Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

𝐊𝐀 | 11

Jun, 2013...

"ASSALAMUALAIKUM, Along ni." Ammar menelefon Zafran menggunakan telefon yang dibelikan Faris setahun lalu. Tak larat nak tolak dah, akhirnya kerana paksaan Faris, dia pakai juga.

"Waalaikumsalam Along, kau sihat?" suara Zafran memecah suasana rindu di hati Ammar. Legalah dia apabila dapat mendengar suara adik yang disayangi.

"Along sihat Alhamdulillah, kamu macam mana belajar dekat tempat orang tu? Maaflah kalau Along tak dapat nak menjenguk kamu, kerja dekat kilang tu setiap hari. Tak ada masa nak cuti."

Zafran ketawa kecil sebelum dia merespon, "Tak adalah long... aku okay je. Nanti aku graduate kau datang tak? Lagi setahun saja lagi."

"InshaAllah, nanti Along akan datang dengan Abang Faris kamu." Ammar memberi anggukan kecil walaupun tidak terlibat dari orang di seberang panggilan telefon.

"Aku tunggu kau long... kali ini sekali lagi aku nak membanggakan kau!"

"Baiklah... Assalamualaikum." Ammar menamatkan panggilan telefon. Sekilas pandangannya dihala ke arah potret keluarga Ammar dan di sebelahnya ada potret Encik Hamzah dan Puan Amirah yang sedang tersenyum.

"Mak... ayah... mereka semua dah besar panjang. Adik dengan Nara pun dah sekolah menengah. Selepas ini mereka akan menempuh alam dewasa, dan... berkahwin." Ammar melepaskan rasa lelah dengan menduduki sebuah kerusi malas kegemaran arwah Encik Hamzah dahulu.

"Along ni sampai dah bercermin mata. Ini si Faris punya kerjalah! Paksa kita pakai cermin mata, Along dah cakap jangan membazir duit dekat orang lain, baik guna untuk dia kumpul duit kahwin. Tak dengar, Faris beli juga cermin mata ni dekat Along. Kawan baiklah katanya..."

Sengaja tubuhnya menggoyangkan kerusi itu dua tiga kali ke depan dan belakang sambil menikmati angin dari luar tingkap.

"Mereka semua dah jadi orang berjaya mak... adik dengan Nara dapat keputusan 6A UPSR, Nara sekarang tengah berjuang untuk PT3. Mak dengan ayah tolong doakan mereka... dari jauh ya."

Bila dikenang semula, hampir jatuh air mata Ammar. Tidak disangka perjuangannya yang telah berlangsung selama 8 tahun akhirnya membuahkan hasil.

Teringat pula dia pada ayat yang dikatakan oleh Inara kepada dia sebelum ini...

"Kak Long pun dah tamat belajar dah. Sekarang tengah dalam proses dia nak jadi peguam, tengah buat apa ke nama praktikal ke apa entah? Hahaha! Along tak retilah nak menyebutnya tu ayah!" Ammar mengusap dagunya dengan rasa kekok.

"Nanti Along... ziarah kubur mak dengan ayah ya?"

◆◆

Motosikal EX5 lama yang masih lagi baik keadaannya menelusuri jalan kampung di waktu tengahari, Ammar baru sahaja mengambil Aqil pulang dari sekolah.

Baru sampai di laman rumah, ada sebuah kereta diparkir elok di situ. Siapa pula yang datang rumah ni? Faris tukar kereta baru ke?

"Adik masuk dulu ya. Along nak pergi tengok kejap siapa yang datang."

Aqil hanya mengiakan tanpa bertanya lebih, lalu dia pun berlalu ke dalam. Ammar berjalan dengan tenang menuju ke arah kereta Toyota Vios berwarna biru, seseorang keluar dari pintu pemandu.

"Ila! Awak rupanya? Saya ingatkan siapalah yang datang ke sini tadi."

Naila tersenyum manis, tudung labuh yang dipakai sedikit melayang ditiup angin. Kecantikan tidak berubah walaupun hampir 8 tahun berlalu.

"Maaflah balik sini tak beritahu awak dengan Faris. Sengaja nak jenguk kawan baik sendiri."

Ammar mengangguk dengan senyum simpul, "Awak dah jumpa Faris? Dia mesti tengah tunggu awak sangat-sangat tu."

"Awak tak tahu ke? Saya dengan dia... nak berkahwin dah hujung tahun ni." Naila tersipu-sipu malu ketika memberitahu mengenai hal ini. Tubuhnya dipusing belakang.

Ammar menepuk dahinya sendiri, Faris ni memang nak kena dengan aku. Pandai buat kerja dalam diam ya? Tahu-tahu nak kahwin dah mamat ni!

"Tahniah! Ya Allah saya sendiri tak sangka dengan berita ni. Mamat tu tak pernah pula beritahu saya dia dah berjaya... tambat hati awak." gurau Ammar dengan senyum berseloroh. Baguslah jika perasaan itu sudah ada, tidak perlu lagi nak sorok-sorok.

"Sejak bila ni?" soal Ammar dengan rasa musykil.

"Hujung tahun lepas. Dia datang ke rumah jumpa umi dengan abah. Jadi saya pun setuju sajalah..."

"Ya Allah... inilah yang saya tunggu dari dulu sampailah sekarang! Akhirnya!" Ammar bersorak kegirangan. Bukan mudah nak tengok Faris meluahkan perasaannya terhadap seorang wanita. Ini rare!

"Patutlah awak banyak tanya soalan-soalan pasal Faris sebelum ni..." Sampai merah muka Naila cuba menahan rasa malu, bukan malu kerana benda tak baik. Tapi malu kerana suka.

"Saya saja nak uji awak, pandai berlakon ye? Ingatkan masa tu memang kawan saja. Rupa-rupanya lebih dari sekadar kawan... siap nak kahwin dah!"

Naila hanya tersenyum dan mengangguk ringkas, tiada apa yang nak katakan.

◆◆

"Kau memang kan? Kau memang!" Kepala Faris hampir nak diluku oleh Ammar. Saja betul nak sorok berita penting dari orang.

Mereka berdua sedang bersantai di pangkin bawah pokok mangga sambil makan buah mempelam cicah dengan garam belacan.

Faris ketawa dengan sinisnya, "Biasalah! Kenalah buat kejutan untuk kau, nanti tak seronoklah tak ada reaksi terkejut dari kau!"

"Cis, memang bertuah punya kawan. Tak payah terkejut macam ni pun aku dah rasa bahagia Faris. Kau nak kahwin dah dengan Ila. Dia impian kau sejak remaja kan? Akhirnya kau dapat! Nanti kad jemputan jangan lupa bagi, silap-silap nanti aku jadi pengapit kau!"

"Tak ada masalah! Kau jadi pengapit aku sampailah habis majlis, special untuk kau punya pasal! Terima kasih Am... kau selalu ada di sisi aku bagi semangat dekat aku untuk terus pikat Ila. Benda ni takkan berlaku kalau tak ada kau..."

"Macam aku selalu cakap Faris... aku hanya manusia biasa. Yang merancang, yang menentukan, Allah SWT sendiri. Dia tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Asalkan kau terus yakin dan berpegang teguh pada agama-Nya." Ammar menghiris buah mempelam itu kepada beberapa bahagian sebelah meletakkannya ke dalam pinggan.

"Bertuah aku dapat kawan macam kau Am... sahabat aku dunia akhirat."

(909 Words)

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro