Bab 24 - PMS
MEMANDANGKAN aku cuti solat, aku berlambat-lambat bangun pagi. Kebetulan, keluarga aku tiada di rumah. Mereka ke rumah mak cik aku, ada perbincangan urusan majlis sepupu. Mereka tidak mengajak kerana tahu aku penat dan kurang sihat - bertarung dengan period pain yang agak teruk.
Sampai ke rumah malam tadi, badan rasa macam nak demam. Aku telan dua biji paracetamol selepas mandi dan membersihkan make-up, lalu tidur.
Sunyi betul pagi ini tanpa manusia di rumah. Masih bermalas di atas katil, kucapai telefon yang mati sepanjang malam. Kuhidupkan. Menderu mesej masuk sebaik butang 'on' kutekan. Memang aku tidak mahu diganggu, lebih-lebih lagi selepas kejadian ditengking Affan. Bersisa pedih membawa kepada mimpi ngeri diburu Affan yang cemburukan Takeshi. Entah kenapa Takeshi boleh pula masuk ke dalam mimpi aku menjadi kekasih hati! Nasib baik cuma mimpi. Mungkin kerana aku asyik memikirkan, malah marahkan Takeshi.
Missed call juga ada dua tiga. Daripada Nad dan Lin hanya sekali. Itupun malam tadi. Tetapi, daripada Affan ... banyak! Dari malam membawa ke pagi.
Aku baca WhatsApp daripada kumpulan aku, Nad dan Lin. Mereka kata, malam selepas kami beredar, para eksekutif yang tinggal berdansa sakan. Arak dibawa masuk ke dalam dewan. Yang muslim bergerak pulang. Atau, ada juga yang menyinggah di 'mamak' untuk bersembang. Cerita Nad dan Lin lagi, eksekutif Jepun ramai yang mabuk. Engineer tempatan juga yang bukan muslim, turut serta.
Ada kejadian tidak diingini berlaku. Cerita Nad, yang didapatnya daripada rakan yang bekerja di hotel, yang menguruskan majlis kami, ada eksekutif Cina perempuan hampir dicabul. Menangis gadis itu bila dia cuba ditarik untuk dibawa ke bilik hotel. Mujur masih ada eksekutif lain yang tidak mabuk dan meleraikan.
Aku menghela nafas. Bersyukur aku pulang awal. Jika masih berada di sana, sama ada aku menjadi mangsa, atau aku mengganas mengambil alih tampuk kuasa, mengarahkan mereka semua pulang jika tidak ingin menerima show cause letter. Diberi kebebasan dan peluang, berlebih-lebihan pula mereka. Entah Encik Mus tahu atau tidak cerita sensasi ini. Aku percaya yang Encik Mus juga pulang awal sebaik Takeshi membawa arak masuk ke dalam dewan. Jika masih ada di sana pun, mungkin Encik Mus tukar meja.
Senggugut pagi sekali-sekala, menyerang. Mood aku, hilang. Aku pandang nama Affan pada senarai WhatsApp yang muncul. Ah, nantilah aku baca. Tidak ada apa yang penting kalau daripada dia. Kalau daripada Encik Mus, mungkin aku terus baca.
Perlahan-lahan aku mengengsot ke birai katil. Rambut yang mengurai, kuikat dengan getah dari bawah bantal. Aku perlu mandi untuk mencapai kesegaran. Kujatuhkan kaki mencecah lantai. Rapat. Terkepit, bila terasa cecair merah itu sedang keluar. Sewaktu ingin berdiri, aku tekan bawah perut, cuba menghilangkan senggugut.
Pandangan tiba-tiba rasa berbalam pula. Gelap dan terang bersilih pandang. Aku menapak perlahan sambil sebelah tangan menekan dinding. Tuala di belakang pintu kutarik, lalu kusangkut di bahu. Menapak satu per satu. Seksa bila Allah duga makhluknya yang bernama wanita dengan keistimewaan cuti yang sengsara.
USAI mandi, aku turun ke dapur membancuh oat. Tidak selera untuk kutelan makanan pepejal. Oat panas, lebih mudah kutelan dan ia cukup mengenyangkan. Sambil menghirup oat, aku capai buku. Sebuah novel karangan penulis Indonesia, Andrea Hirata. Ceritanya selalu punya isi dan pembawakannya menghibur hati.
Bunyi telefon membuatkan aku berkerut dahi. Mengganggu betul!
Nama Affan membuatkan aku menghela nafas, berat. Malas betul nak jawab. Tengkingannya malam tadi sudah kumaafkan. Mimpi yang bertandang juga kuanggap hanya cerita purba yang hilang ditelan masa. Tidak apa-apa.
"Assalammualaikum, Mira."
"Waalaikumsalam, Affan. Ada kecemasan apa awak telefon saya?"
Dia diam.
"Affan, kalau awak tak ada apa nak cakap, tak perlu telefon." Suaraku mendatar. Tidak tinggi tanda marah, tidak juga rendah. Aku cuma tidak bersedia untuk berbual. Ya, aku tak ada mood dalam keadaan PMS.
"Saya nak minta maaf."
"Saya dah maafkan."
"Mira ..." suaranya lembut tetapi berbunyi tegas dan jitu. "Saya tak marah Mira langsung. Saya hanya ... marah dengan diri sendiri."
"Ya, saya okey." Memang aku okey selepas menangis malam tadi. Aku hanya terkejut ditengking. Tetapi, selepas aku rasional, aku faham kenapa dia sampai boleh menengking. Aku dah lupakan perkara itu. Yang aku tak okey sekarang hanyalah keadaan diri sendiri yang sedang PMS. Aku tidak mahu bercakap dengan sesiapa yang tidak penting. Itu sahaja.
"Mira terasa dengan saya."
"Tak, Affan. Saya okey. Cuma saya tak ada mood nak bercakap dengan sesiapa."
"Mira tak sihat?"
"Ya. Dan, saya perlukan rehat."
"Assalammualaikum, Mira."
"Waalaikumsalam." Talian diputuskan. Aku, mendengus. Sakit pula hati dengan sikap Affan. Kadangkala dia mudah berubah laku bila dengan aku. Dengan orang lain, tak begitu. Tadi baru minta maaf sebab 'tertengking'. Tidak lama, sentap pula terus bagi salam, putuskan talian. Ish, letih dengan Affan!
Aku kembali fokus kepada oat yang mulai sejuk. Kusudukan ke mulut. Sudah rasa payau! Aku tak rasa nak makan lagi. Dentingan di telefon menandakan ada notifikasi membuatkan aku melihat pada skrin. WhatsApp daripada Affan.
+Semoga Mira cepat sembuh.
+Saya tak senang hati dengan keadaan begini.
+Maaf, sebab terus ganggu Mira.
+Saya tahu Mira nak berehat.
+Tapi, saya nak Mira tahu.
Affan is typing ...
Lama.
Aku malas nak tunggu. Aku letak telefon di bawah bantal kusyen, aku sambung tidur! Tersedar bila ada bunyi dentingan. Mak suruh aku angkat kain. Aku terus ke bilik air membersihkan diri. Menukar pad. Mak kata tak payah masak. Mak cik aku ada bekalkan banyak lauk.
Cuaca di luar memang mendung. Guruh mulai berdentum. Selesai mengangkat kain di ampaian, aku capai buku yang tak sempat pun kubaca sewaktu sarapan. Tetapi kemudian terhenti sebab teringatkan mesej Affan.
Aku capai telefon. Mesej itu tidak bersambung. Terhenti pada yang sebelum itu. Mungkin dia menukar fikiran tidak mahu aku tahu pula. Entah perkara apa. Missed call Affan malam tadi hampir lima belas kali. Awalnya selang setengah jam. Tetapi kemudian bersambung kepada selaan satu jam. Missed call terakhir adalah pada waktu subuh. Aku mengagak, yang dia tidak tidur.
Cuti hari Sabtu dengan mood PMS, memang kerja aku hanya tidur dan bila celik, aku memilih untuk membaca. Mesej Nad dan Lin pun tidak kubalas. Tetapi budak berdua itu faham. Gosip makan malam akan jadi perbualan panjang pada hari kami naik bekerja nanti.
Malam itu selepas maghrib, masuk satu lagi mesej daripada Affan.
+Mira dah sihat?
+Boleh saya telefon Mira?
Aku rimas.
Akhirnya aku ambil keputusan untuk menyelesaikan perkara ini. Aku menelefon Affan.
"Assalammualaikum, Mira." Dia terlebih dahulu bagi salam.
"Waalaikumsalam, Affan. Kenapa ni ...?" Aku kawal suara agar tidak menyakitkan dia.
"Mira tak marah saya, kan?"
"Tak. Saya cuma tak ada mood sebab senggugut."
"Period?"
"Err ... ya!" Ish, selamba pula dia. Aku ingatkan dia malu dan terus nak letak telefon bila aku beritahu keadaan sebenar. Tak sangka pula cikgu acah ustaz seorang ini begitu selamba.
"Masih sakit lagi?"
Eh, prihatin pula dia.
"Sikit."
"Ada ubat?"
Ya Allah, daripada cikgu kepada ustaz, sekarang nak jadi doktor pula ke?
"Ada."
"Selalu kena?"
"Affan ... awak tak tidur ke, sepanjang malam? Banyak missed call, mesej ...." Malas aku nak menyeret cerita sakit period aku.
"Saya rasa bersalah. Saya dah sakitkan Mira."
"Saya okey. Saya dah lupakan semuanya. Awak tak sengaja, kan? Tak payah call atau WhatsApp, saya lagi. Saya bukan dalam mood pun sekarang ni."
"Mira tak suka saya."
Ya Allah, ada kena mengena ke keadaan aku sekarang dengan 'suka-tak suka' tu? Aku sedang balas panggilan telefon dia ni. Apa masalah suka tak suka pula?
"Saya cuma bukan dalam mood. Saya tak nak cakap banyak."
"Mira suka saya?"
Aku sakit kepala. Rasa nak marah sangat pada Affan!
HARI Ahad yang tenang. Period pain aku mulai berkurang. Darah sudah hampir kering. Aku menyambung pembacaan. Tetapi, dalam pada membaca, hati bagai disangkut satu perkara. Seolah-olah ada pekerjaan yang tidak selesai. Aku abaikan. Tetapi, setiap saat rasa itu mengganggu. Rasa berdebar yang kuat dan tidak selesa. Macam ada peristiwa yang tidak baik akan berlaku.
Berat rasa perasaan ini. Aku membaca dalam posisi yang berubah-ubah bagi mendapatkan fokus bacaan yang terganggu dengan rasa misteri.
Keesokan pagi, aku bergerak ke pejabat. Sebaik memarkir kereta, aku ingin menyambung bacaan, tetapi rasa macam diperhati. Ah, lebih baik aku masuk ke pejabat. Jika ada Nad dan Lin, bolehlah bersantai gossip cerita makan malam. Mudah untuk aku menyediakan rangka laporan. Aku pasti, Encik Mus tentu suruh aku siasat perkara ini.
Sebaik turun dari kereta, aku berpapasan dengan Mei.
"Hei, Mey! Apa cerita dinner?" Sahaja aku mencungkil rahsia daripada Mei. Aku tidak pasti adakah Mei terlibat dengan kes yang disampaikan oleh Nad dan Lin.
"Terrible!" Mei ketawa.
Tawanya bercanggah dengan perkataan 'terrible' itu sendiri. Aku turut ketawa.
"The foods or the MC?" Aku cuba untuk tidak tunjukkan yang aku tahu kisah arak itu.
"Him. Takeshi."
"What happen?" Kami beriringan ke pintu lobi. Aku nampak Affan berdiri di situ. Betul-betul di hadapan pintu lobi, memandang ke arah aku dan Mei. Aku abaikan. Aku nak tahu cerita daripada Mei. Mei mengangguk sekali pada Affan sebelum terus menolak pintu lobi. Aku mengekori Mei, langsung tidak memandang pada Affan.
Cerita Mei tidak seteruk cerita Nad dan Lin. Nampaknya, mereka lebih bijak mengawal suasana dan mengawal diri. Ya, sepatutnya begitu.
"Dia mabuk teruk." Mei bercerita. "Luckily Lei Su tak mabuk sangat. Jika tidak, tentu sudah ikut Takeshi masuk bilik hotel."
"Dia menangis?" Aku cuba pastikan maklumat yang kudapat sebelum itu.
"Hei, mana you tahu?"
Aku tersengih.
"Itu sebab Takeshi hampir kiss dia."
Aku tekup mulut. Ngeri!
"No worries, Mir. We're all adult. Tahu jaga diri. Senang sahaja ajar itu Takeshi. Dia mabuk teruk, kita tolak sahaja dia jatuh dan tertidur atas sofa di luar dewan." Mei ketawa.
Aku ketawa juga walaupun sebelum itu aku membayangkan keadaan yang berbeza. Aku fikir, bila seseorang sudah mabuk teruk, dia akan bertindak kasar dan sukar dipatahkan perlakuannya. Mungkin benar, Takeshi mabuk teruk sehingga apa yang dimahunya pun sudah luput. Selamat Lei Su!
"You, minum?" Aku bertanya. Aku tak rasa soalanku itu sensitif.
"Yes. Sedikit sahaja. My boyfriend warned me not to take any alcohol drink during event."
Aku mengangguk-angguk. Dalam kepala sudah merangka laporan yang bagaimana hendak kutulis. Nampaknya, tidak ada.
Aku menelefon Hafiz. Dia sudah sampai di pejabat, tetapi sedang makan pagi di café. Dia kata akan menelefon aku semula. Mei sudah bergerak ke pejabatnya. Aku duduk di mejaku. Nad dan Lin baru masuk sambil membawa air dan roti di tangan masing-masing. Tentu kedua-duanya baru balik dari café.
"Kau ada suruh cikgu tunggu di lobi ke?" Nad bertanya sebaik dia sampai di hadapan meja aku.
"Affan?"
"Dia duduk termenung di lobi seorang diri," sambung Lin.
Aku menghela nafas. Apa sahaja mahunya budak seorang ini. Aku bangun lalu menuju ke lobi. Sebaik terpandang aku, dia terus berdiri.
"Mira ..."
Muka Affan tampak murung walaupun ulas bibirnya menarik senyum.
"Awak tunggu saya ke, Affan?"
"Saya ... minta maaf. Saya tak tenang Mira jauhkan diri daripada saya. Rasa macam buat salah besar."
Aku tersenyum. "Saya okey, Affan. Tak payah fikir apa-apa." Aku lihat jam di tangan. "Dah nak masuk kerja. Kalau ada yang awak nak bualkan, okey je telefon malam ni." Aku mengekalkan senyum. Memang aku okey.
Serta-merta dia juga menarik senyum. Berseri wajahnya.
Melihat dia tidak berkata apa, hanya tersenyum, aku meminta diri masuk semula ke dalam pejabat.
"Saya masuk dululah Affan, assalammualaikum."
"Waalaikumsalam. Terima kasih, Mira."
Rasa memberat tadi sedikit demi sedikit hilang bila aku buka ruang kemaafan, dan mungkin juga ruang persahabatan.
.
.
1846 pp
13 Jun 2021
09.10 malam
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro