Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

teaser 9


Matanya terpejam rapat. Titisan air mata dibiarkan mengalir ke pipi. Sudah beberapa hari air mata menjadi teman setianya. Dia masih tak percaya lelaki itu tergamak membuat onar sehingga mereka sekeluarga mendapat malu. Dan sudah tentu dia yang paling teruk dihina.

Syukurlah keadaan pak long sudah semakin sembuh. Selepas mendapat tahu lelaki itu melarikan diri, pak long diserang sakit jantung.  Sudah puas mereka cuma menghubungi Johan tetapi sehingga sekarang, masih belum ada maklumat.

Dia tidak kisah jika lelaki itu tidak mahu meneruskan perkahwinan mereka. Apa yang penting, Johan memikirkan perasaan pak long dan mak long di sini. Majlis kenduri mereka tempoh hari, terpaksa ditukar kepada majlis tahlil.

“Ara...”

Cepat-cepat Raudah menyeka kedua pipinya. Dia menoleh ke pintu. Wajahnya cuba dimaniskan di hadapan mak long.

“Ya, mak long.”

Puan Rohayu duduk bersila di sebelah Raudah. Wajah yang semakin pucat itu dielus lembut. Hanya Tuhan yang tahu betapa kecewanya dia dengan perbuatan Johan. Malah suaminya sudah tidak mahu mengambil tahu tentang anak lelaki mereka lagi.

“Ara tak lapar ke? Mak dah masak. Jom kita makan.”

Raudah menggeleng lemah.

“Ara tak lapar.”

“Jangan macam ni. Susah hati mak tengok Ara bersedih. Ara asyik berkurung dalam bilik.” Bergenang tubir matanya. Dia sendiri tak sanggup melihat penderitaan Raudah beberapa hari ini.

Raudah tersenyum pahit. Kedua tangan ibu saudaranya digenggam erat. Dia tunduk dan mencium belakang tapak tangan itu dengan penuh kasih.

“Ara minta maaf. Ara tak dapat nak panggil mak long dengan panggilan mak. Tak ada rezeki Ara.” Bergetar nada suaranya.

“Allah... jangan cakap macam tu.” Tubuh Raudah ditarik masuk ke dalam pelukannya.
Belakang tubuh gadis itu digosok perlahan. Hilang sudah sikap ceria Raudah sejak Johan meninggalkan mereka.

“Ara tetap boleh panggil mak. Mak tak kisah. Sepatutnya dari dulu lagi Ara panggil mak."

Tangisan Raudah semakin menjadi-jadi. Dari dulu lagi dia ingin memanggil kedua ibu bapa saudaranya dengan gelaran itu. Namun dalam sekelip mata, impiannya musnah.

“Mak minta maaf bagi pihak An.”

Tersedu-sedan Raudah. Sukar untuk dia memaafkan perbuatan kejam lelaki itu. Bukan sehari dua mereka kenal. Tapi dah bertahun-tahun.

“Sampai hati dia buat Ara macam ni. Kalau dia tak nak kahwin, kenapa dia perlu malukan Ara? Teruk sangat ke Ara ni sampai dia tak sudi jadikan Ara ni sebagai isteri,” luah Raudah.

“Tak. Ara gadis yang sempurna. An yang rugi sebab dah lepaskan Ara. Mak yakin dia akan menyesal nanti."

Mati esakan Raudah. Sempurna? Wajahnya berubah pucat. Mustahil Johan tinggalkan dia hanya disebabkan dirinya tak sempurna. Hanya seorang lelaki yang pernah menyentuhnya.
Johan!

🤧

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro