Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 28 - Keputusan

TERKEJUT aku bila mendapat tahu yang Hilmi tender resignation. Dia tak berkongsi apa pun dengan aku. Sedangkan, hampir setiap malam dia menelefon walaupun bicaranya tidak panjang.

"Awak ... tender resignation?" Aku bertanya terus bila malam itu dia ada di talian.

Dia hanya ketawa pada mulanya tetapi kemudian, suaranya merudum jauh, "Ya. Terkejut, kan? Saya pun tak sangka saya buat keputusan macam itu."

"Awak dapat tawaran kerja yang lebih baik?" Entah kenapa, aku risau akan pemberhentian Hilmi dari syarikat yang sekarang ini. Bukan mudah nak dapat majikan yang boleh bertolak ansur. Lebih-lebih lagi dengan peribadi dia yang kadang okey, kadang tidak. Malah, pernah ada masalah disiplin.

Lagipun, sayang dengan tempoh kerja yang sudah lama. Banyak benefits yang akan rugi di situ. Di syarikat baru, perlu bina banyak perkara baru. Kepercayaan, hubungan, malah benefits yang biasanya hanya akan diberi keutamaannya kepada pekerja lama. Contohnya jika ingin bercuti. Pasti yang baru akan tertolak ke tepi. Takkanlah baru kerja dah nak ambil cuti?

"Tak tahulah Mir, lebih baik atau lebih buruk."

"Jadi, kenapa berhenti?"

"Akan jadi apa-apa ke, kepada status hubungan kita, kalau saya tak berhenti?" Dia bertanya sinis sebelum melepas tawa.

Aku menghela nafas. Harus ke buat keputusan sehingga melibatkan masa hadapan? Kenapa urusan hati sampai mempertaruhkan hidup yang lebih bererti? Kenapa mudah benar seorang lelaki goyah dan jatuh hanya kerana wanita yang sebelum ini tidak pernah ada pun di dalam hidupnya?

"Hilmi, ini masa depan awak. Kenapa ..." Aku melepas lelah. "... kenapa sampai perlu tukar kerja? Saya ni bukan sesiapa pun ... saya tahu kalau awak pernah terkesan, hilang diri bila awak hilang orang tua awak. Tapi, ini saya. Saya yang sebelum ini tak pernah pun ada dalam hidup awak. Apa pun keputusan saya, ia tak sepatutnya beri kesan pada keseluruhan hidup awak. Jangan buat keputusan bodoh yang tak berbaloi, Hilmi. Jadilah lelaki yang punya pendirian. Tak goyah kerana hal-hal hati."

"Kehadiran awak banyak ubah hidup saya. Saya jadi yakin dan percaya dengan hidup. Malah, saya percaya dengan solat yang saya buat. Kalau awak tak ada ... saya akan jadi sunyi dan kembali rasa kosong."

Aku menggeleng. Dia masih ... hmm ... tak matang ... Melihatkan keadaannya, aku rasa kehadiran aku bukan menjadi penawar, sebaliknya racun yang dalam diam menghancurkan.

"Hilmi, saya rasa lebih baik saya berterus-terang dengan awak."

"Mir ... bagi saya masa."

Aku terdiam. Rasanya, semakin lama aku membiarkan dia bermain dengan perasaan, dengan aku melayan, semakin jauh dia tenggelam ke dalam perasaannya. Dan, semakin tertikam berdarah luka.

"Kita tamatkan. Saya minta maaf, Hilmi. Jujur, hati wanita saya terkesan juga dengan layanan awak, malah kejujuran perasaan awak pada saya. Tetapi, masih tak mampu saya nak terima sebagai satu hubungan yang lebih jauh. Rasa itu tidak ada. Saya takut, saya tak mampu nak hormatkan awak dengan pendirian awak yang goyah.

Jika disebabkan saya pun awak sanggup melepaskan kerja yang sudah tetap, yang sudah kukuh ... saya takut suatu hari jika kita bersama, ada kegoyahan dalam rumah tangga ... awak mungkin 'melepaskan' saya.

Kita masih boleh berkawan, Hilmi. Saya suka berkawan dengan awak. Sifat awak yang suka bantu orang, rajin dan pandai ambil hati itu buat saya selesa."

Dia ketawa.

Tetapi kemudian, aku terdengar esakan. Tawa dalam tangisan. "Ujian yang mana yang saya gagal, Mir? Solat? Saya buat semuanya. Pergi surau, masjid ... awak tak sebut pun saya lakukan dengan rela. Caring, penyayang, ambil berat dan berkorban untuk menunjukkan kesungguhan? Semuanya saya dah buat. Gaji? Saya hari-hari buat OT. Nak tunjukkan awak yang saya bertanggungjawab jika jadi suami. Yang mana saya gagal, Mir?"

"Pendirian, Hilmi. Di situ, awak selalu goyah. Malah, awak layankan apa yang saya suka sedangkan itu sebenarnya racun buat saya. Awak tak kenal sikap saya yang sebenarnya. Saya bukan wanita yang sentiasa rasional. Saya ada sisi gila saya. Saya perlukan seseorang yang boleh lentur peribadi saya. Yang tegas. Yang saya hormat keputusannya tanpa mampu saya bangkang."

Dia terdiam.

"Terima kasih, Mir. Selamat tinggal. Assalammualaikum."

Dia putuskan talian.

Aku meraup wajah. Rasa sakit itu bukan hanya Hilmi yang rasa. Aku yang menolak dirinya juga turut rasa perit, pedih dalam jiwa. Bukan mudah untuk menolak seseorang yang kita nampak keikhlasannya dalam mengasihi kita. Tetapi, bila jiwa kita sendiri tidak mampu mengukir rasa yang sama, kita perlu tegas dan jujur.

Aku tidak mampu nak terima dia hanya kerana kasihan. Aku tidak mampu mengkhianati perasaan sendiri hanya kerana terbuai dengan layanan. Kalau sekadar bercouple tanpa ikatan halal, memang Hilmi layak dan sangat 'comel' sebagai pilihan. Tetapi, aku bukan memilih untuk itu.

Aku ingin beri hati buat bakal suami, imam yang akan hidup jika diizin Tuhan selama hayat dikandung badan. Yang akan hadap perangai aku tanpa goyah apatah lagi rasa nak lepaskan. Aku nak seseorang yang boleh bertegas dalam mendidik aku. Dan, tidak semua orang mampu. Aku sangat degil dan 'gila'. Sedangkan dengan bos pun aku banyak melawan, apatah lagi lelaki yang goyah pendirian.
.
.
.

"MIR!" Keadaan Nad yang tergesa-gesa berlari masuk ke dalam pejabat pagi itu membuatkan aku mendongak.

"Kenapa?" Aku bertanya. Tangan sudah berhenti menaip.

"Kau tahu cerita fasal Hilmi?" Dia duduk di sebelah aku. Berbisik sedikit sebab ofis sudah mulai dimasuki oleh staf lain.

"Cerita dia tender resignation?"

Nad bulat mata. Dia cengkam lengan aku, kuat. "Bila?"

Laa ... bukan berita yang ini ke?

"Kau nak sampaikan berita yang mana ni? Bukan hal berhenti dia, ke?"

Dia menggeleng laju.

"Habis tu? Berita apa? Yang berkejar macam tak cukup tanah?"

"Hilmi accident!"

Aku tarik nafas dalam. Kupejamkan mata sambil membawa tubuh bersandar di kerusi. Budak ni nak bunuh diri ke apa? Rasa nak kuamuk dalam hati bila mendengar berita ini.

"Macam mana boleh accident? Accident dengan apa? Bila? Teruk ke?"

"Accident motor. Tak tahu langar apa. Malam tadi kalau tak salah aku. Dia tak gayut dengan kau ke, malam tadi?"

"Teruk ke?"

Nad angkat bahu. "Kau cubalah call dia."

Sekali lagi, aku menghela nafas. Ya, betul Hilmi tak nak berkawan dengan aku lagi selepas aku beri kata putus. Tapi, aku tak pernah akan buat begitu padanya. Aku masih anggap dia kawan. Atau, lebih tepat sebagai adik. Sebagaimana aku ambil berat hal Nad dan Lin, begitu juga dengan dia.

Aku pilih namanya dari senarai contact. Aku jangkakan, dia tidak akan jawab panggilan aku, tetapi aku silap.

"Assalammualaikum. Hilmi?"

"Walaaikumsalam." Dia menjawab.

"Awak ... emm ... macam mana keadaan awak? Awak kat mana ni?"

"Saya okey, Mir. Awak risaukan saya?"

Allahuakbar! Dia masih mengharap ke?

"Kita kawan, kan? Macam mana boleh accident?"

"Entahlah. Lepas saya off dengan awak, saya terus capai kunci motor, keluar ke lebuhraya. Lepas tu saya tak sedar. Tahu-tahu dah ada di wad kecemasan."

"Awak okey tak ni? Masih di wad lagi? Nak saya ke sana?"

"Patah tangan je, Mir. Saya dah balik ke rumah."

"Patah tangan je? Ish, awak ni ... macam tak sakit 'patah tangan' awak tu." Aku gelak kecil. Saja nak hiburkan dia.

"Sakit lagi patah hati, Mir."

Aku terdiam.

"Maaf, Mir. Terima kasih sebab telefon saya. Saya memang bodoh, kan? Patutlah saya gagal ujian awak." Dia ketawa.

Aku diam lagi. Tak pasti nak balas apa.

"Mir, esok saya tak datang ke syarikat dah. Saya MC sampai habis notis berhenti. Insya-Allah akan datang untuk ambil baki gaji pada bulan depan. Saya minta maaf dan minta halalkan masa yang awak peruntukkan untuk saya. Terima kasih sebab pernah terima saya dalam hidup awak."

"Awak tak akan tukar nombor telefon kan, Hilmi?"

Dia ketawa.

Aku faham.

"Saya akan telefon awak, kalau saya nak."

"Ya, boleh. Jaga diri. Saya nak sambung kerja. Assalammualaikum."
.
.
.

HARI terakhir Hilmi, adalah hari lahirnya. Aku tahu sebab sistem yang menyimpan butiran diri pekerja di bawah kelolaan aku juga.

"Nad, kalau Hilmi datang nak ambil gaji, beritahu aku."

"Kenapa, Mir?"

"Aku nak bagi hadiah hari lahir padanya. Masa hari lahir aku, dia bagi macam-macam. Aku tak nak termakan budi. Aku nak selesaikan semuanya. Hadiah-hadiah yang sebelum ini pun, aku nak pulangkan juga."

Nad mengangguk. Dia dan Lin berwajah muram sewaktu aku beritahu yang aku dengan Hilmi tak ada apa-apa. Malah, Hilmi menolak untuk mengekalkan hubungan kawan. Padanya, pilihan hanya - sama ada jadi calon isteri atau tidak perlu ada apa-apa hubungan langsung walaupun kawan. Dia tidak mampu anggap aku kawan.

Aku belikan Hilmi wallet berjenama. Walaupun tidak mampu menampung harga barang yang pernah dibelikan untuk aku, tapi aku rasa itu sudah cukup sebagai timbal balik dan tidak akan ada sesiapa yang mengungkit.

"Terima kasih. Sayang nak pakai," katanya sewaktu aku menyerahkan kotak berisi wallet lelaki itu. Nasib baik dia masih nak bertemu dengan aku walaupun pernah kata tak mahu berkawan.

"Pakailah. Kalau buruk sahaja tak pernah pakai, lagi sayang."

Dia tersenyum.

Aku lihat separuh tangan kanannya yang disimen. Risau pula hati memikirkan cara dia bawa motor sebelah tangan.

"Saya okey. Masih nak hidup." Dia berkata bila perasan mata aku yang asyik memandang tangannya. "Insya-Allah, saya bawa motor hati-hati."

Aku hanya tersenyum sebelum meminta diri, meninggalkan dia berbual berdua dengan Nad. Semua hadiahnya dia tak mahu. Dia nak aku simpan. Katanya, dia halalkan. Dia benar-benar ikhlas sewaktu dia belikan aku semua itu. Kalau aku tak nak, dia kata, aku boleh buang atau bagi pada sesiapa pun. Dia sendiri tidak tahu hendak buat apa jika aku pulangkan. Hanya menambah luka kenangan.

Tamat kisah aku dengan Hilmi, sehinggalah pada suatu hari aku ditanya oleh Abang Din.

"Kenapa Mir tak datang?"

Aku yang tak tahu apa-apa mulai berkerut dahi.

"Majlis kahwin Hilmi. Kenapa Mir tak datang?"

Sungguh aku terkejut. Tetapi, kukawal riak dengan tawa. "Tak dapat datang, bang. Ada hal." Ya, aku menipu. Hakikatnya, aku tidak tahu pun yang Hilmi berkahwin. Tiada undangan untukku. "Dia nikah dengan orang mana, bang?"

"Entahlah, Mir. Yang abang tahu, isterinya itu seorang ustazah sekolah rendah. Rasanya, ada yang mencadangkan pada dia. Dia pun tak kenal awal. Terkejut juga tiba-tiba dapat jemputan."

Aku menarik senyum. "Alhamdulillah. Semoga panjang usia perkahwinannya ya, bang."

"Amin," balas Abang Din.

Perasaan aku? Entah. Aku sendiri tidak tahu. Bersyukur dia bertemu jodoh secepat itu. Sekurang-kurangnya, ada seseorang yang menjadi tempat dia mengadu kerana dia itu yatim piatu. Ya, aku juga bersyukur wanita itu seorang ustazah yang aku harap dapat mengingatkan Hilmi tentang tanggungjawab solat, juga tanggungjawab seorang suami. Semoga Hilmi melayan isterinya sebagaimana dia pernah melayan aku, malah aku harap lebih lagi kerana wanita itu bakal berkongsi segala susah senang dengannya.
.
.
.
1665 pp

17 Jun 2021
11.00 malam

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro