Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

BUAT sesetengah manusia, dunia ini sudah tidak lagi indah dipandang. Dicemari oleh ketamakan hati dan kejahilan yang ada dalam diri, menjadikan yang baik itu terus disakiti tanpa silap. Namun, pesan si bijaksana, dunia adalah bagaimana cara kita memandangnya. Sama ada untuk dipandang menggunakan mata lalat atau mata lebah; segalanya bergantung pada diri sendiri kerana setiap cara manusia memandang itu sangat berbeza.

Dan dia tertanya-tanya, masih adakah keindahan untuk mata manusia sepertinya? Masih mampukah untuk matanya memandang seperti mata lebah? Yang hanya melihat kemanisan dan pastinya keindahan?

Dia tidak tahu.

Sebaik sahaja melangkah keluar dari balai ketibaan, matanya tertancap pada kawan baik daddy, Uncle Hafiz. Di sebelah lelaki itu ada Zul. Driver daddy. Wajah masing-masing jelas sugul. Kaki makin laju diatur dan sebaik sahaja tangan berjabat, tubuhnya dipaut kemas oleh Uncle Hafiz.

"Apa dah jadi sebenarnya, uncle?" Resahnya, tak mampu dia usulkan dengan kata-kata. Dua puluh empat jam, termasuk transit di Dubai... dia resah. Usah kata makan, setitis air juga tidak melalui rengkung.

"Kita pergi tengok Datuk dulu. Datuk memang tunggu Buya sampai." Beg galas di bahu Buya dicapai. Dihulur pada Zul. Lantas mereka segera berlalu ke pintu keluar di mana sebuah Maybach hitam sedang menanti.

Buya masuk di tempat duduk belakang bersama Uncle Hafiz. Sahabat baiknya, Huzair masuk ke tempat duduk penumpang di depan. Dah hampir sebulan mereka bersama-sama menjalankan tugas di luar negara sebelum menerima berita mengejutkan ini.

"Kerja kami kat sana tak settle lagi, ayah," beritahu Huzair pada ayahnya, Hafiz. Ayahnya sejak sekian lama menjadi peguam kepada Datuk Bakri dan dia pula bersahabat baik dengan Buya sejak zaman remaja.

"Kerja boleh tangguh dulu," balas Hafiz tak senang dengan ayat anaknya.

Buya terus menyepi. Seperti kata Uncle Hafiz, dia sudah tidak kesah dengan segala urusan. Nak rugi, biarlah rugi. Yang penting sekarang ialah daddy. Hujung jarinya kian sejuk. Dia terus panasaran sendiri sepanjang penerbangan.

"Semua okey, kan uncle?" soal Buya. Dia sudah tidak dapat tutup keresahannya. Pertama kali Uncle Hafiz mendesak mereka untuk terus balik. Meninggalkan segala urusan kerja di sana.

Jujurnya dia lebih berharap Uncle Hafiz tak berikan balasan kerana memikirkan jawapan yang bakal diberikan itu, sekujur tubuhnya terasa seram sejuk. Bagaimana berita yang memaksa dia balik itu adalah daddy... Tak. Buya menidakkan. Semasa dia tinggalkan daddy bulan lepas untuk ke London atas urusan kerja, daddy masih sihat. Daddy masih melambai kepergiannya dengan wajah ceria. Daddy masih gagah berjalan.

"Datuk rebah..."

Dua patah jawapan itu, buatkan jari-jemari Buya menggigil.

"Daddy sakit?" soalnya lagi mencari jawapan seterusnya. Dia tahu, jawapan yang diberikan sekadar di permukaan. Yang tersimpan masih belum dizahirkan.

"Datuk memang ada masalah jantung," jawab Hafiz, jujur.

"Kenapa uncle tak pernah beritahu saya?" Sedaya upaya Buya masih cuba mengawal suaranya. Lelaki ini adalah orang kepercayaan daddy. Yang ada bersama daddy sebelum dia wujud di muka bumi. Yang menjadi saksi jatuh bangun daddy.

Lelaki ini sangat dia hormati.

"Maaf, uncle," pinta Buya, pantas.

Dia tahu silapnya kerana dia sendiri sudah arif tentang sikap Uncle Hafiz. Andai itu adalah amanah daddy, walau diacu belati, mustahil untuk Uncle Hafiz buka mulut. Dia tahu itu.

"Sekarang ni, daddy dah sedar ke?"

"Belum lagi, Buya." Dengan berat hati, Hafiz terpaksa berikan kenyataan.

"Tapi, doktor kata dah tak bahaya. Datuk dalam pemantauan rapi dua puluh empat jam. Buya jangan risau sangat, ya?" pujuk Hafiz. Bahu sasa Buya diusap mesra.

Mengenali Buya sejak kecil, dia tahu sikap sebenar anak muda ini. Walau kelihatan sangat tenang tetapi memiliki air wajah yang sukar diduga. Malah, Buya sentiasa hadapi apa juga masalah tanpa melatah walau sepatah. Tapi tidak pada hal berkaitan dengan keluarga dan darah daging sendiri. Anak muda ini boleh menjadi orang lain.

"Zul, kau boleh tekan minyak lagi tak? Laju lagi. Apa perlahan sangat kau bawa kereta ni? Terhegeh-hegeh. Kau tak tengok jalan lengang dekat depan tu? Atau kau berhenti aje tepi jalan, biar aku pandu," marah Buya tiba-tiba kepada pemandu Datuk Bakri.

"Tapi, tuan..."

"Tekan ajelah minyak tu," bisik Huzair seraya menyiku Zul bila pemuda itu seperti takut-takut nak menambah kelajuan kerana dah terbiasa dengan kelajuan selamat bila membawa Datuk Bakri.

"Ya, Encik Huzair..." Zul gagap. Kelajuan bertambah. Melihat riak wajah Buya dalam cermin pandang belakang itu sudah cukup buat dia gugup.

"Hati-hati, Zul," pesan Hafiz, persis memujuk.

"Ya, Encik Hafiz," balas Zul. Dia terus fokus pada pemanduan.

Buya terus dihurung resah. Memikirkan apa sahaja yang bakal berlaku pada daddy, duduknya jadi tak betah. Perjalanan dirasakan sangat panjang. Walau dia tahu kelajuan kereta sekarang sudah mencecah 160km/h, masih terasa sangat perlahan.

"Macam mana kalau jadi apa-apa pada daddy, uncle?" soalnya antara dengar dan tidak.

"Kita doakan semua akan pulih. Buya jangan risau sangat. Kalau Datuk tengok Buya macam ni, dia akan sedih..." Saat itu juga Hafiz menerima satu pesanan WhatsApp.

"Datuk dah sedar. Doktor Kamal baru WhatsApp uncle ni." Mesej itu ditunjukkan pada Buya.

Buya meraup wajah. Lega. Namun, tidak hatinya.

Perjalanan yang kebiasaannya mengambil masa satu jam, kini hanya dalam empat puluh minit sahaja mereka telah tiba di Hospital Colombia. Sebaik sahaja kereta berhenti di depan pintu lobi, Buya terus sahaja meluru keluar. Diikuti oleh Hafiz. Mereka terus menuju ke bilik yang menempatkan Datuk Bakri.

Pintu ditolak perlahan. Kala melihat wajah daddy yang tersenyum, Buya hampir longlai. Tak dapat dia bayangkan betapa leganya hati. Perlahan-lahan dia dekati daddy. Hanya mampu memandang. Tidak berani untuk dipegang memandangkan dia tidak membersihkan diri lebih daripada dua puluh empat jam.

"Balik dah anak bertuah daddy ni," ujar Bakri.

Buya tarik kerusi. Dilabuhkan duduk. Merenung mata tua itu dan mendengar suara daddy, seperti tiada apa yang terjadi. Tapi, riak wajah daddy tidak seperti biasa. Nampak pucat dan tak bermaya. Mata itu juga sudah kurang sinarnya.

"Kenapa daddy tak cakap?"

"Cakap apa?" Bakri buat-buat tak mengerti soalan itu dan bila anak terunanya meredupkan pandangan, memberi amaran, dia ketawa kecil.

"Tak ada apa. Tak serius pun. Tanya Kamal tu haaa... Semua elok aje. Biasalah dah usia macam ni. Sakit-sakit sikit," ujar Bakri.

Walaupun daddy jelas menafi, tak mudah untuk Buya percaya. Namun, andai itu jawapan daddy, dia tolak rasa risau itu menjauh dari fikiran buat masa ini.

"Daddy tahu kan... Buya benci rahsia. Buya pantang orang berahsia benda yang penting dan yang patut Buya tahu. Jadi, Buya harap, daddy tak simpan apa-apa rahsia daripada Buya sebab daddy sendiri selalu pesan, jangan berahsia," pesannya, memberi peringatan kerana daddy tahu pantang larangnya yang satu ini.

"Ya. Daddy kenal anak daddy. Daddy dah masak dengan perangai Buya. Jangan risaulah. Daddy tak simpan rahsia apa pun. Lagi satu, kamu ni dah tua bangka, orang duk kata nak berkepit aje dengan daddy. Kalau anak perempuan, tak apalah juga. Ini anak jantan. Sampai bila nak berkepit aje dengan daddy?"

"Pada Buya, daddy sentiasa yang terutama. Biarlah orang nak cakap apa. Itu bukan masalah Buya. Itu masalah dorang. Nak pandang sinis ke, serong ke, nak mengata ke... mulut dorang. Tak ada kaitan dengan Buya. Ini... yang ada depan Buya ni haaa... yang ada kaitan dengan Buya," balas Buya, tenang.

Jawapan yang diberikan mengundang tawa besar Bakri. Budak bertuah ni. Kalau orang lain, dah dewasa macam ni mulalah nak ada kehidupan sendiri. Anak lelakinya pula berbeza.

"Betullah tu. Temankan daddy selagi ada masa ni. Nanti kalau daddy dah tak ada, tak adalah rindu sangat..."

Ucapan itu mengundang kerutan pada dahi Buya. Dia tak suka dengan kata-kata daddy.

"Kalau jadi apa-apa pada daddy, daddy nak Buya tahu yang daddy selalu reda pada Buya. Buya dah jalankan tanggungjawab sebagai anak lelaki dengan baik. Tak pernah sekali membantah apa aje arahan daddy. Tak pernah merungut. Daddy bertuah dapat anak lelaki yang bertanggungjawab. Daddy harap, Buya terus jaga keluarga kita. Boleh jadi, apa yang bakal daddy tinggalkan, buat Buya marah, tapi daddy nak Buya terima dengan lapang dada..."

Sungguh... Buya makin resah dengan bicara ini. Dia tak suka.

"Buya tak suka apa yang daddy cakap ni. Jangan cakap pasal ni."

"Daddy kena cakap sekarang sebab kita tak tahu apa yang bakal jadi esok. Atau sesaat lepas ni. Daddy tak tahu. Buya tak tahu. Jadi, daddy nak luahkan terus apa yang daddy rasa. Daddy..."

"Cukup!" larang Buya bersama tubuh yang diangkat secara tiba-tiba hinggakan kerusi yang menampung tubuhnya terbalik. Membawa bunyi bising dan rasa terkejut pada semua yang ada di dalam bilik mewah itu.

Biarpun suaranya rendah tapi jelas menderam di dalam dada. Dia bangkit secara mengejut.

"Buya?" seru Bakri.

"Kan Buya cakap cukup. Jangan cakap langsung kalau daddy nak cakap yang bukan-bukan. Daddy cakap daddy sihat, tapi cakap bukan-bukan. Kalau daddy nak cakap macam ni, baik Buya balik rehat. Buya tak tidur dah lebih dua puluh empat jam. Mandi tidak, makan minum jauh sekali. Semata-mata berkejar balik untuk dengar daddy membebel yang bukan-bukan," ujar Buya dingin.

Bakri memandang Kamal, doktor peribadinya. Kemudian Hafiz, peguamnya. Mengisyaratkan mereka semua untuk keluar.

"Daddy cakap yang betul," ucap Bakri bila pintu dirapatkan.

"Siapa cakap daddy cakap yang tak betul?" bidas Buya pula.

"Tapi, itu merepek, tahu tak? Buya tak suka! Daddy sendiri cakap sejak dulu, Buya tak pernah bantah cakap daddy. Buya ikut dan Buya rela sebab Buya tahu itu semua untuk kebaikan Buya. Jadi, kali ni aje Buya minta daddy pula dengar cakap Buya. Jangan nak sembang yang bukan-bukan. Telinga Buya ni, tak selesa nak mendengarnya..." Dia tunjuk pada cuping telinga yang terasa hangat. Boleh jadi kerana rasa marah yang hadir tiba-tiba.

Bakri senyum. Tawar. Buya langsung tidak memandang padanya. Jelas marah. Dan ini adalah pertama kali.

"Buya kena teruskan business. Daddy tahu, Buya boleh sebab Buya sentiasa ada idea yang bagus. Tak pernah lagi orang cakap Buya naik sebab anak daddy melainkan Buya memang layak ada di tempat tu. Jaga kebajikan semua pekerja. Jaga Balqish..."

"Kalau daddy nak terus cakap macam ni, Buya tak nak dengar. Buya balik dululah. Daddy rehat. Nanti Buya datang balik, tidur sini..."

Hakikatnya dia sudah berpesan pada Zul untuk pulang dan membawa beberapa helai pakaian bersih untuknya. Tapi, mendengarkan bicara daddy, api marahnya tiba-tiba sahaja memercik.

"Buya..." seru Bakri.

"Buya balik mandi, tukar baju dulu. Nanti Buya datang semula..."

Buya langsung tak menoleh pada Datuk Bakri.

Pintu itu ditolak dan terus sahaja dia melangkah. Waktu itu, Hafiz dan Doktor Kamal mendekati dengan wajah berkerut.

"Kenapa, Buya?" soal Hafiz melihat rahang Buya yang turut naik. Tak pernah lagi dia lihat Buya dengan wajah begini setelah berjumpa dengan Datuk Bakri.

"Saya balik kejap, uncle. Nanti saya datang semula. Saya balik mandi dan tukar baju..." Dia pandang pada Huzair yang juga kelihatan sangat penat.

"Eh, Zul dah on the way tu bawa baju bersih. Dah nak sampai pun," ujar Hafiz, melarang Buya balik.

"Tak apalah. Tak selesalah. Nak mandi bilik air sendiri," jawab Buya memberi alasan yang langsung tidak munasabah sedangkan bilik Datuk Bakri dah ada segalanya. Selesa.

"Buya jangan balik dulu. Temankan Datuk," pujuk Doktor Kamal pula.

"Malaslah nak sembang dengan daddy. Dia penat tu. Biarlah daddy rehat. Saya balik sekejap aje. Uncle tunggu sini, ya?"

"Yalah. Buya tu balik sekejap aje. Datang semula dengan segera."

"Kau nak ikut aku balik tak, Zair?"

"Errr..." Huzair pandang ayahnya dan bila Hafiz mengangguk kecil, dia juga angguk.

"Aku ikut. Tapi tak apa ke kau balik ni? Temankanlah Datuk dulu..." bisik Huzair bila mereka berjalan beriringan.

"Kau nak ikut ke tak nak ni?" Buya matikan langkah. Merenung kawan baiknya dengan pandangan yang tajam.

"Aku ikut. Sejak dulu kan aku memang suka ikut kau..." Huzair paut bahu Buya. Walau bagaimana teman baiknya itu menepis, dia tetap eratkan pelukan.

Namun, entah kenapa, hatinya berasa tidak selesa pula. Sesekali dia menoleh ke belakang. Dia cuma harap, Buya masih punya waktu yang cukup untuk berpatah balik semula. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro