Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 14

KERUTAN pada dahinya mula hilang. Sera faham akan makna kata-kata Bunyamin. Walau apa juga alasannya, dia akan menolak. Rasanya, dia dah mula cantumkan cebisan demi cebisan daripada cerita Buya dan juga mak su. Yang belum dia dapat jawapannya adalah kenapa mak su begitu membenci? Tentang itu, dia tak mahu ambil tahu. Jika mak su melarang, pasti ada sebab yang sangat munasabah dan dia tak akan ingkar kata-kata mak su.

Dia tak sambut bunga pemberian Buya. Sebagai maksud yang dia juga tak terima wasiat itu. Hingga tangan Buya jatuh di atas meja. Masih menggenggam bunga tersebut. Sera tak kesah. Dia hanya mahu akhiri segalanya dengan lelaki ini tanpa sebarang kebencian dan rasa tidak puas hati. Jauh sekali dendam. Dia mahu hidup yang tenang seperti sebelum kemunculan Bunyamin.

Sera capai setangkai bunga. Dia renung bunga dengan senyuman tipis.

"Awak tahu bunga apa ni?" soalnya tanpa memandang Buya.

"Lily, kan?"

Mata Sera mengerdip sekali. Tepat.

"Tahu apa nama saintifiknya?"

Bahu Buya terjongket kali ini. Dia tak tahu apa-apa tentang bunga malah semua itu tidak penting padanya. Bunga hanyalah sekadar bunga yang dicipta untuk menghiasi ruang dunia agar lebih indah pada pandangan mata.

"Lily putih. Zephyranthes candida. Berasal dari Afrika Selatan. Daripada jenis Amaryllidaceae. Ada sesetengah orang panggil bunga ni, bunga bawang. Ada juga yang panggil white lily rain. Ada yang panggil fairy lily. Tapi saya, panggil bunga ni lily putih. Saya lebih suka bunga ni daripada ros," akui Sera, sekali lagi jelas menolak pemberian Buya dalam diam.

Buya senyum sendiri. Cara Sera menolaknya begitu halus hingga tak terasa langsung. Sedar-sedar, hanya ada luka yang terbentuk.

"Rasanya semua perempuan suka ros merah..."

"Tak semua perempuan. Ada yang lebih suka bunga lain," balas Sera.

"Kenapa Cik Sera suka bunga tu?

"Bunga daripada jenis tumbuhan ni orang panggil rain lily sebab sifat bunga tu sendiri yang akan mengeluarkan banyak bunga selepas hujan. Dekat Malaysia ni kalau Encik Bunyamin nak tahu..."

"... ada dua jenis warna bunga yang biasa ditanam. Warna pink dan putih. Bunga ni adalah sejenis tumbuhan bebawang dan membiak melalui bawang. Selalunya lily ni akan dijadikan tumbuhan tutup bumi. Tambah pula, nak jaga dia tak susah mana. Kalau kurang air, daunnya layu, lepas tu mati. Tapi, bawangnya masih boleh bertahan dan akan bercambah semula lepas dah dapat air yang cukup," cerita Sera lembut dan perlahan.

Kelopak lily yang putih bersih itu disentuh lembut. Kemudian, dia pandang pada Buya yang terpinga-pinga. Sera sengih. Mungkin Buya tak tahu yang dia sedang menyambung pengajian di peringkat master untuk bidang landskap. Jadi, banyak yang perlu dia tahu tentang bunga dan tumbuhan.

Sera mahu menyambung bicara bila ada beberapa orang pelanggan masuk. Membuat pesanan untuk beberapa majlis. Buya hanya merenung cara Sera melayan pelanggan. Bicara wanita itu sangat lunak didengar. Tak lama, Sera kembali ke tempat duduk tadi. Berdepan dengannya.

"Saya tak tahu tentang bunga. Saya belajar undang-undang business. Yang saya tahu, macam mana nak membawa keuntungan. Tapi, saya tak senaif itu untuk faham maksud Cik Sera..." ujar Bunyamin.

"Apa yang Encik Bunyamin faham?" soal Sera, tenang. Dia tidak lagi takut pada lelaki ini. Rasa itu sudah pergi tanpa dia sedar.

Buya hari ini dengan Buya yang menyerangnya tempoh hari, bezanya seperti langit dan bumi. Mata mereka saling bersabung. Lama. Sera tenang menanti Buya menyambung bicara.

"Cik Sera memang tak nak semua tu, betul?"

"Hurm... Saya dah cakap beberapa kali. Jangan kita saling terikat sebab wasiat tu. Saya akan baik-baik aje dengan cara hidup saya. Encik Bunyamin, tak perlu peduli."

Bagaimana untuk dia katakan pada Buya yang mak su tak sukakan keluarga arwah Uncle Bakri? Sedangkan dia, sehingga kini, tiada pun rasa benci. Hanya mahu menghormati permintaan mak su sahaja.

"Cik Sera memang tak suka saya, kan?"

"Saya tak boleh cakap saya tak suka, tapi saya tak benci. Benda ni tak complicated pun. Kita sama-sama teruskan hidup kita sepertimana sebelum ini. Tak membenci, itu dah cukup pada saya, Encik Bunyamin..." jelas Sera, lembut. Berharap Buya faham.

"Kiranya, betullah Cik Sera tak suka saya?" Buya sunggingkan senyuman sinis.

Namun, yang menjawabnya bukan suara halus Sera melainkan suara nyaring seorang wanita yang muncul di dalam kedai itu secara tiba-tiba.

"Aku yang tak suka!" Sairah muncul dengan wajah merah padam. Pada mulanya, dia sangka itu ialah pelanggan Sera namun bila direnung, dia cam wajah itu. Wajah yang saling tak tumpah dengan lelaki kejam itu pada saat mereka masih muda.

Sera Nur angkat tubuh. Terkejut. Sedangkan dia telah berjanji dengan mak su untuk tidak bertemu lagi dengan Buya. Tapi, ini juga bukan kehendaknya. Lelaki ini tiba-tiba sahaja muncul.

"Sera jumpa dia lagi. Kan mak su dah pesan..."

"Tak, mak su. Dia..."

"Saya yang datang tiba-tiba," ujar Buya belum pun sempat Sera menafikan.

Sebahagian hati Sera berasa sangat lega dengan pengakuan Buya.

"Kalau macam tu, semua dah selesai?"

"Dah, mak su. Dah selesai. Dia dah nak pergi..." Sera memandang Buya, menghantar isyarat agar lelaki itu berlalu dengan segera.

Tolong... Pinta Sera tanpa suara.

Buya akur. Dia capai bunga ros yang tidak disambut oleh Sera. Dan melangkah ke pintu. Seketika, dia sempat berhenti bila melihat Sera mahu katakan sesuatu.

"Jangan datang lagi. Selamanya..." bisik Sera dan berpaling tanpa menoleh walau seinci biarpun dia tahu Buya sedang pegun berdiri di depan pintu kedainya buat beberapa ketika.

Dan Buya tahu... Halangan untuk permainan ini sukar diatasi namun tidaklah mustahil. Dia pandang ros di tangan dan dia akan pastikan Sera terima pemberian ini dengan rela hati tanpa dipaksa.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro