Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 31 - Izin

AKU benar-benar tak larat. Balik rumah rasa macam nak demam. Sepanjang pemanduan pulang ke rumah, badan rasa sejuk dan tubuh rasa macam tak ada kulit yang membalut. Hanya tulang yang terus-menerus menerima kesejukan dan kekejangan. Penghawa dingin aku matikan.

Gastrik siang tadi kembali menyerang. Biasanya selepas aku makan Nestum panas secawan, aku sepatutnya sudah okey sehingga masuk waktu makan seterusnya. Tetapi sangkaanku meleset. Petang, okey. Nak masuk waktu maghrib, ia mulai menyerang.

Aku malas nak buat mak ayah risau. Balik, aku terus bersihkan diri dan berkurung dalam bilik. Pada mak, aku kata aku sudah makan di pejabat. Ya, betul aku tak tipu. Aku makan sepeket Nestum.

Aku lebih rela bergelut dengan kesakitan seorang diri di dalam bilik. Telefon bimbit, kumatikan. Di saat sakit, aku tidak suka diganggu. Sehingga selepas isyak, aku masih bertahan. Sakit sikit, aku leburkan dengan melelapkan mata sambil jari membilang biji tasbih. Ubat, dan juga lencongan daripada rasa pedih.

"Mira!"

Suara mak yang menjerit dari tingkat bawah membuatkan sakit aku hilang sekejap.

"Ya! Kenapa? Kan orang kata, orang tak nak makan. Orang dah makan Nestum. Tengah malam nanti kalau lapar lagi, pandailah orang masak Maggie! Mak nak simpan lauk dalam peti ais, mak simpanlah. Orang tak nak."

Biasanya, kalau dalam jam 09.45 malam macam ni, memang mak akan jerit tanya nak turun tak. Mak nak mengemas selepas abah selesai makan. Mak nak masuk tidur. Tapi, tadi aku dah beritahu, yang aku tak turun. Kenapa nak jerit lagi?

"Ada kawan Mira telefon ni!"

"Oh ... okey! Orang jawab kat atas."

Siapa pula kawan aku yang telefon malam-malam guna telefon rumah ni? Aku keluar dari bilik, kuangkat ganggang telefon atas. Di saat aku melekapkannya di telinga, aku terdengar bunyi 'klik'. Mak sudah meletakkan ganggang telefon di tingkat bawah.

"Hello?"

"Assalammualaikum."

Kuteguk liur. Macam suara ... Affan! Beraninya dia telefon ke rumah aku!

"Waalaikumsalam." Tapi, aku tak berani nak serkap jarang. Kalau salah orang, tidak fasal orang ingat nama itu, nama seseorang yang sesuatu buat aku.

"Kenapa off telefon?" Suaranya tenang. Tapi, aku yang mendengarnya rasa tajam. Rasa macam dia sedang mengawal kemarahan.

"Err ... siapa, ya?" Saja aku bertanya untuk kepastian. Rasa ... macam Affan!

"Mira ON handphone sekarang. Saya nak call Mira. Nanti Mira tahu siapa yang sedang bercakap dengan Mira."

Aku menghela nafas. Suka-suka hati nak arah aku, nak marah aku. Terus aku letak telefon. Menghentak kaki masuk ke dalam bilik, menutup pintu dan mencampakkan tubuh ke atas katil. Tangan mencapai telefon di tepi bantal. Cepat aku tekan butang ON.

Berderet notifikasi masuk. Memang Affan! Serentak itu, telefon aku berbunyi. Aku tekan butang jawab. Sakit perut aku dah lenyap. Sakit hati pula merayap!

"Dah makan?" Soalan pertama Affan berbunyi sedikit lembut berbanding tadi.

"Dah."

"Makan apa?"

"Nestum panas."

"Cukup?"

"Bolehlah ..."

"Kenapa tak makan nasi?"

Aku dah bosan. Kalau tak pernah rasa kena gastrik, tak payah nak tanya banyak. Aku tahulah nak uruskan kesakitan aku. Orang, kalau tengah gastrik mana boleh makan. Lagilah nak suruh makan makanan pepejal. Memang taklah! Makin teruk rasa sakit tu nanti.

"Awak nak apa telefon saya?"

"Mira tak jawab soalan saya."

"Saya tak sihat. Saya malas nak bersoal-jawab panjang-panjang." Aku berterus-terang dalam rungutan.

Dia diam.

"Cepatlah cakap, nak apa?" Tinggi sedikit nada suara aku. Perut mulai rasa mencucuk kembali. Mula-mula perlahan, semakin lama semakin tajam. Air mata aku sudah mula terbit akibat menahan sakit perut dan sakit hati serentak. Aku tak suka orang marah-marah bila aku tengah sakit.

Dulu, aku pernah tinggi suara dengan Zain Asri. Dia balas dengan lembut dan nada memujuk. Bila aku tak makan dipujuk, dia memutuskan panggilan dan menelefon lagi keesokan harinya. Dia sabar dengan aku. Dia cukup tenang dalam memberi ruang. Tapi, aku pula tak sabar dengan kesabaran dia yang begitu tinggi. Dan akhirnya, Zain hilang daripada hidup aku.

"Saya nak Mira makan." Dia tekankan suaranya.

"Saya tengah sakitlah ... mana boleh makan. saya cuma boleh bancuh Nestum panas je!" Rasa sakit itu semakin kuat dan akhirnya, empangan air mata aku, pecah.

"Ada air panas di bilik Mira?"

Dalam tangis, aku menjawab, "Ada." Ya Allah, sakitnya ...

"Mira bancuh dulu Nestum, dan minum. Saya tunggu. Jangan putuskan talian."

Aku tolak telefon ke tepi. Mug yang memang tersedia di dalam bilik, aku penuhkan dengan serbuk Nestum. Menggigil tangan aku menahan sakit.

Kucurah air panas dan sedikit air sejuk. Dengan air mata merembes menahan sakit, aku hirup perlahan. Sebagaimana air mata yang mengalir di pipi, yang tidak kuseka, begitu juga mengalirnya Nestum yang kubancuh cair. Melalui anak tekak.

Perut mulai rasa panas. Kesakitan beransur-ansur hilang. Aku seka air mata.

Aku tidak pasti sama ada Affan masih ada di talian atau tidak. Aku biarkan. Pandai-pandailah dia nak putuskan talian jika rasa tak nak bayar bil mahal!

Aku ambil masa meneguk Nestum sehingga habis satu cawan. Dalam setengah jam aku melayan rasa Nestum, perut semakin selesa walau ada sisa sakit. Malah, emosi aku juga sudah mulai stabil. Aku capai telefon untuk mematikannya kembali. Tetapi, aku lihat nama Affan masih di talian.

"Affan ... awak ..."

"Mira dah okey?"

"Alhamdulillah ... sedikit."

"Dah nak tidur?"

"Awak ada nak cakap apa-apa ke?"

"Ada. Saya harap, Mira pertimbangkan. Saya serius dengan hubungan kita. Saya dah cakap dengan mak Mira tadi."

"Affan! Apa awak buat ni? Saya ..."

"Mak Mira kata, dia serahkan pada Mira. Sekarang, saya nak tanya Mira ... Mira boleh terima saya atau tidak? Kalau tak boleh, saya perlukan alasan. Alasan yang akal saya boleh terima."

"Kenapa saya?" Aku masih tak faham.

"Soalan lain. Saya tak suka soalan berulang."

Aku terdiam. Teringat jawapan dia sebelum ini – 'kenapa mesti orang lain'!

"Sebab, orang lain tu lebih baik berbanding saya. Ramai je budak perempuan dalam kilang tu yang awak boleh pilih. Yang cantik, sopan dan yang saya pasti nak je berkahwin dengan awak. Budak yang berbual dengan awak di hadapan surau tu pun okey. Menutup aurat, cantik, lembut, sopan ... beradab ... single lagi tu. Nampak serasi je dengan awak."

Affan tiba-tiba ketawa. "Pergilah tidur, Mira. Saya rasa, saya dah kena jimatkan perbelanjaan. Terutamanya bil telefon. Mungkin juga wang makan. Terima kasih, Mira. Assalammualaikum." Affan putuskan talian.

Aku terenjat tanpa jawapan. Rasa tak puas hati, aku tekan nombor Affan. Mungkin benar dia tak nak bercakap panjang sebab takut bil telefonnya tinggi selepas sekian lama tadi dia menanti aku minum Nestum. Tak apa, biar aku yang telefon asalkan aku dapat jawapan daripada ketawanya yang semacam.

"Ya, Mira?"

"Kenapa awak ketawa tadi? Saya tak faham. Apa yang lucu bila saya bercakap tentang budak perempuan tu? Dia adik awak? Ke ... adik saudara awak?" Aku menebak.

Affan ketawa. Tetapi kali ini tawanya terkawal. Hanya kecil dan selebihnya aku rasa dia sedang tersenyum.

"Mira nampak saya dengan dia?"

"Yalah, saya tak buta lagi tentulah saya nampak."

"Betullah, dia memang cantik. Murah dengan senyum dan manis bila bertutur."

Sedap Affan puji budak tu. Bukan sahaja menambah bil telefon aku, tapi menambah rasa kerdil diri.

"Baguslah kalau mata awak nampak semua tu. Tak payahlah nak pilih kaca berbanding permata."

"Ya, saya tak akan pilih kaca. Saya pilih Mira. Saya harap, Mira jelas tentang pendirian saya, dan jelas juga dengan rasa hati sendiri. Cemburu tanda sayang, Mira." Affan ketawa.

"Jangan menafikan dan bermain tarik masa. Rugi. Sekarang ini, saya cuma tunggu pendedahan pendirian Mira. Kalau dua-dua dah jelas, kita kena mulakan dengan beradat. Saya cakap dengan emak saya, sebaik Mira setuju, bulan depan saya minta emak datang sarung cincin risik dan tunang sekali."

Serius aku tak faham dengan Affan. Puji perempuan lain, tapi nak kahwin dengan aku!

"Saya tak faham awak, Affan."

"Tak payah faham sekarang sebab memang susah selagi tak tinggal sebumbung. Lepas kahwin, insya-Allah kita akan saling kenal. Buat masa sekarang, jaga hati, jaga iman, simpan sayang."

Terlepas keluhan aku. Tak pernah aku berdepan dengan lelaki seperti Affan. Aku cakap begini, dia cakap begitu.

"Tak baik mengeluh, Mira."

Aku dah tak tahu nak cakap apa. Kesungguhan Affan sedikit sebanyak membuatkan aku malas nak bertelagah. Rasa nak bersetuju sahaja apa yang Affan nak buat. Mungkin betul dia jodoh aku. Sejak kali pertama berjumpa sudah mula tunjuk rasa. Kenal pun tak lagi masa itu. Hanya tahu nama dan orangnya. Tak faham aku.

"Saya nak awak jawab tiga soalan saya, Affan."

"Insya-Allah, tanyalah Mira."

"Kalau saya nak sambung belajar setelah kita diikat, adakah awak izinkan?"

"Bergantung kepada keadaan semasa. Jika ia menjarakkan masa dan menjejaskan hubungan kita, saya tak izinkan."

"Soalan kedua, jika ada kawan lelaki tak kiralah kawan sekolah atau kawan satu universiti atau yang menelefon saya atas urusan kerja, adakah awak akan halang?"

"Lihat bagaimana bicara dan perbincangannya. Jika nampak tanda pemesongan daripada tujuan asal, saya akan minta Mira jangan layan. Dan, saya nak kenal semua kawan-kawan Mira."

"Soalan ketiga, di antara bunga ros merah dan biru, yang mana yang awak akan beri kepada saya?"

"Saya tidak akan beri bunga kepada Mira. Tidak kira apa jenis dan warna."

Aku menarik nafas dalam, "Insya-Allah pada jam tiga pagi nanti saya WhatsApp jawapan saya pada awak. Apa pun jawapan saya, saya harap awak terima dan kita akan berkawan seperti biasa. Saya tak mahu ada kejanggalan terutama dalam urusan kerja."

Dejavu. 

Penjelasan yang sama, yang kuberikan pada Hilmi.  Aku meminta agar kami terus berkawan walau apa pun keputusan.

"Mira ..."

"Ya?"

"Saya nak Mira tahu satu perkara sebelum Mira tetapkan keputusan."

Aku diam dan menanti.

"Bila Mira dengan saya, tidak semestinya apa yang Mira inginkan, Mira akan dapat."

Sekali lagi aku menarik nafas, "Ya, baiklah. Saya akan ambil kira perkara itu."

"Saya tunggu jawapan Mira."

1564 pp

22 Jun 2021
1.11 pagi

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro