Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

[04]

LELAKI itu melipat lengan baju kemejanya. Sarapan yang tersedia di hadapan mata kelihatan sungguh menyelerakan. Lafaz tahmid meluncur di bibirnya serta-merta. Syukur dengan rezeki yang dikurniakan Ilahi.

Aip, Ajmal Huzaifah. Basuh tangan dahulu,” tegur Puan Hajar, ibu tirinya apabila matanya menangkap gelagat Huzaifah yang ingin mencapai makanan yang telah disediakan olehnya.

Hehe. Baik, ma.” Huzaifah patuh. Dia bangun dari duduknya lalu membasuh tangannya di dapur.

Puan Hajar tergeleng-geleng. Perangai anak tirinya itu tetap tidak berubah walaupun sudah besar panjang. Seperti masih budak lagi. Walhal sudah bekerja.

“Mama, ayah dah pergi kerja?” soal Huzaifah sebaik sahaja punggung dilabuhkan di atas kerusi.

“Dah,” jawab Puan Hajar sepatah.

Huzaifah mengherotkan bibir. “Tapi Ajmal tak salam lagi.”

“Siapa suruh lambat sangat. Sudahlah ayah Ajmal tu ada mesyuarat pagi ni.”

Doktor perubatan itu menayang sengih.

Huzaifah tiba-tiba teringat akan sesuatu. “Oh, ya. Mama nak tahu tak?”

“Apa dia?”

“Ada seorang pesakit Ajmal ni, muka dia seiras betul macam arwah ibu. Dia perempuan. Nama dia Humaira kalau tak silap.” Bersungguh Huzaifah bercerita. Siap dengan gaya lagi.

“Yakah? Berapa tahun? Sakit apa?” Puan Hajar tertarik.

“Lima tahun. Sadly, dia menghidap Leukimia tahap dua. Kasihan dia, ma. Abang dia tak boleh nak afford kos rawatannya. Anak yatim piatu pula itu. Abangnya itu pula baru berumur 18 tahun. Dia tak bersekolah sebab nak bekerja untuk adiknya. Baru sebulan lepas adik dia warded. Itu pun sebab pengsan di tadika.” Panjang lebar Huzaifah berbicara. Riak wajahnya sugul, memikirkan nasib anak-anak yatim piatu itu.

“Allah, kasihannya. Berat ujian Humaira tu. Lebih-lebih lagi abangnya. Pasti berat untuk dia pikul peranan sebagai ibu dan ayah untuk Humaira.” Puan Hajar turut bersimpati.

“Ya, ma. Ajmal pun bersyukur sebab ada mama dan ayah. Walaupun mama bukan ibu kandung Ajmal, mama tetap ibu Ajmal,” tutur Huzaifah dengan suara sebak. Dia rindu arwah ibunya.

Puan Hajar mengusap lembut kepala Huzaifah.

• • •

Harithah yang tertidur di tepi katil Humaira, tiba-tiba terjaga apabila adiknya mengejutkannya. Dia terpisat-pisat bangun. Dia yang mamai, secara automatik sedar sepenuhnya apabila menyedari tompokan darah di cadar dan baju adiknya.

“Maira, kenapa ni?” Harithah cuba menenangkan Humaira yang sedang menangis dan panik.

“Hidung Maira berdarah,” balas Humaira tersedu-sedan. Air mata berserta darah menitik ke telapak tangannya yang menadah. Dia terduduk tunduk.

Harithah mengelap wajah Humaira yang comot dengan darah menggunakan tangannya tanpa berasa geli. Bertambah panik dia apabila tubuh kecil Humaira semakin melemah dan jatuh ke pangkuannya.

“Eh, Maira!”

Harithah terus menekan butang merah yang terletak di dinding bersebelahan dengan katil Humaira. Seraya itu, dia menadah darah yang keluar dari hidung anak kecil itu dengan tangannya. Tidak henti-henti darah itu menitik.

Tidak lama kemudian, seorang doktor dan jururawat meluru masuk ke dalam wad itu. Harithah terus mengundur untuk memberi laluan untuk doktor dan jururawat itu melakukan tugas. Dia keluar dari bilik wad, sebelum lututnya mencium lantai.

“Allah. Ya Allah,” bisik Harithah sambil mengusap dadanya yang berombak. Peluh dingin yang merenik di pelipis dikesat kasar.

“Allah.” Harithah bersandar di dinding, masih dalam keadaan terduduk di lantai. Dia membenamkan mukanya di tangannya. Wajah dan bajunya comot sedikit dengan darah Humaira. Nafasnya yang seperti baru selepas berlari maraton masih belum reda. Masih tercungap-cungap. Masih tersekat-sekat.

Dia perlu cepat mencari duit untuk menanggung kos perubatan Humaira dengan segera. Keadaan anak kecil itu semakin memburuk. Sudah pasti dia tidak akan membiarkan Humaira begitu sahaja.

Lama juga dia berteleku di situ. Akhirnya pintu wad Humaira dibuka oleh doktor lelaki tadi.

“Awak okey?” tanya doktor itu, meminta Harithah bangun. Harithah segera mengesat air matanya yang sudah berlinangan sejak tadi.

“Okey, alhamdulillah. Doktor, bagaimana keadaan adik saya?” Tanpa berbasa-basi, Harithah terus mengajukan soalan.

Wajah doktor lelaki itu bertukar muram dan sugul. Di kepalanya, sudah terbayang reaksi Harithah terhadap pernyataannya selepas ini.

“Doktor?”

“Oh, maaf. Keadaan adik awak sekarang ni dah stabil. Tapi, apa yang boleh saya katakan, mungkin simptomnya semakin lama semakin teruk. Mungkin akan berlaku banyak pendarahan seperti pendarahan hidung dan gusi. Kita akan cuba proceed rawatan untuknya. Dia boleh sembuh, insyaa-Allah.” Doktor lelaki itu cuba memberikan harapan buat anak muda yang di hadapannya.

Harithah sebak. Suaranya bergetar. “Terima kasih, doktor. Boleh ... saya nak tengok dia?”

“Boleh.” Doktor lelaki itu melemparkan senyuman dan kemudian berlalu.

• • •

Bibir Harithah menggeletar. Dia menyentuh tangan Humaira yang sudah terlena. Wajahnya dibenamkan di permukaan tilam.

“Maafkan abang, Maira .... Maafkan abang,” ulang Harithah lagi. Mutiara jernih yang mengalir di pipi sudah tidak terkira banyaknya. Sklera matanya memerah. Kelopaknya pula membengkak.

Desahan nafas sebaknya semakin kuat kedengaran. Dia mengusap kepala si adik lalu menciumnya.

Pintu wad tiba-tiba dibuka. Harithah menoleh ke belakang. Kelihatan Sufi yang berdiri sambil menayang senyuman kekok.

“Kau ... okeykah?”

Harithah diam.

• • •

“Jadi, itulah masalahnya,” respon Sufi, mengusap bahu Harithah yang terhenjut-henjut. Dia juga sebak mendengar cerita daripada sahabatnya itu.

“Aku tak tahu nak buat apa dah, Sufi. Humairalah satu-satunya ahli keluarga yang aku ada. Kalau dia pergi ... .” Suara Harithah pecah. Dia menekup wajah, melepaskan tangis semahunya.

Sufi memeluk bahu Harithah. “Hey ... jangan sedih. Aku boleh tolong. Apa kata famili aku tolong tanggung kos, boleh?”

Harithah terus mengangkat wajah. “Aku tak mahu berhutang. Mahal kot. Kalau aku tak mampu bayar balik ...?”

“Tak perlu bayar balik. Ikhlas.” Sufi melakarkan senyuman nipis di bibirnya.

“Tapi ... .” Harithah serba-salah.

“Tak perlu risau. Dulu, kau tolong aku tanpa mengharapkan balasan. Sekarang, biar aku pula yang tolong kau.” Pandangan Sufi meredup. Senyuman masih tidak lekang di bibir.

Bab ini agak ... singkat, hehe. Sebab saya buat dalam keadaan kelam-kabut. Mana tidaknya, esok dah nak kena balik asrama🥲.

Itu sahaja. Fi amanillah. Ma'assalamah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro