Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 20 - Berkawan

HARI Sabtu, kami, ahli jawatankuasa projek terpaksa datang demi menyelesaikan tugasan projek yang tinggal tidak lama. Pihak atasan dari Jepun sudah 'berbunyi' sebab mereka ada timeline, monitor setiap syarikat bagi mencapai persijilan tuntutan pelanggan dan kami masih lagi di fasa satu.

Kafeteria memang tidak buka pada bukan hari bekerja sebenar kerana kapasiti pekerja yang ada amat sedikit.

"Mir, makan di gerai Kak Jah?" Lin bertanya.

"Boleh juga."

Pada waktu ini, aku sudah berkereta. Buat pinjaman sebaik mendapat pengesahan jawatan. Kereta berjenama tempatan yang setakat ikut kemampuan aku membayarnya secara bulanan.

Pada waktu itu hampir ke jam 12 tengah hari.

"Assalammualaikum, maaf nak tanya." Terpacul si dia di kaunter pejabat. Dia tersenyum pada kami. Lin bangun, lalu menuju ke kaunter.

"Hai, cikgu! Nak apa?" tanya Lin.

Lin yang muda lima tahun daripada kami memang memanggil dia, 'cikgu' sebab, selain menjadi pegawai pelaksana pensijilan, dia juga mengajar pekerja tentang piawaian yang perlu diketahui dan dipatuhi dalam proses kerja.

"Kafeteria tak buka ke?"

"A'ah cikgu. Kafe tak buka."

"Kau orang makan di mana?"

"Kami makan di luar." Lin terus melayan.

"Di mana?"

"Alaa ... macam mana nak terang ya! Cikgu tak biasa lagi ya, kat kawasan ni?"

Dia hanya tersenyum.

"Mir! Kita ajak cikgu sekali, boleh?"

Aku sudah panggung kepala. Tak mungkin aku jawab 'tak boleh'. Kasihan dan mungkin menjatuhkan air muka.

"A'ah, bolehlah kalau awak nak ikut sekali."

"Tak apa, ke?"

"Tak apa. Okey, je."

Bila jam tepat menunjuk ke angka 12, aku dan Lin berkemas, mematikan PC. Dia, kami suruh tunggu di lobi sebelum berjalan bersama kami menuju ke parkir.

"Cikgu duduk di hadapan, ya!"

Aku mengangkat kening pada Lin yang hanya menayang sengih.

"Masuklah." Aku mempelawa. Dia tersenyum.

Dalam perjalanan yang tak sampai lima belas minit itu, aku lihat dia diam.

"Takut ke dengan cara saya bawa kereta?"

"Boleh tahan."

Aku hampir ketawa. Jujur ya amat!

Waktu makan, banyak soalan peribadi yang Lin ajukan pada dia, tapi hanya senyuman dibalasnya. Nampak sangat dia seorang yang tidak suka berkongsi cerita peribadi. Sama ada dia seorang perahsia, atau tidak mahu meninggi diri.

Tidak jadi aku hendak bertanya banyak.

Pulang dari makan, sebaik memasuki parkir Lin terus keluar dari kereta. Sempat Lin ucapkan terima kasih padaku sebelum tersengih dan meninggalkan aku dengan dia.

"Terima kasih, Mira, tumpangkan saya. Nak bayar duit minyak ke?"

Aku tak terkesan, dan tak rasa nak ketawa dengan gurauannya. Cuma kubalas, "Sama-sama. Tak ada apalah. Perkara kecil. Awak ikut atau tidak, kereta ini tetap ke sana."

"Perkara besar bagi saya. Assalammualaikum." Dia keluar dari kereta meninggalkan aku yang termenung.

"Kenapa buat macam tu?" Masuk sahaja ke dalam pejabat, aku bertanya pada Lin. Tak suka bila Lin tinggalkan aku berdua dengan dia di dalam kereta. Boleh menimbulkan fitnah.

"Ala ... bagi chance. Cikgu tu macam ada nak cakap sesuatu je, dengan Mir."

"Cakap apa?" Tinggi sedikit suara aku. Lin dengan Nad ni memang cari fasal.

"Cikgu tu baiklah, Mir. Kenapa tak nak cuba 'berkawan?" Lin buat tanda inverted comma di udara tika melafaz kata 'berkawan'.

"Kenapa nak kenen-kenenkan dengan aku? Kalau rasa dia baik, Lin sendiri cuba. Tak selesalah bila Lin dan Nad buat macam ni."

"Dia tak sesuai dengan Lin lah, Mir. Dengan Mir nampak sesuai."

Aku menggeleng. Suka hati dia sahaja!

Malam itu, aku agak terkejut bila dia menelefon aku.

"Assalammualaikum. Maaf mengganggu Mira."

"Waalaikumsalam. Ya, ada apa Affan?"

Ya, namanya Ahmad Affan.

"Kalau tidak mengganggu Mira, saya nak tanya pendapat Mira tentang pihak pengurusan."

Aku terdiam sebentar. Ada apa dengan pihak pengurusan yang dimaksudkan oleh Affan?

"Awak ada masalah dengan pihak pengurusan syarikat ke?" Risau pula aku kalau dia tiba-tiba minta berhenti. Bukan senang hendak mencari calon bagi jawatan yang satu ini. Dia sendiri pun sebenarnya dicadangkan oleh calon sebelum ini yang menarik diri selepas aku sahkan permohonannya berjaya.

Waktu memohon pekerjaan, bersungguh. Asyik telefon bila syarikat lewat memberi maklum balas. Bila sudah ditemuduga, sudah dapat jawatan, nak tarik diri pula. Angin betul aku sewaktu menguruskan calon sebelum Affan ini. Kawan Affan!

Bahagian pengambilan pekerja adalah di bawah bidang tugas Lin. Tetapi, pada hari tersebut, aku bantu sebab Lin pulang ke kampung selama seminggu. Memang untuk jawatan ini aku tahu kelayakan dan segala yang diperlukan. Jadi, bos minta aku uruskan jawatan khas pengelola projek persijilan ini, sepanjang ketiadaan Lin.

Kawan Affan yang awal-awal memohon itu tidak fasal kena marah dengan aku bila dia menarik diri selepas offer letter sudah aku siapkan. Puas aku membebel dan bagi tazkirah padanya. Kerana tidak tahan, dia dia berjanji akan menghantar kawan yang sama kuliah pembelajaran dengannya sebagai ganti.

Ya, di situlah nama Ahmad Affan muncul.

"Oh, tidaklah sampai berhenti Mira. Saya masih perlukan kerja ini. Cuma, saya nak minta pandangan Mira. Memang saya ada sedikit masalah dengan pihak pengurusan. Sama ada benar saya tidak perform, atau expectation mereka yang terlalu tinggi pada saya."

"Apa yang dah jadi?" Sebagai pekerja di bahagian pengurusan sumber manusia, aku rasa ia sesuatu yang perlu aku uruskan.

"Hmm ... macam mana saya nak cakap, ya?"

Haish, nak cakap pun tak pandai ke? Cikgu, kan? Aku diam dan cuba bersabar di hujung talian.

"Awak kena marah ke? Siapa marah awak? Puncanya apa?" Memang aku tak sabar dengan 'cikgu' seorang ini. Suka dia buat aku ternanti-nanti, tertanya-tanya ...

"Takeshi ..."

Okey ... mendengar nama itu sahaja aku seolah-olah sudah boleh mengagak situasi yang dihadapi oleh Affan.

"... dia kata projek yang saya uruskan ini satu pembaziran. Dia nampak saya tidak ada progress kerja."

"Awak tak tunjuk pada dia milestone projek ke?"

"Dia ada. Memang setiap pengurus sudah terima milestone projek."

"Dia tak faham agaknya. Mungkin awak boleh terangkan."

"Dia tak nak dengar."

"Bos awak tahu?"

"Tak."

Bagus. Dia mengadu direct pada aku, bukan pada bos dia. Terbaik!

"Cuba beritahu pada bos awak dulu. Atau, suruh sahaja Si Takeshi tu rujuk pada bos awak untuk sebarang perkembangan projek."

"Mira ..."

Aku diam.

"Bantu saya buat jadual kerja, boleh?"

Aku menghela nafas. Dia pernah tolong aku ketika aku stuck. Bidang yang dia mahir. Kini, jadual kerja itu mengganggu dia. Bidang ini pula adalah bidang aku. Tak salah hendak balas budi walaupun hakikatnya aku boleh menolak dan suruh sahaja dia buat sendiri.

JD dan JS boleh dijadikan panduan dalam membina jadual kerja. Mungkin dia terlupa. Aku patut ingatkan dia tentang dua rujukan utama ini.

"Hmm ... insya-Allah. Esok, kalau saya free, saya ke tempat awak. Sementara tu, awak go through JD dan JS awak dan terangkan pada saya sebelum kita bina jadual kerja awak."

"Err ... JD dan JS tu apa, Mira? Kat mana saya nak tengok?"

"JD tu Job Description. JS tu ... Job Specification. Lin tak bagi pada awak ke masa hari pertama awak lapor diri?" Pelik pula bila Affan tidak tahu.

"Mungkin ... ada. Maaf, saya tak ingat."

"Awak cari dulu, kalau tak ada, atau hilang dalam simpanan ... mesej saya. Esok, sebelum saya ke tempat awak, saya fotokopi satu set untuk awak. Macam mana kerja tak ada dua dokumen penting ni?" Tanpa sengaja, aku membebel di talian.

Dia hanya diam.

Marah? Tak puas hati kena bebel? Satu kepantangan?

"Affan ..." Kuseru namanya. Aku tak suka bila orang diam di talian selepas aku bagi pandangan. Kalau tak puas hati, suarakan. Jangan diam. Ia hanya membuatkan aku mencipta pelbagai andaian.

"Kalau rasa susah ... tak perlu buat apa-apa, Mira. Esok, tak perlu datang ke tempat saya. Saya akan cari Lin untuk dapatkan dua dokumen tersebut. Maaf mengganggu. Assalammualaikum."

Dia ... putuskan talian.

Aku ... bengang!

Dia dah buat aku rasa teruk.

Aku patut masukkan satu slot penerangan tentang JD dan JS sewaktu sesi orientasi supaya perkara sebegini tidak berulang. JD dan JS ni dah macam kompas penunjuk arah bagi semua pekerja. Bukan hanya orang baru. Dan, JS itu sendiri perlu dikemaskini setiap kali ada penambahan atau pengurangan atau penambahbaikan dalam proses kerja.

Aku perlu ingatkan Lin buat kesekian kalinya juga. Mungkin benar Lin terlupa. Maklumlah, pada waktu Affan melapor diri, Lin baru sahaja pulang daripada bercuti. Mungkin fikirannya masih dalam mood cuti!

Dan, aku perlu monitor Takeshi. Pemuda Jepun yang memang tidak suka kepada urusan persijilan ini. Mereka lebih berbangga dengan satu-satunya program sijil 5S dari negara mereka. Itu sudah cukup dalam memastikan persekitaran kerja cekap dan kemas. Persijilan lain, mereka tidak pandang apatah lagi iktiraf.

Ya, tidak kunafikan. Tetapi hanya jika ia berjaya dilaksanakan dengan sepenuh kefahaman. Masalahnya, ramai yang amal hanya setakat 3S -Seiri, Seiton dan Seiso sahaja. Lagi 2S – Shitsuke dan Seiketsu, sukar untuk diamalkan terutamanya di kalangan rakyat Malaysia. Seragam dan istiqamah mengamalkan seperti sukar bagi mereka.

Esok, mungkin aku perlu berjumpa dengan Takeshi bagi mencungkil pandangannya tentang projek yang diketuai oleh Affan ini. Aku ingin melihat sejauh mana kebencian dan kekangan yang diberi oleh pemuda Jepun ini kepada projek yang asalnya diarahkan oleh pihak HQ kami sendiri, di Jepun!

Jika benar dia membuatkan Affan sukar melaksanakan projek ini, aku patut melaporkannya kepada pihak atasan. Biar dihantar pulang sahaja pemuda Jepun yang banyak songeh ini. Biar dia belajar asas dan kepentingan implementasi projek ini.

AKU meneliti jadual kerja Affan. Hmm ... patutlah Takeshi memandang rendah kepada Affan. Dia sendiri tidak mendedahkan kesibukannya! Jadual kerjanya, banyak lompang. Seolah-olah kerjanya itu punya banyak waktu terluang.

"Memang ini ke tempoh masa yang awak ambil untuk menyiapkan senarai Aspect Impact?"

Dia mengangguk.

"Pasti?"

Dia termenung sejenak.

"Saya tak rasa begitu, Affan." Aku pandang wajahnya. Dan, bila dia menoleh, aku larikan pandangan. Memandang pada Job Specification di tangan.

"Saya tak boleh nak fikir, Mira. Mungkin Mira boleh jelaskan apa yang Mira nampak daripada tugasan saya." Sayu suaranya. Dia seolah-olah berputus asa terhadap tugasnya sendiri. Sudah seperti hilang keyakinan bila aku dapat melihat tugasnya, sedangkan dia sendiri ... blur!

Aku hentikan memusing pensil mekanikal di tangan. Memang bila aku asyik berfikir atau mendengar sebarang penjelasan atau perbincangan, jari automatic memusing pen atau pensil. Rasa selesa.

Kuconteng-conteng JS itu sebelum kuserahkan padanya.

"Saya rasa ... mungkin tugas awak betul, sedikit. Tetapi, frekuensinya mungkin patut ditinggikan. Apa pendapat awak?"

Dia capai JS-nya.

Dia mendongak memandang wajahku lalu mengorak senyum. Aku mengangkat kening. Aku tak faham kalau hanya senyuman sebagai jawapan. Betul ke, tidak apa yang aku buat tu ... jawab ler! Senyum buat apa!

"Betul. Cuma, saya tak yakin nak explain kalau dia tanya."

Terhela nafas aku. Affan ni kalau dengan aku, dia boleh pula explain dengan yakin. Tapi, bila dengan pengurusan, dia macam hilang semua perkara itu.

"Maksud awak, awak takut dia tanya kenapa frequency tinggi? Kenapa perkara ini dilakukan berulang kali? Takut dia kata awak tak efficient?"

Dia tidak menjawab. Sebaliknya hanya merenung dan seolah-olah sedang menghadam setiap patah perkataan di dalam JS Sheet. Mungkin aku patut biarkan dia berfikir sendiri dahulu.

Aku, meminta diri pulang ke department. Tidak fasal bos tukarkan aku ke department ini pula sebab lama sangat di sini!

"Mira!" Dia tahan aku.

Aku jungkit kening. Banyak mata yang memandang pada kami. Tidak fasal jadi gossip nanti.

Dia bangun dan datang dekat. Mungkin sedar yang banyak mata sedang memandang. Takut ada yang mencuri dengar juga. Dia bagi isyarat agar aku dan dia keluar dari departmentnya dan bercakap di balik pintu. Takut ada yang mendengar.

Aku mengikut sahaja.

"Saya telefon malam ni, boleh?"
.
.

1822 pp

31 Mei 2021
12.00 noon

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro