Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

Mata Aida dan Mila masih tak berkelip pandang dia sejak tadi. Iman Suffiyah sudah ketawa geli hati melihat aksi dua orang kawannya itu.

"Kenapa? Kau orang tak percaya ke aku dah kahwin?" tanya Iman Suffiyah. Kedua-duanya menggeleng perlahan. Iman Suffiyah segera menunjukkan cincin perkahwinannya sambil bibir mengukir senyum.

"Aku rasa dia memang dah kahwinlah, Mila. Member kita ni mana suka pakai barang kemas. Lagi-lagi berlian macam ni. Wah, nampak mahal cincin kahwin kau ni, Iman!" ucap Aida seraya meraih tangan Iman Suffiyah dan menilik cincin itu. Berkilau depan matanya.

"Macam mana kau kenal mamat yang dah jadi laki kau tu, Iman? Sampai hati tak cakap dengan kita orang. Selama ni kau dah ada BF tak cakap dengan kita orang, ya?" Mila sudah baling bantal kusyen ke muka Iman Suffiyah. Nasib baik tangan Iman sempat menyambutnya.

"Aku mana ada BF. Suami aku tu bukan BF aku. Aida, kan aku ada cerita kat kau pasal Kak Najwa bertunang dengan lelaki yang dia tak pernah jumpa tu..."

"Okey... Habis tu apa kena-mengena dengan kau?" tanya Aida masih blur.

"Dia dah jadi suami aku sekarang. Bukan suami Kak Najwa. Kak Najwa tak nak kahwin dengan dia sebab kakak aku tu dah jumpa lelaki lain. Jadi masa hari nak nikah tu, Kak Najwa cakap dia tak mahu berkahwin dengan tunangnya dan aku jadi pengganti Kak Najwa," cerita Iman Suffiyah serba ringkas. Kedua-dua kepala kawannya mengangguk dan buat mulut O.

"Tak handsome kut!" sampuk Mila pula.

"Itu yang kakak kau tak nak tu!" sambungnya dengan muka bersungguh. Kalaulah Mila tengok muka Ammar tu nanti...

Iman Suffiyah dan Aida saling berpandangan. Aida sudah tersenyum dan berdiri. Kemudian tubuh Iman Suffiyah dipeluk erat.

"Tahniah, Iman. Semoga kau berbahagia dan menjadi isteri yang disayangi suami," ucap Aida, menepuk-nepuk belakang Iman Suffiyah.

"Aminnn... Terima kasih atas doa tu, Aida. Aku memang memerlukannya sekarang. Kebahagiaan itu. Aku harap ia akan kekal selamanya."

Iman Suffiyah tersenyum.

"Harap suami kau tu tak macam bekas suami Aida ni. Suka main luar!" Suara Mila yang nyaring dari arah dapur itu buat dahi Iman berkerut. Aida tersenyum hambar memandang Iman.

"Kau jangan dengar cakap Mila tu. Dia tu mengong sikit," ucap Aida perlahan.

Iman diam juga. Dalam hati mula berkata, bagaimana kalau Ammar buat begitu pada dia? Sekarang ni pun bekas teman wanitanya itu asyik melekat bagai tak nak melepaskan Ammar...

"Iman." Panggilan Aida buat matanya memandang kawannya itu.

"Jangan fikir yang bukan-bukan, ya? Tak semua lelaki macam tu. Mungkin suami kau tak akan buat kau macam Si Adi buat aku."

"Sorry, Aida. Mulut aku." Mila sudah tepuk-tepuk mulut sendiri.

"Minumlah, Iman. Memandangkan kau dah tak tinggal kat sini lagi, jadi kau adalah tetamu kita orang. Banyak ke barang-barang kau nak bawa?"

"Aku bawa sikit dulu kut. Kejap lagi suami aku datang. Aku dah kemas mana yang perlu aje macam buku-buku aku tu..." kata Iman seraya mengambil gelas berisi air oren itu dan diteguk perlahan.

"Nanti kalau ada masa datanglah sini, Iman. Manalah tahu kau rindu kat kita orang ke? Pintu rumah aku ni sentiasa terbuka untuk kau," kata Aida lagi sambil tersenyum.

Iman mengangguk. Mana mungkin dia melupakan sahabat sejatinya. Mereka berdua inilah kawan dia susah senang masa berada jauh daripada keluarga. Kak Najwa yang duduk kat KL ni pun jarang nak datang jenguk dia dulu.

Telefon bimbit Iman tiba-tiba bergetar. Telefon dikeluarkan. Nama Ammar tertera di skrin. Segera dia menjawab.

"Assalamualaikum, Encik Ammar."

Mata Aida dan Mila dah terbeliak sedikit. Iman tarik sengih.

"Apa pasal dia panggil laki dia encik?" tanya Mila, perlahan pada Aida. Aida sudah ketawa sambil tekup mulut. Bahu dah bergegar sedikit. Iman... Iman...

"Kat mana rumah kawannya? Abang on the way ni..." Suara Ammar kedengaran kuat sedikit di hujung talian.

"No 20, Jalan Maluri. Encik masuk aje lorong nombor 34 tu. Saya tunggu depan pagar. Nanti encik nampak saya..." kata Iman lagi, menjeling kawan-kawannya yang sudah menyengih saja itu.

"Apa pasal kau panggil dia encik? Dia kan suami kau, Iman?" Mila dah pandang dia kehairanan. Iman tersenyum lebar.

"Kita orang baru kenal. Aku tak biasa nak panggil dia abang lagi. Dia pun macam tak kesah aje aku panggil dia encik..."

"Baru kenal? Eh, kau dengan dia tak ehem-ehem lagi ke?" tanya Mila yang mulut memang tak pandai nak cover itu. Aida sudah menyiku rusuknya.

"Weh, agak-agaklah nak tanya. Personal tu!" Aida sudah berkerut muka pada Mila. Mila tersengih. Iman sudah ketap bibir sambil menjeling tajam pada Mila.

Bunyi hon kereta buatkan ketiga-tiganya memandang ke pintu luar. Aida dan Mila segera bangun dan menerpa ke pintu. Masing-masing nak tengok bagaimana agaknya wajah suami Iman Suffiyah yang kena tolak dengan si kakak.

Ammar membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Kepala menjengah dari pintu pagar itu. Mana Iman? Tengok alamat yang diberi memang betul.

"Wah, Iman. Itu laki kau ke?" tanya Mila, memandang Iman yang sudah mengangkat beg-beg barangnya. Iman mengangguk dan tersenyum melihat Mila yang sudah tak berkelip pandang Encik Ammar Hafiz bin Datuk Azhari itu.

"Ruginya kakak kau, Iman! Kalau bagi kat aku pun aku hendak." Mila sudah ketawa. Aida pula hanya menggeleng mendengar kata-kata Mila itu.

Iman mendekati pintu dan ternampak Ammar sudah tercegat di hadapan pintu pagar. Encik suami kelihatan santai saja tanpa baju kot dan tali lehernya. Hanya berkemeja biru gelap yang lengannya sudah berlipat hingga ke siku.

"Encik Ammar, sekejap!" panggil Iman agak kuat sedikit. Kemudian masuk ke dalam semula mengambil semua barang-barang yang sudah disimpan di dalam kotak.

Aida segera keluar dan membukakan pintu pagar untuk Ammar. Ammar mengangguk bagai memberi salam.

"Jemput masuk, Encik Ammar. Kesian Iman angkat barang-barang dia tu sorang-sorang," katanya lagi, seraya melangkah ke rumah semula.

"Ya, terima kasih," ucap Ammar, tersenyum.

Ammar hanya berdiri di muka pintu saja. Tangan segera menyambut barang-barang Iman dan membawanya ke kereta.

Usai meletakkan semua barang-barang Iman, mereka meninggalkan kawasan perumahan itu.

"Iman dah makan?" tanya Ammar, memandang Iman sekilas. Rindu pula hatinya nak melihat wajah cik isteri. Baru beberapa jam kut tak jumpa.

"Belum. Encik Ammar?" tanya Iman Suffiyah pula.

"Belum lagi. Kita beli somethinglah. Then bawa balik rumah kita. Okey?" Ammar menoleh sekilas lagi pada Iman. Bibir tersenyum memanjang. Rasa penat terus hilang entah ke mana bila dah nampak wajah Iman Suffiyah.

Iman mengangguk saja. Kereta Ammar berhenti di hadapan sebuah restoran. Kemudian tanpa bertanya apa Iman nak makan, Ammar keluar dan melangkah masuk ke dalam restoran tersebut.

Iman hanya memerhatikan langkah Ammar itu. Entahlah. Rasa macam mimpi pula yang dia kini sudah bersuami. Dalam hati tak tahu apa yang dia rasa kepada lelaki itu. Boleh ke dia jatuh cinta pada suami sendiri? Kalau cinta tu tak ada, macam mana? Iman pun tak mampu nak jawab. Nafasnya dihela perlahan.

Ammar kembali semula bersama beg plastik berisi bungkusan makanan. Pintu kereta dibuka dan beg plastik itu diserahkan kepada Iman.

"Jom balik rumah kita!" kata Ammar dengan wajah ceria. Kembang kuncup hatinya bila mengingatkan rumahnya itu akan dihuni oleh seorang perempuan yang bernama isteri.

Bila pintu kondo dibuka saja, Ammar segera memetik suis lampu. Semerta ruang tamu itu terang-benderang. Mulut Iman sudah terlopong. Cantik? Memang cantik. Tapi bukan itu yang buat dia terlopong. Mata segera menoleh pada Ammar yang sudah menyeringai.

"Sorry, berselerak sikit." Itu saja yang mampu Ammar katakan pada Iman Suffiyah. Mata cik isteri sudah tak berkelip melihat surat khabar yang berselerak di atas lantai serta buku-buku entah apa-apa. Cawan serta muk di atas meja kopi yang tak bercuci dan baju serta tuala tersangkut di atas kepala kusyen.

"Kelam-kabut sebab nak kahwin." Ammar sudah ketawa perlahan. Muka dah nampak serba tak kena bila mata Iman tak berkelip pandang dia. Dia berdehem dan cepat-cepat mengutip baju-bajunya yang berselerak depan ruang tamu itu.

Iman membantu Ammar menyusun surat khabar dan majalah yang bersepah atas karpet.

"Now, dah ada isteri ni bolehlah tolong saya jaga rumah. Tolong kemas." Ammar menjeling Iman sambil tersenyum simpul.

"Saya bukan bibik," selamba Iman membalas. Ammar sudah ketawa kuat.

"Abang pun tak nak Iman jadi bibik. Iman akan jadi suri dalam rumah ni. Iman nak buat apa, terpulang. Abang tak kesah sebab rumah ni pun dah jadi rumah Iman juga."

Iman diam, tak bersuara lagi. Kaki kemudian diatur ke dapur. Bungkusan makanan dikeluarkan dan dua biji pinggan makan diambil dari rak di tepi singki. Iman menghela nafas bila melihat dalam singki juga penuh dengan pinggan dan muk tak berbasuh.

Segera dia menghidangkan makan malam mereka berdua di meja makan. Ammar sudah menghilang ke dalam bilik. Bilik yang mana satu pun Iman tak tahu. Kemudian tangan segera mencuci pinggan dan muk kotor itu. Entah dah berapa hari tak bercuci. Iman sudah menggeleng perlahan.

"Iman!" panggil Ammar dari arah pintu dapur. Tertoleh Iman ke belakang dan terpandangkan Ammar sudah mandi dan berbaju T serta berkain pelekat. Siap bersongkok di kepala juga.

"Tinggalkan. Jom solat dulu!" ajak Ammar, kemudian berlalu keluar dari ruang dapur itu. Cepat-cepat Iman mencuci tangan dan lap tangan dengan baju saja.

Kepala menjengah ke sana sini mencari salah satu bilik Ammar. Dalam kondo ni ada tiga bilik. Ruang tamu yang luas sebab tak banyak perkakas. Hanya ada set TV dan kusyen panjang serta sebuah meja kopi kaca yang beralaskan karpet berwarna biru tua. Ruang dapur juga selesa, tak sempit.

"Iman, sini!" panggil Ammar bila melihat Iman hampir terlajak mahu ke bilik tamu. Hai, salah dia juga tak tunjukkan bilik dia pada Iman.

Iman mendekati Ammar yang sudah masuk semula ke dalam bilik. Kepala dijengukkan sedikit ke dalam. Besar dan luas juga bilik Encik Ammar ini.

"Masuk, sayang. Don't be shy." Tangan Ammar sudah menggamitnya. Teragak-agak Iman melangkah masuk dan terpegun sedikit dengan ruang menonton TV yang nampak gah itu.

"Kalau Iman nak mandi, situ bilik air. Lepas makan nanti Iman boleh kemaskan baju-baju Iman. Letak dalam almari tu. Buku-buku tu Iman boleh pilih bilik kat luar sana. Iman boleh susun buku kat situ. Kat bilik belah kanan tu ada rak buku abang," kata Ammar dengan panjang lebar lagi.

Terkebil-kebil mata bundar itu memandangnya, bagai memberi arahan. Nasib baiklah dah ambil wuduk. Kalau tidak, mahu saja dia peluk cik isterinya itu.

"Besok, dalam tengah hari abang balik. Kita beli barang dapur ya, Iman? Kat dalam peti ais tu dah tak ada benda nak masak. Maklumlah dulu orang bujang. Sekarang dah ada orang rumah ni, bolehlah masakkan untuk abang. Abang jenis suka makan kat rumah. Iman boleh masakkan untuk abang?" tanya Ammar, tersengih.

Iman sudah terkulat-kulat memandangnya. Hati sudah ketawa dulu melihat muka isterinya yang nampak cuak saja itu.

"Dah, dah. Jangan buat muka macam tu. Cepat mandi dan ambil wuduk. Lepas tu kita solat isyak," gesa Ammar yang segera mencari sejadah dan membentangnya di atas lantai.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro