Bab 22 - Rasa
SELEPAS panggilan pada malam itu, Affan sudah tidak menelefon aku lagi. Mungkin malu. Atau, mungkin juga sebab tiada urusan penting. Projek seliaan Affan masih berjalan. Sudah kuat asasnya dan tiada keperluan perbincangan atau panduan peribadi di antara aku dan dia.
Dia juga sudah boleh berhubung terus dengan ketua bahagian atau penyelia dalam kilang. Mereka sudah kenal Affan. Sudah tidak perlu aku untuk mengajar Affan bagaimana hendak berhubung dengan mereka. Keyakinan dirinya sudah jitu, tanpa aku.
Kami masih lagi bertemu dalam mesyuarat committee yang diadakan seminggu dua kali. Cuma ... tidak ada lagi perbualan atau sapaan seperti sebelumnya.
Dia yang dulunya tidak lekang dengan senyuman setiap kali mata kami bertentang, kini ... tidak langsung memandang.
Entah kenapa, terselit pula rasa kecil hati dalam jiwa ini.
Walaupun sebelum ini aku kata, aku tidak kisah. Tidak akan terkesan, tidak akan ada apa-apa perasaan sama ada janggal atau segan bila dia berterus-terang, tetapi aku tidak boleh terima jika dia seolah-olah menghindari aku.
Sejujurnya, aku benci bila perkara hati jadi punca hubungan rakan sekerja renggang. Apatah lagi jika memberi kesan kepada pekerjaan itu sendiri.
Tetapi, setakat ini tidak jejas apa pun hal kerja kami. Hal kerja aku sebenarnya. Hal kerja dia pun mungkin tidak terjejas. Mengikut pandangan mata kasar aku.
Sekarang, aku hanya perlu jaga hati sendiri supaya tidak terkesan sangat dengan apa pun yang dia sedang buat. Dia mungkin sedang menguji aku. Atau, mungkin juga sedang menguji hatinya.
Aku bertekad tidak akan menegur Affan kecuali berkait dengan urusan kerja. Kalau dia tegur, aku jawab!
.
.
.
SEMINGGU berlalu tanpa kami berbicara apa. Sehinggalah suatu hari selepas projek yang diselia Affan sudah tiba ke penghujung, sudah hendak diluncurkan, dia mendekati aku, "Mira, sibuk?"
Pada waktu itu, kami baru selesai bermesyuarat dengan seluruh committee. Akan ada satu majlis makan malam khas buat kami, yang telah menjayakan projek ini.
"Ya, kenapa?" Aku menjawab tanpa memandang padanya. Tanganku ligat mengemas dokumen dan alat tulis, dan ingin beredar.
Aku terdengar dia menghela nafas.
"Tak apalah kalau Mira sibuk." Dia seakan merajuk.
Memang tidaklah untuk aku memujuk.
"Kalau atas urusan kerja, cakaplah. Tak kiralah saya sibuk atau tidak. Nanti, kalau bertangguh, bos marah." Aku pandang wajahnya.
"Bukan urusan kerja ..." Perlahan suaranya.
"Tak apalah, cakaplah juga." Aku membalas sambil melihat pada jam tangan. Acah aku mempertimbangkan masa. Tak sampai hati!
"Mira pergi ke? Ke majlis makan malam tu?"
"Insya-Allah. Saya committee. Bahagian Sumber Manusia pula tu, kalau tak datang nanti kena marah. Lagi pun, tentu bos saya akan suruh saya deal dengan pihak hotel, buat reservation table. Kenapa awak tanya?"
"Tak ada apa ...." Wajahnya, keruh. Dia menunduk.
Terhela nafasku. Baru merancang hendak membalas sikap dinginnya padaku sepanjang minggu lalu. Tapi, sekarang bila dia seolah-olah sedang dirundung masalah, jadi tak sampai hati pula.
"Awak ada masalah ke, Affan?" Kurendahkan suara. Mencari anak matanya yang sejak tadi hanya tunduk memandang meja.
Dia menggeleng tanpa mengangkat muka langsung. Jarinya menulis entah apa pada meja yang kosong. Macam orang menulis atas pasir layaknya.
"Hmmm ... kalau tak ada apa nak cakap, saya nak beredar. Tak baik pula kalau kita berdua, lama-lama dalam bilik mesyuarat ni!"
Terus kepalanya terdongak. Liar matanya melihat sekeliling. Mungkin sejak tadi dia fikir, committee lain masih ada dan sedang duduk berbual mencuri masa, atau mengemas dokumen. Dia tidak sedar yang seorang demi seorang sudah melangkah keluar dari bilik mesyuarat.
"Mira pergilah masuk ke pejabat. Biar saya tutup lampu dan air-cond." Suaranya cuak.
Menggeleng aku dengan sikapnya. Nak ketawa pun ada. Hailah, cikgu acah ustaz ni ... takut ya, kena fitnah berdua di dalam bilik tertutup dengan anak dara orang!
Aku, tanpa menunggu lama terus menyangkut beg laptop di atas bahu kanan, mendakap erat fail dan alat tulis, lalu melangkah ke arah pintu.
"Mira!"
Aku menoleh.
"Saya telefon malam ni."
.
.
.
MALAM itu, Affan kembali menelefon aku. Aku sudah menasihati hati sendiri agar jangan sebut langsung tentang kedinginan sikapnya sepanjang minggu itu. Tetapi, dia yang memunculkan apa yang cuba aku hindari.
"Maaf," katanya.
"Eh, kenapa? Awak ada buat salah ke?"
"Saya tak telefon Mira. Tak tegur Mira di pejabat."
"Oh, ya?" Aku berpura-pura tak sedar. Tak terasa. Tak tercalar jiwa. Sedangkan hati ini sudah mengecil dan hampir ke sakit hati.
Dia diam seketika sebelum menyambung kata, "Mira tak rasa kecil hati dengan saya?"
"Kenapa nak kecil hati? Tidak ada apa-apa urusan, memang tak perlulah nak telefon, kan? Jimat bil dan jimat masa. Banyak lagi perkara lain yang boleh dibuat selain daripada berbual kosong dengan saya di telefon. Kat pejabat pun, masing-masing kan, sibuk?" Kubalas. Cuba menyelindung kebenaran, sedangkan cara aku bercakap itu jelas menggambarkan ketidakpuasan. Kata-kataku, sinis, tajam.
"Saya minta maaf. Baguslah kalau Mira tak terasa. Hmm ... betullah." Dia mengeluh.
"Apa yang betul?" Cepat aku bertanya.
"Tak ada apa."
"Awak ni kenapa, Affan? Kalau ada apa-apa yang tersangkut di hati tu, yang awak rasa nak kongsi dengan saya, ceritalah. Saya tak sukalah orang cakap separuh-separuh ni. Buat saya tertanya. Jadi terbeban pula bila saya memikirkannya. Perkara di pejabat siang tadi pun awak belum cerita lagi. Kenapa dengan majlis makan malam committee tu?"
"Saya suka Mira. Saya betul suka Mira. Kalau saya minta mak saya datang pinang Mira, boleh tak? Saya nak Mira tahu yang saya serius. Bukan nak couple, tapi nak jadikan Mira isteri saya. Boleh tak?"
Eh! Kaku sekejap aku di telefon. Ya Allah, kenapa tiba-tiba masuk soal kahwin pula?
"Kenapa soal ini yang awak munculkan?"
"Sebab ... soal ini yang tersangkut di di hati saya sejak seminggu saya tidak berbual dan menegur Mira. "
Affan ... sudah kenapa dengan dia ni? Macam dah kena jampi pengasih. Aku tak buat apa pun!
"Eh, sabar dulu Affan. Saya tak kata pun yang pengakuan awak malam tu tak serius. Saya cuma ..." Aku menghela nafas. Masalah besar ni!
Dia diam.
"Affan, mungkin awak boleh cerita tentang perkara siang tadi dulu. Saya ... perlukan masa untuk soal yang satu itu. Lagi pun majlisnya hujung minggu ini."
"Baiklah. Tentang makan malam tu ... saya tak rasa nak datang." Merudum suaranya.
Ruduman yang kedengaran ... manja! Membuatkan bulu romaku, merinding.
"Kenapa?" Aku tegaskan suara. Tidak mahulah terdengar macam memujuk pula.
"Tentu ada arak, kan?"
Terus bulat mata aku. Dari posisi meniarap sambil menyelak buku, terus aku duduk. Ya, itu tidak mustahil sebab pengurusan tertinggi kami, orang Jepun dan Cina. Ada pengurusan Melayu tetapi tidak begitu tinggi jawatannya.
Bila dia dengar aku diam menyimpan kata, dia menyambung, "Mira jelas kan tentang hukum?"
"Kita tak minum, Affan. Ada air lain dan cawan yang berbeza. Mereka juga tidak akan paksa kita."
"Masih tidak boleh Mira, bila kita berada dalam majlis yang ada benda haram itu."
Hati aku sudah berdetak kencang. Entah kenapa, rasa yang satu itu menyusup perlahan. Aku mulai ... rasa ... hormat pada Affan. Dan, dalam tidak sedar aku nampak dia sebagai ... calon imam! Ada ketegasan pendiriannya dalam urusan halal haram.
"Affan, kalau tidak ada arak, awak boleh datang?"
"Insya-Allah. Saya datang."
"Baiklah. Saya akan bawa perkara ini kepada pihak pengurusan. Saya akan berbincang."
"Boleh, ke?"
"Insya-Allah. Awak doakan saya."
"Selalu ..."
"Hmmm?" Aku tak faham apanya yang selalu?
"Saya selalu doakan Mira." Suaranya kembali ceria. Malah, sudah ada nada-nada nakal di situ. Muka aku sudah panas diserapi darah yang mengalir laju naik dari segenap urat.
"Saya percaya Mira boleh mempengaruhi keputusan pihak pengurusan. Sebab itu saya terfikir untuk kongsikan perkara ini dengan Mira," balasnya ceria.
"Eh, kenapa yakin sangat dengan saya?"
"Sebab, Mira garang." Lalu, dia ketawa.
Aku terus menarik muka. Kurang asam punya Affan! Huh, garang pun dia cakap dia suka. Siap nak masuk meminang!
"Kenapa gelak?" Aku membalas dengan serius.
Dia menyambung tawa sebelum berkata, "Ridwan yang kata, Mira garang. Dia takut dengan Mira. Lucu tau masa dia paksa saya suruh datang interview. Saya masa tu sudah bersedia untuk pulang ke kampung, nak cari kerja di sana. Bersungguh dia minta saya telefon mak saya semula mengatakan tak jadi balik.
Masa tu, saya teringin sangat nak tengok Mira secara berdepan. Perempuan mana yang sudah membuatkan kawan saya yang kaki perempuan ini boleh kalah dan menurut perintah seorang perempuan. Sedangkan, dia boleh sahaja mengabaikan arahan Mira."
Ya, betul kata Affan. Aku sebenarnya terkejut juga bila Ridwan ikut cakap aku. Terkejut bila esoknya selepas aku marah Ridwan di talian, benar kawannya muncul.
"Padan dengan muka dia. Siapa suruh menyusahkan orang!" Kubalas begitu pada Affan. Memang bila dikenang semula, aku sakit hati dengan orang macam Ridwan. Tidak bersungguh dalam memohon satu-satu pekerjaan. Tidak terfikir yang orang seperti dia hanya membuang masa kami di bahagian pentadbiran. Malah, telah menutup peluang calon lain yang benar-benar inginkan pekerjaan. Dia sekadar mencuba dan menolak bila terpilih. Sebagai back-up sementara menantikan kerja yang benar-benar menjadi idamannya.
"Tapi, memang Mira garang!" Affan ketawa.
Aku menarik senyum. Suka hati aku bila Affan sudah tidak lagi bersedih. Entah kenapa, wajah murung Affan membuatkan aku rasa susah hati.
"Hei, sudahlah gelak tu!" Aku menegur.
"Saya suka."
"Suka apa? Suka gelak?" Aku pun sudah tergelak sama.
"Saya suka Mira. Saya suka Mira saya yang garang dengan lelaki.
Aku sudah tidak gelak lagi.
Mira saya?
Sejak bila aku jadi kepunyaan dia?
"Affan ..." Terhela keluhan. "Sejak bila awak suka saya?"
"Sejak saya dengar cerita Ridwan tentang Mira. Waktu itu, nama Mira sudah mendapat tempat di hati saya."
"Walaupun awak tidak pernah lihat saya?"
"Ya. Mira mendapat penghormatan di hati saya bila Mira marah Ridwan. Pertama kali saya dengar ada prempuan yang tidak cair dengan Ridwan, malah boleh pula marah dia sebegitu rupa."
Ya, aku akui yang Ridwan punya tarikan. Suara dan susunan ayatnya yang sopan, kena dengan rupanya yang tampan memang boleh menggugat iman para gadis. Tetapi, kes aku dengan Zain telah menjadikan hati aku beku untuk goyah dengan mana-mana lelaki.
Ditambah pula, sewaktu aku menguruskan permohonan Ridwan, aku sedang tertekan dengan lambakan kerja. Memang silap bila dia buat hal! Wajah tampan dengan bahasa sopan pun tidak mampu menyejukkan kemarahan aku.
Tetapi ikut profesionalisme pekerjaan, aku tidak seharusnya marahkan Ridwan. Penolakan selepas tawaran pekerjaan itu, lumrah.
Tetapi, itulah ...
Aku, bila dalam keadaan tertekan, jadi tidak rasional. Kesabaran itu hanya seperti debu yang melekat di baju. Tipis.
"Mira ..." Dia menegur bila aku diam di hujung talian.
"Ya?"
"Kenapa diam? Mira mengantuk, ya?"
Aku lihat jam di dinding bilik. Sudah jam 11 malam. Hampir satu jam setengah kami berbual.
"Kita letak dululah. Mira dah mengantuk tu agaknya." Affan meneruskan kata bila dilihatnya aku tak jawab apa. Mungkin dia ingat aku tertidur.
"Ya, kita letak dulu."
"Saya doakan Mira," katanya sebelum aku sempat memutuskan talian. "Mira doakan saya juga, ya! Assalammualaikum."
"Insya-Allah, Affan. Waalaikumsalam."
"Terima kasih, Mira."
Talian diputuskan oleh Affan.
Aku menghela nafas. Aku benci bila dikhianati perasaan. Ya, aku mulai sukakan Affan. Rasa itu kuat bila dia bertegas tentang hal arak.
Aku membaca al-Fatihah, ayatul Kursi dan Tiga Kul, sebelum doa tidur. Dalam hati, aku berdoa agar Allah bantu kami dalam membuat keputusan seiring reda-Nya.
.
.
.
1792 pp
6 Jun 2021
7.21 malam
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro