
Bab 10
SUSAHNYA untuk dia lelapkan mata bila teringatkan kata-kata akhir Sera tadi. Apatah lagi bila melihatkan kemesraan lelaki muda itu dengan Sera. Rasanya, lelaki tadi tu hampir sebaya dia. Entahlah. Yang dia tahu, usia Sera yang beza lima tahun daripada dia. Lebih muda. Benarkah gadis itu isteri arwah daddy? Ibu tirinya? Walau berkali-kali Sera Nur menidakkan, dia susah untuk percaya.
Jika benar Sera Nur ialah isteri daddy, takkan semudah itu Sera nafikan dan berlalu pergi? Walau dia nampak kesayuan dalam mata Sera bila mendapat berita kematian daddy, tapi Sera juga kelihatan tenang. Sementelah dengan lelaki itu tadi, dia tak percaya juga mereka hanya kawan biasa. Renungan lelaki itu pada Sera adalah renungan yang penuh perasaan sayang.
Benarkah daddy hanya sebagai alat untuk wanita itu mendapatkan harta? Dan akhirnya Sera pergi dengan kekasih hati? Andai Sera tahu betapa kasihnya daddy hingga segala harta ini diserahkan pada wanita itu, macam mana gamaknya penerimaan Sera?
Bangga?
Puas hati?
Terkejut?
Tapi tidakkah Sera jelas mahu menolak segalanya?
Buya raup wajah. Dia kian keliru dengan pelbagai tanggapan di dalam kepala yang kian meliar. Buya angkat tubuh sasanya menuju ke pintu. Sebaik sahaja daun pintu dikuak, wajah Huzair tersembul dengan tangan yang mahu mengetuk pintu biliknya.
"Eh, kau ni tiba-tiba muncul. Terkejut aku." Dahi Buya berkerut.
"Kata nak tidur. Kenapa kau datang?" soalnya, bersahaja.
"Aku datang dengan orang. Dan aku baru habiskan makanan kat dapur. Kata Mak Cik Piah, cik puan muda kita masak. Sedap dia masak," usik Huzair.
"Apa cik puan muda? Ini nampak?" Renungan mata kuyu Buya tajam sambil menunjukkan penumbuk.
"Alaaa... Aku gurau ajelah..." Huzair mencebik lebar.
"Tapi ni kenapa kau datang? Aku tak nak keluar. Kalau pasal kerja pun, aku tak nak bincang..."
"Bukanlah," nafi Huzair.
"Tuan peguam nak jumpa kau..."
"Uncle Hafiz kata nak datang esok..."
"Kau turunlah dulu."
Mereka melangkah bersama dan bila tiba di ruang tamu, tidak hanya ada Uncle Hafiz dan Balqish tapi wajah yang sangat-sangat dia nantikan.
Buya terus menerpa dan memeluk susuk tubuh seorang lagi sahabat baiknya. Seperti berpuluh-puluh tahun dia tidak temui sahabat yang seorang ini. Bila Lukman mendirikan rumah tangga pun, dia dan Huzair sedang menyelesaikan satu urusan kerja di luar negara.
Nafasnya berat. Seperti terlalu banyak yang mahu diluahkan tapi sepatah kata pun tidak terbit dari celah bibir. Merasakan beratnya dada Buya menghela nafas, Lukman usap belakang sahabat baiknya. Sahabat semasa mereka sama-sama menuntut pengajian undang-undang dan Buya akhirnya menyambung studi dalam bidang business untuk meneruskan legasi arwah Datuk Bakri.
"Sabar, Buya..." bisik Lukman, perlahan.
"Maaf sebab aku tak ada masa semua tu berlaku. Aku sampai KLIA kejap tadi terus ajak uncle ke sini," tambah Lukman kerana dia sendiri dah berada di Singapura hampir dua minggu atas urusan kerja.
Mendapat berita tentang kematian Datuk Bakri dari media sosial adalah sesuatu yang mengejutkan. Bila bapa saudaranya, Uncle Hafiz mengeyakan berita tersebut, dia hanya mampu kirimkan doa dari kejauhan kerana tuntutan kerja.
"Tak apalah. Asal kau datang?" Buya koyak senyuman tawar. Mengintai di belakang.
"Kau cari siapa?"
"Bini kau mana?"
"Kan aku cakap, aku baru sampai. Uncle dan Huzair jemput dekat KLIA dan terus aku ajak uncle datang sini. Bini aku pun aku tak jumpa lagi, dah hampir dua minggu tapi aku datang jumpa kau dulu. Betapa pentingnya kau pada aku..."
"Hurm... Aku terharu," balas Buya buat-buat monyok.
Lukman ketawa kecil dan sekali lagi memaut tubuh teman baiknya ke dalam pelukan.
"Aku tahu kau sedih. Tapi..." Dia lepaskan pelukan. Merenung wajah Buya. Nampak cengkung.
"Kesihatan kena jaga," pesannya lagi. Wajah Buya nampak pucat sedikit. Dengar kata, makan dan tidur semuanya tak menentu.
"Kau tu manusia biasa. Bukan alien. Tapi, kalau alien itu wujudlah. Kalau wujud, aku nak hantar kau balik planet asal kau. Sebab bumi ni agak kurang selesa untuk didiami. Cuaca makin tak menentu. Kejap panas, kejap hujan. Tiba-tiba banjir," gurau Lukman lagi.
"Eh, kau ni..." Pada mulanya Buya kerut dahi namun setelah itu tawa mereka bersabung.
Sebahagian hati merasa sangat lega dapat berbicara dengan Lukman. Salah seorang sahabat baik yang sejak sekian lama ada bersama. Anak saudara kepada Uncle Hafiz.
"Dah... Dapat tuan peguam dia, dia lupa dah partner in crime dia," ujar Huzair bersahaja.
Lukman menjeling sepupunya. Walau mereka bertiga rapat tapi Huzair lebih muda daripada mereka. Nampaklah tidak matang tu. Adakala lebih menyakitkan hati.
"Nah... Ambillah peluk. Aku dah ada bini untuk dipeluk. Bukan macam korang berdua," selarnya, bersahaja.
Huzair hanya sengih kerana dia tahu dia tak akan menang andai nak berdebat dengan peguam sehebat abang sepupunya ini. Aneh, dia tak pernah minat untuk menjadi peguam walau ayah memaksa. Akhirnya, bakat ayah tumpah pada anak saudara.
"Ni, Buya... Uncle kata ada benda kau nak bincang?" soal Lukman, perlahan. Saat itu, bapa saudaranya sedang berbual dengan Huzair.
"Hurm... Aku ada cakap dengan uncle nak tunggu dan bincang dengan kau. Tapi, nantilah. Yang aku tahu, bila kau muncul depan aku ni, aku rasa aku menang..."
Lukman kerut dahi. Tahu betapa mendalamnya ayat Buya tapi tak pasti apakah maksud di sebaliknya.
"Mari duduk," ajak Buya. Sesekali dia picit kepala. Tidaklah sakit tapi terasa berat. Terlalu banyak urusan yang perlu diselesaikan. Nak diharapkan pada Balqish, tiada apa yang Balqish tahu sementelah Balqish masih belum tamatkan pengajian.
"Kau betul ke sihat ni?" soal Lukman, risau.
"Aku okey. Berat kepala aje. Tak cukup tidur kut..." balas Buya dengan mata yang terpejam.
Tak lama, dia buka mata bila dirasakan seseorang labuhkan duduk di sisinya. Uncle Hafiz memandangnya penuh simpati.
"Uncle tahu dah malam. Tapi, alang-alang Luk ada sekali dan benda ni patut dah selesai, elok kita jangan lengahkan lagi memandangkan Balqish pun ada sama," ujar Uncle Hafiz. Memandang antara Buya, Lukman dan Balqish.
Buya tegakkan tubuh buat seketika sebelum dia condongkan sedikit tubuhnya ke depan. Menongkat siku di atas kedua-dua lutut. Menyulam jari-jemari. Menanti isu yang bakal dibangkitkan. Dan dia tahu... ia adalah kerana wasiat arwah daddy.
Sesekali dia kerling pada Balqish yang hanyut entah ke mana. Langsung tak memandang padanya. Entah mana Balqish pakukan anak mata. Adiknya ini tak okey. Dia tahu tu. Apatah lagi, Balqish sangat rapat dengan daddy dan sekarang daddy dah tak ada. Impaknya pasti besar buat Balqish.
"Qish kalau letih, pergi naik rehat. Biar abang aje bincang dengan uncle," tegur Buya.
Barulah Balqish menoleh. Matanya merah.
"Kalau macam tu, biar uncle mulakan. Nak ikutkan wasiat arwah Datuk, wasiat ini perlu dibaca sehari selepas kematiannya. Tapi, ada banyak benda berlaku, maka sedikit terlambat. Uncle tak boleh nak lengahkan lagi. Selagi uncle tak beritahu tentang wasiat ini secara rasmi, uncle masih tak jalankan amanah," ujar Uncle Hafiz lagi.
Balqish kerut dahi. Cuba fokus.
Buya hanya tenang kerana dia dah tahu sebahagian isi wasiat itu.
Lukman juga sama. Tenang dan pilih untuk mendengar.
"Seperti yang Buya sendiri dan Balqish tahu, 50 peratus tinggalan harta Datuk Bakri akan diserahkan kepada Cik Sera Nur binti Shahran. 10 peratus adalah milik Balqish, 20 peratus milik Bunyamin dan 20 peratus lagi akan dimasukkan ke dalam Yayasan Bakri bagi tujuan amal."
Buya kebam bibir. Mendengarkan wasiat itu dibaca secara rasminya. Walau tanpa Sera Nur. Sesekali dia kerling Balqish yang nampak bingung dengan nama itu. Semasa Sera ke rumah mereka siang tadi, Balqish tiada di rumah.
"Nak kira, Cik Sera Nur patut tahu dan patut ada bersama tapi memandangkan banyak sangat halangan, uncle akan pergi jumpa dia esok untuk sampaikan tentang wasiat ini."
"Bermakna Cik Sera berhak sepenuhnya untuk gantikan tempat daddy?"
"Ya, betul. Tapi, terserah kepada Cik Sera Nur. Keputusannya akan tentukan siapa yang bakal terajui Bakri Corporation dan Yayasan Bakri," jawab Uncle Hafiz, tenang.
Tak sedar, Buya lepaskan keluhan berat.
"Untuk Cik Sera, uncle akan jumpa dia esok..."
"Boleh ke saya aje sampaikan pada dia wasiat arwah daddy?" usul Buya.
Hafiz berkerut dahi. Seperti tidak yakin tapi bila Buya terus merenung dengan penuh harapan, dia angguk akhirnya. Apatah lagi bila Lukman mengerdipkan mata sekali, memberi isyarat akan ada bersama Buya.
Sungguh... Lukman sendiri sedang tertanya-tanya dengan apa yang dibacakan. Uncle Hafiz telah menjadi peguam keluarga ini sejak sekian lama. Dia tahu bapa saudaranya sangat menjaga amanah. Kerana itu tiada sepatah soalan yang diajukan. Sudah tentu tiada jawapan.
Cumanya, nama Sera Nur itu menimbulkan rasa ingin tahu yang meluap-luap.
"Saya pergi jumpa dia nanti," ujar Buya lagi.
"Tapi sebelum tu, boleh ke uncle beritahu saya, apa hubungan dia dengan arwah daddy? Kenapa daddy tinggalkan wasiat macam ni? Dia anak daddy ke? Yang saya tak pernah tahu? Mustahil untuk daddy berikan separuh hartanya pada orang luar sedangkan kami anak-anak ni dapat sikit," soal Buya.
"Uncle kenal saya. Saya tak pernah pelahap pada harta daddy. Sejak dulu. Saya cuba bina syarikat saya sendiri. Saya hanya tolong daddy. Tapi, bila tahu yang wujud orang luar yang tiada kaitan darah, saya jadi tertanya-tanya. Apa hubungan daddy? Istimewa sangat ke perempuan tu pada daddy sampai ketepikan anak-anak sendiri?" Dia raup wajah sebaik sahaja menamatkan bicara.
Kecewa? Ya. Sangat kecewa. Apatah lagi melihatkan Balqish yang termangu-mangu. Kebingungan.
"Tentang apa hubungan arwah Datuk dengan Cik Sera Nur, uncle tak boleh nak beritahu. Ini amanah Datuk. Buya perlu cari jawapan sendiri tentang tu..."
"Baiklah, uncle. Saya faham dan saya tak akan desak uncle."
"Kalau macam tu, Buya boleh pergi jumpa Cik Sera Nur esok?"
"Tentang ni, boleh ke saya minta masa sikit? Saya akan beritahu semua ni pada dia tapi saya perlukan masa. Sehari dua aje," rayu Buya.
Tidak dapat tidak, Hafiz terpaksa bersetuju. Malah, dia percaya yang Lukman akan lebih bijak menasihati Buya. Tidak hanya sebagai seorang peguam tapi paling penting sebagai seorang kawan.
"Kalau macam tu, uncle balik dulu..." Hafiz bangkit. Berlalu ke pintu.
"Aku balik dulu, Buya. Esok pagi aku datang untuk bincang tentang ni. Paling penting sekarang, kau kena tidur dulu. Rehat." Lukman juga berlalu mengekori langkah bapa saudaranya seusai mengusap bahu Buya.
Suasana ruang tamu rumah besar itu sepi. Buya masih begitu. Balqish juga sama.
"Mana datang Sera Nur ni, abang? Qish tak pernah dengar pun daddy sebut nama dia?" soal Balqish, ingin tahu.
"Maaf, Qish. Abang pun tak ada jawapan. Qish sendiri dengar yang uncle tak akan cakap apa hubungan dia dengan arwah daddy. Benda yang dah jadi, abang tak boleh ubah. Tapi, Qish okey ke dengan wasiat ni? Bila semua selesai, abang akan minta Uncle Hafiz tukar nama saham abang pada Qish," ujar Buya, separuh memujuk.
"Qish tak nak. Qish cuma sedih. Kenapa mesti ada orang luar tiba-tiba? Yang kita tak tahu asal usulnya tapi tiba-tiba ada nama dalam wasiat arwah daddy?" Mata Balqish nampak basah.
Buya bangkit. Mendekati adiknya dan ditepuk bahu itu perlahan.
"Yang tu, biar abang selesaikan. Qish habiskan belajar. Lain-lain tak perlu fikir. Qish jangan risau sebab abang tak akan abaikan Qish walau apa pun jadi," janjinya.
"Betul abang tak akan tinggalkan Qish?" Balqish angkat wajah. Air matanya meleleh.
"Qish satu-satunya adik abang. Abang akan jaga Qish sampailah hari di mana ada lelaki yang abang percaya untuk jaga Qish lebih baik daripada abang jaga. Masa tu, abang lepaskan..."
Senyuman koyak pada bibir Buya tapi Balqish hanya tunduk, menggigit bibir bawah.
Sebu. Dia tak suka bila soal jodohnya diungkit.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro