Bab 4 - Ubat
SEMINGGU berlalu. Aku semakin selesa bekerja di sini. Aku juga sudah nampak bagaimana perjalanan dan proses kerja di klinik. Setiap pagi, sebaik sampai, kami akan bersarapan bersama, di pantry. Melihat Kak Ani yang jarang ke kantin, sebaliknya lebih selesa membawa bekal, aku juga mengikuti cara Kak Ani.
Cuma yang tidak sama adalah, Kak Ani memasak bekalnya sendiri. Sementara aku, mak yang memasaknya setiap pagi. Aku memang tidak pandai memasak!
"Mir yang masak ke nasi goreng ni?"
Cepat aku menggeleng. Sambil menyudahkan kunyahan, aku tersengih, "Tak pandai masak!"
Kak Ani ketawa. Memang aku tidak segan-segan mengakui kekurangan.
"Tak boleh kahwin lagilah ni?" canda Kak Ani.
Terus aku menggeleng, "Tak, kak. Tak terfikir pun nak kahwin." Aku menyambung dengan tawa.
Begitulah setiap hari. Sambil kami bersarapan, sambil kami berbual dan mengenali di antara satu sama lain.
Kak Ani rupa-rupanya, mengandungkan anak ketiga. Kufikir, ini anak sulungnya. Susun tangga, anak Kak Ani. Dia berkongsi kisahnya yang bersalin, setahun satu. Tanpa silu. Aku yang mendengar, rasa ngeri.
"Sakit tak kak, masa bersalin?" Suatu hari, aku bertanya. Waktu itu, aku sudah sebulan bekerja di klinik dalam kilang. Aku lihat, perut Kak Ani semakin membesar dan seakan berat pembawakannya. Risau juga jika tiba-tiba Kak Ani bersalin di sini. Bukan sekadar jadi bidan terjun aku nanti, mahu jadi jururawat yang perlu menguruskan bayi.
Janganlah ... aku tak pernah terfikir nak menghadap darah orang bersalin. Pastinya melimpah keluar bersama dengan bayi dan segala jenis cecair. Tentu kelam-kabut jadinya aku. Pasti tidak tahu hendak mengurus yang mana satu. Ibu atau bayi?
Malah, mahu kuurus mereka, atau emosi aku sendiri?
"Tak sakit."
Melopong aku dengan kenyataan Kak Ani. Pertama kali aku disajikan dengan jawapan yang berbeza. Mak dan mak cik-mak cik aku sendiri, menakut-nakutkan aku dengan kesakitan. Malah mengulang cerita akan dosa jika seorang anak itu melawan ibu, selepas ibu menanggung sakitnya bersalin.
Memang cara mereka menakut-nakutkan aku itu berkesan. Takut untuk aku membantah setiap arahan mak.
"Selalu, orang kata ... sakit. Macam mana akak kata tak sakit?" Aku cungkil rahsia Kak Ani.
"Entahlah Mir. Satu, mungkin keturunan agaknya. Mak akak, dan mak cik-mak cik akak pun begitu. Proses bersalin memang mudah. Ada di antara mak cik akak yang sedang masak, tiba-tiba rasa macam nak buang air, terus dia panggil suaminya. Dia tahu yang itu bukan sakit nak buang air, tapi nak bersalin.
Bawa ke hospital, dalam perjalanan tu, air ketubannya pecah, tak sampai beberapa minit terus lahir. Mujur juga hospital dekat dengan rumah. Baby keluar betul-betul depan pintu masuk hospital. Tersangkut pada seluar dalam. Sempatlah petugas hospital menyambutnya daripada jatuh."
Tidak tertelan air liur aku mendengarkan cerita Kak Ani. Mata, tidak lepas daripada memandang wajah Kak Ani yang bersahaja.
"Ada sepupu akak tu pula, Mir, baby keluar sewaktu dia dalam tandas. Dia ingat sakit nak buang air. Dia tak ada pengalaman macam mak cik akak tu. Nasib baik juga masa itu, dia sudah berada di hospital. Sewaktu hendak duduk di tandas, hendak buka seluar, terasa ada benda di lubang faraj. Rupa-rupanya kepala bayi.
Terus dia pakai balik seluarnya, dan berjalan keluar dari tandas hospital. Nampak sahaja petugas hospital, terus dijeritnya. Memang kelam-kabut jugalah. Doktor dan jururawat pun terkejut. Masing-masing sibuk bertanya, tak ada rasa sakit langsung ke? Tak rasa air ketuban pecah ke? Sepupu akak menggeleng. Dia tak tahu apa-apa. Air ketuban yang pecah, disangkanya kencing yang melimpah!" Kak Ani ketawa.
Seriuslah! Memang rezeki setiap seorang perempuan itu berbeza agaknya. Cerita-cerita Kak Ani membuatkan aku mengubah perspektif pandang aku pada proses kelahiran. Ada juga rupanya kisah-kisah mudahnya melahirkan!
Semoga, jika ada rezeki aku berpasangan, ada rezeki mengandung, aku juga mengharapkan sedikit kemudahan. Tidaklah mudah sangat macam ahli keluarga Kak Ani. Tetapi, tidak juga terlalu payah. Jika diizin Tuhan, biarlah ia sakit yang boleh kuhadap. Sakit yang kemudiannya meninggalkan ingatan, yang aku pernah melahirkan hamba Tuhan.
Biasanya, kami makan pagi tidak lama. Klinik akan didatangi oleh para pekerja seawal pagi lagi. Kadang-kadang, sama munculnya mereka dengan ketibaan aku dan Kak Ani. Pintu klinik belum terbuka, mereka sudah menanti di luar pintu kaca.
Doktor dan jururawat hanya akan tiba sekitar jam sembilan setengah pagi. Tetapi, kerana mereka benar tidak sihat, sebaik tiba di tempat kerja, maka klinik jadi sasaran utama. Lagi pula, bolehlah tunjuk pada supervisor wajah sakit mereka itu. Bukti yang mereka tidak menipu! Nampaklah ada inisiatif mereka cuba datang kerja, tapi masih tidak mampu bekerja.
Sewaktu mula-mula dahulu, aku segan juga bila nak masuk ke pejabat, terpaksa melalui beberapa orang manusia, lelaki di tempat menunggu dalam klinik. Tetapi, sebulan berlalu, aku sudah lali. Aku hanya perlu berjalan laju dan masuk ke pejabat aku. Bila sudah berada di dalam, walaupun masih boleh dipandang, aku sudah tidak segan.
Kaunter pejabat, dibina agak tinggi juga. Jika mereka hendak melihat aku bekerja, sewaktu menantikan giliran berjumpa doktor, mereka perlu berdiri. Jika duduk, tidak nampak. Aku pun tidak terfikir yang akan ada manusia di kalangan mereka yang datang ke klinik ini untuk melihat aku. Mereka datang sebab sakit, kot!
Aku semakin cekap. Kak Ani pula, semakin tidak tahu hendak bagi kerja apa lagi. Aku sendiri yang mencari kerja. Menyelongkar fail-fail pesakit yang rosak dan kugantikan dengan sampul fail yang baru. Kak Ani suka bila aku buat begitu. Malah, dia minta Kak Pah, kakak yang bekerja di Bahagian Sumber Manusia, menghantar fail-fail kosong ke klinik.
Aku susun dan kemaskan fail-fail di dalam drawer mengikut alphabetical order. Sesekali, aku ralit membaca, cuba memahami tulisan doktor.
Memang susah nak faham! Tulis macam main tarik-tarik sahaja. Cantik juga, tetapi aku yang sukar hendak faham. Pernah aku berbual dengan Jess tentang perkara ini. Kata Jess, bila sudah hari-hari menghadap tulisan yang sama, bukan satu masalah pada dia.
Aku selalu minta izin pada Kak Ani untuk ke tempat Jess, di dispensary. Tempat yang kuat bau ubatnya.
Kak Ani izinkan. Cuma pesannya, jangan tolong Jess! Mula-mula, aku tak faham mengapa. Tetapi, lama-kelamaan, aku nampak alasan Kak Ani. Jess memang seorang yang suka mengambil kesempatan di atas kebaikan orang!
Selain memberikan ubat mengikut deskripsi yang doktor tulis pada rekod pesakit (pekerja), Jess juga bertanggungjawab untuk refill ubat-ubat yang ada. Daripada sebuah bekas besar, ubat-ubat dalam bentuk cecair, seperti ubat batuk itu akan dimasukkan ke dalam botol-botol kecil mengikut sukatan.
Pernah beberapa kali aku membantu Jess. Tetapi, masa itu aku tidak memaklumkan pada Kak Ani. Dan, Jess mengarah aku itu dan ini.
"Kau tolong ambil botol-botol kecil di bilik doktor."
Waktu itu, Jess datang awal untuk urusan pengisian semula ubat-ubat. Dia datang sendirian. Awal satu jam berbanding doktor. Pemandu klinik milik doktor itu yang menghantarkan Jess untuk datang ke klinik dalam kilang ini.
Aku yang lurus bendul, akur. Kuikutkan sahaja. Pada aku, tidak berat mana pun kerja itu. Tetapi, bila Kak Ani perasan yang aku banyak meluangkan masa dengan Jess, itulah yang ditinggalkan pesan. Dia tidak melarang asalkan kerja hakiki, telah kuselesaikan.
Dan, pesanan Kak Ani itu meninggalkan tanda tanya di benak aku. Lama-kelamaan, aku sedar. Bantuan aku itu telah diambil kesempatan oleh Jess. Barulah aku buka mata sewaktu aku membantu dia, dia pula hanya mengilatkan kuku sambil mengarah pelbagai perkara.
Aku memang telah dibutakan dengan niat hendak menolong seorang kawan. Hendak menggapai kepercayaan. Sebaliknya, aku dipergunakan.
Silap bila Jess fikir aku akan selamanya menjadi keldai. Bila aku sedar akan hakikat persahabatan yang aku impikan, dengan yang dia impikan itu tidak sama, maka aku ambil langkah sebaliknya.
"Mir, hari ini kau tolong tuang ubat dalam botol kecil, ya!" Jess mula mengeluarkan arahan.
"Aku ada kerjalah, Jess. Kau buatlah kerja kau. Aku nak settlekan kerja aku." Mudah aku mencipta alasan. Aku juga sudah mengehadkan waktu aku dengan dia. Lebih-lebih lagi bila dia melakukan satu jenayah, mencuri!
Ya, aku menjadi saksi Jess mencuri berbotol-botol ubat batuk. Pada mulanya, bagi seorang budak lurus dan tidak tahu apa macam aku, aku tidak terfikir yang ubat batuk itu ada nilai di pasaran. Ubat, kot! Siapa sahaja yang nak mentedarah ubat? Aku ... diberi percuma pun aku mengelat. Apatah lagi untuk mendapatkannya dengan wang.
Rupa-rupanya, aku silap. Ubat batuk adalah di antara ubat kawalan. Bukan sebarangan boleh dijual, atau diberi tanpa preskripsi daripada doktor. Jess tahu nilai sebotol ubat batuk, malah sebalang. Dalam diam, dia mencurinya setiap hari sewaktu proses menuangnya ke dalam bekas-bekas kecil. Dia tidak ambil sekali banyak. Hanya dalam kuantiti kecil.
Entah berapa lama dia sudah melakukannya. Aku pasti, jika dalam sebulan aktiviti itu berterusan, tidak mustahil ubat yang terkumpul sudah berbalang-balang. Entah berapa pula harga jualannya. Siapa pula pembeli utama.
Banyak yang bermain di minda aku. Mulalah mood menyiasat aku menyala! Tetapi, aku perlu mendapatkan maklumat tanpa Jess sedar yang aku ini bukan lagi kawan. Sebaliknya, seseorang yang menentang perbuatannya.
Aku tidak akan mengadu, tetapi aku akan pastikan yang dia tidak akan dapat meneruskan aktivitinya dengan cara yang paling halus. Masa untuk bertindak, Mir! Kau mungkin bukan polis yang berbakti pada negara, tetapi untuk menjadi wira yang tidak didendang, yang bersedia berkhidmat tanpa dilihat, boleh sahaja.
Aku punya agenda. Maaf, Jess.
21 Apr 2021
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro