Bab 36 - Kecelakaan
AKU memandang pada Affan. Dia nampak tenang.
"Mira dan Affan berbincanglah. Akak ke tandas dahulu." Kak Nafisah menolak kerusinya ke belakang. Mengangguk sekali pada Affan sebelum berlalu meninggalkan aku berdua dengan Affan di meja restoran makanan segera.
"Macam mana pendapat awak?" Takut-takut aku bertanya. Lebih takut bila dia merenung aku tanpa berkelip mata.
Aku cuba balas balik, tapi tak mampu. Akhirnya aku menunduk. Sesekali, aku melihat ke luar restoran. Memandang manusia yang lalu lalang. Rasa simpati terhadap Zain sangat kuat. Sama kuat dengan rasa serba salah pada Affan. Aku pernah kata yang aku tidak akan bertemu dengan Zain lagi bagi menghormati perasaan Affan. Tetapi, keinginan hati jadi begitu kuat untuk bertemu Zain, selepas mendengarkan kisahnya.
Hari pertemuan aku dengan Kak Nafisah, Affan ikut. Aku tak kisah, malah seronok sebab itu peluang aku tahu kisah Zain tanpa membelakangkan Affan. Malah, tak perlu aku ulang cerita bila dia turut mendengar sama.
"Mira ..."
Terus aku berpaling, memandang ke wajah Affan.
"Kalau saya kata ... tak payah?"
Terkebil-kebil mata aku memandang Affan. Mencari simpati. Wajah itu tetap tampak tegas dengan kata-kata yang baru terlafaz.
Aku mengalih pandang. Menunduk melihat cincin di jari sebelum kembali mendongak memandang pada Affan. Sebak mulai menyusup, tetapi kutahan. Ini ujian yang Allah beri untuk menguji kepatuhan aku kepada bakal suami. Aku perlu belajar menurunkan ego dan mematahkan kehendak hati.
Akhirnya dengan berat hati, aku mengangguk, "Baik. Saya tak pergi." Air mata berladung. Aku tak mahu Affan nampak. Tentu dia akan rasa kecewa.
"Betul? Tak apa?" Dia tanya, dalam tegas suara.
Laju aku mengangguk. Tapi, masih dalam keadaan menunduk.
"Tak menyesal? Mana tahu lepas ni ..." kata-kata Affan tergantung sebelum aku terdengar helaan. "Maaf. Saya tak berniat mendoakan kematiannya. Cuma ..."
"Tak apa. Err ... saya ke tandas dulu ya. Nanti kalau Kak Nafisah dah kembali suruh dia tunggu saya. Jangan bagi dia balik dahulu." Aku terus bangun dan berlalu tanpa menantikan balasan daripada Affan. Laju aku berjalan. Tak sabar nak masuk ke dalam tandas dan melepaskan tangisan. Aku tak menyesal. Cuma sedih bila aku tak mampu berdepan buat kali terakhir dengan seseorang yang pernah hadir dan mencuit rasa yang satu itu. Dia yang pertama. Dan sekarang, dia ditimpa bencana.
Aku nak selesaikan masalah hati aku dulu dengan membuang segala rasa - sebak, kesal ... dan apa sahaja. Aku hanya nak tinggalkan rasa reda dan bersyukur sebab aku tahu keadaan Zain juga akhirnya. Dan, aku ada Affan yang akan menjadi teman seumur hidup. Yang akan mengajar aku erti patuh, taat sebagai seseorang yang akan dinikahi.
.
.
.
SEWAKTU aku kembali ke meja, kulihat hanya Kak Nafisah seorang yang ada. Tercari-cari aku akan kelibat Affan.
"Mana Affan, kak?" Aku tarik kerusi lalu duduk di hadapan Kak Nafisah.
Dia yang seakan baru tersedar ketibaan aku, terus memerhati sekeliling.
"Eh, dia pergi cari Mira tadi. Tak bertembung?"
Aku menggeleng. Rasa bersalah pula pada Affan. Aku sudah lama keluar dari tandas. Tetapi aku berjalan-jalan dahulu. Masuk dari satu kedai ke satu kedai dalam pasaraya tersebut. Niat aku hanya untuk menenangkan perasaan dan menghilangkan kesan tangisan.
"Mira makanlah ais krim tu dulu. Akak dan Affan dah makan tadi. Affan yang beli. Bila dia tengok ais krim Mira semakin mencair, itu yang dia bangun, cari. Cepat makan. Nanti tak sedap."
Aku melihat sekali lagi ke sekitar.
"Makanlah Mira. Sekejap lagi dia baliklah. Lagipun kita dah nak gerak lepas ni. Kita naik kereta asing-asing, ya!"
"Pergi mana, kak?"
"Laa ... tadi bukan Mira dan Affan dah berbincang?"
Aku jadi keliru.
"Affan kata, Mira jadi nak tengok Zain."
Terkejut aku. Bukankah Affan tak izin? Kenapa kenyataan Kak Nafisah, lain?
"Aaa ... ya kak! Boleh ke?" Aku sudah tergagap. "Zain okey ke kalau saya dan Affan datang tengok dia? Akak dah tanya dia?"
"Affan yang bercakap dengan Zain tadi."
Sekali lagi aku terkejut.
"Kenapa tak makan ais krim tu?" Affan tarik kerusi lalu duduk di sebelah aku. Tak marah, tak kalut bertanya kenapa aku boleh tiba-tiba ada di meja dan ke mana aku menghilang selepas keluar dari tandas.
"Oh, aah ... nak makanlah ni."
.
.
.
DI DALAM kereta, selepas aku setkan alamat rumah Kak Nafisah di Google Map, aku fokus memandu. Kedua-dua kami diam tidak berkata apa. Aku takut hilang arah pemanduan dan tersesat. Jadi, aku diam. Affan, aku tidak pasti. Mungkin ada yang difikirkan.
"Mira nak tahu kenapa saya tukar fikiran?"
"Kenapa?" Aku menoleh sekilas sebelum fokus semula kepada pemanduan.
"Sebab saya lega bila Zain kata, dia nak saya yang jaga Mira."
"Dia, okey ke?"
"Kita tengok nanti. Saya minta maaf sebab ... saya ... terlalu takut Mira kembali pada dia."
Aku menggeleng. Zain Asri lumpuh separuh tubuh akibat terhempap dek kenderaan berat sewaktu dia sedang melakukan kerja pembaikan kenderaan tersebut. Kecelakaan yang menyebabkan bukan sahaja kakinya tidak berfungsi, malah alat kelelakiannya juga turut mati. Hanya berfungsi sebagai manusia, bukan lelaki.
Dia boleh melakukan kerja-kerja yang tidak memerlukan pergerakan banyak. Masih mampu mandi sendiri di atas kerusi roda. Tangan menjadi anggota tubuh yang amat berharga bagi Zain ketika ini.
Kata Kak Nafisah, dia berhenti daripada bekerja di kilang bila syarikat tersebut menawarkan sejumlah wang pemberhentian sukarela kerana mereka ingin mengurangkan jumlah pekerja. Banyak mesin baru dibawa masuk dan tenaga manusia hanya sebahagian sahaja yang diperlukan. Robot akan mengambil alih.
Zain nampak peluang itu untuk dia membina bisnisnya sendiri. Dia menghadiri kursus membaiki kereta dan membuka bengkel. Sepanjang aku di universiti, dia juga membina kerjaya sendiri.
Kata Kak Nafisah lagi, dia ingin cari aku bila dia sudah ada sesuatu.
Kak Nafisah juga kata, gigih Zain belajar dan mencari ilmu membaiki kereta dan kenderaan bermotor demi sekeping sijil.
"Walaupun sijil itu nanti bunyinya bukan sijil sarjana sebagaimana Mira punya, dia tetap rasa bangga sebab ada."
Itu kata Kak Nafisah.
Sebak aku, bila aku menjadi sumbu menyalakan semangat Zain untuk menambah ilmu, mengubah hidup.
"Dia berani bermimpi sebab Mira. Dia kata lagi, jika tak dapat jadikan Mira isteri pun, sekurang-kurangnya kehadiran Mira di dalam hidupnya mengubah pendirian dia untuk keluar dari zon selesa dan berani berusaha. Jodoh itu sesuatu yang rahsia. Semakin misteri ia, semakin Zain rasa teruja untuk menanti saat itu tiba."
Pada waktu itu, wajah Affan tenang. Sukar hendak ditafsirkan ketenangan yang seolah-olah ada fikiran-fikiran lain terbalut di kanvas wajah itu.
"Mira nak jumpa dia sangat sebab nak minta maaf, ke?" Affan tiba-tiba bersuara, mematikan kenangan cerita di restoran tadi.
"Kalau awak di tempat saya, tentu awak pun ingin melakukan perkara yang sama, Affan."
"Mira tak lembut hati dan melepaskan ikatan hanya kerana perasaan kasihan, kan?"
Aku menarik senyum, sambil tangan memutar stereng membelok ke satu kawasan perumahan ala-ala kampung. Tetapi, rumah-rumahnya agak besar dan ada yang dibina daripada batu. Ia satu kawasan di pinggir bandar yang dimiliki oleh orang Melayu. Tanah lot yang pemiliknya rata-rata, askar pencen.
Kata Kak Nafisah, arwah ayah mereka tinggalkan rumah dan tanah itu untuk mereka adik-beradik. Terutama yang masih tidak berkahwin.
Cerita Kak Nafisah, ramai yang dah berkahwin. Tinggal Zain sahaja yang belum berkahwin. Jadi, dia yang jaga rumah itu. Adik-beradik lain pun tak membantah. Masing-masing dah memiliki rumah.
Dengan keadaan Zain begitu, Kak Nafisah ambil tanggungjawab membelanya.
Zain pernah korbankan duit gajinya demi keluarga Kak Nafisah sewaktu mereka susah.
Pernah tolong jaga suami Kak Nafisah sewaktu suaminya hilang diri dan pernah nak bunuh diri. Suami Kak Nafisah dibuang kerja tanpa notis sewaktu Kak Nafisah dalam pantang. Mereka tak ada sumber pendapatan lain. Zain yang duduk di luar pada masa itu, balik ke rumah yang mereka diami sekarang demi menjaga kakak yang dalam pantang dan abang ipar yang kemurungan.
Duit pampasan yang Zain dapat sewaktu dia berhenti secara sukarela, dikongsikan dengan suami Kak Nafisah. Mereka sama-sama belajar kerja-kerja bengkel. Zain juga turut menamakan hak milik bengkel dengan nama Kak Nafisah dan suaminya tanpa sebarang prejudis. Dia kata, dia masih muda. Duit masih boleh dicari sementara dia tiada tanggungan apa.
Aturan Allah, menjadikan sebaliknya. Di saat bisnis mereka sedang rancak, Zain tersungkur di kaki ujian. Memang kini hidupnya dijaga pula oleh orang yang pernah dia jaga. Yang berbeza, Zain tenang. Reda. Tidak murung apatah lagi ingin terjun gaung.
"Mira ..."
Kereta sudah kuhentikan di belakang kereta Kak Nafisah.
Aku berpaling menghadap Affan. "Affan ... insya-Allah. Saya masih rasional. Saya masih ingat janji saya pada mak dan ayah saya. Pada ibu dan ayah awak. Takkanlah saya nak lepaskan sesuatu yang tak berapa hari lagi ini demi sesuatu yang belum pasti? Awak sendiri kata yang Zain nak awak jaga saya. Jadi, kenapa perlu risau?"
"Mira memang degil, keras kepala ... garang ... tapi, saya tahu yang hati Mira mudah kasihan. Saya takut Mira terlepas kata nak jaga dia pula." Affan, dengan muka masam membebel rungutan.
Aku sudah rasa nak ketawa tetapi terhenti bila terpandangkan seseorang di hadapan pintu rumah, di atas kerusi roda.
Zain Asri.
Dia sedang memerhati.
.
.
.
1447 pp
05 Julai 2021
2.37 pagi
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro