Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

[01]

Tiga tahun kemudian (2013).

BUBUR nasi yang telah dimasaknya diletakkan di dalam mangkuk. Masih panas, berasap. Terliur Harithah jadinya. Namun bubur ini dibuatnya untuk ibu yang sedang terlantar sakit.

Tangan dibasuh, lalu mangkuk itu dibawa ke dalam bilik ibu. Kelihatan ibu sedang berbaring di atas katil dengan dahi yang berkerut-kerut, sepertinya sedang menahan sakit.

"Ibu ...," panggil Harithah, sayup-sayup. Ibu mencelikkan mata, kemudian tersenyum manis sebaik sahaja wajah Harithah terlihat jelas pada pandangannya.

"Ya, sayang," sahut ibu.

"Rith buat bubur nasi," beritahu Harithah sambil menunjukkan mangkuk yang telah diisinya dengan bubur nasi tadi. Dia melabuhkan papan punggung di birai katil.

Ibu bangkit separuh badan sambil dibantu oleh Harithah.. "Ibu tak lapar. Rith makanlah."

Harithah mencebikkan bibir merahnya. "Penat-penat Rith masak ... tapi ibu tak nak makan," ujarnya sebelum tertunduk, seperti sedang kecewa.

Melihatkan itu, ibu tertawa kecil. Ada juga rasa bersalah. Haihlah, anak. Pandai betul memujuk. "Yalah, ibu makan. Rith nak suap ibukah?"

Remaja lelaki itu mengangkat muka, lalu tersengih menampakkan barisan giginya yang putih bersih dan tersusun elok. Dia mengangguk laju. Sudu digunakan untuk mencedok bubur lalu disuapkan ke mulut ibu setelah kalimat basmallah dibaca.

"Sedap?" Harithah menyoal dengan mata hitamnya yang bersinar-sinar.

Ibu tersenyum kecil sebelum mengangguk-angguk. "Sedap, pandai anak ibu ni masak," pujinya, mengukir riak bahagia di wajah Harithah. Namun sekejap sahaja, kerana setelah itu, ibu terbatuk-batuk.

Harithah dengan pantas menghulurkan segelas air kosong kepadanya. Melihat ibu yang sedang menahan sakit, dia merasa sebak. Matanya merah, menahan sesak di dada.

Setelah ibu kelihatan lebih tenang berbanding tadi, Harithah terus memeluk ibu. Dia tidak mahu kehilangan seorang ibu, tulang belakangnya.

"Tak ada apa, sayang .... Ibu okey." Ibu membalas pelukan Harithah. Dia dapat mengagak apa yang sedang bermain di dalam fikiran anaknya yang sudah sembilan bulan dikandung di dalam rahim.

"Ibu cepat-cepatlah sihat. Rith tak suka ibu sakit." Harithah melepaskan pelukan dan mengesat pipinya yang basah dengan air mata.

"Kalau Rith tak suka ibu sakit, ibu pula tak suka Rith menangis. Jadi, janganlah menangis," ujar ibu, sayu.

Lama mereka mendiamkan diri. Memandangkan suasana sepi baut beberapa ketika, mereka terkejut apabila tangisan Humaira, adik Harithah yang baru sahaja lahir beberapa bulan yang lalu, kedengaran.

Seolah-olah gerakan refleks, Harithah segera bangun dari duduknya lalu melangkah menghampiri katil bayi yang menempatkan Humaira. Belakang badan adindanya yang sedang menangis itu ditepuk perlahan. Zikir penenang beralun lembut di bibirnya.

Melihatkan itu, ibu berasa sebak. Mungkin Harithah masih berumur 13 tahun, tetapi sifat matangnya sebagai seorang abang tidak dapat disorok.

Harithah sebenarnya merupakan salah seorang murid harapan sekolah di sekolah rendahnya dahulu. Hal ini kerana dia sentiasa cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Tetapi apa yang mengecewakan para guru adalah, dia tidak mahu menyambung pelajaran di sekolah-sekolah berasrama penuh. Sebabnya? Pertama, dia tidak mahu menyusahkan ibu. Kedua, dia mahu menjaga ibu dan Humaira. Ayahnya baru sahaja meninggalkan dunia, beberapa hari sebelum Humaira lahir. Jadi, dia tidak mahu mementingkan diri sendiri; keluarganya diutamakan. Duit biasiswanya yang diperolehinya juga digunakan untuk pembelajaan rumah.

Suara tangisan Humaira tidak lagi kedengaran. Tubuh si kecil itu diletakkan perlahan-lahan di katil bayi. Ditepuk-tepuk tubuh itu untuk melenakannya.

"Pandai Rith jaga Maira," puji ibu, kagum.

Harithah senyum tersipu-sipu. Dia kembali duduk di sebelah ibu.

"Kalau ibu tak ada, Rith jagalah Maira elok-elok, ya?" Ibu melepaskan tawa kecil.

Kata-kata itu menyentakkan Harithah. Dia terdiam seribu bahasa.

Ibu mengusap rambut Harithah. Menyedari jam dinding telah menunjukkan pukul 12 malam, dia berkata, "Tidurlah. Dah pukul berapa ni. Bubur ni, nanti ibu habiskan. Rith mesti letih, kan?"

Harithah akur. Dia bangun, mencium tangan dan dahi ibu, sebelum menapak ke biliknya. Badan direbahkan di atas tilam nipisnya. Belum sampai beberapa saat dia terbaring, dia sudah hanyut dibawa mimpi.

Lena dia tidur, sehingga dia tidak terjaga apabila ibu memanggilnya berkali-kali.

• • •

"Ibu, Rith dah nak pergi sekolah ni!" laung Harithah sambil mengambil beg sekolahnya yang tersadai di atas sofa. Tiada sahutan, membuatkan Harithah berasa pelik. Dengan segera dia melangkah menuju bilik ibu.

Pintu dibuka perlahan. Gelap. Perasaan hairan bertambah-tambah. Selalunya, pada waktu ini bilik ibu pasti terang benderang. Tidak mungkinlah ibu terlewat bangun?

Harithah menapak masuk. Suis lampu ditekan. Kelihatan ibu masih berbaring di atas katil. Harithah tersenyum, barangkali ibu terlalu letih sehingga terlewat bangun.

Dengan suara yang lembut, Harithah mengejutkan ibu,"Ibu ... bangun. Rith dah nak pergi sekolah ni. Ibu belum solat subuh, kan?"

Tiada respons.

Dia menggoncangkan bahu ibu. "Ibu, bangunlah. Ibu kena qada solat subuh. Dah lewat sangat ni."

Tiada respons lagi. Dahi Harithah sudah berpeluh.

"Ibu .... Jangan main-main macam ni."

Senyap.

"Bangun, ibu. Tak kelakarlah."

Hening.

Harithah panik. Dengan segera dia memeriksa nadi di lengan dan tengkuk ibu. Setelah lama mencari, nafasnya seakan-akan hilang.

Dengan langkah tersadung-sadung, dia berlari ke luar rumah. Pintu rumah salah seorang jirannya diketuk berkali-kali.

"Pak Cik Mad! Mak Cik Idah!" Suara Harithah bergema di serata kawasan rumah flat.

Setelah pintu diketuk dan nama pemilik rumah diseru berkali-kali, akhirnya pintu itu dibuka. Memperlihatkan sosok pemilik-pemilik rumah yang kehairanan.

"Kenapa ni, Harithah?" Mak Cik Idah bertanya dalam pinga. Pak Cik Mad juga mengerutkan dahi di sebelah isterinya.

"Tolong, mak cik, pak cik! I-ibu ...." Tubuh Harithah longlai. Dia terdorong ke hadapan, mujurlah Pak Cik Mad sempat menyambut tubuhnya.

Mendengarkan itu, Mak Cik Idah tahu ada sesuatu yang tidak kena. Cepat-cepat dia menyarung selipar dan berjalan laju mendekati rumah kediaman Harithah.

Pak Cik Mad membantu Harithah duduk di atas kerusi plastik yang terletak di hadapan rumahnya. Nafas remaja lelaki itu masih tercungap-cungap.

"Cuba Harithah beritahu pak cik, apa yang berlaku?" lelaki separuh usia itu bertanya seraya menepuk-nepuk bahu Harithah.

Tersekat-sekat, Harithah menjawab, "Ibu ... ibu tak sedar walaupun saya kejut berkali-kali. Bila saya periksa nadi ibu ...." Kata-kata Harithah terjeda. Nafas dalam ditarik. "... Tak ada. Nadi ibu tak ada."

Di saat itu, Pak Cik Mad dapat melihat air mata Harithah yang menitik-nitik. Pasti remaja itu tidak dapat menerima kenyataan sekiranya apa yang sedang difikirkannya itu benar-benar berlaku.

"Abang!" Suara Mak Cik Idah kedengaran. "Cepat, bawa Mas ke hospital!"

Harithah bangun berdiri sebaik sahaja Pak Cik Mad terus berlari menuruni tangga. Nafasnya kembali tidak teratur. Pandangan berbinar-binar sebelum tiba-tiba kelam. Dia pengsan!

• • •

Semalam. Bukan seminggu lalu, ataupun sebulan yang lalu. Tetapi semalam. Baru sahaja semalam, dia berbicara dengan ibu, dan dibelai oleh ibu. Tetapi hari ini, semuanya sirna.

Lihatlah betapa hebatnya kuasa Allah. Dia boleh melakukan segalanya dengan begitu pantas. Mungkin boleh jadi, hari ini kita berbicara, keesokannya nikmat itu ditarik semula. Hari ini kita boleh melangkah, esoknya lumpuh. Hari ini mungkin masih bernafas, esoknya ... sudah dibenam di dalam tanah.

Mati itu pasti. Tiada yang dapat menyangkal. Tiada yang akan hidup selama-lamanya. Tiada yang akan terlepas daripada soalan malaikat Munkar dan Nakir. Sama ada boleh menjawab, ataupun diazab.

Harithah menyentuh batang kayu yang menjadi pengganti sementara buat batu nisan ibu. Nafas berat dihela. Kelopak matanya sudah sembab. Air matanya sudah kering. Hendak bercakap pun sudah tidak terdaya.

"Harithah .... Sudah-sudahlah tu. Jom, balik," ajak Pak Cik Mad sembari mengusap bahu Harithah.

Harithah mengangguk lemah. Pak Cik Mad membantunya bangun berdiri.

'Rith balik dulu, ibu ....'

• • •

Malam itu, Harithah tidak dapat lena. Humaira asyik menangis, mungkin si kecil itu mahukan ibunya. Sudah puas Harithah memujuk, tetapi hasilnya tetap sama. Mujurlah ada Mak Cik Idah yang membantu.

Mak Cik Idah meletakkan Humaira di katil bayi. Dia keluar dari bilik. Pintu dibiarkan terbuka.

"Terima kasih, mak cik. Maaf sebab susahkan mak cik malam-malam macam ni," ucap Harithah ikhlas.

"Tak ada apalah, Harithah. Kau berdua pun dah macam anak mak cik juga. Mak cik dan pak cik tak ada anak, kau berdualah tempat kami mencurahkan kasih," balas Mak Cik Idah. Sebak rasanya mendengar ucapan maaf daripada Harithah.

Harithah tersenyum nipis.

"Mak cik balik dululah, ya. Kalau ada apa-apa, panggil saja mak cik. Kalau pencuri masuk pun, biar mak cik yang lipat-lipatkan dia," seloroh Mak Cik Idah sambil menunjukkan buku limanya, mengundang tawa Harithah.

Harithah menutup pintu rumah setelah mereka berpamitan. Pintu itu dikunci, atas langkah keselamatan.

Harithah masuk ke dalam bilik ibu, lalu duduk di atas katil. Katil bayi yang menempatkan Humaira yang sudah lena ditenung. Pandangannya kabur dek air mata yang bersisa. Bibirnya tercebik sedikit dan menggeletar.

Bantal ibu dipeluk erat. Air matanya tumpah lagi. Tangisnya membuatkan dia tersedu-sedan.

Menyedari dia kini bergelar anak yatim piatu, itulah yang membuatkan dia sebak.

First time boleh tulis panjang-panjang. 1400+ perkataan weh! Bangga rasanya, uhuk-

Seperti biasa;

اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Selawat jangan dilupakan. Penting untuk mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW sewaktu akhirat kelak. Semoga kita semua dapat masuk ke dalam jannah-Nya. Aamiin ....

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro