Bab 16 - Rahsia
BALIK ke bilik, aku melihat wajah muram Zalita.
"Za ..." Kusapa dia. "Kenapa?"
"Bekas tunang aku dah bertunang dengan perempuan lain."
Aku letak beg di atas meja tulis. Aku duduk di atas katil menghadap Zalita. Suaranya mendatar. Tiada kekesalan yang terkandung di dalam suara itu. Kerapuhan juga tiada.
"Kau ... sedih?"
Dia pandang aku, kemudian menggeleng, "Hanya terkilan sebab dia tidak berterus-terang sewaktu dia minta putus. Kalau awal-awal kata sudah ada orang lain yang diatur keluarga, aku tidaklah menanggung rasa bersalah. Mati-mati aku ingat sebab dia rasa rendah diri bila aku ke universiti."
Terhela nafas aku.
"Sudah tertulis, dia bukan jodoh kau, Za. Doakan sahaja kebahagiaan dia. Tak guna pun nak pening kepala memikir."
"Terima kasih, Mir. Eh, Mir, kau kenal Abang Lan, tak?"
Aku memang blur kalau Zalita atau siapa sahaja menyebut nama senior. Aku tidak pernah mengisahkan mereka.
"Ala ... yang masa orientasi dia paksa aku tulis surat cinta pada dia tu!"
Oh, okey! Sekarang aku ingat. Abang kelahiran pantai timur yang rendah-rendah tu.
"Ah, ingat! Kenapa?"
"Dia cakap, dia nak belanja aku setiap hujung minggu. Aku kena terima. Kau tahu tak ..."
Cepat aku menggeleng. Aku tak tahu.
Zalita ketawa.
"... aku kata, kalau nak belanja aku, kena belanja roommate aku sekali. Aku ingat kat kau, Mir."
"Ya Allah, kau ni! Kasihanlah kat Abang Lan." Aku menggeleng. Nakal sungguhlah kawan aku ni sejak dikecewakan.
"Tak apa. Dia yang nak belanja sangat."
"Kalau dia minta balasan, macam mana?" Aku mengangkat kening, sebelah. Saja nak takutkan Zalita.
"Dia cuma nak kawan dengan aku sahaja. Tak semestinya kena couple atau perlu balas apa. Dulu, aku takut nak rapat dan terima sebab aku tunangan orang. Sekarang rasanya tidak salah untuk aku berkawan rapat dengan sesiapa sahaja selagi aku jaga batas. Lagipun, dari dulu memang dia nak belanja. Aku yang tak nak. Kali ini, aku tak tolak dah. Rezeki itu kan daripada Tuhan.
Lebih kuat penerimaan aku bila dia kata, bersedekah kepada adik angkat. Bukan mahal, seringgit seminggu untuk sebungkus nasi lemak. Tapi, lepas tambah nama kau, dia kena keluar RM2.00! Masih tak banyak, kan? Kalau aku tolak, dia terus mendesak. Terima sahajalah. Dengan syarat, dua bungkus!"
Aku mengangguk. Abang Lan yang kukenal memang baik. Masa orientasi, aku tak kena buli pun dengan dia. Mudah dapat tandatangan dia, tanpa buat benda merepek. Abang Lan pun tak ada awek. Tidaklah aku risau sangat dengan keselamatan Zalita.
Risau kalau berkawan dengan abang senior yang 'hot', yang ada di antaranya pujaan kakak senior, akan dapat amaran, sama ada lisan atau bertulis.
Aku harap, Zalita kotakan kata-katanya. Jaga batas. Untung orang cantik macam Zalita. Seorang pergi, cepat sahaja muncul pengganti. Walaupun bukan yang Zalita benar-benar suka, tetapi mana tahu kalau benar itu jodohnya?
Aku tidak bercerita pada Zalita apa yang berlaku di antara aku dengan Izhan sewaktu kuliah pagi. Aku tidak mahu Zalita rasa bersalah. Esoknya ketika hendak ke kelas, Zalita tawarkan gincu bibirnya pada aku. Cepat kutolak dengan alasan aku malas nak membersihkannya sewaktu nak solat.
"Ala ... kau bersihkan dengan baby oil je! Tak susah."
Aku tersenyum sambil menggeleng, "Aku tak rajin nak menyimpan baby oil dan kapas muka dalam beg kuliah. Lagipun, aku dah biasa terus ambil wuduk. Takut terlupa nak bersihkan, tak sah solat aku."
Aku bagi alasan.
"Ish, kenalah rajin!"
Aku menggeleng laju. Biarlah nampak macam malas, tapi hakikatnya aku yang tahu.
MALAM itu, aku ke kolej sebelah. Ada tugasan yang perlu disiapkan dengan rakan satu sequence, satu kumpulan. Sambil tangan bekerja, sambil mulut berbual. Aku lebih selesa menjadi pendengar.
Mungkin kerana aku jarang menyampuk, Jannah yang rancak bercerita telah terbocor satu rahsia.
"Tong San tu suka Mir!"
Tong San adalah rakan sekelas kami yang bertubuh agak chubby. Tong San hanyalah gelarannya. Dia seorang lelaki Melayu berasal dari utara.
Aku yang ralit menggunting keratan akhbar terus terhenti bila nama aku disebut Jannah. Tapi, aku diam sahaja untuk tahu sambungan kisah.
"Kata Nogori ..."
'Nogori' juga adalah nama rakan sekelas. Seorang budak lelaki dari Negeri Sembilan. Semua gelaran itu tercipta selepas minggu orientasi dua semester yang lalu. Kata budak-budak lelaki, senior yang bagi sewaktu mereka diorientasi di kolej. Kekal nama julukan itu sehingga kami naik ke tahun kedua ini.
"... Tong San ukir nama Mir pada katil." Jannah menyambung tanpa sedar aku ada di sebelahnya.
"Mir, kau tahu tak?" Khalilah terus bertanya pada aku bila dilihatnya aku sudah menghentikan kerja dan terkebil-kebil mata.
Aku menggeleng.
"Alaa ... aku lupa Mir ada dalam kumpulan kita. Dia ni pun kan ... ada dengan tak ada macam sama je!"
"Kenapa?" tanyaku pada Jannah.
"Kau tak patut tahu. Nogori suruh aku rahsiakan. Tong San tak nak kau tahu yang dia suka kau dalam diam. Susah katanya kalau kau tahu. Kita kan sekelas. Nanti nak buat apa-apa projek, jadi janggal. Mir ... janji jangan cakap kat dia orang yang kau tahu, tau!" Jannah sudah mulai cuak.
Aku menarik senyum.
"Mir, kau nak terima Tong San ke kalau dia confess?" Khalilah terus bertanya.
Aku menggeleng. "Aku tak ready nak terima sesiapa."
"Kau memang tak ada sesiapalah ya?" Bunyi suara Khalilah macam ada agenda.
Aku tak membalas.
"Mir, janji jangan cakap aku yang ceritakan pada kau, tau. Nanti kasihan Tong San malu."
Aku senyum pada Jannah. "Tak."
"Huhuhu ... sayang kat kau, Mir!" Jannah peluk bahu aku.
Malam itu, sebelum tidur, aku termenung. Takut bila tahu ada lelaki menyimpan perasaan pada kita. Lebih takut bila dia mula mengukir nama kita di katilnya. Katil – satu tempat yang boleh berlaku macam-macam kejadian, baik putih mahupun hitam.
Aku menghela nafas. Semoga dia, Tong San, bukan dari jenis lelaki yang melayan cerita bukan-bukan dan tidak membayangkan aku dalam angan kedewasaannya.
Lenyap kisah Tong San, aku terfikir pula kisah bekas tunang Zalita. Terbayang wajah dalam gambar yang Zalita pernah tunjukkan padaku. Entah kenapa, aku rasa keluarga bekas tunang Zalita ini seperti tidak pernah suka pada Zalita.
Sudah tahu yang anak bujangnya dalam ikatan pertunangan, kenapa hendak dikenenkan pada wanita lain pula? Tidak kiralah sama ada wanita itu dari kalangan anak teman rapat yang baru berjumpa ke, apa!
Bekas tunang Zalita sendiri, sudah kenapa? Adakah wanita calon barunya itu lebih cantik berbanding kawan aku, Zalita?
Tak. Aku tak rasa begitu. Ini mesti kes ego yang meninggi, sayang ditolak ke tepi. Dia takut akan dirinya sendiri. Rasa tidak berdiri sama tinggi dengan Zalita, duduk tak sama rendah. Kalau jadi suami tentu memendam rasa bila isteri pemegang ijazah, sedangkan dia hanya sijil SPM. Ditambah pula dengan desakan keluarga, maka dia memilih jalan mudah.
Apa pun, aku doakan dia bahagia. Terima kasih kerana melepaskan kawan aku. Keluarga lelaki ini nampaknya tidak sesuai pun untuk Zalita yang baik serba serbi.
Hilang wajah bekas tunang Zalita, minda menarik pula satu nama yang kian pudar ceritanya.
Muhamad Zain Asri.
Adakah Zain juga memiliki rasa sebagaimana bekas tunang Zalita? Rasa tidak selamat bila bakal isteri berada di puncak tinggi, sedangkan dia tidak mendaki?
Kuhela nafas. Jodoh itu sudah tertulis. Semoga dia bertemu dengan yang baik-baik. Yang membahagiakan. Yang tidak membuatkan dia rasa rendah diri, dan meracun hati dengan fikiran yang bukan-bukan.
Aku dan Zalita, bukanlah di kalangan wanita yang memandang harta dan latar belakang pendidikan yang tinggi sebagai kriteria pemilihan suami. Cukup dengan kepatuhan agama dan rajin mencari rezeki, itu satu kebahagiaan buat kami.
Jangan menggadai sayang kerana ego segenggam. Jangan menipu hati demi melangsai mimpi tak pasti.
Aku menadah tangan membaca doa tidur. Al-fatihah tidak kulupa, apatah lagi ayatul kursi penuh makna. Tiga kul sebagai pertahanan diri, agar subuh tidak mencecah mentari.
Kucuba melupuskan ingatan yang mungkin menjadi mimpi ngeri.
.
.
1241 pp
25 Mei 2021
09.11 pagi
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro