Bab 2 - Klinik
SEPARUH hari ini sahaja, aku hanya diajar cara menggunakan sistem. Tidak susah mana. Tugas aku hanya memasukkan data pesakit, merangkap pekerja kilang yang bertandang ke klinik dalam kilang itu.
Aku juga ditunjukkan fail-fail rawatan pekerja yang dimuatkan di dalam 'drawer' yang memenuhi hampir keseluruhan dinding. Dinding yang memisahkan pejabat kecilku dengan bilik doktor dan dispensary.
Dalam jam 9.30 pagi, aku menoleh bila terdengar pintu klinik ditarik dari luar. Aku nampak seorang gadis India yang agak tinggi dan besar rangka tubuhnya, memasuki dispensary melalui pintu di hadapan pintu utama. Dia masih tidak sedar akan kewujudan aku.
Selang dua tiga minit, masuk pula seorang lelaki India berkemeja, berseluar slack dan berkaca mata berbingkai tebal, berwarna hitam. Melihatkan gayanya, aku mengagak yang dia itu seorang doktor. Lebih-lebih lagi bila aku terpandang akan beg yang dijinjingnya. Doktor sangat!
Doktor India itu hilang dari pandangan aku. Tetapi, gadis itu yang dispensarynya hanya bersebelahan dengan tempat aku, jelas. Dia begitu sibuk mengemas kaunter. Menyusun kad-kad kecil yang dimasukkan ke dalam besi seakan paku yang bertapakkan kayu keras, kecil. Mungkin nombor giliran pesakit.
Botol-botol ubat di rak berhampiran, dikira cermat sebelum direkodkan. Aku terus memerhati sebelum pandangan kami bertaut. Aku, tersenyum. Dia tidak membalasnya. Hanya riak masam dan tegang terpapar di wajahnya. Cepat aku memusingkan badan, meneruskan kerja memasukkan data ke dalam komputer. Malu bila senyuman perkenalan hanya diabaikan.
"Orang baru?"
Aku terdengar dia bertanya pada Kak Ani, staff nurse merangkap supervisor aku.
"Mir!" Laungan Kak Ani yang memang suara mak-mak, membuatkan aku merah muka. Sudahlah di luar tempat menunggu itu ramai kaum Adam yang sedang menunggu giliran untuk berjumpa doktor!
Halah, halah Kak Ani ... lambai pun tak apa, kan? Tak payahlah jerit-jerit nama aku. Sebelum Kak Ani melaung dengan nada yang lebih tinggi, aku bergegas menghampiri mereka.
"Mir, ini Jessica. Nurse dari klinik panel kita. Jess, ini staff akak yang baru. Dia bantu untuk data entry."
"Kontrak ke?" Jelas bahasa Melayunya. Tiada telo India yang tertangkap di telingaku.
Aku tidak menjawab bila Kak Ani terlebih dahulu mengiyakan. Jessica yang nama panggilannya Jess itu yang mula-mula menghulurkan tangan, bersalam. Kusambut dengan senyuman walaupun ragu-ragu. Muka dia memang jenis tegang ke, apa?
"Aku, Jess. Ani panggil kau, Mir? Macam nama lelaki, 'Amir'."
Aku rasa, dia cuba berseloroh tetapi sebab muka dia memang jenis payah nak senyum, jadi tak nampak yang dia itu berseloroh. Aku cuba faham. Tangan yang masih digenggam Jess, aku kekalkan sambil menarik senyum lebih lagi dan melepas tawa kecil. Acah faham itu gurauan.
"Ya, panggil Mir. Asalnya daripada, Mira, bukan Amir." Aku ketawa.
"Okey." Dia lepaskan salam.
Masih terasa kekasaran tapak tangan Jess. Rasa macam tapak tangan aku sedang terletak atas tilam lama yang sudah keras isinya. Tebal, rata dan kaku. Lebih tepat, keras kematu. Entah pekerjaan apa yang dilakukan oleh Jessica ini sebelum menjadi nurse. Adakah dia pernah bekerja di kebun getah? Atau, berkebun? Mengangkat cangkul dan menggelek sekerap? Tidak mustahil.
"Kenapa tak panggil 'Mira'?" tanyanya lagi. Eh, ramah juga budak seorang ini. Pada waktu itu, Kak Ani sudah bergerak ke bilik doktor, bersembang dengan doktor. Sesekali terdengar tawanya.
"Itu khas untuk family sahaja."
Dan, perbualan kami mati di situ bila doktor sudah mula memanggil Jess untuk membantunya. Kak Ani memberi gerak mata agar aku mengekorinya ke bilik belakang.
"Ini bilik rehat. Yang cadar warna pink ini, khas untuk kaum wanita. Yang bilik sebelah, cadar warna biru ... bilik lelaki. Setiap hari, akak akan ke sini untuk mengemas cadar."
"Saya pun boleh tolong, kak." Aku menawarkan diri. Kasihan pula orang mengandung nak buat kerja-kerja yang aku rasa agak susah juga. Bukan satu dua katil. Adalah dalam sedozen. Bilik wanita, hanya ada tiga katil. Bersih, wangi. Tapi, bilik lelaki ... masya-Allah! Nak muntah rasanya. Bau lelaki!
Mungkin sebab mereka ini bekerja di dalam kilang, entah bagaimana rupa pekerjaan rencam itu, jadi ... tubuh dengan mudah berpeluh dan bila berehat di bilik bertutup, berhawa dingin ... bau itu terperangkap.
"Ini tidak ada di dalam skop kerja Mir. Tapi, untuk hari ini kalau Mir nak bantu akak, bolehlah. Kita buat sama-sama. Tapi, kalau akak tak ada ... jangan sesekali masuk sendirian di kawasan ini. Lebih-lebih lagi bila masa hendak kejutkan pekerja yang dah tamat waktu rehat. Faham?"
"Err ... faham, kak." Aku sebenarnya tak faham bab kejutkan pekerja. Kak Ani pun, aku rasa tak perasan yang aku ini baru sehari di sini. Tidak tahu flow dan urusan pekerja yang datang ke klinik ini. Ini juga merupakan pekerjaan pertama aku. Memang buntu dan tidak tertangkap apa yang Kak Ani cuba sampaikan. Yang aku tahu ... sebagai orang baru, segala pesanan supervisor itu perlu aku patuhi. Jangan membantah awal!
"Okey, bagus. Jom kita kemas semua katil-katil ini."
Maka, bermulalah tugas aku. Kak Ani sangat cekap mengemas. Walaupun perutnya memboyot, tetapi pergerakannya tidak langsung lembab. Aku yang terkial-kial menegangkan cadar, menepuk-nepuk bantal. Katil di bilik rehat wanita tak susah mana. Tidak royok sangat. Hendak mengemas pun, hidung masih tahan.
Tetapi ...
Bilik rehat lelaki .... Ya Allah! Sudahlah katilnya sembilan buah. Cadar dan bantal, royok seribu. Baunya .... Memang mintak nyawa!
"Boleh pula akak bertahan, ya?" Aku tergelak kecil sambil melepas rasa apa yang ada di dalam dada.
Kak Ani turut ketawa sama. Faham apa yang aku maksudkan, "Dah biasa. Tapi, ada masa ... akak sampai muntah-muntah. Memang tak mampu nak tahan."
Aku terus ketawa. Rasa bersyukur bila pertama kali bekerja, dapat pula supervisor yang 'boleh masuk'. Yang tidak terlalu 'bossy'. Cepat mesra dan boleh berborak macam adik-kakak.
"Bilik ini macam kat hospital ke kak? Kalau ada yang cedera masa dalam kilang, boleh dirawat di sini?" soalku yang memang tidak mampu nak tahan rasa. Nak tahu sangat-sangat.
"Eh, bukan! Kalau ada kecederaan, kita hanya bagi rawatan awal di sini. Selepas itu, kita refer ke hospital. Bukan letak di bilik ni."
"Habis tu, bilik ini untuk apa?"
"Bilik ini, bilik rehat. Kadang-kadang, ada pekerja kurang sihat, tetapi tak sampai memerlukan MC. Jadi, doktor akan bagi time-off dalam satu ke dua jam bergantung pada keadaan pekerja. Hah, di sinilah kita tempatkan mereka. Jadi tugas akaklah kena pantau masa. Sampai masa, akak kejutlah."
"Oh, begitu!" Berbentuk bulat mulut aku. Baru aku tahu. Macam ini rupanya operasi di dalam kilang.
WAKTU rehat, aku memang tak tahu nak hala kaki ke mana. Kak Ani kata, kalau aku nak keluar pergi kantin atau surau, dia suruh aku lock sahaja. Dia ada kunci. Katanya, kalau ada kecemasan, dia minta aku intercom security. Nanti security akan uruskan.
Mendengarkan perkataan 'kecemasan', terus aku ikut Kak Ani keluar. Tak mahu aku ada dalam klinik. Tidak fasal aku kena urus. Sudahlah ini hari pertama aku. Siapa pun aku tak kenal.
"Nak ikut akak ke? Tapi, akak nak naik ke pejabat dulu jumpa kawan. Akak tak ke kantin. Lepas tu baru akak ke surau."
Dalam teragak-agak nak memberi jawapan, Intan muncul. Melihat wajah aku yang sudah tersengih pada Intan, Kak Ani terus melangkah. Senyum sahaja Kak Ani ini. Tentu nanti bila dah bersalin, baby dia comel macam dia!
"Kau, okey ke?" Intan bertanya. Dia sudah memakai uniform. Tetapi, aku lihat uniform dia berbeza dengan pekerja-pekerja kilang yang datang ke klinik pagi tadi.
Melihatkan aku yang sibuk menelek uniformnya, Intan tarik tangan aku untuk terus berjalan.
"Kenapa uniform kau lain?"
"Sebab aku kerja di pejabat."
"Oh ... eh, kita nak ke mana?" Aku lihat Intan macam sudah tahu segala arah di dalam kilang ini. Sedangkan aku, hanya tahu apa yang ada di dalam klinik sahaja. Klinik yang terletak di tempat parkir. Sangat tersorok dan jauh dari bahagian yang lain.
"Kita nak ke kantinlah cik kak oi! Kan waktu rehat sekarang ni?"
"Eh, kau tahu pula jalan ke kantin?"
"Sepanjang pagi aku ada orientasi dengan pekerja baru yang lain. Ada orang bawa pusing kilang. Itu yang aku tahu tu."
Sudah kenapa aku tak ada orientasi macam Intan?
16 Apr 2021
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro