𝐊𝐀 | 18
3 Bulan kemudian (April 2022)...
TELEFON bimbit lama berjenama Lenovo itu diletakkan di telinga berkali-kali. Namun nombor yang diharapkan untuk diangkat, masih menemui pesanan suara.
Nafas keluhan dihembuskan Ammar, tubuhnya kembali duduk di atas kerusi malas milik arwah Encik Hamzah yang masih kukuh sehingga sekarang.
"Kenapa yang lain tak nak angkat telefon..." Ammar menggeleng perlahan sebelum dia meletakkan telefon di atas meja kecil sebelum kerusi yang didudukinya.
Ini sudah kali yang kelima Ammar cuba untuk menghubungi semua adik-adiknya termasuklah Zafran, namun semuanya tidak menemui jawapan. Tak angkat.
"Sibuk agaknya ya? Tak gitu mak? Hahaha, sejak kebelakangan ni memang mereka semua sibuk. Kali terakhir dapat telefon mereka, lima bulan lepas." Ammar mula bercakap dengan gambar ibunya yang berada di meja sebelahnya. Seolah-olah Puan Amirah masih ada.
Inara sekarang, sejak ditukarkan ke hospital lain sekali dengan Naim di Selangor, sudah jarang mereka berdua pulang ke kampung. Kata Naim, masing-masing tak ada masa nak balik sana. Mak ayah Naim sendiri pun mereka tidak sempat menziarah.
'Jangan-jangan mereka nak Along datang ke rumah mereka tak?' tanpa disangka-sangka, Ammar melihat susuk tubuh seorang wanita lewat 40-an, berpakaian tudung labuh dan jubahnya berwarna putih. Puan Amirah...
Ammar tersenyum, rindu pada ibunya tidak pernah berubah walaupun usianya sekarang sudah 36 tahun.
"Entahlah mak... Along tak naklah mengganggu kehidupan mereka." Ammar meneruskan bicaranya seolah-olah memang Puan Amirah yang ada di sebelahnya.
'Along... kenapa Along cakap macam itu? Tak baik tahu buruk sangka dengan adik-adik... mana tahu mereka semua sebenarnya memang sibuk. Apa kata Along pergi jenguk mereka?'
"Bernas juga cadangan mak tu, bulan Ramadan pun dah nak menjelma. Bolehlah Along bawakan masakan kegemaran mereka!" Ammar kemudian bangkit dengan perlahan, kakinya yang sedikit sakit perlahan memijak lantai membawa diri ke dapur.
Puan Amirah melontarkan senyuman sebelum dia menghilang seperti dedaun di angin lalu.
◆◆
"Ini alamat rumah Maisarah ke?" soal Faris yang sedang melihat-lihat nombor rumah yang ditulis dalam kertas. Ammar yang duduk di sebelah penumpang mengangguk.
"Betul, ini alamat yang Maisarah pernah tinggalkan pada aku tahun-tahun yang lepas. Kata dia, kalau aku berniat nak datang ke Perak, inilah alamat rumahnya."
Ammar kagum dengan bentuk-bentuk rumah yang ada di taman perumahan itu. Semua dua tingkat dan besar laman hadapannya. Kereta jangan cakaplah, Toyota Vellfire tu biasa saja dekat kawasan situ.
"Am, sini rumah Maisarah..." kereta Faris berhenti tepat di hadapan rumah yang bernombor 115. Waktu pun sudah lewat petang.
"Alhamdulillah. Sampai juga dekat sini. Faris, untuk kau." Ammar mengeluarkan sejumlah wang dari dompetnya untuk diberikan kepada Faris.
"Apa ni Am? Tak naklah! Kau nak bayar aku buat apa?"
"Jauh ni Faris... dengan kau nak balik lagi, buatlah duit minyak."
"Am, duit aku sendiri pun tak terpakai. Kau nak bagi duit ni lagi, sudah tak payahlah! Simpan untuk diri kau sendiri. Ada apa-apa kau call saja aku. Terus aku sampai ambil kau ya?" Faris menepuk bahu Ammar dengan senyum.
"Terima kasih... kau memang sahabat aku." Ammar membuka pintu kereta lalu dia keluar, Faris juga turut membantu dia mengeluarkan satu buah beg pakaian dan satu plastik sesuatu yang berat.
"Aku pergi dulu ya? Assalamualaikum."
Ammar mengangguk sebelum dia melambaikan tangan. Lalu pandangan dia dihalakan ke arah rumah banglo yang besar dan megah itu. Perlahan-lahan dia berjalan ke arah pagar, ada satu butang.
Ammar menekan butang itu sebelum ada satu suara bertanya, "Siapa ya?"
Ammar tidak kenal dengan suara itu, namun dia meneruskan niatnya, "Saya Ammar Haziq. Abang kepada Maisarah Sofea binti Hamzah." siap sekali dengan nama penuh dia sebut.
"Abang kepada Puan ya? Sekejap."
Beberapa minit kemudian, pintu pagar itu terbuka secara automatik. Ammar sedikit kagum melihat teknologi yang serba moden itu. Di sebalik pagar yang terbuka, Maisarah berdiri memandang Ammar.
"Kak Long!" Ammar mengheret beg pakaian dan plastik berwarna merah dan berjalan ke arah Maisarah.
Maisarah mencium tangan Ammar, "Bila Along sampai?"
"Tadi. Macam biasalah, Abang Faris kamu yang hantarkan Along... cantiknya rumah kamu ni."
"Biasalah, orang bekerja. Kaki Along kenapa? Siap berbalut lagi. Along sakit ke?" jawab Maisarah ringkas sebelum dia membantu Ammar memegang beg pakaiannya dan dibawa masuk ke dalam rumah.
"Taklah! Luka sikit terpijak kaca, nanti legalah. Doktor dah check, dia cakap tak ada apa-apa. Esok lusa sembuhlah." Ammar memberitahu semua yang dia alami di kampung. Kecuali mengenai penyakitnya.
Baru saja hendak melangkah pintu, "Che Long datanglah! Yeay!" Nurin yang kini berusia 7 tahun datang dan memeluk kaki Ammar dengan kuat. Begitu juga dengan Amani yang sudah memasuki 4 tahun.
"Hahaha! Anak-anak fruit Che Long rupanya!" Ammar berusaha mengajar Amani ke atas dan didukungnya. Dia mencium pipi Amani sehingga anak itu tertawa kecil.
"Hmph, masyamnya bau dia! Tak mandi eh?" Ammar sengaja menyakat Amani, lama betul tak jumpa mereka. Dah besar panjang dah masing-masing.
"Apa ni Che Long! Orang mandilah!" balas Nurin dan Amani serentak dengan pipi mereka dikembungkan. Membuatkan Ammar semakin ingin mencubit mereka kerana geram.
"Comelnya! Macam mama kamu!" Ammar melirik ke arah Maisarah dengan ketawa besar.
"Sayang- eh Along! Bila sampai ke sini?" Luqman yang baru pulang dari kerja dengan sut dan beg kerja yang dipegang di lengan kirinya, melihat ke arah Ammar dengan rasa terkejut.
Mana tidaknya, Ammar manalah pernah keluar dari kampung. Paling jauh pun setakat bandar berdekatan kampung itu sahaja.
"Baru saja. Ingat nak duduk di rumah kamu sekejap dalam tiga ke empat hari macam tu. Boleh?"
"Boleh! Silakan Along, buat macam rumah sendiri!" Luqman tersenyum sebelum dia mencium tangan Ammar.
"Che Long! Jomlah naik bilik, orang nak tunjuk bilik orang dekat Che Long!" Amani menarik baju labuh Ammar dan membawanya ke tangga.
"Amani pun!"
"Baik, baik akan tuan hamba tunaikan permintaan tuan puteri sekalian!" Ammar menaiki tangga sambil tangannya mendukung Amani. Kedengaran gelak tawa mereka bertiga memenuhi suasana.
Along memang tak pernah berubah.
(910 Words)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro