Bab 6 - Perhati
ENTAH aku yang perasan atau, realiti. Selalu sangat perasaan rasa diperhatikan itu, mencuit-cuit. Sewaktu sedang memasukkan data ke dalam komputer, dan sewaktu kaki menapak ke surau.
Kadang-kala, ketika aku membelek buku-buku yang dijual di hadapan surau juga, perasaan itu jadi kuat. Seolah-olah, pemerhati itu berada dekat sangat.
Perasaan yang sudah beranak di dalam diri aku sebelum Yati muncul lagi. Bila dia muncul, kufikirkan, ia akan hilang. Mungkin yang memandang itu, dia. Baru sekarang dia berani menegur. Tetapi, bila kuhitung-hitung rasa, dan tempoh keberadaan Yati di kilang ini, tidak selari.
Yati baru mula bekerja sehari sewaktu dia menegurku di surau. Sedangkan, rasa diperhati itu sudah ada sebelum Yati bekerja. Malah, rasa itu semakin hari semakin kuat dan meyakinkan bahawa aku benar sedang diperhatikan.
Seminggu selepas aku memulakan kerja di sini, berlaku satu kemalangan dalam kilang. Seorang pekerja lelaki yang aku rasa, masih di awal usia 20-an telah ditimpa oleh panel besi yang melorot tiba-tiba. Kepalanya terbelah. Darah tidak berhenti mengalir. Sewaktu dibawa ke klinik, dia meraung. Aku yang melihat, jadi panik.
Tetapi, Kak Ani sebagai staff nurse berpengalaman hanya berlagak biasa. Darah dan luka besar di kepala pekerja itu ditangani seperti menangani luka terhiris pisau di jari sahaja.
Oleh kerana tiada doktor, Jess juga tiada, Kak Ani meminta aku membantunya. Dia akan menjahit kepala budak lelaki itu!
Jahit bukan dengan ubat bius, sebaliknya dijahit hidup-hidup! Melihat budak lelaki yang lebih kurang baya aku itu meraung, aku jadi berani pula. Malah, teruja pula hendak jadi nurse pembantu.
"Mir, tolong akak ambilkan jarum yang sederhana besar."
Di hadapan aku terbentang beg kain yang di dalamnya melekat beberapa jenis dan saiz jarum. Bukan macam jarum jahit baju yang lurus itu. Sebaliknya jarum jahit orang yang berbentuk macam mata pancing. Yang aku sudah awal-awal membayangkan bagaimana mata cangkuk itu ditusuk, lalu benangnya ditarik melalui kulit.
"Yang ini ke, kak?" Aku bersuara sambil menghulurkan jarum yang paling sederhana saiznya.
"Hah, ya betullah! Mir, takut tak? Nak tolong akak?" Kak Ani mempelawa tanpa menghiraukan manusia seorang yang tak habis meraung.
"Eh, nak!" Cepat aku mendekat. Waktu itu, budak lelaki yang kepalanya berjejeran darah, yang sedang dipegang oleh seorang abang berbadan gempal, mungkin rakan satu line dengannya atau mungkin juga penyelia, budak itu memanggung kepala. Memandang pada aku. Mata kami bertaut seketika.
Aku menghulurkan senyuman padanya. Yalah, kasihan kot. Berlubang kepala dia. Ingat tak sakit ke?
Dia, langsung diam. Tidak lagi meraung. Hanya mengaduh sedikit ketika Kak Ani memasukkan mata cangkuk ke kulit kepalanya yang terkoyak. Dia masih mengikat pandang. Aku lihat, dia seakan tenang bila aku terus menyulam senyum pada dia. Jadi, aku pun berdirilah di situ. Acah memberi semangat.
Kak Ani perasan tentang perkara itu, tetapi tidak berkata apa. Dia hanya tersenyum dan bermain mata dengan aku. Dia suruh aku terus berdiri dekat agar budak itu senyap. Mudah sedikit dia hendak menjahit kepala budak itu.
"Ada awek kat sebelah baru nak senyap."
Tiba-tiba abang yang pegang tubuh budak lelaki itu bersuara. Aku pun tersentap sama. Yalah, 'awek' yang dimaksudkan itu, diri aku kot! Mahu tak sentap!
Tersipu-sipu budak tersebut.
"Mir, tolong telefon Abang Amin. Minta dia datang cepat. Suruh dia bawa ambulans syarikat. Kena hantar ke hospital juga ni. Akak jahit sekadar nak tutup lubang luka, nak hentikan darah. Report pun kena buat. Ini dah jadi kes SOCSO."
Aku terus meninggalkan bilik rawatan. Sebelum pergi, sempat aku bagi senyuman lagi pada budak lelaki itu. Sajalah, buat ubat!
Abang Amin, adalah abang yang bertugas sebagai pemandu untuk urusan klinik kilang. Ada seorang lagi pemandu, Abang Shahril. Mereka berdua selalu bertukar tugas. Jika bulan sebelumnya, Abang Shahril bertugas sebagai pemandu kilang yang menguruskan penghantaran barang, surat untuk urusan pejabat, bulan akan datang, dia akan jadi pemandu klinik kilang pula. Abang Amin akan ambil tugasannya.
Jadi pemandu klinik kilang, kata Abang Amin dan Abang Shahril, memang macam banyak rehat. Tapi, bila ada kes, jadi cuak dan rasa berat sangat. Lebih-lebih lagi bila perlu bekerja shift malam. Kes kemalangan dalam kilang, bukan kecil-kecil kes. Bukan hanya luka kecil, tapi ada yang pernah membawa kepada kehilangan anggota badan.
Ngeri, kata Abang Amin.
Bila banyak kes, banyaklah pula hantu yang bertandang. Mesin yang pernah memotong tangan orang, yang pernah makan darah kepala orang, akan ditukar. Bukan kerana kepercayaan, tetapi ia seperti trauma kepada pekerja yang menggantikan tempat pekerja yang kemalangan itu. Jika tidak ditukar, mereka seolah-olah terbayang-bayang.
Sesuatu yang tidak mahu dipercayai, tetapi benar berlaku, akan berlaku. Iaitu, kemalangan seterusnya bila mesin tersebut tidak ditukar.
Kisah budak itu hilang, digantikan dengan kisah baru. Hampir setiap minggu bertukar kisah.
Aku mulai pasrah. Sudah boleh bertenang walaupun ada insan menggelupur di hadapan mata, terkena sawan.
Pintu klinik belum sempat dibuka, penyelia kilang sudah tiba mengusung pekerja. Lelaki juga. Pekerja shift malam.
Menggelupur macam ayam disembelih. Mulut berbuih. Aku memang tak tahu nak buat apa. Hanya berdoa agar Kak Ani cepat tiba. Bila Kak Ani tiba, dia minta budak itu diusung masuk ke dalam klinik.
Kak Ani tenang. Dia ke pantry meninggalkan aku yang tak sabar dengan ketenangannya. Tapi, dia datang semula dengan sudu besi yang sudah dibalut dengan kain putih.
Dipaksa-buka mulut mangsa, dan dia memegang terus sudu yang mulai digigit. Dalam masa yang sama, dia mengambil bacaan nadi budak itu.
Sebaik Abang Amin tiba, Kak Ani, penyelia dan budak yang diserang sawan itu pergi ke hospital. Dia kata hanya seketika. Lalu, aku ditinggalkan dengan percaya.
SETELAH hampir dua bulan bekerja si klinik dalam kilang, dengan pelbagai insiden yang menggugah jiwa, muncul satu lagi berita yang tak kurang hebatnya.
Jess telah diberhentikan oleh Klinik Doktor Morgan!
"Kak ... sebab Paulina ke? Aku bertanya pada Kak Ani, sewaktu Paulina naik ke pejabat Bahagian Sumber Manusia. Yalah, elok lepas Paulina masuk, peristiwa ini berlaku. Paulina kan jenis yang strict. Dia dengan Jess pun kulihat memang tak berapa ngam. Ada sahaja kerja Jess di dispensary yang tak kena dengan Paulina.
"Bukan."
"Kenapa dia diberhentikan, kak?" Aku jadi takut nak berbaik-baik dengan nurse baru, gadis India yang kecil tubuhnya itu. Takut jadi macam Jess. Aku rasa bersalah, rasa kehilangan juga. Jika aku nasihatkan Jess lebih awal akan implikasinya, tentu Jess masih sempat diselamatkan. Memang perlakuannya salah. Tapi, dia tak jahat. Itu yang aku percaya.
Segala bukti dan penyaksian terhadap salah laku Jess, tidak jadi aku kongsikan dengan Kak Ani bila aku tahu latar belakang hidup Jess itu sendiri.
"Doktor Morgan itu pak cik aku."
Oh, okey. Aku terus mendengar. Waktu kami berbual ini adalah di waktu jam tiga hingga empat. Doktor sudah pulang. Kak Ani dengan kerjanya. Paulina belum masuk bekerja lagi. Jess sedang melakukan inventory. Seperti biasa, dia akan mengambil balang ubat batuk dari kabinet ubat di bilik Doktor Morgan. Balang yang sebesar botol minyak masak 2 kg beratnya.
Aku lihat dia ada botol lain yang dikeluarkan dari begnya. Entah kenapa, dia tidak takut pada aku. Sedangkan dia tahu yang mencuri ubat batuk di hadapan aku itu berisiko untuk aku laporkan kepada Kak Ani. Tapi, dia tanpa sangsi melakukannya.
"Kau betray pak cik sendiri?" Aku bertanya, tanpa ragu.
"Tak. Dia sudah cukup kaya. Aku ambil sedikit sahaja sebagai tambahan belanja."
Yakin sungguh dia menjawab. Tidak tahukah dia jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara?
"Duit gaji kau tak cukup ke?"
"Duit, mana pernah cukup. Lagipun, aku nak kahwin. Boyfriend aku yang suruh aku ambil."
"Pak cik kau ... tahu?"
"Mungkin."
"Dia tak pernah tanya?"
"Dia marah. Tapi, tak lama sebab dia kasihankan aku dan keluarga aku. Adik dia, ayah aku sudah abaikan kami. Hidup kami miskin sangat. Aku pernah kerja jadi kontraktor binaan masa kecil. Aku tak bersekolah. Dia takut aku buat kerja yang lagi jahat sebab terdesak, dia ambil aku bekerja."
"Kau pula buat jahat pada klinik dia." Aku membidas. Aku tak setuju walaupun rasa kasihan itu berlingkar. Yang salah tetap salah. "Kau nak jadi macam ayah kau, buat perkara salah dan kemudian tak rasa bersalah pada orang lain?"
"Kau nak bagi tahu pada Ani, ke?"
Dia menduga aku.
"Kau, rasa?"
Dia ketawa. "Orang macam kau tak pernah berani. Kau akan rasa bersalah kalau sebab aduan kau, orang miskin macam aku masuk ke dalam penjara."
Aku terdiam. Dia betul. Dia sudah belajar mengenal diri aku. Memang aku jenis yang tidak sampai hati. Tapi, aku tidak mahu mengaku. Aku hanya mendiamkan diri sebelum kubalas, "Sepandai-pandai tupai melompat, akan jatuh ke tanah. Orang yang buat salah, akan tiba satu masa menerima pembalasan. Walaupun bukan aku yang mengadu, mungkin akan ada orang lain yang tahu. Yang sudah lama memerhatikan kau. Kau tak rasa, ke?"
Dia hanya ketawa. Nampaknya, memang dia dah bersedia untuk menerima apa sahaja implikasi daripada keberaniannya ini.
"Mir ..." Teguran Kak Ani membuatkan aku tersedar. "Kenapa? Tak payah rasa bersalah. Sebelum Mir, akak dah tahu awal semua kegiatan dia. Kami tunggu masa. Lagipun, Doktor Morgan itu ayah saudaranya."
Aku menarik senyum, pedih. Kerana kasihan, kejahatannya lebih tidak terubat. Kasihan yang tidak bertempat.
"Dia bukan dibuang kerja kerana mencuri ubat batuk, Mir."
Aku terdongak.
"Dia dibuang kerja kerana menyalahguna harta kilang. Yang bukan harta pak ciknya. Jadi, kami terpaksa ambil tindakan. Doktor Morgan juga diberi kata dua oleh pihak syarikat jika dia ingin meneruskan perkhidmatannya sebagai doktor dalam kilang. Kerana itu, Doktor Morgan memberhentikan Jess. Jangan risau. Tiada kaitan dengan Mir.
Jangan pernah rasa bersalah di atas sesuatu yang bukan salah Mir. Sedangkan, orang yang benar-benar bersalah, terus bahagia dengan kesalahan. Hati dia telah mati, tetapi hati kita yang hidup ini tidak perlulah dihidupkan terus dengan kesalahannya."
Aku menarik nafas, dalam. Melayang senyum kepada Kak Ani sebelum teringat untuk bertanya, "Kak, dia guna harta kilang yang mana, sampai boleh jatuh hukum?" Kena tanya, takut perkara yang sama kena pada aku pula. Sedangkan aku tak tahu ia satu kesalahan.
"Dia gunakan telefon syarikat untuk bergayut dengan boyfriend dia. Bil klinik jadi tinggi. Kak Pah sudah lama kesan kegiatan Jess yang satu ini. Bila cukup bukti, baru kami panggil semuanya. Mir tak guna telefon syarikat untuk bergayut dengan boyfriend, kan?"
"Eh, akak ni ... Mir, boyfriend pun tak ada!" Semerta juga aku menekup mulut. Ya Allah, suaraku terkuat! Kau saja nak umum pada semua orang yang kau tak ada boyfriend ke, Nur Mira Iliyani?
Pada waktu itu, rasa yang satu itu muncul lagi. Rasa seperti diperhati. Cepat aku menoleh ke arah ruang di mana pekerja kilang menantikan rawatan. Aku memerhati setiap seorang daripada mereka. Ada pekerja wanita yang menyarung baju seragam mengandung. Dia sedang melentokkan kepala di dinding berhampiran. Sesekali, terlihat dia menghela lelah. Mungkin penat mengusung perut yang besar, dengan tubuhnya yang lebih kurang tubuh aku sahaja. Anak pertama, mungkin.
Jarak dua tiga bangku, menghala ke arah kanan, terlihat seorang pekerja lelaki yang agak berumur, sedang enak, tidur. Mulutnya melopong. Penat benar nampaknya. Rambut dan misainya, bercampur hitam dan putih. Agak berisi tubuhnya. Pakaian seragam biru-kelabunya comot dengan kesan calitan hitam. Mungkin minyak daripada mana-mana mesin yang ditanganinya. Ya, dia mungkin pekerja dari bahagian penyelenggaraan.
Di barisan tengah pula, ada dua tiga orang yang agak muda sedang berbual. Tidak nampak mereka itu seperti orang yang sedang sakit. Sesekali lepas tawa. Aku menggeleng. Ini yang Kak Ani kata, antah beras yang sering cari peluang untuk ponteng kerja. Karakter mereka boleh bertukar serta-merta. Sekarang sihat, bila di hadapan doktor terus layu ibarat daun-daun pokok yang tidak bertemu dengan cahaya matahari, macam nak mati!
Tepat, bertentangan dengan pejabat aku ... ada seorang lelaki. Agak muda juga. Tetapi, dia hanya menunduk. Tidak jelas sangat wajahnya ketika dia menunduk. Tetapi, bila diangkat wajahnya, dipalingkan ke sisi, nampak tulang wajahnya yang timbul. Kurus orangnya. Aku mengagak, tinggi juga. Kulit wajah, dari sisi agak putih bagi seorang lelaki. Ada kumis dan janggut sejemput. Halkumnya jelas.
Mungkin sedar yang aku sedang memerhati, dia tampak gelisah. Sekejap menunduk, sekejap mencari sudut pandang di sisi kanan dan kiri. Semakin asyik pula aku memerhatikan dia. Rasa hendak ketawa pula bila dia tahu aku sedang memerhati dan dia jadi tak senang duduk.
"Mir ..." Sapaan Kak Ani membuatkan aku pantas berpaling ke belakang. Aduh, leherku rasa tergeliat bila berpaling cepat begitu. Memanglah Kak Ani tidak menjerkah, tetapi sapaannya buat aku terkejut dan malu. Tengah ushar anak bujang orang, kot! Tiba-tiba Kak Ani menegur.
"Tengok apa?" soal Kak Ani bila aku tidak menjawab.
"Err ... tak ada apa-apa, kak. Saja tengok orang-orang kat luar tu ... macam-macam 'pesen' ada." Terus aku ketawa. Cuba kawal malu bila terkantoi membelek orang.
23 April 2021
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro