Bab 2
SEMASA dia tiba di muka pintu lobi, Maybach hitam itu menjalar masuk. Dia melangkah ke depan. Membuka pintu bila kereta itu berhenti sepenuhnya.
"Encik Hafiz kata tuan nak balik rumah?" soal Zul.
"Hurm. Bawa aku balik dulu. Aku rehat sekejap dan lepas tu kita datang balik..." ujarnya seraya memejamkan mata yang mula memberat.
"Ya, tuan," balas Zul lalu menekan pedal minyak.
Kereta mewah itu perlahan-lahan bergerak meninggalkan kawasan hospital. Kelopak matanya terus memberat. Buya meraup wajah. Yang bermain dalam mindanya adalah kekesalan kerana bersuara keras berbicara dengan daddy. Tapi, dia benar-benar marah.
Dia akan meminta ampun daripada daddy sekejap lagi.
Kelopak mata kian memberat. Entah bila dia mula hanyut dalam lena sendiri. Dia hanya sedar bila suara Zul menusuk tajam ke gegendang telinga. Buya menenyeh mata. Menegakkan leher.
"Sampai dah?" Dia sudah bersedia untuk turun bila dilihat, mereka masih di jalanan dan Zul sedang memandu dalam keadaan cemas bersama lampu kecemasan yang dinyalakan. Malah, di depan mereka ada seorang polis trafik yang membuka laluan.
"Kenapa ni, Zul?" soalnya cemas. Rasa lelahnya langsung hilang.
"Encik Hafiz telefon. Datuk..."
Suara Zul tersekat di situ. Tak tahu apa keadaan semasa Datuk Bakri saat ini.
"Encik Hafiz telefon tuan tapi tak dapat." Buya tarik telefon dari poket. Ya, mati.
"Kenapa dengan daddy?"
"Tak tahu, tuan. Encik Hafiz yang minta saya patah balik. Tadi, dah sampai depan rumah. Jalan sesak waktu puncak sebab tu lambat. Encik Hafiz kata dia ada minta bantuan polis untuk clearkan laluan..." cerita Zul, gugup.
Tuhan... Buya raup wajah. Saat ini, bicaranya kali terakhir dengan daddy berlegar di dalam kepala. Betapa biadabnya dia. Melangkah begitu sahaja tanpa dihiraukan panggilan daddy. Langsung tidak menoleh.
Tuhan... Jangan... Suara hatinya mati. Entah apa yang mahu dimohon. Apakah disembuhkan daddy atau kesempatan untuk dia memohon keampunan kerana dia sedang dapat rasakan sesuatu.
"Daddy aku, Zair..."
"Sabar, Buya. Tak ada apa tu. Jangan risau sangat," pujuk Huzair cuba menutup resah sendiri.
Tak lama setelah itu, mereka tiba di lobi hospital. Tak menanti kereta berhenti sepenuhnya, Buya terus sahaja melompat keluar. Berlari laju menuju ke bilik VVIP yang menempatkan daddy. Dia mahu merempuh pintu itu bila ditahan oleh dua orang jururawat.
"Tuan tak boleh masuk..."
"Bagi saya masuk," pintanya.
"Tak boleh, tuan. Doktor sedang..."
"That's my father. My father is battling with his last breath!" jeritnya.
Dua orang jururawat muda itu nampak terkedu. Mereka menjauh. Tak menanti, Buya menolak pintu untuk dia dengar mesin itu sedang mengeluarkan bunyi senada.
"Time of death..."
Sekujur tubuh sasanya menggigil. Hanya tiga patah itu sahaja yang menerjah pendengaran. Tiada lagi perkataan yang masuk setelah itu. Pendengarannya berdengung. Dia bagai ditampar kuat oleh seseorang. Tidak... Buya menggeleng sendiri. Dia sedang ditampar kuat oleh takdir.
Bagaimana hubungan yang sangat baik sejak sekian lama, diakhiri dengan bicara yang melukakan? Bagaimana dia sanggup melangkah tanpa menoleh lagi? Kenapa dia begitu tegar membelakangi lelaki yang amat dia sayang ini? Kenapa tidak dia peluk dan renung wajah tua itu semahunya?
Dia tidak tahu yang itu adalah pertemuan terakhir mereka.
Dia tak sangka, itu adalah kali terakhir untuk telinganya mendengar tawa daddy. Bicaranya juga.
Dia tak duga semua itu.
Bicara daddy mengaum di dalam kepala. Tiada siapa tahu apa yang bakal terjadi walau hanya sesaat kemudian. Ya, dia tak tahu. Andai dia tahu, dia akan ada di sini. Setia menemani daddy. Dia tak patut pergi. Dia patut dengar nasihat Uncle Hafiz.
Tapi, dia membiarkan marahnya menguasai diri. Dia membentak daddy buat pertama kali. Dia berpaling dari wajah daddy dan pergi. Buat pertama kali yang tiada siapa sangka, telah menjadi kali terakhir juga.
Buya jatuh melutut di situ. Melihat sekujur tubuh yang telah ditutup litup dengan selimut hospital. Air matanya jatuh tanpa dia sedar. Tanpa tangis. Buat seketika, dia terus melutut di sisi katil itu sehinggalah ada tangan yang menyapa bahunya.
"Bangun dulu," arah Hafiz.
Buya tetap keraskan badan. Hafiz mencangkung di depan anak muda yang nampak begitu lemah saat ini.
"Uncle tahu ayat terakhir saya apa pada daddy?" soal Buya dengan air mata berjuraian di pipi.
"Buya..."
"Saya cakap saya tak nak dengar apa dia nak cakap," cantas Buya, memberikan jawapan.
"Uncle tahu tak, saya tak menoleh bila daddy panggil saya. Saya tak sangka itu kali terakhir dia panggil saya, uncle..." luahnya penuh emosi yang sarat.
"Buya..."
"Uncle, saya..." Dia dah tak mampu bersuara. Hanya mengikut sahaja bila Uncle Hafiz dan Zul mengangkat tubuhnya untuk berdiri.
Kemudian dia dibawa rapat ke sisi katil. Tangannya menggeletar cuba menyelak selimut yang menutupi wajah daddy. Berharap semoga ini hanya satu mimpi. Berharap moga daddy masih menyambut kedatangannya dengan wajah manis walau nampak lelah.
Tapi, ini kenyataan. Yang perlu ditelan walaupun pahit. Yang perlu diterima walaupun tak terhadap. Lelaki yang amat disayangi, kini telah pergi selamanya. Meninggalkan bekas luka dalam hati angkara tajamnya bicara sendiri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro