Bab 27 - Ros
KAK HAIZA memohon bersara awal. Kondisi ibunya memaksa dia membuat keputusan drastik. Katanya, biar putih tulang, jangan putih mata. Ibu hanya seorang, rezeki kerjaya itu ada di mana-mana. Encik Mus minta kami prepare majlis perpisahan Kak Haiza.
Selain hadiah yang kami beli melalui duit yang dikumpul bersama, kami juga ada menyediakan hadiah peribadi. Aku memang tak pandai sangat nak pilih hadiah untuk orang. Jadi, aku hanya belikan Kak Haiza telekung. Nad pula belikan minyak wangi berjenama. Lin belikan kain pasang. Ada dua tiga orang lain wakil security, maintenance dan beberapa orang manager department lain turut beri nama untuk hadir ke majlis Kak Haiza.
Aku jadi coordinator majlis. Buat tempahan hotel dan memilih buffet untuk makan malam. Kami bergerak Jumaat malam ke hotel. Bersiap di kilang, pakai lawa-lawa. Habis waktu kerja, kami bergerak terus.
Nad dan Lin memang akan naik kereta aku. Yang lain, sama ada bawa kereta sendiri atau naik kereta syarikat. Tak ramai. Kurang daripada 20 orang. Sampai di tempat parking, aku nampak Hilmi. Dia bawa motor. Matanya memandang ke arah kami.
Nad dan Lin walaupun tidak suka aku dengan Hilmi, tetapi mereka tetap berkawan dengannya sebab kami dikira satu jabatan. Hilmi berjalan ke arah kami. Dia santai dengan t-shirt putih berkolar dan berseluar jean hitam. Di tangannya ada beg kertas. Pasti hadiah untuk Kak Haiza. Ada sejambak mawar merah juga.
"Untuk Kak Haiza?" Aku bertanya.
Dia tersenyum dengan mata tepat memandang ke muka aku. Jadi serba salah pula aku bila dia buat begitu di hadapan Nad dan Lin.
Sedar dengan ketidakselesaan aku, dia berdehem lalu menjawab, "Ya. Tapi, bunga ini Encik Mus yang kirim. Dia suruh saya cari dan beli. Guna duit baki yang kita kumpul tempoh hari."
"Oh, okey ..." Aku, Nad dan Lin serentak menjawab. Bunga segar itu memang menarik perhatian kami. Nad ambil posisi berjalan di sebelah Hilmi sambil berbual dan menyibuk nak tahu apa hadiah peribadi yang Hilmi beli untuk Kak Haiza.
Aku dan Lin berjalan di hadapan mereka. Nampak sangat mereka tidak mahu buka ruang pada Hilmi. Aku rasa bersyukur sebab sejujurnya, aku sendiri rasa janggal jika berjalan berdua bila tahu dia bercita-cita untuk punya hubungan yang lebih daripada itu.
Sewaktu masing-masing sibuk ambil makanan di meja buffet, selepas Encik Mus selesai memberi sepatah dua kata, Hilmi mendekatiku. Dia duduk di sebelah aku. Berjarak seorang manusia. Dia tahu agaknya betapa aku menjaga batas sentuh dengan bukan mahram.
"Nak tahu saya belikan Kak Haiza apa?"
Aku angkat bahu. Dia beritahu atau tidak, aku tak kisah. Nad sahaja yang nak tahu sangat tadi.
Perlahan dia menarik sebuah kotak dari dalam beg kertas yang tadi dibawanya. Dia hulurkan padaku.
"Eh, tak apa ke saya buka?" Kotak itu berikat reben tanpa pembalut. Dia gesa aku menarik reben itu dan membuka kotak, melihat isi di dalamnya.
"Tak apa. Nanti boleh ikat balik."
Aku akur. Aku leraikan ikatan reben dan kukeluarkan isinya.
"Cantik!" Memang aku terkejut. Ada empat blok lilin berwarna dalam bekas kotak jernih yang elegan designnya. "Pandai awak pilih hadiah. Tentu wangi, kan?"
Dia tersenyum. Matanya memang kalau sedang tersenyum itu akan mencari mata aku. Hmmm ... aku jadi risau. Takut jika dia akan terluka dengan kesungguhan sendiri.
"Awak punya pun ada." Dia menarik sebuah lagi kotak dari dalam beg kertas.
"Eh, kenapa?" Terkejut aku.
"Saya tak izinkan diri saya bagi hadiah pada perempuan lain tanpa saya beri pada perempuan yang saya suka juga." Dia serahkan kotak yang sedikit besar saiznya berbanding yang Kak Haiza punya.
"Hilmi ... saya ..." Aku teragak-agak nak menyambut. Lebih-lebih lagi sewaktu dia menghulur, pandangannya bertaut. Aku menggeleng dan akur. Semakin lama aku menolak, dia menyua, akan timbul cerita di kalangan orang lain yang sebelum ini tak tahu apa.
"Jangan buka sekarang. Buka hanya bila awak dah sampai di rumah. Saya akan telefon awak malam ini. Sekarang, saya nak pergi ambil makanan. Awak boleh ambil makanan sendiri, kan? Takut nanti awak segan kalau saya ambilkan."
Dia tahu.
Ya, aku memang tak suka jika dia buat begitu. Kami tidak ada apa-apa. Tidak perlu sampai bertindak semanis madu. Dia bangun dan terus mengambil makanan. Aku masih menunggu Nad dan Lin. Takut nak tinggalkan beg begitu sahaja walaupun yakin dengan kredibiliti security hotel.
"Dia bagi apa?"
Tak sangka Nad nampak.
"Aku tak tahu. Esok-esok sahaja aku cerita. Aku nak pergi ambil makanan."
Malam itu, Hilmi menelefon aku.
"Dah buka hadiah, Mir?" Semenjak aku buka peluang untuk dia, percakapannya bernada lain. Romantis semacam. Kesinisan hilang. Aku risau jika aku goyah pendirian. Dia bukan lelaki yang tidak ada rupa!
"Ya, sudah. Kenapa awak buat macam ini?"
"Salah ke kalau saya cuba memenangi hati, Mir? Tempoh sebulan itu tidak ada syarat lain, kan?"
"Berapa harganya?"
Dia ketawa, "Jangan harap saya nak cerita."
"Awak ni membazirlah!"
"Saya tak rasa begitu. Eh, Mir ... okey tak bunga ros yang saya pilih untuk Kak Haiza tadi? Cantik tak? Encik Mus dan yang lain-lain ada komen tak?"
Dia tukar topik.
"Okey je pada saya. Pandai awak pilih. Kelopaknya tidak terlalu kembang dan ada beberapa kuntum di tengah yang masih berputik. Warna merahnya pun segar dengan titis air. Jambaknya pun tidak begitu besar. Sesuai untuk majlis dan wanita seumur Kak Haiza."
"Awak suka?"
"Suka. Cantik." Aku menjawab tanpa terfikir apa-apa. Suka dan pujian cantik yang terlafaz itu bagiku adalah merujuk kepada sifat bunga mawar hasil ciptaan Ilahi. Aku hanya mengkagumi ciptaan Ilahi.
Esoknya, sewaktu aku tiba di pejabat, terbaring sejambak mawar segar di atas meja. Memang terkejut monyet aku dibuatnya! Ada sticker tertulis, 'Mir'. Sah aku punya! Cepat aku bawa keluar dan campak dalam bonet kereta sebelum ada orang lain masuk ofis dan bercerita. Laju jantung aku bekerja.
Bunyi notifikasi buat aku terkejut kali kedua.
+Untuk awak.
Hilmi!
Aku menggeleng lalu terus menekan nombornya.
"Ya, darling?"
Sekali lagi aku terdiam dan terhela nafas.
"Kenapa buat macam ni?"
"Kenapa? Tak suka ke? Mir kata bunga ros merah tu cantik, saya belikanlah. Tak pernah dapat, eh? Yeay, saya jadi orang pertama bagi." Dia ketawa, gembira.
"Jangan membazir untuk sesuatu yang tak pasti, Hilmi." Suaraku perlahan. Takut melukakan.
"Bagi awak, ia tak pasti. Tapi ... bagi saya, pasti. Saya pasti dengan perasaan saya sendiri. Jangan tolak, Mir. Bagi saya peluang untuk satu rasa ini. Saya bahagia dengan apa yang saya buat sekarang."
Pulang ke rumah, mak tak tegur pun bila aku bawa balik sejambak mawar. Aku yang segan. Sejak dari dalam kereta, puas aku fikir bagaimana nak sorokkan. Bukan kecil, tapi besar. Aku tak kira berapa kuntum, tapi mungkin lebih 30!
Masuk ke bilik, aku hanya letak di atas katil. Tak tahu nak buat apa dengan bunga tu. Ini kali pertama aku terima bunga. Bunga hidup pula tu! Serius aku jadi bodoh.
Di atas almari, mata aku melihat pula pada kotak bunga tulip kristal biru. Hilmi juga yang bagi. Dan, dia kata nak bagi juga lilin berwarna-warni yang macam Kak Haiza tu pada aku. Ya Allah, boleh gila aku dengan budak seorang ini.
Aku memang tak boleh sembunyikan perkara ini daripada Nad dan Lin. Mereka menghidunya sebagaimana anjing pengesan dadah.
"Eii ... tak sangka Hilmi tu romantis!" kata Nad. Mukanya berbunga bahagia. Ceh, sebelum ni dia yang kata jangan rapat dengan Hilmi, dia nak aku dengan 'cikgu' dia tu!
"A'ahlah! Bestnya kalau aku dapat boyfriend macam tu. Dahlah bagi tulip kristal warna biru, bagi ros merah pula. Dah tu nak bagi lilin. Tiap-tiap malam telefon. Cakap pun ayat-ayat syok dengar!" Lin menambah.
Memang setiap hari mereka menagih cerita. Sibuk nak tahu Hilmi cerita apa di talian. Nak tahu bentuk ayat. Acah kalau melampau, nak sound. Tapi, bila aku ulang ayat-ayat Hilmi, yang aku rasa biasa, dia orang kata romantis gila. Budak berdua ni memang mudah dibeli jiwa!
"Kau suka tak, Mir ... dapat ros merah tu?"
"Entah! Rasa takut dan bersalah tu lebih berbanding suka. Aku lebih suka ros biru."
"Eh, kalau tak suka, bagi kat aku!" Nad menambah.
"Boleh. Tapi kau kena datang rumah akulah, ambil. Tak kuasa aku nak bawa ke tempat kerja."
"Seriuslah, Mir kau nak bagi pada Nad? Kau tak sayang ke?" Lin bertanya dengan muka tak percaya.
Aku hanya mengangguk. Ya, aku serius. Aku pun tak tahu nak buat apa dengan bunga tu. Tapi, budak berdua tu tak datang pun ke rumah aku. Bunga itu kering di dalam jambangannya. Dan, si pemberi bunga menambah sejambak lagi. Kali ini, mawar biru! Aku ... kelu!
"Mir, kalau kau nak terima dia, aku okey je. Nampak macam dia bersungguh. Lagipun, dia dah berubah banyak sebab kau. Aku nampak dia hari-hari ke surau. Kadang-kadang jadi imam. Sedap juga dia baca surah." Nad membawa berita.
Ya, ia berita baik. Tetapi, aku tak pasti. Hati aku tak condong ke mana-mana pun. Baik dia, mahupun siapa-siapa. Memang tersentuh juga dengan layanannya. Tapi, ada sesuatu yang aku masih belum uji pada dia.
"Sampai bila awak nak beri saya bunga, ni? Selang seminggu dapat sejambak." Aku tegur dia. Esoknya, dia hentikan. Tiada lagi ros merah atau pink atau biru sejambak. Sebaliknya, tiga kuntum ros merah penuh makna. Bukan selang seminggu, tapi setiap hari sementara mencapai cukup sebulan tempoh yang kuberi.
.
.
.
DRILL and evacuation akan dijalankan. Memang aku jadi sibuk. Hampir setiap hari aku hubung dengan balai bomba bercerita tentang perancangan pelan kecemasan. Dan, setiap hari juga aku akan berada di bilik mesyuarat dengan Affan dan committee lain.
Hubungan aku dengan Affan seperti biasa. Tiada kejanggalan pada setiap bicara walaupun jarang sudah kami berhubungan secara peribadi di malam hari.
"Mira, good luck!" Affan menyapa aku sewaktu kami meninggalkan mesyuarat terakhir sebelum drill pagi itu.
"Terima kasih banyak, tolong saya."
Dia tersenyum.
Aku lega. Sekurang-kurangnya, kami profesional.
Sewaktu evacuation sedang berlangsung, aku memang sentiasa di tapak perhimpunan. Melihat dari jauh pergerakan pekerja sambil mata melihat minit jam. Paling aku risau jika loceng kecemasan tidak berfungsi. Ia akan menjadi satu kegagalan total walaupun pekerja berjaya dikeluarkan kurang pada tempoh yang dianggarkan.
"Jangan risau sangat. Loceng kecemasan tu saya yang jaga. Kalau dia tak berfungsi, saya tetap akan bunyikannya dengan apa cara." Hilmi memujuk bila malam itu sewaktu dia telefon, aku sibuk bercerita tentang perancangan drill.
"Awak kan kerja malam? Waktu drill jam 10 pagi."
"Tapi, tak salah kalau saya berada dalam kilang, kan? Sekadar stand-by untuk saat-saat kecemasan?"
"Abang Din, kan ada. Tak apa. Apa-apa hal, saya paging dia."
"Masa, Mir. Kalau saya, saya akan bertindak lebih cepat. Lagilah kalau dapat call daripada awak. Jika awak tak call pun, memang saya akan jejak masa. Projek ini kesayangan saya yang punya. Saya akan pastikan semuanya selesai dengan baik."
"Awak tak mengantuk ke nanti? Pengsan nanti sebab tak cukup tidur!"
"Terima kasih sebab risaukan saya. Kalau saya mati saat ini pun, saya mati dalam bahagia, bila awak risaukan saya. Saya suka. Terima kasih, Mir." Dia putuskan talian.
Aku rasa macam putus nafas. Ayat-ayat Hilmi buat aku dihimpit rasa – sebak, bersalah dan ada ketika ... goyah. Dia bersungguh. Dia baik. Dia sudah berubah.
Alhamdulillah, drill berjaya! Aku rasa lega sangat. Dari jauh, Affan bagi thumbs-up pada aku. Aku mengisyaratkan dia agar ikut rombongan anggota bomba ke kafe. Memang aku sudah sediakan juadah buat bomba dan committee yang terlibat dengan drill, termasuk Affan.
Notifikasi telefon membuatkan aku melangkah, lambat. Hilmi!
+Tahniah.
Aku pandang sekeliling, mencari dia. Tak jumpa.
+Saya kat luar pagar. Dah nak balik.
Dia nampak aku. Bermakna dia juga nampak aku berbalas isyarat dengan Affan.
+Pergilah makan di kafe. Ramai tunggu awak.
Aku ... sebak. Tinggal lagi seminggu untuk aku buat keputusan. Sama ada hendak membuka ruang hati untuknya atau kekal bersahabat sahaja.
.
.
1901 pp
16 Jun 2021
04.50 petang
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro