Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 19 - Bantuan

HANYA kerana aku memikirkan apa kata orang, aku hilang perkiraan ketika hendak membelok pada satu simpang. Aku dengan motosikal aku, dua-dua tumbang, tersembam ke muka jalan!

"Nad, aku accident."

Aku berharap, panggilan telefon aku ini boleh mendapat simpati bos atau sekurang-kurangnya mereka boleh menggantikan aku untuk beberapa tugasan penting untuk dua tiga hari ini. Tetapi nampaknya tidak begitu.

"Mir, bos kata ... kau settlekan dulu hal accident tu hari ini. Rehat puas-puas. Esok, kau cuba siapkan juga draft untuk soalan kuiz para auditor. Kalau tak sempat siap, kita postpone sampai kau masuk kerja. Orang lain tak tahu buat kerja kau. Nanti jadi lain. Bos kata, benda ni tentang competency auditor. Kalau silap atau buat tanpa tahu kaedahnya, akan jadi isu. Ambil masa kau, tapi jangan sampai deadline. Kalau bolehlah!"

Aku menghela nafas. Kerja orang, aku boleh buat walaupun tak tahu hujung pangkal. Tapi bila kerja aku, semua orang nak lepas tangan.

Kalau kau mati je, orang jadi pandai cari pengganti untuk uruskan kerja-kerja kau.

Suara itu bergema dalam minda. Entah suara syaitan pengacau iman, entah suara nafsu yang menuntun kemarahan.

"Yalah. Pandailah aku siapkan kat rumah dalam tempoh MC ni. Apa-apa, aku call kau, okey?"

"Boleh, Mir. Kau call sahaja aku. Eh, Mir ... apa kata kau call orang baru tu. Mesti dia boleh tolong kau. Kerja kau ni ada kaitan dengan projek dia, kan?"

Huh, bergeliga sungguh budak Nad ni kalau berkait dengan budak baru, tu!

"Hmm ... tengoklah nanti. Selagi aku boleh settle sendiri, aku settle." Aku putuskan panggilan. Memang bukan jenis aku nak minta bantuan orang kalau tak urgent. Tadi, aku call sebab mengharapkan bos yang tolong settle. Dia patut tahu kerja aku, back-up aku. Tapi, macam mimpi di siang hari sahajalah nampaknya.

Letih kalau orang selalu nampak kita capable dalam setiap kerja. Lebih letih bila orang percaya kita boleh settle problem sendiri, juga problem mereka.

Memang sesekali kena buat-buat bodoh. Kena buat-buat tak tahu apa. Kena nampak lemah, baru orang rasa nak bantu. Kalau bagi kerja semua selesai pada masa, bos akan tambah dan tambah. Malah, tidak pernah bantu.

Balik dari klinik, aku ke kedai motor. Tayar motor selepas kejadian masih elok. Tetapi, sebaik sampai rumah, perlahan-lahan mengempis. Dalam keadaan kepala masih tidak stabil, mungkin kerana terkejut, aku paksa diri untuk buka laptop.

Sudahlah menanti tayar motor diganti itu aku bertahan sedaya upaya supaya tidak tumbang. Terik mentari langsung tidak mahu berkawan. Asyik menghulur sinar tajam dan terang. Membuatkan otak aku rasa menggelegak dan terbeban.

Sampai di rumah, aku mandi, cuba segarkan diri tetapi masih rasa gelap akal. Satu soalan pun tak mampu aku nak siapkan. Jika ada pun rasa tidak sesuai dan tidak menguji kemampuan para auditor.

"... Eh, Mir ... apa kata kau call orang baru tu. Mesti dia boleh tolong kau. Kerja kau ni ada kaitan dengan projek dia, kan?"

Suara Nad terngiang-ngiang. Boleh guna juga idea Nad ini walaupun aku tahu niatnya untuk 'memasangkan' aku dengan budak baru itu. Aku pun tengah buntu. Tak salah, kan kalau nak minta dia bantu? Lagi pun memang projek ini di bawah seliaan dia.

Aku capai telefon. Mata sudah rasa nak terpejam. Aku layangkan tubuh di atas tilam sambil menantikan panggilan bersambung selepas namanya kutekan.

"Assalammualaikum ..."

Tergamam aku. Lunaknya bagi salam.

"Err ... waalaikumsalam. Saya ..."

"Ya, Mira. Dah okey, ke?"

Baru aku nak kenalkan diri, dia sudah tahu. Malah, lebih mengejutkan dia boleh pula panggil aku Mira sedangkan aku rasa, sewaktu aku kenalkan diri dalam committee tempoh hari, aku suruh dia panggil aku Mir. Dia juga macam tahu yang aku baru lepas accident.

"Err ... ya, saya okey. Terima kasih. Awak sibuk ke?"

"Alhamdulillah. Tak. Masih boleh luang waktu untuk Mira. Ada apa-apa yang Mira nak saya tolong?"

Haih, hati aku jadi tak aman bila dia mula panggil nama yang aku khususkan untuk ahli keluarga aku. Oh, ya! Nama 'Mira' juga aku izinkan hanya untuk lelaki bernama Muhammad Zain Asri.

"Mira? Masih di talian ke?"

Rasa nak letak sahaja bila setiap kali dia bertanya, jantung aku melaju rentak.

"Saya call awak balik. Perut saya sakit." Tanpa salam, aku matikan talian. Aku tak faham. Kenapa jantung aku rasa sakit sangat. Rasa macam berdetak laju, tak reti duduk diam.

Bunyi mesej masuk membuatkan aku terkejut. Cepat kucapai telefon. Dia!

+Kalau dah okey, mesej saya. Saya call Mira guna telefon pejabat. Urusan kerja, kan?

Aku tarik dan hembus nafas berkali-kali. Cepatlah sembuh wahai jantung. Banyak kerja ni ...

Mungkin mesej sudah cukup. Tak perlu nak call. Dia pun tentu ada banyak kerja di pejabat.

Aku taip mesej padanya. Beritahu yang aku stuck nak buat soalan kuiz untuk para auditor. Aku menanti balasan.

Tak lama.

Panggilan bernombor peribadi daripada dia menjerit minta diangkat. Aku menggeleng. Kenapa perlu call?

"Kenapa awak call? Lepas tu kata nak guna telefon pejabat, sebab ini urusan kerja, tapi guna telefon sendiri. Kenapa?" Aku jawab dengan rasa tak puas hati.

"Saya malas nak karang ayat di mesej. Tak apalah, saya guna telefon saya. Tak berapa sen sangat. Lagipun, mudah bagi saya bergerak. Saya sambil-sambil menunggu di mesin fotokopi ni. Ada dokumen yang perlu saya copy untuk edaran."

'Tak suka karang ayat.'

Automatik aku teringat pada Zain. Dia dulu pun tak suka menulis surat. Lebih memilih untuk bercakap di talian berbanding mengarang ayat.

"Apa yang Mira stuck?"

"Soalan kuiz. Saya tak tahu nak tanya apa."

"Dah mula buat? Dah berapa soalan?"

"Dah. Adalah dalam empat lima soalan. Tapi rasa macam tak sesuai. Rasa macam tak mencungkil kefahaman mereka."

"Boleh bacakan soalan-soalan yang Mira dah siapkan?"

Aku capai kertas yang sudah kuconteng-conteng tadi. Aku baca satu demi satu. Dia diam mendengar di hujung talian. Sebaik habis soalan kelima, aku dengar dia ber'hmmm' lama.

"Mira tak fokus."

Sentap aku seketika.

Aku tak fokus?

Selamba dia menuduh. Dan ... berani dia menuduh. Dia orang baru, dan aku orang lama di syarikat. Walaupun 'lama' itu bezanya tak sampai setahun.

"Apa yang saya tak fokus?" Angin pula aku dengan budak baru ni.

Dia diam seketika. Sentap ke dengan perubahan suara aku yang sedikit meninggi dan bercampur rasa tak puas hati?

"Hmmm ... saya tanya, Mira jawab."

Dia abaikan sahaja 'angin' aku.

"Sebagai auditor, apa perkara utama yang mereka perlu ambil tahu?"

"Proses."

"Tulis."

Aku terdiam pada mulanya. Tapi kemudian, akur. Kutulis perkataan 'proses'.

"Lagi?" Dia menyoal.

"Prosedur."

"Dah tulis?"

"Belum."

"Jadi?"

"Ya, saya tulis." Terus kutulis. Garang!

"Klausa." Sebelum dia bertanya, kusambung point seterusnya.

Aku terdengar dia ketawa, kecil.

"Betul, kan?" Aku bertanya. Sudah susut rasa kecil hatiku pada dia.

"Ya, betul. Pandai, Mira."

Dia buat aku macam budak-budak.

"Rasanya ... yang lain saya sudah boleh fikir sendiri. Alhamdulillah. Terima kasih, saya dah nampak soalan."

"Alhamdulillah, kita boleh jadi partner yang baik."

Partner yang baik?

Aku abaikan. Rakan sekerja yang baik. Mungkin itu maksudnya.

"Saya taip dulu, nanti saya e-melkan pada awak. Kalau MC saya bersambung sehingga ke tarikh ujian, boleh awak tolong print dan edarkan kepada auditor?"

"Tak boleh. Saya tak nak tolong Mira edarkan. Insya-Allah, Mira akan masuk bekerja semula sebelum tarikh ujian auditor itu. Mira boleh edarkan sendiri."

Amboi, tak beragak jawapannya menolak permintaan aku yang meminta bantu! Yakinnya dia yang aku akan kembali semula ke pejabat sebelum tarikh tersebut. Bukan lama lagi pun tarikh ujian. Cuma dua hari.

Dan, agak mengejutkan juga bila dia langsung tak bagi muka pada aku. Selamba tak nak tolong aku! Tidak pernahlah aku jumpa lelaki macam ini. Tak nak tolong kaum Hawa.

"Hmmm yalah. Tak apa kalau awak tak nak tolong. Nanti saya minta Nad bantu saya. Terima kasih banyak-banyak. Saya nak berehat dan nak siapkan soalan. Assalammualaikum."

Dia tidak berkata apa. Hanya menjawab salam. Aku fikir, dia akan tarik balik dan menukar pendirian. Tetapi, tidak. Jangkaanku meleset. Dia berbeza.

Selalunya, ramai sahaja yang nak berbaik-baik dan ambil kesempatan pada orang HR. Dia sebaliknya pula. Sudahlah orang baru, berani buat macam itu?

UMPAMA nujum, telahannya benar. Aku sembuh sebelum tarikh ujian auditor. Hanya satu hari MC, bangun tidur aku sudah rasa segar. Tidak ada langsung sakit-sakit badan apatah lagi sakit yang memerlukan aku mendapatkan rawatan susulan. Aku sempat melakukan semuanya sendiri tanpa bantuan Nad apatah lagi dia.

Sewaktu di dalam bilik latihan, dia juga ada. Dia hanya berdiri di satu sudut, memandang aku mengedarkan kertas soalan sambil melayang senyum. Kenapalah telahan dia benar belaka?

Bila para auditor sudah mula menjawab soalan, aku bergerak ke belakang. Duduk menjadi pemerhati. Dia dengan perlahan mendekati. Duduk di sebelahku, sambil membisikkan salam.

Perlahan aku menjawab sebab tidak mahu mengganggu konsentrasi para auditor yang sedang menjawab soalan.

"Alhamdulillah, Mira dah sihat." Dia berkata.

Aku hanya mengangguk. Tidak bercadang memanjangkan perbualan. Dia juga mulai diam. Tetapi, rasa bersalah menyelubungi hati. Dia hendak berkawan, kenapa aku perlu menyombong diri?

Selesai tugas mengumpulkan jawapan para auditor, aku hulurkan beberapa helai kertas jawapan itu kepadanya.

"Nak baca?"

Dia tersenyum. Disambut dengan ceria.

Tinggal hanya kami berdua di bilik latihan. Kami menyemak jawapan para auditor. Memang kedua-dua kami tahu akan jawapan kepada setiap soalan. Aku suruh dia tanda dan bagi markah sekali. Ya, aku percaya padanya.

"Untuk open question, kita bincang, boleh?" Dia bersuara.

"Eh, tak apa. Awak boleh terus bagi markah. Saya percaya pada awak."

"Tak. Saya nak bincang juga dengan Mira."

Wah, nampak macam lembut dan mudah dibeli jiwa, tapi tak sangka tegas orangnya. Degil dan keras kepala juga, ya! Tak pernah ada orang bangkang cakap aku. Terutamanya lelaki. Pandangan dan cadangan aku selalunya orang tak pertikai. Mereka ikut berbanding membantah. Itu lebih mudah. Biasanya semua perkara akan selesai dengan cepat bila aku yang mencadangkan sesuatu.

Tetapi, nampaknya kali ini berbeza. Mungkin ini yang dikatakan, bila buku bertemu ruas.

"Apa yang awak nak bincangkan?"

"Mira lihat soalan nombor empat, open question."

Aku ambil sehelai kertas soalan yang siap dijawab. Kuteliti soalan dan jawapan.

"Apa jawapan pada kertas di tangan Mira?" Dia bertanya.

"Panjang jawapannya. Awak nak saya bacakan?"

Dia mengangguk.

Wah, budak seorang ini memang pelik! Selalu berada di luar jangkaan aku.

Kubacakan. Dia mendengar dengan fokus yang tinggi.

"Apa pendapat Mira?"

"Full mark?"

Dia tersenyum, menggeleng.

Aku berkerut kening.

"Jawapan dia tak lengkap. Masih ada point dan hujah yang leaking. Kalau dia tambah rujukan akta, kita bagi full mark."

Wow, kali ini aku terpana!

Aku mengangguk tanda setuju. Kami teruskan dengan set soalan dan jawapan yang lain. Sehingga waktu asar menjengah, baru kami selesai menyemak semua kertas. Sepatutnya boleh diselesaikan lebih awal, tetapi sebab dia nak jelaskan setiap satu alasan pada soalan dan jawapan open questions itu, masa terseret jauh.

Sewaktu kami hendak balik ke department masing-masing, yang mana aku ke HR, dia ke bahagian kualiti, dia bersuara. "Jika ada yang Mira tidak puas hati, boleh telefon saya bila-bila masa. Walaupun di luar waktu kerja. Kita boleh berbincang. Tidak semestinya pendapat saya sahaja yang terpakai walaupun ini memang bidang saya."

Aku hanya mengangguk.
.
.
1780 pp

29 Mei 2021
02.00 pagi

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro