[02]
Mac 2018
"HA, inilah ibu! Cantik tak?" Harithah menunjukkan gambar dari dalam album kepada Humaira yang sedang duduk di atas katil.
Humaira teruja. "Cantik! Tapi sekarang ni, mana ibu?" Gadis kecil berumur lima tahun itu masih tidak berpuas hati. Tadi, dia menanyakan abangnya, "mana ibu?". Tetapi Harithah hanya menunjukkan gambar lama ibu kepadanya. Lain yang diminta, lain yang diberi.
Harithah tergamam. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan Humaira yang itu. Seingatnya, soalan PT3 yang merupakan peperiksaan terakhir yang dijawabnya beberapa tahun lepas pun tidak sesusah ini. Dahsyat.
"Erk .... Ibu ... ibu dekat ... ." Harithah mengerahkan otaknya untuk terus berfikir. Humaira masih duduk tegak di hadapan abangnya, menunggu jawapan dengan setia.
Akhirnya, apa yang terlontar dari mulut Harithah hanyalah, "Abang tak tahu."
Humaira cemberut. Punyalah lama dia menunggu, itu sahaja jawapan yang diperolehinya? "Abang ni, semua tak tahu!" marahnya sebelum memeluk tubuh dan berpusing membelakangi Harithah.
Harithah menggaru kepala. "Nak buat macam mana? Abang memang tak tahu," ujarnya sambil tersengih, menayang barisan giginya yang putih.
Humaira mendengus.
"Yalah, yalah .... Maafkan abang. Nanti bila Maira dah besar, abang ceritakan."
"Kenapa kena tunggu Maira besar dulu?"
Harithah menutup album gambar ibu yang di tangannya. "Sebab Maira kecil lagi. Takkan faham kalau abang cerita."
"Hah?" Humaira bingung.
"Ha, tengok tu. Baru abang cakap macam tu, Maira dah bingung." Harithah mengukir sengihan yang lebar di bibirnya. Humaira memuncung.
"Lagi satu soalan Maira nak tanya," ujar Humaira.
"Apa dia?"
"Kenapa abang berhenti sekolah?"
Soalan maut Humaira itu membuatkan Harithah terdiam seribu bahasa. Entah kenapa, kali ini, dia tidak dapat memikirkan alasan untuk diberi.
"Sebab abang malas?" Humaira menyerkap jarang.
"Bukan," nafi Harithah laju. "Abang bukan malas ... cuma, ada masalah sikit."
Humaira malas hendak bertanya lagi. Abangnya tidak pernah memberi jawapan yang dimahukannya. Dia membaringkan tubuh dan menarik selimut. Dia berbaring mengiring membelakangi Harithah.
"Merajuklah tu. Abang balik dululah. Dah nak dekat pukul lima ni. Assalamualaikum," ucap Harithah lalu bangun dari duduknya.
"Hmm, waalaikumussalam," balas Humaira. Masih merajuk.
Harithah mengukir senyuman nipis. Dia menolak pintu wad lalu keluar dari situ.
Langkahnya tidak laju. Tidak juga lemah longlai. Dia cuma berasa tidak bersemangat setelah melihat keadaan Humaira yang sedang berjuang melawan kesakitan. Kuat sungguh si kecil itu.
Jikalau dia berada di tempat Humaira, dia tidak tahu dia boleh hidup atau tidak.
• • •
"Kau ni kenapa, Rith?" tegur Sufi setelah melabuhkan duduk di kerusi pondok menunggu bas sebelah kiri Harithah.
"Oh, mak den!" latah Harithah. Sufi ketawa terkekeh-kekeh. Pantas Harithah menyekeh kepalanya. "Kot ya pun, bagilah salam dulu! Ini tidak, main terjah saja!"
"Yalah, assalamualaikum."
"Waalaikumussalam. Bila kau sampai?" tanya Harithah.
"Seabad lepas," balas Sufi, sarkastik, sambil menggeleng-geleng. Sahabatnya itu, jika ada pencuri yang ingin mencuri duitnya pun pasti tidak akan sedar.
Menyedari Sufi menjelingnya, Harithah tersengih sambil menggaru-garu sisi kepala yang tidak gatal. "Sorry doh. Aku runsing fikir fasal adik aku. Tak perasan kau dah datang."
Sufi menjungkit kening. "Humaira okey? Teruk lagikah sakit dia?" soalnya selaku kawan baik yang prihatin.
"Macam itulah. Tak makin baik, tak juga makin teruk. Okeylah daripada perlu buat pembedahan. Mana aku nak cekau duit? Silap juga aku berhenti sekolah dulu. Kalau tak, adalah sijil SPM. Boleh mohon kerja. Ini tidak. Sijil apa pun aku tak ada," luah Harithah panjang lebar. Keluhan berat terlepas dari bibir.
Sufi mengangguk faham. Dia yang berasal dari keluarga yang berpengaruh dan berada, tidak pernah melalui situasi seperti Harithah yang kesusahan. Tidak pernah merasa susah. Setiap bulan, duit dikirim kepadanya. Namun, wajah ibu dan bapanya jarang sekali muncul di rumah. Suka dukanya dilalui sendiri.
"Maaf tau, sebab aku mengeluh depan kau. Aku tak patut mengeluh." Harithah bersandar pada kerusi. Sufi yang termenung sedari tadi, tersentak.
"Eh, tak payahlah nak minta maaf. Kau ada hak nak meluah. Selama ni, kau juga yang tukang dengar keluh kesah aku. Sekarang ni, biarlah aku pula yang kurangkan beban kau."
Harithah tersenyum kecil. "Terima kasih," ucapnya.
"Tak ada apalah. Ni, kau tunggu bas?"
"Taklah. Aku rehat sekejap. Penat berjalan dari hospital tu."
"Hospital? Eh, jauh tu! Kenapa kau tak telefon aku? Tak fasal-fasal kaki kau sakit nanti. Aku juga yang susah," bebel Sufi persis seorang ibu.
"Hm ... yalah. Memang aku selalu susahkan kau pun," kata Harithah lalu menunduk.
Menyedari kata-katanya yang keterlaluan tadi, pantas Sufi menafikan. "Eh, tak ... tak! Kau tak susahkan aku pun. Tak pernah walau sekali."
Harithah menghela nafas yang berat. "Tak payahlah kau nak tipu. Aku ni, selalu susahkan orang. Memang tak perlu dinafikan pun."
"Sudahlah, Rith ...."
• • •
Telefon bimbitnya berdering lagi. Harithah terjaga daripada lena. Dalam keadaan matanya yang masih terkatup rapat, tangannya mengagau mencari telefon bimbitnya yang berada di bawah bantal.
"Helo, assalamualaikum?" Suara Harithah serak.
"Waalaikumussalam. Ni waris Zayda Humaira binti Ismail, pesakit Hospital Batu 14, kan?"
Harithah terus duduk tegak. Hikang terus kantuknya. Pasti ini panggilan telefon daripada hospital. "Ya, saya. Kenapa?" soalnya gugup.
"Anda diminta untuk ke hospital sekarang. Keadaan pesakit amat kritikal. Dia memerlukan pembedahan segera. Mohon anda datang segera untuk menandatangani borang kebenaran pembedahan."
Mata Harithah terus terbeliak. Dia terkesima.
Kalau tak logik dan pendek sangat, maaflah. Tengah mengantuk ni. Biasalah.
اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Selawat.
By the way, minal aizin wal faizin semua!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro