
Bab 1
PAGI tu, aku bersemangat macam biasa. Memang aku selalu bersemangat setiap hari kalau hari sekolah. Tugas sebagai seorang pendidik, memang kena bersemangat. Bila kita bersemangat, anak murid pun akan bersemangat.
Hari ini macam biasa...
Aku akan buat sesi story telling.
Semalam aku dah buat kajian untuk topik pagi ini. Aku dah siapkan bahan-bahan dan aku tak sabar untuk tunjukkan kepada anak murid aku. Mesti dia orang seronok. Kalaulah ada dewan... Bolehlah buat pertandingan bercerita dalam kalangan murid-murid. Kan?
Hmmm...
Tapi dewan pun kena tolak meja. Payahlah nak buat pertandingan, pentas pun tak ada!
"Teacher Thiya!!!"
Baru nak masuk ke kelas, aku menoleh. Guru besar, Cikgu Faridah memanggil aku. Ingatkan siapa. Terus langkah aku terhenti.
"Ya, cikgu."
"Petang ni saya nak buat mesyuarat. Teacher jangan balik lagi, ya?"
"Oh, mesyuarat tentang apa tu, cikgu? Sistem baru lagi ke?"
Kutlah... Ada wahyu datang dari langit suruh tukar macam-macam lagi. Kerajaan baru, orang baru... Cara barulah. Lagipun, sekarang ni kerja cikgu kan, dah macam kerja buruh. Tapi tak apalah, demi mendidik anak nusa dan bangsa... Berkorban apa ajelah!
"Pasal dewan."
"Pasal dewan?"
Terus terujalah aku.
"Kita dah dapat peruntukan untuk dewan ke, cikgu?"
"Itu yang saya nak buat mesyuarat petang ni. Teacher jangan tak datang. Kehadiran teacher amat diperlukan. Saya personally turun tanya teacher tau!"
"Insya-Allah, cikgu."
Aku hanya senyum. Mana tak guru besar yang personally turun tanya aku. Dah selalu aku yang duk bising tanya pasal dewan.
Bila nak ada dewan?
Bila nak ada dewan ni, cikgu?
Dah tiga tahun aku mengajar kat sekolah ni, itu aje soalan yang aku tanya. Bukan apa... Dengan adanya dewan, macam-macam aktiviti yang sekolah ni boleh buat. Kalau hujan sewaktu perhimpunan, kita dah boleh guna dewan. Tak perlu nak tolak meja, tolak partition kemudian susun balik meja dan tarik partition. Kan?
Yeay!
Tak sabar.
"Good morning, class."
"Good morning, teacher."
"Before I start with our story telling today... I have good news to tell all of you. Insya-Allah, we will get a school hall. Are you as excited as I am, class?"
"Yeayyy!!!"
Anak-anak murid aku pun teruja. Aku dah terbayang-bayang anak-anak murid aku dengan kostum dan bercerita di atas pentas. Aku pula di bawah pentas bermain piano. Memang sangat teruja!
Tapi...
Bila pergi mesyuarat petang tu...
Keterujaan aku merudum!
"Kerajaan kita tak ada peruntukan lagi untuk dewan."
Pula!
Tapi beria-ia buat mesyuarat ni untuk apa?
Tersentak aku apabila Cikgu Faridah memulakan mesyuaratnya dengan perkataan tiada peruntukan. Aku dah cakap dengan budak-budak kut. Kami dah siap berangan dah. Cikgu Faridah boleh kata tak ada peruntukan pula. Harapan palsu betul!
"Habis tu, mesyuarat ni untuk apa, cikgu? Saya kena bayar lebih tau kepada pengasuh sebab nak kena extend masa untuk jaga anak-anak saya," tanya Cikgu Rabizah.
"Betul tu, cikgu. RM5 sejam tau!" sampuk Cikgu Hariyani. Anak dah masuk tiga, banyaklah tu nak kena bayar.
"Sabar-sabar... Biar Cikgu Faridah teruskan. Elok-elok RM5, jadi RM10!" Cikgu Rena mula menenangkan cikgu-cikgu yang lain. Dia yang ramai anak pun tak bising!
"Mesti Cikgu Faridah ada jalan penyelesaian. Sabar cikgu-cikgu semua. Teruskan aje, Cikgu Faridah." Cikgu Zuraidah turut menyokong.
Aku yang kecewa, diam saja. Cikgu Seri di sebelah aku pun diam juga. Mana tak diam, sibuk main game. Mobile legend la tu, tak sedar yang diri sendiri pun dah legend dah tu!
"Betul cakap Cikgu Zue tu... Saya ada jalan penyelesaiannya. Memanglah kerajaan tak ada peruntukan untuk membina sebuah dewan untuk sekolah kita tetapi, kerajaan dah memberikan kita sebidang tanah sebelah ni untuk buat dewan tu. Cuma, kita hanya kena cari dana untuk membina dewan tersebut," terang Cikgu Faridah.
Kali ini baru aku menyampuk.
"Dana? Nak cari dari mana, cikgu?"
"Daripada syarikat-syarikat besar dan pengumpulan daripada ibu bapa murid. Dewan ini bukan saja akan digunakan untuk kegunaan sekolah, tetapi... Kita boleh buat duit, bila musim cuti sekolah nanti sekiranya ada yang nak buat majlis kahwin. Duit itu, kita boleh gunakan untuk aktiviti di sekolah kita nanti."
Nampaknya, Cikgu Faridah telah pun mempunyai rancangan. Tapi... Masalahnya, nak ke syarikat besar tu bagi duit? Syarikat besar mana yang nak bagi charity dalam keadaan ekonomi yang sangat meruncing sekarang ni? Orang dah tak fikir nak sedekah dah, orang fikir nak rasuah aje, sekarang! Walhal Allah SWT dah kata, bersedekahlah kalau nak tambah harta... Kan?
"Saya sudah pun berbincang dengan beberapa orang kuat PIBG. Dia orang pun dah membantu kita untuk dapatkan sebut harga bagi pembinaan dewan ini. Kos keseluruhan telahpun dianggarkan sebanyak RM320 ribu dengan keluasan sebanyak 118' x 89'. Tempoh pembinaan selama enam bulan. Dewan terbuka ini bukan saja boleh digunakan untuk aktiviti dalaman tetapi luaran juga seperti bola jaring, bola baling, bola keranjang dan sepak takraw sekiranya di luar hujan."
Huh...
RM320 ribu!
"Di depan cikgu-cikgu semua adalah surat sumbangan yang telah saya drafkan dan minta dipanjangkan kepada ibu bapa anak-anak murid masing-masing. Kalau boleh, bagi lebih borang tu untuk ibu bapa panjangkan kepada syarikat-syarikat dia orang bekerja yang mahu memberi sumbangan. Tak dapat banyak, dapat sikit pun jadilah. Untuk makluman, saya sudah mendapatkan kebenaran daripada pihak PPD berkaitan meminta dana tersebut. Jadi, janganlah cikgu-cikgu semua risau."
Aku membaca surat itu... Sekali lalu. Cikgu Faridah ni kalau buat kerja, memang cepat. Tiga tahun aku kerja kat sini, tak pernah aku dapat apa yang aku minta. Tapi, masuk saja Cikgu Faridah ke sekolah ini, baru tiga bulan... Apa yang aku dan cikgu-cikgu lain suarakan, semuanya Cikgu Faridah ambil perhatian. Tapi, biasalah... Bukan semua orang sukakan kita. Kita pun tak suka semua orang kan! Cakap-cakap tu... Memang banyaklah. Yalah, kerja dah banyak... Tambah lagi kerja adhoc macam ni, mana tak bising! Lagilah, dapat guru besar yang aktif!
"Sumbangan melebihi RM100 ribu ke atas akan diletakkan namanya pada binaan tersebut sehinggalah RM1000 ke atas akan diukir pada bahagian dalam dewan tersebut. Insya-Allah, dengan kerjasama cikgu-cikgu semua, sekolah kita akan memperoleh dewan dan tak perlulah kita nak kena susun atur meja setiap kali nak buat aktiviti. Ada apa-apa soalan? Atau semua dah tak sabar nak balik?"
Masing-masing bersetuju tanpa banyak bicara. Yalah, apa nak bising lagi, Cikgu Faridah dah buat semuanya. Tugas kita cuma bagi surat saja.
"Kalau begitu, untuk projek ini... Saya melantik Teacher Thiya menjadi pengurusnya. Cikgu-cikgu semua diminta untuk memberikan surat ini kepada anak murid, dapatkan semula minggu depan dan berikan kepada Teacher Thiya. Terima kasih semua dan maaf kerana ambil masa lebih sikit."
Aku?
Pengurus projek?
Errr...
"Habislah, teacher. Tu la, sibuk sangat nak minta dewan, tak habis-habis nak dewan, setiap kali miting tanya pasal dewan... Sekarang, dapatlah kerja!"
"Tak apalah, Cikgu Seri. At least apa yang saya perjuangkan, saya dapat. Bukannya untuk saya tapi untuk sekolah dan anak murid saya juga. Kalau saya keluar dari sekolah ni pun, saya dah boleh lega. Adalah sumbangan saya kat sini. Kalau orang tanya, siapa yang minta dewan tu? Oh... Tu Teacher Thiya punya effort. Daripada kerja bertahun-tahun, tapi satu sumbangan pun tak ada... Buat apa? Orang mesyuarat, dia main telefon." Setepek aku bagi!
Nasib baik aku yang bagi... Bukannya Salma. Kalau Salma, mahu terduduk Cikgu Seri tu. Cikgu Seri mencebik. Biarkan terasa!
Eh... Mana Salma? Banyak kerja kat library ke apa sampai tak masuk miting pun? Haih, kawan aku tu...
Baru aku nak bangun...
"Teacher Thiya!"
Aku menoleh.
"Ya, cikgu..."
"Jumpa saya sekejap. Di bilik saya, ya?"
Aku mengangguk-angguk. Terus aku ke meja dan kemas apa yang patut. Nanti boleh terus balik lepas jumpa Cikgu Faridah. Aku ingat nak singgah ke The Chapter Bookstore sekejap, nak cari bahan baru untuk esok. Esok nak main flash card! Murid tahun satu... Senang nak cari bahan bantu mengajar yang seronok. Saja nak terapkan, school is fun pada murid-murid, walaupun ada exam.
"Macam mana? Okey?"
"Saya okey, cikgu. Tapi, ibu bapa sekolah kita ni, bukannya kaya-raya sampai boleh bagi RM100 ribu sumbangan. I have doubt about it."
"Itu sebab, saya dah senaraikan beberapa syarikat besar untuk kita minta sumbangan. Semuanya saya dapatkan melalui senarai alumni sekolah. Alumni sekolah ni pun bukan calang-calang orang juga, teacher. Saya dah bahagikan kepada dua bahagian. Ini teacher punya part. Ini pula saya punya part."
Cikgu Faridah memberikan aku senarai beberapa nama syarikat. Aku memerhati sekali lalu. Ada beberapa syarikat yang agak popular. Tak sangka juga pengarah syarikat-syarikat besar ini pernah bersekolah kat sini.
"Kita tak boleh nak bagi surat macam tu aje. Kita kena jumpa dia orang personally. Barulah dia orang nampak effort kita."
"Betul tu, cikgu. Saya setuju. Lagipun, takkanlah alumni sekolah tak nak tolong sekolah, kan? Saya yang bukan sekolah sini pun, saya nak bantu sekolah ni."
"Itulah semangat yang kita nak. Boleh ya teacher, saya ambil masa teacher sikit?"
"Boleh. Jangan risau, cikgu. Saya memang nak sangat ada dewan tu. Saya akan berusaha untuk dapatkan lebih RM300 ribu tu. Ada dana lebih, bolehlah kita cantikkan sekolah!"
Cikgu Faridah tersenyum bila melihat aku bersemangat.
Malam itu, aku terus buat research la. Ada lima buah syarikat yang aku kena pergi dalam senarai tu. Kena juga buat kajian ke atas lima syarikat ni.
Siapa owner?
Tahun bila pernah sekolah sini?
Cerita serba sikit tentang syarikat tu...
Senanglah sikit bila aku tahu beberapa informasi yang penting, bolehlah aku nak meyakinkan dia orang untuk sumbangkan dana. Bukan senang nak cari duit, apa lagi nak keluarkan duit... Free pula tu. Lagipun, nature sebagai seorang cikgu, aku memang suka buat research.
5. FARIS PROPERTY DEVELOPMENT SDN BHD. CEO : TENGKU FAAL HARIS BIN TENGKU HARITH
Senarai kelima...
Tengku Faal Haris.
Aku taip namanya di kotak carian.
Pap!!!
Dalam sekejap saja terkeluar di skrin komputer aku semua cerita tentang Tengku Faal Haris. Terus membuntang mata aku!
Apalah yang sekolah ni buat kat kau, sampai kau jadi seorang playboy, Tengku Faal?
Astaghfirullahaladzim!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro