Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5 - Orang baru

SUDAH jarang aku dan Intan bertemu. Tidak pasti pula adakah rehat Intan sudah normal atau masih mengikuti jadual rehat anjal. Aku sendiri sudah tidak menjejakkan kaki ke kantin. Memang makan pagi dan tengah hariku, di dalam klinik. Di pantry.

Walaupun tanpa Kak Ani, sebab Kak Ani akan ke jabatan lain untuk makan bersama rakan-rakannya, aku tetap memilih untuk makan di pantry. Tetap juga seorang walau di mana-mana pun.

Potensi untuk berkawan-kawan itu, ada. Mungkin akan bertemu dengan rakan baru dari bahagian atau jabatan lain jika aku makan di kantin. Tetapi, tidak mengapa. Aku tak rasa ingin meletakkan harapan. Aku masih rasa tidak selamat untuk makan di tempat terbuka yang ramai manusia, yang tidak kukenal walau seorang.

Walaupun sudah melepasi sebulan bekerja, tetapi aku tidak diberikan pakaian seragam. Hendak kutanyakan kepada Kak Ani, rasa segan pula. Lagi pun, aku sedar yang aku hanyalah pekerja kontrak di bawah ejen pencari kerja.

Gaji aku sendiri, sebagaimana yang diterangkan oleh Kak Ani, bukanlah dibayar terus oleh kilang ini. Sebaliknya, akan diuruskan oleh syarikat yang menghantar aku ke sini. Kak Ani kata, segala kerja lebih masa yang aku buat, memang direkodkan di dalam kad dan setiap hujung bulan ejen akan menerima maklumat tersebut.

Dari situlah mereka mengira gaji aku dan dimasukkan ke akaun bank aku. Slip gaji secara terperinci pula akan diposkan ke rumah.

"Mir tak mahu kerja dengan kilang ke? Nanti akak boleh bincang dengan Kak Pah. Lebih terjamin dan lebih untung."

Suatu hari, Kak Ani bertanyakan perkara itu. Mungkin juga, hal aku ini ada dibicarakan Kak Ani dengan rakan-rakan makan tengah harinya. Salah seorang, tentulah Kak Pah, pegawai dari Bahagian Sumber Manusia.

"Mir kerja sementara sahaja, kak. Mir ini menunggu panggilan ke universiti."

"Oh ..."

Sedikit kecewa bunyi nada suara Kak Ani.

"Kawan Mir, Intan? Mir tahu yang dia sudah membatalkan kontrak pekerjaannya dengan Tele-temp?"

Sumpah aku terkejut. Aku tidak tahu pun. Memang aku akui sudah lama aku dan Intan tidak berhubungan, tetapi perkara penting macam ini, takkanlah tidak boleh dimaklumkan kepada aku? Bukan tidak ada telefon!

"Mir ... tak tahu?" Kak Ani nampak seakan menyesal berkongsikan cerita tentang Intan bila dilihat aku terdiam. Dia dapat baca riak muka aku yang berubah, muram. Mungkin juga, kesal.

Aku hanya menunduk dengan gelengan kecil. Aku tidak mahu menyalahkan Intan. Tidak ada guna pun jika aku berbuat begitu. Perlahan-lahan, aku mulai sedar dan reda dengan sikap teman aku. Dia mungkin sudah menemui kawan baru. Ada atau tidak aku ini, bukan kudis pun baginya.

"Kak ... kawan Mir dah tandatangan surat kerja dengan kilang ke?" Cuba kumaniskan wajah, menolak gusar yang tadinya melata. Tidak mahu Kak Ani runsing dengan keadaan aku yang tersisih secara tiba-tiba.

"A'ah, Mir. Bukan senang kilang nak serap budak kontrak menjadi pekerja tetap. Kawan Mir kerja bagus, jadi dia mendapat rekomendasi daripada penyelianya. Mir pun kerja bagus. Akak sayang dengan Mir. Sebab itu akak, kalau boleh mahu Mir kerja terus di bawah kilang, bukan ejen."

Aku menarik senyum lebih lagi. Terpujuk sedikit hati ini bila ada yang jujur menyayangi aku. Sedangkan, hubungan aku dengan Kak Ani, masih baru. Kalau bayi, dianggap masih merah lagi. Baru melepasi fasa sebulan.

"Mir pun suka kerja di sini, dengan akak. Selesa sangat. Tetapi, itulah ..." Aku gantung kata-kata dengan segaris senyuman.

"Eh, jangan rasa bersalah. Akak sebenarnya tak tahu Mir sedang menantikan panggilan universiti, sebab kawan Mir terima serapan yang dicadangkan. Akak fikir, Mir pun sama. Kawan Mir tak tunggu panggilan?"

"Oh, tak kak. Dia tak mohon pun."

"Kenapa?"

Aku membalas hanya dengan senyuman. Kak Ani pun faham. Dia tidak lagi menyoal. Intan memang sudah memberitahu pada aku awal-awal sewaktu keputusan STPM keluar. Dia tidak akan menyambung pelajaran. Dia ingin bekerja. Mahu pegang duit. Terlalu banyak yang ingin dibeli dengan duit sendiri.

Dia seorang yang suka bergaya. Lagi pula, keputusan peperiksaannya tidak meyakinkan dia. Puas juga aku suruh dia mohon saja. Kita tidak pernah tahu rezeki yang Allah aturkan untuk kita. Mana tahu, jika kena dengan kursus yang dipohon, tidak mustahil untuk diterima.

Tetapi, dia menolak. Aku pun tidak mahu memaksa. Dia punya perancangan sendiri terhadap jalan hidupnya.

"Hmm ... tak lamalah ya, Mir kerja dengan akak." Kak Ani usap-usap bahu kanan aku. Malu pula rasanya bila diperlaku begitu.

"Kalau akak ada adik lelaki, nak juga akak kenen-kenenkan dengan Mir. Tutup aurat, jaga solat ... rapat dengan mak ayah. Hormat orang tua. Malu meninggi ..." Bertele-tele Kak Ani memuji aku.

Dan, aku bersyukur dia tidak ada adik lelaki. Tak fasal aku berhenti kerja pula nanti bila Kak Ani jalankan misi. Sejujurnya, Kak Ani tidak tahu siapa aku. Aku bukan seorang yang dia kenal kini. Aku pernah melalui jalan-jalan jauh daripada Tuhan. Tetapi, Allah tutup aib aku. Mana mungkin untuk kudedahkan pula kepada yang bernama insan.

Petang itu, Kak Ani memberitahu bahawa akan ada seorang staff nurse yang akan masuk bekerja di dalam klinik ini.

Menurut Kak Ani, sebelum aku masuk sebagai staff sokongan, ada seorang rakan sekerja Kak Ani yang lain. Yang sama-sama memegang jawatan sebagai staff nurse. Akak itu sudah berhenti atas sebab-sebab keluarga. Kerana itu staff sokongan diperlukan bagi membantu Kak Ani sementara menanti rakan pengganti.

Bila melihat prestasi kerja aku dan keadaan operasi klinik yang semakin tersusun semenjak ada aku, Kak Ani rasa dia memang memerlukan staff sokongan tetap. Bukan lagi kontrak. Dia ingin aku mengisi jawatan itu. Sayang sekali, jodoh di antara pekerja dan penyelia ini tidak dapat dipanjangkan.

"Mir, staff nurse baru itu berbangsa Cina."

Aku mengangguk.

"Jadi ..."

Aku memanggung kepala, menantikan bicara Kak Ani yang seterusnya.

"Kita sudah tidak boleh solat di bilik stor sebelah pantry itu lagi. Nanti, apa pula katanya."

Oh, itu yang sebenarnya Kak Ani ingin sampaikan.

"Tak apa, kak. Saya tak kisah pun. Boleh sahaja saya ke surau."

"Betul? Tak kisah?" Kak Ani angkat kening sebelah.

Aku ketawa.

Dia juga turut ketawa. Dia faham perasaan aku yang terpaksa melalui kawasan lepak kaum Adam itu.

"Tapi kan Mir ... akak tetap nak solat di bilik stor itu juga. Tapi, Mir jangan ikut degil akak. Akak ada dua sebab yang kuat. Mir, tak ada."

Wah, sesuatu juga Kak Ani ini.

"Satu ... sebab akak ini mengandung. Tak larat nak menapak jauh ke surau. Lagilah bila kena panjat tangga."

Aku mengangguk-angguk. Aku tak kisah pun jika Kak Ani dapat keistimewaan tersebut. Aku tak akan dengki.

"Yang kedua, akak senior kot di sini. Siapa dia nak larang akak, ya tak?" Usai bercakap, Kak Ani ketawa.

Hish, nakal juga mak budak ni!
.
.

SEHARI selepas bicara aku dengan Kak Ani tentang staff nurse yang baru itu, tuan punya badan pun masuk. Peramah juga. Fasih berbahasa Melayu. Cuma, nampak seolah-olah dia tidak pandai bersuka-suka. Dia seorang yang tegas dan patuh pada peraturan.

"Hai, saya Paulina."

"Nur Mira Iliani. Panggil, Mir."

Kami berjabat tangan.

"Saya dengar daripada Ani yang prestasi kerja awak sangat baik. Kenapa tidak bekerja terus dengan kami?" Paulina bertanya pada pagi esoknya, ketika kami sama-sama minum di pantry. Kak Ani belum masuk lagi. Semalam, Kak Ani sudah serahkan kunci klinik kepada Paulina untuk dibuka setiap hari.

Kak Ani bolehlah berlambat-lambat bila sudah ada back-up. Lagipun, Paulina perlu membiasakan diri dengan operasi klinik. Kak Ani, dalam sebulan dua ini dijangka bersalin. Ah, macam satu komplot pula. Aku juga menjangkakan panggilan masuk ke universiti kiraannya sekitar itu juga. Kasihan Paulina!

"Saya tunggu panggilan ke universiti." Aku menjawab. Tidak pasti mengapa maklumat yang satu ini tidak sampai ke pengetahuan Paulina. Sedangkan, Bahagian Sumber Manusia sendiri sudah sedia maklum. Kak Pah, minta aku maklumkan padanya jika surat tawaran ke universiti tiba. Dia ingin mencari pengganti aku.

"Oh, I see. Good luck!"

"Paulina, saya nak ke surau ya." Aku meminta izin.

"Eh, boleh! Tentu. Silakan. No need my approval. Just mention you nak ke mana. Itu sahaja. Senang untuk I beritahu pada management kalau you hilang."

Serius, aku senang dengan Paulina ini. Walaupun pada awalnya, sangkaan kami dia tidak pandai bersosial dan strict. Masih ada lelucon dan toleransi.

Aku kembali kepada keadaan mula-mula aku bekerja, dahulu. Kembali ke surau dengan melalui jalan yang dipenuhi kaum Adam. Aku tundukkan pandangan. Menggenggam malu yang tidak pernah berkurang.

Kilang ini waktu rehatnya dipecahkan kepada tiga sesi mengikut jabatan. Tidak boleh rehat serentak kerana kapasiti kantin dan tempat rehat tidak mencukupi. Rehat pula ada tiga kali rehat. Pagi, tengah hari dan petang.

Sewaktu aku ke surau untuk solat zohor, kawasan ini tetap ada yang melepak. Yalah, waktu rehat petang mereka. Walaupun singkat, memang tidak akan dilepaskan!

Surau juga agak penuh bila aku bertembung dengan waktu rehat petang pekerja.

"Assalammualaikum ..."

Pantas aku menoleh. Seorang gadis, berbaju kurung sedang melayang senyum. Kubalas sebelum dia dahulu menghulur salam.

"Yati ..." katanya memperkenalkan diri.

"Nur Mira Iliani. Panggil, Mir."

Dia tarik senyum lagi. Manis walaupun bintik-bintik jerawat melatari pipi kanan dan kirinya. Jerawat kecil, sebiji dua. Ketara terlihat dengan keputihan kulit merah, Yati.

"Orang baru juga?" tanyanya.

"Ya, baru sebulan."

"Oh ... saya baru sehari!" Dia ketawa. "Eh, orang dah berkurang. Jom kita solat. Kalau Mir selesai dahulu, tunggu saya, ya."

Patah tumbuh, hilang berganti. Intan menghilang, Allah gantikan dengan Yati. Pertemuan itu membimbit persahabatan yang erat di antara kami. Tidak hanya di dalam kilang, tetapi membawa kepada luar kilang. Nyata, kami serasi.

21 Apr 2021
04.00 petang

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro