Bab 17 - Tegur
PETANG itu, sewaktu menapak ke perpustakaan, aku terpandangkan seseorang.
Andy!
Dia kawan aku sewaktu aku bercuti di Indonesia dengan mak su. Waktu itu aku berusia 19 tahun. Dia, 18 tahun.
Aku terus merenung sambil kaki terus melangkah ke perpustakaan. Kedudukan kami semakin dekat. Mungkin ada rasa yang mencuit di hatinya, dia menoleh. Memandang pada aku. Lama. Aku juga tidak mengalihkan pandangan. Cuba meyakinkan diri bahawa benar, dia Andy kawan lama aku.
"Mir!" Dia jerit nama aku. Dua tiga orang yang berada di sekitar kami mulai memandang.
Astaghfirullah! Dia tak pernah berubah. Kalau dia sudah buka mulut, memang tidak ingat dunia. Suara dia itu sudahlah macam orang tertelan mikrofon.
Aku menarik senyum, lalu melangkah merapatkan kedudukan kami.
"Assalammualaikum, Andy," sapaku.
"Mir dah pakai tudung!"
Aku rasa macam nak benamkan muka ke dalam pasu yang ada di tepi Andy pada waktu itu. Suara dia ...
"Andy ... perlahan sikit suara tu ..."
Dia hanya tersenyum. Manis.
"Mir ambil kursus apa di sini?"
Okey, suara dia sudah menurun. Bernada biasa.
"Andy?" Kupulangkan soalan padanya.
"Sport Rec."
Aku mengangguk. "Baru tahun pertama ke?" Kusoal lagi dia.
"Ya. Eh, ada kelas tak? Jom sembang-sembang di sana." Dia tunjuk bangku yang ada di tepi dataran.
"Kelas dah habis. Tapi ada bahan yang nak kena cari di library. Tak dapatlah nak berbual hari ini. Bila-bilalah. Banyak tahun lagi, kan?"
"Eh, Mir tahu tak yang Ana dah kahwin?"
"Tahu. Memang Mir ada contact dengan Ana. Dia ada hantar surat dan gambar kahwin dia."
Ana. Kawan kami sewaktu percutian di Indonesia. Ana merupakan anak sulung kawan mak su. Andy pula anak kepada kawan mama Ana. Ana sebaya aku.
"Oh ... Andy dengan Mir sahajalah yang lost contact."
Aku hanya tersenyum. Rasa bersalah menyelubungi. Ada yang terjadi di antara kami.
Andy. Dia memang suka membahasakan dirinya dengan nama. Aku hanya mengikut rentaknya sahaja walaupun pada awalnya janggal di telinga. Rasa macam aku dan dia ada apa-apa.
"Andy, Mir nak gerak dulu. Insya-Allah, nanti kita jumpa lagi."
"Sekejap. Mir tinggal kolej mana?"
"Yang bawah bukit tu."
"Oh, Andy ada kawan di situ. Mia. Mir kenal?"
"Oh ... Mia! Kenal. Dia adik angkat kawan Mir."
"Okey, bagus! Senang Andy nak sampaikan apa-apa pada Mir. Lagipun, Andy selalu juga jumpa Mia di kolej tu. Lepas ni, boleh jumpa Mir juga."
Aku sedikit pucat. Aku tak suka orang lelaki datang jumpa aku di kolej. Akan ada banyak mata memandang dan gosip akan mudah tersebar. Lagilah bila Andy sukar mengawal suara bila sudah rancak berbual.
Tapi aku juga tidak ingin memanjangkan perbualan tika ini. Maka, aku hanya menarik senyum dan mengangguk.
"Minta diri dulu, Andy."
Aku berlalu. Kisah lama sewaktu di Indonesia mula terlayang di minda. Andy memang lelaki yang ada rupa. Manis orangnya. Rambutnya hitam, ikal dan agak kerinting. Pertemuan awal, dia hanya diam. Hanya bertukar pandang. Tetapi, bila anggota rombongan kami yang kebanyakannya orang berumur tidak mahu duduk di bahagian paling belakang, di dalam bas, jadi kami yang muda ini terpaksa berpecah dengan anggota keluarga masing-masing dan ambil tempat di belakang.
Aku, Ana, adik perempuan Ana dan Andy duduk di bangku paling belakang di dalam bas. Waktu itu, kami sedang menuju ke Danau Toba. Jalan ke sana berpusing-pusing. Membuatkan aku sendiri rasa loya dan mabuk.
Dari situlah kami mula berbual dan berkenal mesra. Tetapi kemudian, bila pemandu pelancong kami, seorang pria berumur hujung 20-an mula duduk bersama-sama kami di belakang, Ana sudah mengalih perhatian. Dia nampaknya lebih tertarik untuk berbual dengan pria kelahiran Indonesia itu. Bertanya pelbagai perkara dan mengabaikan aku dan Andy.
Kerana hanya kami berdua yang tiada siapa-siapa, adik Ana sibuk dengan headphonenya, aku dan Andy mula bertukar cerita. Kami mulai selesa berbual berdua.
Bila aku mulai mabuk, Andy ajar aku untuk mengunyah. Kami bertukar makanan ringan dan asam penahan loya. Aku dan Andy jadi lebih rapat. Sehinggakan bila waktu bas berhenti untuk anggota rombongan makan dan buang air, kami sentiasa bersama. Mak su pun nampaknya tidak kisah aku bersama dengan Andy selagi kami di hadapan mata dan tiada kelakuan sumbang yang kami tontonkan.
"Mir ... tolong jaga pintu tandas. 'Pria' punya pintu tandas ni tak ada kunci."
Terkejut aku. Ya Allah, mana pergi manusia lain, lelaki yang boleh tolong Andy?
"Tolonglah ..."
Mahu tidak mahu, daripada pintunya terbuka begitu, aku ambil tanggungjawab membantu Andy. Aku membelakangkan pintu sambil tangan kuat memegang satu-satunya tali yang ada agar pintu tidak terbuka.
Di dalam hati berdoa agar cepatlah urusan Andy di dalam sana selesai. Dan, aku amat berharap agar tidak ada bau-bau yang hinggap di hidungku sehingga menghadirkan aib pada dia.
Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Sewaktu bas mula bergerak, aku membeli air Coke dan paracetamol.
"Mir ..." Ditegur Andy.
Ya, aku tahu tindakan itu ibarat cubaan bunuh diri. Tetapi, aku memang tidak mampu bertahan dengan perjalanan yang berpusing-pusing dan mendaki. Memang aku mabuk. Setakat asam yang diberikan Andy, aku tidak mampu bertahan. Tidak fasal aku lentuk pula di bahu Andy nanti.
"Saya tak tahan." Pada waktu itu aku hanya membahasakan diri sebagai saya.
Dia menghela nafas. Sewaktu kami menanti beberapa orang anggota rombongan yang masih belum naik, aku menelan sebiji paracetamol dengan seteguk air Coke. Sekadar hendak meredakan mabuk.
Andy yang duduk di sebelah aku memandang, prihatin. Dia hulurkan air masak juga.
"Minumlah. Lepas tu, tidur. Andy jaga."
Mendengar keikhlasannya, aku mula terseret untuk membahasakan diri dengan nama juga. Ya, dia memang baik. Tetapi, aku tak mungkin menganggap dia lebih daripada seorang adik. Walaupun beza umur kami hanya satu tahun.
Aku tidak tidur langsung. Kurang sedikit mabuk dengan pengambilan 'dadah' tadi. Ana rancak berborak dengan pemandu pelancong kami. Kadang-kala bertepuk tampar.
Aku dan Andy bertukar pandang. Sesekali terhela keluhan dari mulut Andy.
"Andy tak berkenan dengan cara Ana. Tak elok perempuan bertepuk tampar begitu. Kurang sopan."
"Kenapa tak tegur," tanyaku. Bukan niat nak menduga ketegasan hati seorang lelaki bergelar kawan, tetapi hanya nak tahu pendirian.
Dia memandang padaku, lama. Sehingga aku terpaksa berpaling memandang ke luar tingkap bas. Melihat gaung yang curam. Silap percaturan, kami boleh terhumban dan hilang nyawa. Cekap bagaimana pun pemandu bas yang membawa kami ini, hati aku tetap tidak percaya.
Setiap kali bas berpusing untuk mengambil selekoh tajam, yang beloknya begitu kecil, aku seriau. Hon daripada bas membuatkan jantung aku berdetak kuat. Ya, setiap kali tiba di selekoh yang jaraknya begitu dekat, kenderaan yang berselisih perlu membunyikan hon.
"Kalau Mir, Andy tegur."
Balasannya mengejutkan aku.
"Kalau Ana, Andy harap Mir yang tegur."
"Kenapa?" Kusoal dia. Tidak mahu salah sangka.
"Sebab Andy selesa dengan peribadi Mir. Dengan Ana, kalau ditegur hanya akan membuatkan dia menjauh dan memberontak. Andy doakan agar dia tidak terjebak dengan perkara yang lebih teruk."
Malam itu ketika kami sudah dapat bilik masing-masing di hotel, berhampiran Danau Toba, kami bertemu di ruang lobi. Orang-orang tua semuanya sudah lena kepenatan di bilik.
Aku, Andy dan adik Ana masih bersantai di luar. Kami melihat gelap malam di luar hotel Danau Toba.
"Ana mana?" Aku bertanya.
Andy memuncungkan bibir menunjuk ke arah bilik yang paling hampir dengan kedudukan kami berdiri.
"Bilik siapa tu?" Aku sudah rasa tidak sedap hati. Adik Ana sibuk dengan headphone dan lebih suka melayan lagu daripada melayan kami.
"Mir rasa?"
Di dalam kepala aku hanya terbayang wajah pemandu pelancong kami.
"Jangan cakap ..."
Andy mengangguk.
"Jom!" Aku hampir menarik lengan baju Andy sebelum tersedar.
"Tarik tak sengaja tak apa. Tak sentuh kulit pun."
Dia perasan rupanya. Aku menarik muka. Dia menarik senyum.
Aku terjah ke dalam bilik yang pintunya tidak berkunci. Ana sedang memicit kepala pemandu pelancong kami. Dia langsung tidak terkejut. Mungkin tahu dan bersedia untuk menerima kunjungan kami.
"Buat apa?" Aku bertanya tanpa rasa bersalah mengganggu privasi.
"Abang Rudy sakit kepala. Ana tolong picit."
"Tidur sahajalah kalau sakit kepala. Ana keluarlah. Ini kan bilik orang lelaki. Tak eloklah." Aku malas nak berbasa-basi. Amar makruf nahi mungkar. Sebelum jadi benda yang membawa kepada penyesalan, lebih baik aku bertindak. Nanti yang menyesal bukan hanya dia, tapi aku pun sama.
"Ana keluar dulu ya, Abang Rudy."
Pemandu pelancong itu mengangguk. Aku memandangnya dengan rasa geram. Kalau dia lelaki baik, tentu dia sudah menasihatkan Ana yang nyata tak matang.
Ana lepak dengan kami di ruang lobi. Berbual dengan aku dan Andy sehingga mak su datang memanggil aku agar balik ke bilik. Kalau tadi aku menegur Ana yang berdua-duaan dengan lelaki, kini aku pula ditegur mak su.
"Dah malam. Tak elok berbual lama dengan budak lelaki."
Mak su maksudkan Andy. Mungkin risaunya semakin membesar bila melihat aku dan Andy semakin rapat walaupun kami tidak pernah bersentuhan sebagaimana Ana dan adiknya memperlakukan Andy.
Mereka mungkin dibesarkan bersama sehingga sebegitu mesra. Ana atau adiknya sering memaut lengan Andy, ketika berjalan beriringan. Andy tidak pernah melarang. Mungkin kerana masih berlapik. Andy sering memakai baju berlengan panjang.
"Tak apa ke disentuh perempuan? Masih bukan mahram, kan?" Suatu hari aku bertanya pada Andy. Satu perkara yang aku tidak suka dengan Andy adalah, dia selalu merenung aku lama sebelum menjawab setiap soalan aku.
Dan, aku akan melarikan pandangan. Hanya berpaling bila dia sudah mula bersuara.
"Dah biasa. Sejak kecil, umur lima tahun berkawan. Susah nak larang. Lagipun berlapik."
"Masih tak boleh, kan?" Aku bertanya. Hanya nak tahu pendirian dia sahaja.
Dia hanya menghela nafas.
"Yalah. Nanti Andy beritahu pada Ana."
Sungguh aku terkejut. Tetapi, selepas pada itu aku lihat Ana sudah tidak lagi memaut lengan Andy. Hanya adik Ana yang masih berbuat demikian. Tetapi, itu pun amat jarang.
Sewaktu kami hendak berpisah, Andy berjanji akan menulis surat padaku. Ya, dia tepati janjinya. Surat pertama Andy beserta sekeping gambar dirinya. Mula-mula, aku balas. Lama kelamaan bila bahasanya sudah bertukar seolah-olah surat kepada kekasih, aku menyepikan diri. Andy juga sudah berhenti mengutusi aku lagi.
Tidak sangka kami kembali bertemu di universiti. Dan, dia suka bila melihat aku yang sudah bertudung. Sewaktu perkenalan kami di Indonesia, aku masih tidak bertudung. Sungguh, aku segan padanya bila mengingatkan peristiwa lama.
ANDY membuat janji temu dengan aku melalui Mia. Kami bertemu di kafe. Banyak perkara yang ingin aku leraikan. Tetapi, tidak sangka pertemuan dan perbualan di antara aku dan Andy menarik perhatian budak kolej yang kebetulan lalu di kafe.
Aku, pada tahun kedua, semester keempat itu sudah memegang jawatan di kolej. Selain daripada menjadi setiausaha kolej, aku turut memegang jawatan biro agama.
Budak-budak kolej terutamanya yang junior memang tidak pernah melihat aku berdua dengan lelaki. Malah, di antara rakan-rakan AJK tertinggi, aku yang paling sukar mereka temui bercakap dengan lelaki di kawasan kolej. Kebanyakan rakanku, termasuk Zalita pernah menerima kunjungan teman lelaki atau abang angkat, di kolej.
Apabila pertemuan berdua di antara aku dan Andy diketahui, heboh satu kolej. Zalita yang mula-mula menarik aku untuk disoal siasat.
"Sebelum ni aku hanya tahu Dzul. Tapi, dengan Dzul pun kau tak semesra itu. Siapa budak tu?"
Aku tak tahu nak mula cerita bagaimana. Mereka bukan hanya nak tahu hubungan aku dengan Andy tetapi juga tidak suka bila pertemuan itu dilakukan berdua, di sudut paling sunyi di kafe. Kata mereka, aku biro agama. Berdua-duaan dengan lelaki ajnabi di sudut tersebut, memang mencalar imej.
Pada mulanya aku cuba membela diri. Aku kata yang pertemuan kami masih di tempat terbuka, tempat umum. Orang lalu lalang di dalam kafe walaupun aku dan Andy duduk berdua di satu sudut. Kami pun bukan duduk bersebelahan, hanya berdepan dan dihalang oleh meja.
Lagi pun, bukan sengaja sudut itu dipilih. Hanya sudut itu yang sesuai bagi kami yang cuma dua orang. Meja lain, meja empat dan enam orang. Dan, rata-rata sudah diduduki. Andy yang memilih sudut itu kerana sedar bila berbual, dia selalu hilang diri dan suaranya meninggi. Kalau kongsi meja dengan orang lain, tentu orang itu tidak selesa.
Tetapi kemudian aku tersedar. Kenapa aku perlu menjawab dan membela diri? Perspektif aku sebagai orang yang ditegur mungkin tidak nampak salah. Tetapi, perspektif mereka menegur, adalah sebaliknya. Mereka mungkin menghidu fitnah.
Orang tegur sebab orang nampak janggal. Orang sayangkan aku. Orang tidak mahu aku berterusan difitnah dan dipandang hina. Bukan kerana title biro agama itu sangat. Atau, bukan kerana dengki aku ada kawan lelaki. Bukan!
Aku patut bersyukur. Mereka tidak biarkan aku hanyut dengan fitnah yang aku tak nampak. Memang ramai orang lain yang duduk berdua-duaan tetapi tidak ada yang mengisahkan. Aku pula, baru hendak berbual dengan rakan lama, sudah ditegur. Ya, aku patut terima teguran. Perkara yang janggal itu, bila ditegur, jangan melawan. Mereka sayang.
.
.
2042 pp
27 Mei 2021
01.11 pagi
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro