Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 26 - Ujian

KAK HAIZA menyambung cuti. Ibunya masih tidak sihat dan terlihat seakan kritikal. Takut dia hendak pulang ke Semenanjung. Encik Mus memberi izin memandangkan sudah di penghujung tahun. Cuti tahun Kak Haiza juga masih banyak dan syarikat lebih suka pekerja menghabiskan cuti berbanding membayar kembali semua baki tersebut dalam bentuk wang, bila masuk ke tahun berikut.

"Mir, you ambil kes Hilmi. Buat kaunseling."

Encik Mus menghulur fail peribadi Hilmi kepadaku.

"Dia buat hal lagi?" Aku berkerut dahi sambil mencapai fail dan kubelek isi di dalamnya.

"You baca dulu, then you boleh tanya dia sendiri masa sesi kaunseling. Kalau ada kerja yang urgent untuk hari ini, you minta tolong Nad atau Lin. Guide dia orang. You kena mula sikit-sikit ambil bahagian ER dan IR ni. Kak Haiza pun tinggal lagi beberapa tahun sahaja akan bersara."

Aku hanya mengangguk. Nampak sangat perancangan Encik Mus untuk mengubah sistem kerja di bahagian HR. Mungkin tidak akan ada lagi pengkhususan. Yang ada hanyalah HR Generalist. Semua orang HR perlu tahu keseluruhan bidang HR itu sendiri. Mudah jika ada yang bercuti.

"Tak ada urgent, Encik Mus. Boleh tangguh kerja yang ada. Insya-Allah, sekejap lagi saya panggil dia."

Aku paging Hilmi. Aku tahu dia kerja normal dua minggu ini. Entah apa masalahnya budak seorang ini.

Dia tak cakap banyak. Hanya berjanji akan muncul di bilik kaunseling dalam 15 minit sebagaimana yang aku tetapkan.

"Assalammualaikum, sihat?" Ayat biasa aku bila memulakan kaunseling dengan pekerja.

Dia tak jawab, hanya menarik senyum senget. Membuatkan aku berkerut kening. Jadi tidak selesa. Sudahlah hanya aku dan dia, berdua di dalam bilik ini.

"Apa awak dah buat, Hilmi? Saya lihat kehadiran awak makin teruk. Kenapa setiap hari datang lewat? Tidur lewat ke? Awak ada buat part-time waktu malam?" Sudah dia seperti tidak mahu bercakap, aku lancarkan soalan bertalu. Kalau dengan pekerja lain, aku buka ruang mereka berbicara dahulu. Seorang kaunselor akan bertindak 'membuka telinga' lebih luas berbanding 'membuka mulut'.

"Dah tak ada, perkataan 'akak'?" Dia bertanya, sinis sambil tangannya membuat tanda 'inverted comma' di udara.

Aku memandang, tenang. Tidak mahu cepat melatah. Orang seperti Hilmi bukan boleh diperangi dengan api. Dia memang suka sesuatu yang marak.

"Saya tak boleh tidur, Mir. Serabut. Hidup seorang ni, macam-macam tekanan."

Aku diam, mendengar. Tidak langsung kucatat apa pun di atas kertas. Kaunselor harus menunjukkan fokus dan minat terhadap bicara individu yang menjadi 'patient'nya. Bukan sibuk menulis dan tidak menyerap empati terhadap isu.

Aku tahu, Hilmi hidup sebatang kara. Dia anak yatim piatu. Ada adik-beradik, tetapi semuanya sudah berkeluarga. Hidup jauh daripada dia. Rumah arwah ibu dan ayahnya, dia yang jaga. Kerana dia seorang, dia menginap di bilik sewa milik keluarga, manakala rumah itu yang disewakannya kepada orang luar.

"Saya dah bosan dengan hidup ni."

"Awak, tak ada kawan?"

"Ada ... tapi, ah, bosan!"

"Balik kerja, selalunya awak buat apa?" Aku cuba mewujudkan suasana aman.

"Makan, tidur ..."

Aku jadi pelik. Kalau malam tak ada buat apa, kenapa boleh selalu bangun lewat untuk datang kerja? Solat subuhnya bagaimana? Atau, dia tidur semula selepas solat subuh, lepas itu terlajak?

"Tak keluar? Lepak dengan kawan-kawan?" Aku mencungkil perlahan-lahan.

"Kebanyakannya dah kahwin. Dulu, masa company tak sekat OT, saya sanggup kerja berjam-jam. Tak adalah rasa bosan. Sekarang ni ... susahlah. Kerja part-time pun, bos macam hampeh. Bukan boleh tolak ansur kira ikut jam. Tetap nak kira macam pekerja tetap. Dia orang tak boleh terima kalau saya kerja siang dengan company lain, malam dengan dia orang. Itu yang terpaksa duduk rumah macam orang bodoh."

"Tak pergi masjid?"

Dia pandang aku, tajam sebelum tiba-tiba meletus tawa dengan gelengan.

"Saya ni Mir, solat pun kadang buat, kadang tidak. Macam buang tebiat kalau saya jejak ke masjid selain untuk solat Jumaat."

Aku terkejut dengan pengakuan tak berselindung Hilmi. Dia langsung tidak kisah untuk jujur dengan aku. Aku pula, sedaya upaya mengawal riak. Acah ia perkara biasa dalam masyarakat masa kini. Di dalam hati, aku beristighfar. Takut dengan kenyataan bila solat diambil ringan.

"Kenapa macam tu?"

Dia hanya mengangkat bahu. Tiba-tiba, mood berdakwah aku datang.

"Hilmi, kita hidup tak lama. Sementara bernyawa, sihat tubuh badan, minda ... janganlah abaikan solat. Awak ada banyak masa. Tak ada alasan untuk tidak bersolat. Cubalah solat. Mungkin serabut tu akan hilang." Aku cuba susun ayat sebaik mungkin dengan lontaran suara selembutnya. Takut nak menyentuh soal solat orang lain sebenarnya. Takut orang tak suka.

Dia pandang aku. Merenung lama. Aku cuba bertahan dengan pandangannya. Tenang, walaupun aku tak suka cara dia renung aku. Perlahan-lahan bibirnya menarik senyum. Dibawa tubuhnya ke hadapan, seolah-olah cuba mendekatkan diri dengan aku. Kedudukan kami berdepan dan dipisahkan oleh sebuah meja besar.

"Boleh awak tolong saya?"

Saat ini, aku tidak boleh berpura-pura. Langsung berkerut dahiku. Masalah pekerja, tidak boleh kujadikan masalah aku. Ia sepatutnya habis di bilik kaunseling ini sahaja. Tetapi, sebab ia bukan lagi masalah disiplin yang menjejaskan syarikat sahaja, sebaliknya melibatkan akidah ummat, aku cuba buka ruang bantu.

"Tolong yang bagaimana?"

"Kawan dengan saya. Ingatkan saya tentang solat. Saya nak berubah."
.
.
.

SEMENJAK itu, aku dan Hilmi berkawan. Mahu tidak mahu, aku terpaksa menerima dan melayan panggilannya di waktu malam. Kebetulan atau takdir, Affan sudah kurang menelefon. Dalam seminggu, dua tiga kali tetapi bukan hari-hari. Dan, panggilan mereka tidak pernah bertembung.

Dengan Hilmi, bicaranya seringkali nakal. Tetapi, masih terkawal. Dia banyak mendedahkan tentang keluarganya. Dia anak bongsu yang tidak dipeduli sesiapa. Dia nak solat atau tidak sewaktu remaja, abang kakaknya tidak pernah menegur. Dia membesar sebagai remaja liar. Rokok itu makanan yang tidak boleh tidak dijamah.

Dalam sehari, hampir 12 batang dihisapnya. Duitnya hilang begitu sahaja.

"Dah solat?" Malam, selepas isyak dia menelefonku, dan itu memang kebiasaan aku bertanya.

"Dah, mem."

"Surah apa baca?" Sengaja aku menduga.

"Tak percaya kat saya, ke?"

"Jawab sahaja boleh tak? Banyak pertikai, saya malas nak ambil tahu nanti."

"Baik, baik ... jangan macam tu. Hidup saya baru nak rasa bahagia, teratur ... saya baca surah al-Insyirah untuk solat maghrib, surah al-Lahab untuk solat isyak."

"Cuba baca, saya nak dengar." Aku terus menduga. Memang aku kurang percaya pada dia.

Mengejutkan bila tanpa basa basi dia membacanya. Lancar dan lafaznya molek sekali. Tetapi, tidak aku tunjukkan rasa terkejut itu.

"Alhamdulillah. Baguslah. Semoga khusyuk juga solatnya."

"Mir, saya dulu budak sekolah agama." Dia buka cerita. Masa arwah mak dan abah ada lagi, saya okey. Pelajaran pun bagus. Selalu dapat anugerah. Saya jadi down bila mak pergi, diikuti oleh arwah ayah selang beberapa hari. Masa itu, saya sedang tunggu panggilan politeknik. Arwah ayah yang beria nak tengok saya sambung belajar. Saya hampir melepaskan peluang sebab kecewa kehilangan."

Aku terdiam. Patutlah ... Mungkin dia tak jahat mana. Mungkin dia hanya lost bila orang yang disayang pergi di saat dia sedang ingin membuktikan sesuatu. Kehilangan yang meroboh keyakinan hidup.

"Abang dan kakak, awal-awal dah cakap yang mereka tidak boleh ajak saya tinggal sekali. Sebab itu saya paksa diri masuk politek. Sedangkan, jiwa dah kosong. Dah tak tahu sebab apa belajar."

Begitulah setiap hari. Tetapi, aku hadkan masa berbual kami. Aku bagi alasan yang aku nak siapkan prosedur projek walaupun ia sudah lama siap.

"Esok pagi, kejut saya bangun subuh, ya!" Itu pesanannya sebelum perbualan kami tamat. Dan, memang jadi kerja aku setiap subuh untuk menelefon dia, menjadi jam loceng dalam hidupnya.

Suatu hari, jam lima pagi Hilmi menelefon aku. Terkejut aku.

"Pagi darling! Awak tak payah telefon saya. Hari ini saya bangun awal nak solat di surau. Awak pun bangun cepat, mandi, gosok gigi dan solat. Doakan saya agar terus istiqamah."

Aku tak mampu nak balas apa sebab dia sudah memutuskan talian.

"Mir, kau janganlah kawan dengan Hilmi tu." Nad bersuara sewaktu kami minum pagi di bawah pokok mangga berdekatan kolam ikan kap.

Aku hanya menarik senyum sambil menyuap nasi lemak.

"Aku suka kau dengan cikgu ..." Lin pula menambah.

"Hei, apahal kau orang ni? Aku tak ada apa-apalah dengan budak dua orang tu. Dua-dua aku kawan. Dua-dua kalau telefon bersembang tentang kerja dan pembangunan diri. Tak adanya nak cerita hal hati.

"Tapi, jelas kot yang Hilmi tu anggap kau special. Kau pun tak larang dia panggil kau 'yang', 'darling' ..." Lin membebel.

Aku menghela nafas. Ya, aku tak pernah halang. Mungkin di sini, aku patut terima nasihat Nad dan Lin. Takut juga diam aku itu membawa kepada satu harapan lain di hati Hilmi. Diam mungkin jadi tanda setuju diperlakukan sebegitu. Sedangkan, diam aku hanya kerana ingin membiarkan waktu yang memutuskan sesuatu.

Malam itu, Affan menelefon aku.

"Assalammualaikum, Mira!" Ceria sahaja suara Affan. Membuatkan aku menjawab salamnya dengan tawa.

"Boleh ke saya telefon Mira, ni? Sedangkan tak ada apa yang berkaitan dengan projek?" Dia acah bertanya.

Oh, sebab itu dia jarang-jarang menelefon.

"Okey, sahaja, Affan. Kan, kita kawan? Sekali-sekala nak bersembang apa salahnya."

"Biasanya Mira buat apa malam-malam kalau tak berbual dengan saya?"

"Saya baca buku, dengar radio ..."

"Ada kawan-kawan lain yang menelefon Mira?"

"Ada."

"Kawan sekolah? Nad atau Lin? Atau ... Encik Mus? Ke, Takeshi?" Lalu, dia ketawa.

Nama terakhir itu membuatkan aku juga ketawa. Pandai dah sekarang Affan berseloka. Mentang-mentang aku pernah bercerita padanya tentang mimpi Takeshi jadi kekasih hati. Tapi, aku sorokkan yang dia juga ada di dalam mimpi. Hanya setakat secebis yang aku kongsi.

"Ada juga, kecuali Encik Mus dan Takeshi. Ada juga budak kilang bahagian maintenance yang di bawah pengawasan saya tempoh hari menelefon."

Aku pernah bercerita pada Affan tentang Hilmi bila dia bertanya siapa yang menelefon aku sewaktu kami berbual di talian dan ada panggilan masuk. Aku jujur memberitahu kes Hilmi. Tetapi, tidak detail sebab ia sudah jadi P&C (Private and Confiential) case. Hanya beritahu tentang perpindahan Hilmi di bawah pengawasan HR dan menjadi tanggungjawab aku memantau kerja dan kehadirannya. Hal begini semua orang tahu dan bukan rahsia.

"Hilmi?"

Dia ingat.

"A'ah. Dia."

"Selalu ke?"

"Setiap malam. Saya cuba nak tolong dia ubah diri."

Affan terdiam sebelum bertanya, "Ubah diri macam mana?"

Aku diam. Tidak boleh aku nak bercerita lanjut sebab ia aib orang. Aib Hilmi yang melalaikan amanah kerja, juga melalaikan solat.

"Mira ..." Affan memanggil bila aku diam terlalu lama. "Tak apa. Saya tahu ia confidential. Cuma, saya nak Mira tahu, yang Mira dah ..." kata-kata Affan tergantung.

Aku terus berdiam.

"Maaf, tiba-tiba nak campur urusan peribadi Mira. Itu hak Mira. Saya bukan siapa-siapa."

"Awak kawan saya, Affan. Kalau ada yang awak nak nasihat, teruskan. Insya-Allah saya pertimbangkan."

Aku terdengar dia menghela nafas, berat.

"Dia akan call malam ini?" Affan bertanya.

"Err ... ya."

"Mira tunggu panggilan dia setiap malam?"

Aku tak tahu nak jawab apa. Mula-mula memang ia sesuatu yang menjengkelkan. Tetapi, bila sudah lama berkawan, Hilmi tidaklah seteruk yang aku sangka. Aku selesa berbual dengan Hilmi, mengetahui kisah dirinya. Hanya rasa kurang selesa bila sekali-sekala dia mendedahkan rahsia hatinya dengan panggilan-panggilan intim.

"Tak apalah kalau Mira tunggu ..."

"Affan!" Aku tak nak dia letak telefon hanya kerana salah sangka. Tetapi kemudian, aku termangu tidak tahu untuk apa aku menghalang dia. Sedangkan tidak ada apa-apa yang ingin kutanya. Biasanya, dia yang rajin membuka topik cerita. Bertanya tentang perkembangan projek, dan perkembangan diri aku.

"Assalammualaikum, Mira." Dia putuskan talian.
.
.
.

"MIR, kau kena berterus terang dengan dia. Kalau kau biarkan, kau diam ... mesti dia ingat kau terima dia lebih daripada seorang kawan."

"Bagaimana kalau dia kembali jadi diri dia yang dahulu, Nad?" Aku bertanya bodoh-bodoh.

Hilmi sudah banyak berubah. Dia sudah boleh bangun awal bersolat subuh di surau dan masuk kerja mengikut waktu. Rekod kehadirannya juga berubah mendadak. Malah, prestasi kerjanya juga semakin baik. Kak Haiza juga terkejut dengan perubahan Hilmi. Aku tak berbunyi. Biarlah mereka menganggap kaunseling aku berjaya, sedangkan aku sedang mengorbankan diri sendiri.

"Hei, Mir! Kau tak patut risaukan dia. Yang kau patut risau adalah diri kau. Sampai bila kau nak terus layankan kehendak dia? Susahlah kalau dia berubah hanya kerana kau, bukan kerana diri sendiri. Kalau kau bersedia jadi isteri dia pun, letih tau kalau suami tu solat, berhenti merokok hanya kerana isteri. Kita pula nak bimbing dia. Dia tu sepatutnya yang kena kuat, dan bimbing kita."

Kata-kata Lin itu menyentak rasional akal aku. Dan, terlalu takut untuk aku memikirkan sehingga ke tahap itu. Aku tak pernah ada perasaan pada Hilmi walau sekelumit habuk pun. Aku hanya bersimpati. Dia itu, tidak lebih hanya seorang adik pada aku.

Malam itu, aku nekad bertanya pada Hilmi.

"Awak berubah sebab saya, ke?"

"Ya. Kenapa?"

"Kenapa bukan sebab diri sendiri?"

"Kenapa ni ... ada orang hasut awak, ya? Ada orang tak senang dengan hubungan kita, ya?"

"Hilmi, kita tak pernah ada hubungan. Saya cuma anggap awak sebagai kawan."

Dia ketawa, "Mudahkan, orang macam awak mainkan perasan orang. Awak bagi harapan, bimbingan ... selepas itu awak nak lepaskan macam tak ada perasaan. Selama kita berbual di talian, saya panggil awak 'darling', 'yang' ... awak tak terkesan langsung, ya? Awak buat semua ini sebab tugas? Sebab awak nak orang pandang awak sebagai seorang executive yang berjaya. Begitu?"

"Saya suka berkawan dengan awak, Hilmi. Tapi, tidaklah perlulah sampai ada hubungan dan berpanjangan menelefon begini. Saya percaya, awak sudah boleh bangun pagi sendiri, bersolat kerana ia tanggungjawab muslim dan bukan kerana saya."

"Ya, awak betul. Memang saya sudah boleh bangun pagi sendiri dan bersolat kerana ia tanggungjawab. Tetapi, semangat untuk melakukan semua itu sebab awak! Saya nak awak ada dengan saya. Saya rasa dihargai. Rasa hidup ini berguna. Saya dah cuba kurangkan rokok sebab awak tak suka. Cuma tak boleh berhenti mendadak. Tapi sungguh saya berusaha. Saya ikhlas nak jadikan awak suri saya."

Sungguh aku tak boleh terima. Kata-kata Lin siang tadi membuatkan aku sedar. Hati manusia boleh berubah kecuali dia ingatkan Allah. Bagaimana jika Hilmi kembali berubah jika kehidupan masa akan datang menekan? Kuatkah aku untuk berhadapan dengan suami yang goyah? Yang juga ... tidak punya pendirian? Bergantung pada manusia, bukan pada Tuhan?

Diri aku sendiri penuh cela. Baran dan mudah hilang pertimbangan terutama ketika sedang PMS. Sabarkah dia dengan aku? Dan, akan hormatkah aku selamanya dengan dia sedangkan sekarang ini pun aku rasa seolah-olah menipu dia dengan memberikan harapan sirna?

Dan, yang utama ... aku tidak ada perasaan padanya kecuali kasihan.

"Maafkan saya, Hilmi. Selama ini saya hanya menganggap awak kawan dan saya hanya nak tolong awak."

"Beri saya satu peluang, Mir. Atau ... dalam hati awak sudah ada seseorang?" Suaranya sudah sedikit meninggi."

"Tak ada. Buat masa ini saya anggap semua orang kawan." Benar. Aku jujur tentang ini.

"Kalau begitu, beri saya peluang."

Aku diam sebentar sebelum aku kemukakan syarat padanya, "Baiklah. Saya akan uji awak dalam tempoh sebulan. Ujian yang awak tidak akan perasan ia satu ujian. Saya akan terangkan semuanya selepas tamat tempoh sebulan. Kita akan berkawan seperti biasa dalam tempoh ini. Boleh?"

"Baik, yang. Saya terima." Dia menjawab ceria. Yakin berjaya.

Aku melepas keluh sebaik menamatkan talian. Aku perlu adil dengan perasaan. Aku tak tahu sama ada dia akan berjaya atau tidak. Jika betul dia berjaya ... aku terpaksa jujur dengan hati sendiri.
.
.
.
2455 pp

15 Jun 2021
09.47 malam

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro