Teaser 1
“Ayu.”
“Ya, abang.” Puan Rohayu menoleh ke belakang. Air paip di singki ditutup terlebih dahulu.
“Mana An?” Baru dia perasan anak tunggal mereka tiada di rumah.
“Macam biasalah. Main dengan kawan dia. Kenapa abang cari An?” soal Puan Rohayu. Dia duduk di kerusi makan untuk melepaskan lelah.
“Budak An ni asyik nak merayap aje. Sekarang ni zaman kes culik. Abang risau dia main dekat hujung sungai tu.”
Encik Jamal duduk di sebelah isterinya. Risau memikirkan anak tunggal mereka yang suka bermain di kawasan sungai. Umur baru enam tahun tapi mengalahkan dewasa.
“Tak adalah, abang. Dia pergi rumah sebelah aje. Ayu dah larang dia pergi.” Dia cuba menenangkan si suami.
Sebagai seorang ibu, dia lagi risaukan si anak.
“Ehmmm… baguslah. Ni abang nak beritahu. Jehan nak balik ke sini esok.”
Terlopong mulut si isteri. “Eh, Jehan kan dah sarat. Kenapa abang biarkan dia balik sini?”
“Abang dah larang tapi dia nak juga balik. Tak sampai hati abang nak tolak. Dia balik sebab nak ziarah kubur arwah mak dan abah.”
Puan Rohayu mengangguk kecil. Barulah dia faham tujuan adik iparnya pulang ke sini.
“Abang rasa tak sedap hati.”
Berkerut dahi wanita itu. “Kenapa?”
Encik Jamal tak menjawab. Lidahnya berat untuk memberitahu isterinya tentang apa yang dibualkan oleh si adik. Tak pernah lagi Jehan bercakap begitu dengannya.
“Abang…” Bahu suaminya disentuh lembut. Pelik pula dia melihat lelaki itu hanya termenung.
“Tak ada apalah. Perasaan abang agaknya. Abang nak cari ayam pencen. Anak saudara abang tu suka sangat makan gulai ayam pencen. Kecil-kecil dah selera besar. Sama aje dengan si An tu.”
Ketawa Puan Rohayu saat terkenang telatah Raudah. Setiap kali pasangan itu pulang ke kampung, memang itulah makanan kegemaran Raudah. Tak sangka pula Johan suka menu yang sama.
“Nanti pesan dekat An, jangan nak cari gaduh dengan Ara.”
“Abanglah cakap dekat dia. Budak An tu manalah nak dengar cakap Ayu.”
Susah hati juga Puan Rohayu. Johan memang sukar mendengar kata. Mungkin juga disebabkan hanya Johan satu-satunya anak mereka. Nak mengandung, dia sudah kehilangan rahim selepas melahirkan Johan.
Pernah juga dia menyuarakan keizinannya kepada si suami untuk berkahwin lain. Lagipun lelaki itu sangat mampu. Namun dia dimarahi gara-gara memberi keizinan untuk berpoligami.
“Kenapa pandang abang macam tu?”
“Ayu rasa bertuah dapat abang sebagai suami. Nak bagi isteri baru pun, abang tak sudi.”
Encik Jamal menjeling tajam. Tak habis-habis nak suruh dia kahwin lain.
“Tunggu Ayu dah tak ada, baru abang fikir nak kahwin lain. Ada seorang isteri pun, abang dah pening.”
❤❤❤
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro