Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 14 -Disakiti

MASUK tahun kedua di universiti, aku sudah mula mendapat rentak. Aku tidak lagi duduk di dorm, sebaliknya bilik. Semua ini atas nasihat, atau mungkin lebih tepat kukatakan desakan daripada course-mate aku, Zalita.

Tahun pertama, Zalita sudah approach aku agar menambah mata bagi aktiviti kolej. Apa sahaja aktiviti yang dianjurkan, Zalita akan menarik aku untuk ikut serta. Pelajar kolej dengan mata tertinggi akan diberi keutamaan memilih bilik. Aku ikutkan.

"Kau duduk dengan aku, tau! Aku ni bukannya boleh tinggal dengan orang tak tentu. Aku tengok cara kau susun barang, kemas baju, kemas katil ... aku rasa aku boleh ngam tinggal sebilik dengan kau."

Siapa sangka, dalam diam diri kita diperhatikan dari segenap tindak tanduk?

Teringat kembali pada Zain. Dia dulu pun dalam diam memerhatikan aku dari jauh. Sehingga di akhir perkhidmatan aku dengan syarikat, baru dia berani approach.

Entah apa khabar Zain. Tanpa sedar, aku menghela keluh.

"Kau, kenapa?" Ditegur Zalita.

"Hah?" Aku, bertanya tanpa sedar keluhan didengar.

"Yang mengeluh sangat kenapa?"

"Tak ada apalah, Za."

"Tipu."

"Betul."

Takkanlah aku hendak bercerita tentang Zain padanya. Siapa Zain itu yang hendak kudedahkan dirinya pada kawan sebilik aku? Dan, apa pula pandangan Zalita pada aku yang dalam diam tersimpan nama seorang lelaki dalam hati dan fikiran?

"Aku nak kongsi sesuatu dengan kau, boleh?" Zalita sudah mendekati. Kain baju yang sedang dilipatnya di atas katil, ditinggalkan. Dia duduk di sebelah aku sambil tubuh menghadap sepenuhnya padaku.

Aku yang juga sedang melipat kain baju itu turut memusingkan badan, memandang padanya. Kain baju, kutolak ke tepi membuka ruang Zalita untuk bercerita.

"Aku ... sebenarnya ...." Kata-katanya terhenti seketika. Bagai ada kekangan yang menyangkut niatnya itu. Aku sabar menanti. Mungkin Zalita sedang mencari ayat terbaik untuk menukilkan cerita atau mencari kata yang tidak menista dirinya atau seseorang yang akan diceritakannya.

"... aku ada masalah dengan tunang aku ..." Merudum jatuh suara Zalita. Sama jatuh dengan anak matanya yang mengelak daripada bertentang denganku.

Aku menunggu. Di dalam fikiran sudah banyak soalan, sedang di dalam hati terkejut dengan pengakuan Zalita. Terlalu muda bagiku untuk gadis seperti kami diikat. Ah, tetapi untunglah sebab ada seseorang yang menunjukkan kesungguhan. Tidak seperti Zain.

"Aku nak tanya pendapat kau." Zalita kembali memandang padaku. Aku besarkan mata dan mengangguk.

"Dia ... dah tak sama macam dulu. Bila aku balik bercuti, dia macam tak teruja pun nak jumpa aku. Sedangkan, aku rindu gila dengan dia. Banyak cerita aku nak kongsikan dengan dia. Tapi, dia ... beku."

Aku teringat pada Zain. Zain bersikap sebaliknya. Sentiasa menadah telinga menantikan cerita-cerita aku. Aku sahaja yang sudah layu, kerana tiada timbal balik untuk kudengar pula ceritanya.

"Kau rasa ... dia sayang aku lagi, tak?"

Kutarik nafas dalam-dalam. Aku tak punya pengalaman dalam percintaan apatah lagi pertunangan, Za. Tapi, sebab dia kawan aku, yang mungkin ketandusan fikiran terhadap permasalahan yang membelenggu, aku cuba beri pendapat.

"Boleh aku tahu, berapa lama kau dengan dia berkawan, bercinta dan bertunang?"

Berkerut muka Za dengan soalan aku. Lama dia tenung muka aku. Mungkin tak sangka itu yang kuaju.

"Emm ... enam tahun berkawan sejak aku sekolah menengah, sampai form six. Setahun lebih nak masuk dua tahun bertunang."

"Berapa umur dia? Sekarang ni sedang belajar juga ke, atau sudah bekerja?"

Sekali lagi Za terdiam dan memandang aku dengan persoalan. Tetapi dia menjawab juga.

"Dia tua dua tahun daripada kita. Lepas SPM, dia terus bekerja. Tak sambung belajar."

"Kerja apa?"

"Dia buka kedai gunting rambut."

"Kedai sendiri?"

Za mengangguk.

Aku juga mengangguk sama.

"Eh, Mir ... kenapa kau tanya semua tu?" Keruh di muka Za sudah tiada. Dia kini teruja untuk tahu pula.

"Aku rasa ... mungkin dia feeling insecure punya tunang cantik dan bergelar mahasiswa. Mungkin juga dia takut kau berubah dengan tempoh masa belajar yang lama. Tidak mustahil ramai jejaka di menara gading ini yang akan approach kau. Jika dibandingkan dengan dia, tidak mustahil cinta beralih angin. Dia mungkin sedang menjauhkan diri dan cuba menguji rasa hati sendiri. Atau, mungkin juga sedang menguji rasa hati kau."

Zalita terdiam seketika sebelum bersuara, "Tapi ... aku sayangkan dia. Tak pernah terfikir nak cari orang lain. Aku tak kisah pun dia kerja apa, asalkan halal dan asalkan rajin nak majukan diri. Tak semestinya aku belajar tinggi, aku pandang orang yang tidak menyambung pelajaran, yang bekerja sendiri itu lebih rendah berbanding aku.

Aku bangga dengan dia. Aku selalu cakap pada dia, yang aku suka bila dia nak buka kedai sendiri dan tak kerja dengan orang lagi. Sekarang dia dah berjaya. Dah, ada pekerja juga. Kenapa nak fikir macam tu?"

"Entahlah Za. Itu yang aku nampak. Apa pun, kalau ada kesempatan, kau berbincanglah dari hati ke hati dengan dia. Jangan sampai menyesal sebab ada salah faham. Minta dia berterus-terang. Kau pun, terus terang tentang perasaan kau. Bukan kau orang baru kenal. Bertahun. Tapi itulah. Sedangkan anak sungai pun berubah, apatah lagi hati orang."

DUA minggu selepas perbualan aku dengan Zalita, malam itu, aku nampak dia menangis. Aku tahu dia baru lepas menelefon keluarganya.

"Za? Kenapa?"

Dengan muka yang merah, dengan juraian air mata ... dia berkata, "Dia dah putuskan tunang dengan aku. Mak dia datang jumpa keluarga aku minta aku pulangkan cincin dan semua barang-barang hantaran dulu."

Terkejut aku! Dah kenapa nak minta pulang sedangkan pihak mereka yang putuskan tunang. Tapi, aku tak mahu menambah beban pada hati seorang kawan. Aku duduk sebelah dia. Kugosok-gosok belakang tubuhnya.

"Tak apalah Za ... tentu ada hikmah yang Allah nak tunjuk. Jangan sedih sangat. Ada jodoh yang lebih baik Allah atur untuk kau. Insya-Allah. Jangan sedih-sedih, ya!"

"Aku sayang dia ..." Zalita menyambung tangis.

Ya Allah, setianya kawan aku ni. Zalita bukan gadis biasa pada aku. Dia seorang yang sangat cantik dari segi rupa paras. Malah, latar belakang keluarganya juga dari keturunan yang baik-baik. Malah, Zalita seorang yang mementingkan kebersihan. Dia rajin. Bangun tidur, sebelum gosok gigi lagi, dia sudah capai penyapu menyapu bilik kami.

Dia memilih aku untuk tinggal sebilik dengannya pun kerana dia melihat aku seorang yang kemas dalam susun atur barang. Dia tak suka orang yang jenis main campak buang.

Dia boleh dapat lelaki yang lebih baik.

Sepanjang malam itu, aku menjadi pendengar cerita Zalita. Semua kisahnya dengan bekas tunangnya itu diceritakan tanpa silu. Malah, dia juga berkongsi gambar tunangnya itu. Aku lihat, orangnya agak tampan. Memang sepadan dengan Zalita.

Tetapi, apa guna tampan jika hati sudah tiada sayang. Andai diteruskan, mungkin makan dalam.

Kami tidur lewat. Aku tidak kisah kerana keesokan paginya kawan sebilik aku itu seolah-olah sudah melupakan kisah dukanya. Mungkin luahan malam tadi membuatkan dia lega dan menemui dirinya semula. Syukur.

Jangan menanti orang yang tidak bersungguh dengan kita. Bumi Tuhan ini terlalu luas untuk diteroka dan potensi untuk kita bertemu dengan orang yang lebih baik itu selalu ada. Andai kita percaya.

Jangan biarkan diri kita ini disakiti. Diri dan hati amanah Tuhan. Sebab itu, ada pesanan daripada mereka yang terlebih dahulu makan garam:

'Kalau sayang, tinggalkan sedikit benci. Dan, kalau nak sayang orang, sayanglah kerana Tuhan. Lebihkan rasa kepada Penciptanya berbanding dia yang cuma seorang hamba. Sayang itu pula jangan dihidupkan berlebihan selagi belum ada ikatan bernama pernikahan. Ia akan jadi sia-sia bila terjadi perubahan rasa pada salah seorang di antara keduanya.'

Cerita Zalita kujadikan ingatan buat diri sendiri. Jangan serahkan sayang apatah lagi cinta kepada lelaki ajnabi. Jika benar dia inginkan kita, uji kesungguhannya dengan pernikahan. Sebaik bergelar isteri, ya ... itu benar dinamakan sayang dan ada bukti kesungguhan.

Ingat, Mira. Jangan biarkan dirimu disakiti oleh makhluk Tuhan bernama lelaki.
.
.
.
1222 pp

23 Mei 2021
6.50 petang

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro