𝐊𝐀 | 08
AMMAR sedang membasuh motosikal kesayangannya tatkala dia melihat Aqil dan Inara sedang seronok bermain kejar-kejar di laman rumah. Bibirnya mengukir senyuman manis, syukurlah sampai sekarang mereka masih hidup bahagia di rumah itu.
"Adik jangan berlari laju sangat! Nanti jatuh!" pesan Ammar dengan suara kuat kerana mereka sedang berada di pangkin bawah pokok mangga. Ammar pula berada di bawah rumah, jadi sedikit jauh.
Ammar menoleh ke kiri apabila dia melihat Faris datang ke rumah dengan menaiki motosikal. Semakin lebar senyuman yang terukir. Ammar bangkit lalu menyalam tangan Faris.
"Apa khabar kawan? Saja datang nak jenguk kau."
"Sihat Alhamdulillah! Amboi kau, sejak dah ada motor baru ni memang selalu pusing kampung eh? Aku ajak naik motor dengan aku kau tak nak?"
"Hahaha! Aku takut kau bawa laju lagi. Trauma dah jatuh dalam petak dengan kau 5 tahun lepas..." kata Faris dengan wajah yang trauma dan seram.
Punyalah laju Ammar bawa motor sampai mereka berdua terbabas ke dalam sawah orang, mujurlah padinya dah dituai. Kalau tidak, tak ke naya nak mengganti. Habis satu badan penuh selut!
"Abang Faris! Marilah main!" ajak Aqil sambil dia berlari dari dikejar oleh Inara.
"Tak apa, mainlah! Abang nak jumpa Along kau orang ni!" Faris pergi ke sebelah Ammar dan mendudukkan dirinya.
Mereka berdua termenung sambil angin sepoi-sepoi bahasa meniup ke wajah.
"Dah besar dia orang berdua tu. Rasanya hari tu baru je diaorang umur darjah satu dengan lima tahun..." luah Faris dengan senyum. Rasa macam sekejap benar masa berlalu.
"Kau tahu tak kenapa aku sayang mereka berdua, terutamanya Aqil?"
"Kenapa?"
"Sebab sendiri jadi saksi macam mana orang-orang sekeliling mengata mak aku..." Ammar memejamkan matanya cuba mengingat semula apa yang berlaku hampir tujuh tahun lalu.
◆◆
Ammar tidak dapat menahan rasa gembira ketika dia mendapat tahu bahawa Puan Amirah mengandung lagi. Dua tahun selepas melahirkan Inara.
Remaja 14 tahun itu pulang ke rumah dengan perasaan yang gembira selepas Encik Hamzah mengambilnya pulang sekolah dan memberitahu berita yang menggembirakan itu.
Baru saja Ammar ingin melangkah masuk ke dalam rumah, dia terdengar suara seseorang dengan kuat mengutuk ibunya.
"Kau sedar diri tak? Kau dengan Hamzah tu orang miskin! Asyik-asyik beranak je, lepas si Inara, sekarang kau mengandung lagi. Lepas tu tahu pula nak minta pinjam duit dengan aku bila tengah susah? Kau ingat aku ni kerja cop duit?"
Aziah memarahi Puan Amirah. Asyik nak meminjam duit saja dengan dia.
"Kak... untuk bulan ni saja. Lagipun Abang Hamzah tak dapat lagi gaji dia kerja kilang tu. Nanti lepas dapat saja gaji, kami bayarlah semula. Abang Hamzah tak pernah tak bayar hutang tu kan?"
"Hutang aku bulan sudah bila kau nak bayar? Tak pernah tak bayar konon!"
"Baru bulan ni dengan bulan lepas je Abang Hamzah tak bayar... janganlah hina kami sekeluarga macam ini..." air mata sudah menuruni pipi Puan Amirah. Sampai hati kakak kandungnya sendiri menghina mereka sekeluarga. Hina sangatlah?
"Cis! Air mata kau tu takkan boleh bagi duitlah! Itulah, dah tahu keluarga miskin nak juga mengandung. Orang mengandung, dia pun sama sibuk nak mengandung. Nah ambil duit kau!" Aziah mengeluarkan beberapa keping not 50 dan dicampakkan pada Puan Amirah.
"Kak! Boleh tak jangan kurang ajar dengan adik sendiri!" Encik Hamzah tidak dapat menahan amarah apabila melihat isterinya dilayan sebegitu rupa oleh kakak kandung sendiri.
Dia masuk ke dalam, duit yang dicampak dikutip semula dengan cepat. Encik Hamzah memberikannya semula pada Aziah.
"Kak, kalau kau rasa kami ni bergantung hidup dengan kau, mulai hari ini tak payah pinjamkan duit lagi! Aku akan bayar hutang kau bulan lepas. Kau berambus dari rumah ni dan jangan tunjuk muka kau dekat sini selagi Amirah tak maafkan kau! Berambus!"
Encik Hamzah menolak kasar Aziah sehingga dia keluar dari rumah kayu itu. Pintu ditutup dengan rapat.
"Kau orang anak beranak memang menyusahkan aku!"
Puan Amirah yang masih menangis dipeluk oleh Ammar dengan erat. Dia paling tidak suka melihat ibunya menangis.
"Mak janganlah nangis... nanti baby pun sedih..."
Encik Hamzah pun turut sama memujuk Puan Amirah, "Sabar ya, ujian Allah memang akan datang pada hamba-Nya yang terpilih... tak payah pedulilah semua tu. Yang penting keluarga kita bahagia."
Walaupun masih bersedih, namun Puan Amirah memaksakan dirinya untuk tersenyum. Dia lega mempunyai suami dan anak yang sangat memahami keadaannya.
◆◆
"Kejam gila Mak Long kau!" Faris menggenggam penumbuknya, dia pernah terjumpa dengan Aziah semasa kenduri tahlil beberapa tahun lepas. Tak sangka pula dia sejahat itu.
"Aku takut Faris... kalaulah Aqil membesar dengan suasana yang tak sihat, nanti dia pun akan sedih dan mengenang nasib diri... aku tak mahu semua itu berlaku. Sebab itulah semua adik-adik aku termasuklah Kak Long semuanya aku sayang..."
"Betullah tu, kau memang manjakan dia orang." Faris mengiakan kata-kata Ammar. Dia nampak semuanya dari kecil sampailah sekarang, Ammar memang menyayangi semua adik-adik.
"Bukan setakat manja, tatang dengan minyak yang penuh pun aku sanggup. Asalkan mereka tak hidup susah macam mana sekarang, biarlah mereka jadi orang yang pandai dan berjaya bila dewasa nanti. Bolehlah aku tumpang gembira dan balas jasa mak dengan ayah." Ammar memandang ke arah Aqil dan Inara dengan pandangan yang tidak dapat diertikan.
"Kau manusia yang baik Am... InshaAllah Allah akan membalas apa yang kau buat ini dengan pahala dan ganjaran dunia yang berlipat ganda." Faris menepuk lembut paha Ammar dengan senyum nipis.
"Aamiin."
◆◆
"Kak Long... kau cuba tengok Along tu, asyik-asyik kerja. Kadang-kadang aku cubalah nak tolong dia kerja lepas habis sekolah, tapi dia tak pernah bagi izin."
"Memanglah, sebab dia nak kita ni berjaya. Jadi orang pandai dan tak ikut jejak dia..." ujar Maisarah, tangannya memegang sebatang pen menyiapkan kerja sekolah subjek Matematik yang dimahiri.
"Kau tak nak buat sesuatu ke untuk Along? Asyik dia je usaha untuk kita. Takkanlah tak ada apa-apa kita nak bagi dia? Tolonglah Kak Long, fikir sesuatu. Kau sebagai pelajar cemerlang."
Maisarah mengiakan, betul juga kata Zafran. Ammar tak pernah meminta apa-apa dan tak pernah dibalas dengan apa-apa. Kasihan juga.
"Hari jadi Along 11 Mei ni kan? Apa kata kita surprise kan dia? Kita beli kek, lepas tu kita sambutlah hari jadi Along!"
Zafran mengangguk laju, "Bernas cadangan kau Kak! Aku kebetulan duit simpanan yang Along kasi setiap hari tu, bolehlah guna!"
Maisarah dan Zafran membuat aksi give me five sesama sendiri. Tak sabar nak tengok reaksi Along!
(1032 Words)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro