai sayu. Daripada mood bersenda, ketawa ... suasana jadi sayu.

"Saya tak rasa nak teruskan."

Kak Ani diam. Aku juga. Kami masing-masing memandang pada Abang Hafiz yang terus menunduk. Entah dia sedang merenung tangannya yang tak berjari, atau sedang menyembunyikan wajah yang sedang berduka.

Lama kami menanti bicara Abang Hafiz yang seterusnya. Kak Ani juga seperti memberi seluas-luas ruang buat Abang Hafiz meluah tanpa dia berniat memotong percakapan adik angkatnya itu.

"Saya ... dah cacat, kak. Kerja apa sahaja yang boleh saya, buat? Tanggungan nanti, bukan hanya dia, tapi adik-adik saya juga. Tak mungkin saya nak lepaskan semua itu. Kadang-kadang, terfikir juga ... orang macam saya tak perlu berkahwin. Fokus pada keluarga sahaja. Kasihan anak orang jika bernikah dengan saya. Entah macam mana masa depan."

Terasa kering tekak aku mendengar luahan rasa Abang Hafiz. Jauh orang macam Abang Hafiz ini berfikir. Dan, fikiran-fikirannya bukan memfokuskan kepada keperluan dirinya, tetapi orang-orang yang dia sayang.

Allah memang menyimpan rahsia-Nya dalam Dia memilih hamba untuk diduga. Orang susah, diduga Allah dengan kesusahan dalam membuat keputusan pula.

"Sayang ke, tidak?"

Kak Ani bertanya tiba-tiba.

Abang Hafiz memanggung kepala. Kali ini, pandangannya jatuh pada wajah Kak Ani, sebelum berlabuh pula pada wajah aku yang sedang merenung dia. Dia menarik senyum. Senyum tipis yang seolah-olah dipaksa.

"Perasaan itu sudah hilang kak, sedikit demi sedikit bila mengenangkan keadaan saya yang rasanya tidak layak nak sayang pada orang. Lebih-lebih lagi pada dia, perempuan baik dan cantik. Banyak lelaki yang menunggu dia, tapi entah di mana silapnya, dia bertemu pula dengan saya yang tidak ada apa-apa."

"Dah, tak payah nak macam-macam. Allah tengah duga Hafiz. Rahsia masa depan, Allah yang tentukan. Yang penting sekarang, diri Hafiz dan tunang Hafiz sendiri. Kalau dua-dua saling sayang, perkara lain, tolak tepi. Rezeki pekerjaan itu, bukan hanya dengan tangan, tapi dengan hati. Kalau betul berusaha, insya-Allah akan ada jalannya. Nanti akak bawa kes Hafiz kepada pihak pengurusan kilang. Kita tengok kerja apa yang sesuai dengan keadaan Hafiz sekarang. Sementara sedang dalam tempoh MC ni, solat jangan tinggal, doa panjang-panjang."

Kak Ani mula membebel. Aku yang tadi sayu hati mendengar nada suara Abang Hafiz, kembali hidup dan rasa nak ketawa pula mendengarkan suara tegas Kak Ani.

Betullah. Hidup yang susah, yang diuji ini jangan dilayan rasa sangat. Sebab itu dalam Islam ada istilah usaha, doa dan tawakal. Bila kata tawakal, segala keputusan dan perancangan masa depan jangan difikirkan. Serahkan sahaja pada Allah. Kita sebagai hamba, buat bahagian kita. Usaha setakat yang kita terdaya. Berdoa jangan lupa. Selebihnya Allah yang empunya rahsia dan keihsanan untuk kita sebagai hamba-Nya.

Aku doakan, semoga Abang Hafiz tidak berputus asa. Jika selama ini, dia reda, mengapa bila ditambah sedikit lagi ujian, semangat dan harapannya seolah tiada? Sedangkan, kehilangan jari itu dia sudah reda? Malah bersyukur juga kerana hasilnya, orang tua dia boleh menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Mengapa bila Kak Ani bertanya tentang cinta, tentang wanita dia bertukar rasa hati? Memang kelemahan lelaki itu wanita, agaknya.

BEKERJA dan berjumpa dengan ramai manusia di luar lingkungan kita akan menemukan kita juga dengan pelajaran berguna. Setiap kisah manusia itu ada iktibar yang boleh kita gunakan dalam meneruskan perjalanan hidup kita pula.

"Assalammualaikum."

Semerta aku menoleh. Tangan yang leka membelek buku, terus kaku. Lebih jadi beku bila yang menyapa salam itu sedang melayang senyuman.

"Err ... maaf, kalau saya mengganggu awak, memilih buku."

Semerta aku tersedar. Aku jadi malu, bila terkaku dengan teguran. Terus aku menunduk, memandang pada buku. Ah, biarlah dia hendak melabel aku sombong atau apa ...

Aku terus membelek buku. Sebenarnya, kaki dah rasa nak lari dari situ, tapi macam tidak elok pula.

"Suka baca buku-buku agama, ya?"

Kali ini, aku sudah boleh bertenang. Aku menoleh kembali padanya, melayang senyum tipis sebelum menjawab, "A'ah! Suka membaca. Tapi tak terhad pada buku agama."

Dia menarik senyum lebih lebar.

Aku fikir, dia ingin memanjangkan perbualan ini selepas aku memberi respon, tetapi ... tidak. Dia meminta diri untuk beredar. Diucapkan salam sebelum pergi, meninggalkan aku termangu sendirian.

Aku menghela nafas. Buku di tangan, kuhulurkan kepada si penjual. Aku ingin membeli buku tersebut.

Pulang ke klinik, aku mendapat panggilan intercom daripada Yati. Dia meminta maaf sebab dia tidak ke surau. Banyak kerja katanya.

"Mir, hujung minggu ini jadi, ya?"

"Eh, insya-Allah, jadi! Kenapa, Yati?" Pelik pula aku bila dia seolah-olah ragu dengan janji aku untuk keluar berdua dengannya ke perpustakaan negara. Malah, kami juga ingin meneroka bangunan yang memiliki hasil seni, di Kuala Lumpur. Yati kata, kami akan keluar selepas zohor dan pulang sedikit malam. Dia ingin menghayati suasana malam di tengah ibu kota.

"Takutlah orang tu merajuk sebab kita tak jumpa dia hari ini ..." Yati ketawa.

Ish, budak Yati ini!

"Hei, tak kuasa nak merajuk! Awak bukan boyfriend kita yang kita nak merajuk bagai."

"Kan ..." balasnya meleret. "Kalau kita berbeza jantina pun bagus. Bukan senang nak cari pasangan yang sama minat."

Perlu sama ke? Tercetus soalan itu di minda aku. Tidak pernah pula aku terfikir tentang persamaan atau perbezaan dalam hubungan dua manusia yang dipasang-pasangkan Tuhan. Mungkin sebab aku belum bersedia untuk mempunyai pasangan istimewa. Ah, Yati ini agaknya sudah mula menganyam angan.

Pergi ke Indonesia nanti, entah-entah bertemu dengan yang berbeza benua. Tidak mustahil juga. Cowok di sana, boleh tahan juga. Tidak kalah dengan yang ada di dalam negara. Lebih-lebih lagi yang selalu mendahulukan agama. Nampak soleh di mata. Boleh tersangkut juga jika itu aturan-Nya.

Tidak lama kami bercakap di talian memandangkan ia fasiliti syarikat. Biasanya, akan disambung bicara kami dengan pertemuan empat mata pada keesokan harinya. Rumah Yati, tidak ada telefon. Biasanya, jika dia hendak menghubungi aku di rumah, dia akan menggunakan telefon awam. Aku pula, memang rezeki ada kemudahan telefon rumah yang dipasang oleh abah sebaik kami berpindah.

Pada zaman kami, telefon bimbit itu, penggunaannya, jauh sekali. Hanya yang betul-betul kaya sahaja yang memilikinya.

Petang itu, ketika aku sedang menunggu bas awam, seorang gadis berambut hitam, lebat, potongan paras bawah telinga, menegurku.

"Kau yang kerja di klinik itu, kan?"

Aku mengangguk laju sambil tersenyum. Fuh, glamer juga aku walaupun kerja di tempat tersorok! Sudahlah aku tak pernah ke kantin. Macam manalah manusia-manusia kilang ini boleh tahu kewujudan aku?

"Mana kau tahu?" Sebab dia memulakan perkenalan ini dengan 'kau-aku', maka aku meneruskan. Itu lebih baik. Lebih mesra dan telus.

"Alah ... semua orang tahu. Kilang memang biasa dalam sebar-menyebar berita. Lebih-lebih lagi orang baru."

Aku mengangguk-angguk. Bersetuju juga dengan alasannya.

"Nama kau, Mira kan?"

Uh, nama aku pun dia tahu!

"Ya, kau boleh panggil aku, Mir. Apa nama kau?"

"Julia. Kau panggil sahaja aku, Ju."

Seorang lagi orang baru, hadir dalam hidup aku. Entah bagaimana aku tidak perasan yang Julia ini tinggal di rumah teres di lorong yang sama dengan rumah aku. Hanya berbeza blok sahaja. Ya Allah, kecil sungguh dunia ini.

Menurut Julia, dia tinggal dengan kakaknya. Kakak Julia ini sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Abang iparnya pun tidak kisah dia tinggal dengan mereka. Kata Julia lagi, sudah dua tahun dia bekerja di kilang ini. Dia bersekolah di Negeri Sembilan. Sebab itu, aku memang tidak kenal atau bertemu dengannya sebelum ini.

"Kau ... selalu ambil bas di sini juga, ke?" Aku bertanya. Mustahil pula kalau aku tak pernah bertembung dengan dia. Halimunan ke ... apa?

"Baru minggu ini aku naik bas. Selalu tu ... boyfriend aku yang jemput."

"Oh, patutlah!"

Dia ketawa. Mungkin lucu melihat muka aku yang terkejut bila orang mengaku ada boyfriend, sebab ... aku tak ada! Lagi pun, pada aku ... terlalu muda untuk kami ada komitmen terhadap perkara berhubung lelaki dan perempuan. Ah, mungkin aku sahaja menganggap begitu kerana aku baru habis sekolah. Selepas ini pun akan sambung 'bersekolah'. Bagi orang yang sudah setahun dua bekerja, mereka lebih matang kerana sudah bercampur dengan orang yang lebih tua.

Berpasangan dan mempunyai komitmen dalam hubungan bukan perkara pelik bagi mereka. Mereka juga mungkin sudah mula merancang akan komitmen yang lebih jauh – iaitu komitmen berumahtangga. Sedangkan aku, masih tidak nampak jalan ke arah itu. Aku masih memikirkan komitmen belajar dan pekerjaan sebenar sesuai dengan cita-cita.

Bermula hari itu, aku kerap bertemu dengan Julia. Kami tidak pernah berjanji untuk bertemu di perhentian bas dan pulang bersama, tetapi sering bertemu tanpa sengaja. Dengan Julia, banyak yang aku belajar. Dia rajin bercerita kisah dalam kilang.

Katanya, kilang tempat kami bekerja itu ada satu line khas untuk orang-orang kurang upaya. Ada yang cacat anggota, ada yang buta, dan ada yang bisu pekak. Sesekali, Julia yang linenya bersebelahan dengan line pekerja kurang upaya itu akan berbual dengan mereka.

Julia punya pengetahuan berbahasa isyarat. Aku tahu pun ketika aku ternampak dia sedang berbual dengan seorang budak lelaki di perhentian bas menggunakan bahasa isyarat. Rancak sungguh tangannya bergerak.

Tetapi, ada waktu lain pula aku tidak bertembung dengan Julia. Dia ada shif kerja. Dua minggu siang, dan dua minggu malam.

"Assalammualaikum."

Aku sudah dilanda debar.

"Mira."

Laju terus jantung aku mengepam.

"Ingat, saya?"

Lelaki yang menegurku di hadapan surau. Aku ingat-ingat lupa wajahnya.

"Maaf, ganggu awak. Err ... boleh saya berkawan dengan awak?"

Aku mengangguk. Tidak ada sebab untuk menolak. Kawan sahaja, pun. Tapi entah kenapa, jantung aku tidak duduk diam bila setiap kali dia ada berdekatan. Rasa yang dulu itu kembali bertandang. Rasa diperhatikan.

"Saya ... yang Mira pernah nampak di klinik."

Pantas aku mendongak. Tanpa sedar meneliti wajahnya. Bila?

"Err ..." Dia jadi serba-salah bila aku renung dia begitu. Terus dia memalingkan wajah.

Oh! Sekarang baru aku ingat. Budak lelaki yang tak tentu arah tu!

"Ya, saya ingat awak." Aku bersuara. Dan, dia terus memandang pada aku semula.

"Maaflah, jadi stalker Mira."

Apa? Stalker? Aku besarkan mata. Terkejut dengan pengakuannya. Tak tahu pula dia stalk aku? Sebab dia ke aku rasa bagai diperhatikan dua tiga bulan yang lalu? Dia?

"Saya kena panggil dengan Bahagian Sumber Manusia sebab selalu ke klinik. Sebab sudah tidak tahu hendak beralasan apa, saya buat keputusan untuk tidak pergi lagi. Saya tekad untuk tegur Mira dan cuba nasib berkawan."

"Awak ... Muhamad Zain Asri, ke?" Entah kenapa nama itu terus muncul di kepala aku. Nama yang pernah Kak Ani sebut kerana kekerapan datang ke klinik tanpa ada sebab sakit yang benar-benar sakit.

"Err ... ya, saya."

"Awak datang ke klinik sebab saya, ke?" Lurus dan telus aku menyoal dia.

"Ya. Maaf ..." Dia sudah tertunduk-tunduk sambil tangan menggosok belakang tengkuk.

"Kenapa buat macam tu?"

"Saya rasa ... saya ... suka Mira."

.
.
2114 pp

29 Apr 2021

09.30 malam

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro