Bab 4
Mata Iman Suffiyah tiba-tiba terbuka. Baru nak menggerakkan tubuh, dia terasa ada sesuatu yang berat di pinggangnya. Dia menyelak selimut dan terpandangkan satu tangan melingkar baik punya di atas pinggang dia. Dia menoleh sedikit ke belakang. Wajah Ammar yang sedang lena berada di hadapan matanya.
Pukul berapa sekarang? Otaknya mula berfikir. Entah pukul berapa suaminya balik pun dia tak sedar. Dia juga tidak ingat bila dia tertidur. Rasanya dia sibuk membuat kertas kerjanya di atas lantai karpet tu. Dia menjengah sedikit ke bawah. Tidak ada buku-buku yang berselerak lagi. Semuanya sudah tersusun di atas meja. Pasti Ammar yang mengemasnya. Iman berbaring semula dan menghadap wajah Ammar Hafiz yang sedang lena tak berkutik itu.
Mata Iman meneliti kening yang tebal, batang hidung yang mancung dan bibir nipis itu. Kemudian tangan memandang semula pada pautan di pinggangnya. Oh, mungkin ni yang abah selalu cakap kat emak, awak tu bantal peluk saya. Mana boleh berpisah lama-lama!
Bila dia pandang emak, muka emak dah merah padam. Malulah tu! Iman senyum sendiri bila mengingati kisah itu.
Mungkin ini yang dikatakan jodoh? Mungkin betul pertanyaan Ammar siang tadi, awak percaya pada jodoh, Iman Suffiyah?
Ya. Dia percaya. Siapa sangka bakal suami si kakak terus bertukar menjadi suaminya kini. Suka atau tidak, dia harus menerimanya. Terpaksa atau tidak, lelaki ini harus dihormati. Kalau benar lelaki ini telah ditetapkan untuk dia, siapa dia untuk menafikannya? Siapa dia untuk mendustakannya?
Dia masih ingat kejadian empat hari lalu yang mengubah hidupnya hari ini. Kak Najwa yang jarang sekali nak menjengukkan muka di rumah sewanya datang untuk berjumpa dengannya.
"Kak Wa tunggu Iman kat warung di hujung jalan sana. Jangan lambat!" Jari telunjuk sudah diangkat ke depan muka Iman.
"Ada hal penting Kak Wa nak cakap dengan Iman," kata Kak Najwa dengan muka serius dan nampak serabut.
Iman Suffiyah terus mencapai sweaternya dan melangkah keluar setelah memberitahu Aida ke mana dia nak pergi. Entah apa yang penting sangat sampai si kakak nak berjumpa dengan dia, Iman tidak tahu. Dan, kenapa kena berjumpa di luar rumah? Kening Iman Suffiyah sudah berkerut ketika kaki menapak ke warung Mak Cik Maznah di hujung jalan itu.
Najwa sudah menunggu dengan minuman kegemarannya di atas meja. Nescafe ais! Iman terus tarik kerusi dan melabuhkan punggungnya duduk menghadap si kakak.
"Ada hal apa Kak Wa datang ni? Selalunya kalau Iman suruh datang ambil Iman kat sini pun, banyak songehnya!" Iman sudah menyilang tangan ke dada sambil buat muka masam.
Najwa hanya tersengih mendengar rungutan si adik. Ya, betul apa yang si adik cakapkan. Kalau tak sebab dia ada hal penting, tidaklah dia nak menunjukkan mukanya kat rumah Si Aida tu. Dia bukannya kamceng pun dengan Aida tu!
"Penting dan sangat mustahak!" kata Najwa, dengan muka serius pula. "Kak Wa tak boleh nak simpan. Kalau simpan, otak Kak Wa boleh pecah!" sambungnya lagi dengan muka bersungguh. Iman tersengih aje. Ayat otak pecah tu memang tak boleh blah. Ayat hiperbola betul!
"Hal apa tu? Abah nak kahwin satu lagi ke?" usik Iman, sengaja. Tahu sangat abah tak akan buat begitu kat emak. Emak kan buah hati abah!
"Hesy, kau ni! Jaga sikit mulut tu, boleh tak? Kau nak ke dapat emak tiri?" Najwa sudah menjeling tajam pada si adik bongsu yang cakap memang ikut sedap mulut aje. Iman tersengih bodoh. Kalau emak tiri macam cerita Cinderella tu tak payahlah!
"Habis tu?" soal Iman lagi. Muka bersahaja menyedut air Nescafe aisnya. Kalau bukan pasal itu, pasal apa pula?
Najwa terdiam pula. Macam sukar dia hendak mengatakannya. Tapi hanya pada Iman Suffiyah saja yang dia boleh percaya. Dengan kak chik tak boleh dibuat berunding. Mahu dia kena sekeh. Dengan Kak Liza pun tak boleh cakap hal ini. Nanti dia beritahu Abang Izad dan Abang Izad akan repot kat abah. Kemudian sudah pasti dia akan dikahwinkan dengan lelaki yang dia tak cinta itu. Tengok muka pun tak pernah.
"Kenapa ni, Kak Wa?" tanya Iman bila dilihatkan kakaknya itu macam termenung memikirkan sesuatu yang berat. Kakak dia ni sakit ke? Sakit teruk ke? Mata Iman sudah bulat merenung wajah yang nampak lesu dan muram itu.
"Kak Wa ada sakit kritikal ke?" tanya Iman Suffiyah lagi. Oh, tidak! Kak Najwa nak mati ke?
"Hesy... Kau ni!" Najwa terus sekeh kepala Iman. Ada ke cakap macam tu kat dia! Tak sayang mulut betul. Cakap pun satu doa apa!
"Kau ni nak sangat ke Kak Wa mati?" tengkingnya kat depan warung itu. Nasib baik tak ramai orang. Tapi malu jugalah Iman bila pandang sekeliling ada mata sinis melihat mereka.
"Mulut tu celopar sangat, kenapa?" marah Najwa lagi. Iman Suffiyah sudah menggosok-gosok kepalanya. Aduh, sakit juga kepala kena sekeh. Nasib baik kakak sendiri. Kalau kakak orang lain, memang kepala tu pula yang dia sekeh nanti! Huh.
"Lagi satu, otak tu jangan fikir negatif, boleh tak?" Dia bagi jelingan tajam pada Iman Suffiyah.
Iman Suffiyah terus buat aksi zip mulut dan geleng kepala. Tak nak cakap apa-apa. Takut nanti salah cakap, kena sekeh lagi.
"Kak Wa tak nak kahwin!" kata Najwa bagai membuat pengumuman penting. Iman hanya memandang sepi kepada kakaknya. Dia macam ada terdengar bunyi cengkerik kat telinga dia. Krik... Krik... Krik...
"Okey. Jadi apa kena-mengena dengan Iman?" tanya Iman Suffiyah, mendatar.
"Kak Wa dah jatuh cinta, Iman!" kata Najwa dengan wajah ceria dan gembira. Mata Iman mengecil sedikit merenung wajah kakaknya.
Okey. Kakaknya tak mahu berkahwin tapi dah jatuh cinta. Okeylah tu jatuh cinta pada tunang sendiri. Agaknya, Kak Wa belum nak berkahwin lagi kut. Tapi apa kena-mengena dengan dia?
Najwa sudah memandang muka blur si adik. Bibir sudah tersenyum simpul.
"I'm in love, Iman!" ucap Najwa lagi sambil memegang tangan Iman Suffiyah yang ada di atas meja.
"Yeah, I can see that," balas Iman, dengan muka meluat melihat kakak yang menggedik semacam. Itu pun nak cakap dengan dia ke? Ingatkan apalah yang penting sangat. Huh, buang masa dia betul. Nescafe ais ditarik dan terus menyedut minuman itu hingga habis.
"Kak Wa rasa, Kak Wa terus jatuh cinta bila terpandangkan wajah dia. Rasanya, inilah pertama kali akak rasa macam ni. Rasa rindu, rasa tak boleh lupakan wajah itu..." ucap Najwa lagi. Iman Suffiyah merenung wajah kakaknya yang seolah-olah sedang berkhayal itu.
"Kak Wa tak boleh lupakan dia, Iman. Dia sangat baik melayan Kak Wa..."
"Okeylah tu, Kak Wa. Baguslah kalau akak rasa macam tu. Kak Wa pun dah nak kahwin dengan dia hujung minggu ni. Alhamdulillah," kata Iman Suffiyah pula menadah tangan seperti berdoa.
Mata Najwa sudah merenung Iman Suffiyah.
"Maksud kau? No, no... Bukan dengan tunang Kak Wa tu. Tapi orang lain, Iman!" terang Najwa cepat-cepat.
"Kak Wa dah jatuh cinta dengan orang lain!" terang Najwa lagi.
"Hah?" Iman pula buat muka bingung. Dia sudah pandang Najwa tepat-tepat. Kalau bukan dengan encik tunangnya itu, jadi siapa yang sudah buatkan kakaknya ini falling in love sangat?
"Nama dia, Faiz Hamdan. Kami baru kenal dua minggu lepas dan Kak Wa terus suka kat dia. Kak Wa..."
"Kak Wa!" Pantas suara Iman mencelah, menghentikan kata-kata kakaknya.
"Itu sebabnya Kak Wa cakap hal ini penting, Iman. Tentang hidup dan mati akak. Kebahagiaan akak. Kak Wa tak boleh nak fikirkan hidup tanpa Faiz dan berkahwin dengan lelaki yang Kak Wa tak suka. Kak Wa tak mahu berkahwin dengan lelaki bernama Ammar tu. Akak tak kenal dia. Akak takut. Manalah tahu dia tu kaki pukul. Baran tahap maksimum..." tutur si kakak lagi, bersungguh.
Huh, tengok siapa yang berfikiran negatif sekarang? Iman Suffiyah sudah merengus keras. Kak Najwa selalu macam ni. Kalau nak buat satu perkara tu tak pernah nak fikirkan orang lain. Ikut suka hati dia aje. Ni, kalau abah dan emak tahu mesti Kak Najwa kena marah. Yang marahnya pastilah abah. Emak pula hanya menurut saja sebab Kak Najwa itu kan anak kesayangan dia. Yalah.
Kak Najwa tu lebih cantik daripada dia dan kak chik! Sebab emak pernah cakap, masa kecil Kak Najwa susah nak dijaga. Semput dan macam-macam lagi. Itu yang emak memberi sepenuh perhatiannya pada Kak Najwa. Tapi Iman Suffiyah rasa, kakaknya ni mengambil kesempatan atas kasih sayang emak!
"Emak pula dah suruh pergi butik pengantin Kak Intan. Suruh cuba baju nikah tu. Tapi Kak Wa tak ada hati nak pakai." Najwa sudah mengeluarkan suara sayu dan muka pula dah nampak sendu. Iman Suffiyah sudah menjulingkan mata ke atas sambil menggeleng bosan.
"Macam mana Kak Wa boleh tersuka dengan lelaki yang Kak Wa baru kenal seminggu?" tanya Iman Suffiyah, memandang Najwa dengan riak muka tidak percaya. Memang dia tak percaya pada cinta pandang pertama ni. Mana ada lagi zaman sekarang ni!
"Dua minggu!" Najwa membetulkan. Tangan mengacau minumannya dengan penyedut.
"Dua minggu tu. Apa nanti kata emak dan abah? Kata saudara-mara? Paling penting, apa kata pihak lelaki yang sudah membuat persiapan semua tu? Kak Wa tak kesian ke dekat keluarga kita? Keluarga bakal suami Kak Wa tu? Majlis nikah tu tinggal beberapa hari lagi, Kak Wa!"
"Kak Wa tahu tu, Iman. Itu yang Kak Wa pening sekarang ni. Pertama kali jatuh cinta takkan Kak Wa nak melupakannya? Kak Wa tak pernah rasa macam ni. Kak Wa tak ada hati nak kahwin dengan lelaki bernama Ammar Hafiz tu. Kak Wa..." Dia sudah menunduk dan menangis perlahan. Muka ditutup dengan tangan.
Iman Suffiyah sudah terdiam. Mata saja merenung wajah si kakak yang sudah buat drama air mata. Kepala digaru-garu perlahan. Ah, serabut sungguhlah!
"Iman nak akak lupakan Faiz Hamdan itu. Kak Wa kena fokus pada majlis nikah Kak Wa nanti. Kak Wa jangan buat benda yang bukan-bukan, boleh tak?" pujuk Iman Suffiyah. Tangan si kakak digenggam kuat. Tapi si kakak dah merengus dan menarik tangannya kembali.
"Kau tak faham, Iman. Kau tak tahu apa yang akak rasa. Kekayaan sudah tidak penting bila rasa cinta tu sudah diletakkan di tangga paling atas sekali," ucap Najwa perlahan sambil mengesat air mata.
Iman Suffiyah mengeluh perlahan. Dia terkejut bila tangan kekar itu menarik pinggangnya semakin rapat. Jauhnya dia mengelamun. Matanya tunduk merenung tangan yang melekap di pinggangnya. Mungkin suaminya merasa sejuk agaknya. Selimut yang terselak sedikit ditarik menutupi tubuh Ammar. Dia berbaring semula dan muka menghadap wajah yang sedang lena itu. Kedua-dua tapak tangan diletak di bawah pipinya.
Boleh ke dia jatuh cinta pada suami sendiri? Mata Iman Suffiyah meneliti wajah kacak itu lagi. Siapa awak, Ammar Hafiz? Bagaimana hidup awak sebelum ni?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro