Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1 - Temuduga

AKU memang tidak bersedia untuk menghadiri mana-mana temuduga. Hari itu, aku hanya menemani Intan. Dia yang bersungguh hendak mencari kerja, dan meninggalkan alam belajar. Katanya, cukup dengan sijil STPM. Dia tidak mengharap untuk pergi lebih jauh.

Aku tidak memberi sebarang komen. Hak masing-masing. Sewaktu dia mengajak aku meredah ibu kota, aku tidak punya sebarang idea pun tentang syarikat, apatah lagi jenis pekerjaan yang Intan sasarkan. Dia kata, dia hanya terbaca iklan pekerjaan itu di salah sebuah suratkhabar tempatan.

Tanpa sebarang bantahan, aku ikut Intan. Cuma, aku tidaklah terfikir yang aku rupa-rupanya akan terseret sama dalam sesi temuduga ini. Sementelahan, aku hanya berpakaian sukan. Satu keselesaan bagiku. Tidak kiralah walau hendak berjalan di tengah bandar, atau ibu kota dunia sekali pun!

Pada aku, selagi ia menutup aurat, aku selesa ... dan aku tidak mengganggu ketenteraman umum, aku buat.

Intan begitu elegan dengan pakaian formal. Berpalazo dengan blouse lengan pendek. Dia, free-hair. Aku juga sewaktu di zaman sekolah, memang free-hair. Malah, begitu aktif di dalam Kelab Kebudayaan dan Kesenian. Tarian adalah di antara cabang seni yang menjadi tunggak utama penglibatan.

"You isi borang juga."

Aku sudah membulatkan mata. Phamplet di tangan, yang sedang kubelek-belek, langsung kuletakkan. Ish, biar betul amoi ni!

Aku menggeleng dengan senyuman.

"You datang sama dia, bukan? You orang baru habis belajar. Itu STPM punya sijil. Boleh dapat kerja, maaa ... You bagi tahu sama I, you mahu kerja apa? Tempat, mana? Mahu sama-sama dengan you punya kawan pun, kita boleh arrange."

Aku sudah rasa pelik. Syarikat apa yang Si Intan ni mohon?

Seakan mendengar suara hati aku, amoi yang jaga kaunter itu, lalu bersuara, "Kita syarikat job hunting maaa ... ejen!"

Oh, alkisahnya! Patutlah tak kisah pun aku datang dalam rupa apa pun.

"You apa nama? Tinggal mana?"

"Mira. Panggil Mir. Tinggal itu Petaling punya area."

"Oh, bagus! Sana banyak kilang. Kita boleh bagi tempat untuk you. You kenapa tak mahu cari kerja? Dapat duit maaa ... You mahu sambung belajar ke?"

Ramah pula amoi ni.

Aku tersenyum lagi. Terus aku tarik kerusi, duduk di hadapan amoi tu. Muda lagi. Mungkin dalam lingkungan hujung 20-an.

"Mana borang?"

Bertambah lebar senyumannya. Aku tidak pasti bagaimana sesebuah ejen pencarian kerja itu berfungsi - gaji dan kontrak perjanjiannya. Aku juga tidak terfikir akan untung rugi berdaftar di bawah ejen pencarian kerja. Apa yang aku tahu sekarang, aku rasa tertarik dengan tawaran amoi ini. Mungkin tidak salah kalau aku 'menjerumuskan' diri bersama-sama Intan. Tawaran masuk ke universiti pun, seakan lama lagi.

Intan ditemuduga oleh seorang wanita Cina juga. Aku, selepas isi borang disuruh tunggu sebentar. Amoi tadi hanya menjalankan tugasan admin. Bukan dia yang akan menemuduga. Sementara borang aku diproses, Intan sudah selesai. Dia teruja bila aku beritahu yang aku sudah terjebak. Tak habis-habis meraup muka, mengucap syukur sebab aku akan bekerja sekali dengan dia.

Aku, ditemuduga pun belum lagi. Yakin benar Si Intan, ini!

Tetapi, memang aturan Allah. Aku yang datang sebagai peneman Intan, terseret sekali mendapat pekerjaan. Seperti kata amoi tadi, mereka menempatkan aku dan Intan di lokasi paling hampir dengan kawasan tempat tinggal. Yang mana ada kemudahan pengangkutan awam juga.

Sebuah kilang elektronik pemilikan Jepun. Memang jauh sangat daripada pekerjaan yang aku inginkan. Kilang bukanlah tempat yang pernah aku bayang-bayangkan untuk aku menjejakkan kaki ke dalamnya.

Cerita aku ini berlaku di sekitar tahun 90-an. Memang sewaktu aku membesar, kisah dan gelaran 'Minah Kilang' dan 'Minah Karen' sering dibual orang. Bukan perkara baik yang dikisahkan. Ia adalah di sebaliknya. Kisah hitam. Kisah jelek dan kisah-kisah yang membuatkan aku seram untuk turut memegang gelaran itu.

Keluarga aku tak kata apa bila aku kata aku akan bekerja sementara. Mak, malah dalam diam-diam telah berurusan dengan jiran sebelah rumah aku. Kakak yang sudah berkeluarga, punya tiga orang cahaya mata. Kakak ini juga sebenarnya bekerja di kilang tersebut.

Memang aku tidak pernah ambil tahu tentang orang-orang di sekeliling aku. Cukup aku kenal nama, bertegur sapa ... yang lain-lain aku tidak mahu tahu. Tiada kaitan dengan hidup remaja aku. Yang selalu ambil tahu kisah orang ni, adalah di kalangan 'mak-mak'. Aku, jauh lagi nak jadi mak.

Intan dan aku hanya bertemu di tempat kerja. Aku tidak tahu bagaimana dia masuk. Tetapi, aku punya kelebihan. Kakak jiran aku ini boleh aku katakan orang yang ada jawatan. Dia masuk ke kawasan parkir di dalam kilang membawa aku tanpa ditahan oleh pihak keselamatan. Jadi, aku tidak tahu bagaimana tatacara kemasukan orang luar, yang bukan pekerja ke dalam sesebuah organisasi itu.

"Mira tunggu depan klinik tu. Akak nak pergi punch card. Nanti kalau staff nurse tu dah sampai, Mira bagi tahu dia, siapa Mira."

Dengan kata-kata itu, aku ditinggalkan.

Berdirilah aku bersandar di dinding, di hadapan pintu klinik. Tidak pernah pula aku terfikir atau terbayang yang di dalam sesebuah kilang itu akan ada klinik. Sewaktu ditemuduga, dan diberitahu yang aku akan ditempatkan di dalam klinik dalam kilang, sebagai data entry clerk, aku sudah blur. Tetapi, aku tidak bertanya lanjut.

Intan bekerja di dalam pejabat. Di bahagian Quality. Amoi itu beritahu aku, aku dapat di dalam tempat istimewa, di dalam klinik sebab aku ada kemahiran komputer dan kemahiran menaip laju. Ya, aku dapat kemahiran ini semasa menunggu keputusan SPM. Mak yang aturkan agar aku belajar komputer dan seterusnya belajar menaip. Aku hanya ikutkan sahaja. Masih tidak nampak di mana kegunaannya.

Tugas Intan, hanya menyusun fail dan membantu tugas-tugas pentadbiran. Dia tidak akan berurusan dengan komputer.

"Tunggu siapa?" Seorang wanita, dengan perut memboyot, menegur aku. Manis wajahnya.

"Oh, saya dihantar oleh Tele-temp!" Aku sebut nama ejen pencarian kerja itu.

"Oh, okey. Marilah masuk." Akak yang mengandung itu, membuka pintu klinik dan mempelawa aku.

Mata aku, meliar. Memang rupa klinik! Ada bangku menunggu. Ada dispensary dan ada pejabat kecil di sebelahnya. Aku juga nampak dari tempat menunggu itu, ada pintu di belakang dispensary yang tertulis 'Doktor'.

Bilik doktor.

"Nama apa?"

"Nur Mira Iliani. Akak boleh panggil, Mir." Aku menghulurkan tangan, bersalam. Rasa kurang sopan pula bila mula-mula jumpa tadi tak salam.

"Mir?"

Aku mengangguk laju sambil menayang sengih. Mungkin sebab bunyinya macam nama lelaki, 'Amir', 'Mir'.

Dia ketawa. Bergerak-gerak perutnya yang besar itu. Mungkin sebab keadaan dirinya yang berbadan dua, dan tidak lama hendak bersalin itulah, maka ada ruang kerja di sini. Itu yang aku nampak. Dia perlukan pembantu.

"Macam-macamlah kamu ni! Hah, ini meja kamu. Ada laci. Boleh letak barang-barang peribadi di dalamnya. Komputer ini yang akan kamu guna sepanjang kamu kerja di sini. Duduklah."

"Errr ... nama akak, apa?"

"Ya Allah, lupa pula nak kenalkan diri. Panggil sahaja, Kak Ani. Eh, Mir duduk dulu. Akak nak panaskan air. Sebelum ramai orang ni, biar akak buat kerja akak." Dia pun kelam-kabut menuju ke belakang.

Aku menjengah. Oh, ada pantry. Dapur kecil yang ada peti sejuk dan singki. Aku nampak Kak Ani sudah menghidupkan termos elektrik. Dari dalam begnya, dia keluarkan bekal. Nampak aku sedang terintai-intai, dilambainya aku.

"Ya, kak?"

"Dah sarapan ke?"

Sebenarnya, belum. Tapi, segan pula kalau aku kata belum. Tentu-tentu dia segan nak makan. Aku pula tak naklah kacau bekal orang. Dia berdua, kot!

"Tak biasa makan pagi kak." Itu idea spontan yang datang dalam kepala otak aku.

"Laaa ... ruginya. Baru akak nak ajak makan sama."

"Tak apa. Akak makanlah. Saya ke depan dulu." Cepat aku berlalu. Kasihan pula dengan ibu mengandung yang tentu dah lapar pagi-pagi ni.

Aku keluarkan novel dari dalam beg aku. Memang aku ke mana-mana, tidak pernah meninggalkan buku. Sambil aku menyelak muka surat bertanda, fikiran aku melayang kepada Intan. Entah bagaimana keadaan Intan. Mungkin waktu rehat nanti kami berpeluang makan bersama.

15 Apr 2021

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro