Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

𝐊𝐀 | 07

FARIS dan Halim dah sampai di hospital tempat Syukri dibawa. Apabila mereka sampai di depan wad, kelihatan Ammar dan Inara sudah duduk di kerusi menanti kedatangan mereka.

"Ammar, macam mana keadaan anak abang?" soal lelaki yang berusia 36 tahun itu.

"Jangan risau, doktor cakap anak abang selamat. Cumanya kaki dia patah dengan kepala dia luka sikit. Owner kereta yang langgar dia ada tinggalkan nombor telefon dekat saya, kata dia nanti suruh abang telefon kalau ada apa-apa masalah." Ammar menyerahkan sehelai kertas dimana tertera nombor telefon di dalamnya.

"Alhamdulillah terima kasih, abang tak tahu nak cakap macam mana. Banyak sangat dah yang kamu tolong Syukri, abang minta maaf sangat-sangat atas apa yang dia buat dekat adik kamu tu..."

"Tak apalah bang, saya tak ambil hati. Cumanya nanti, didiklah dia dengan betul-betul. Bagi perhatian lebih sikit, saya tengok Syukri tu baik. Cuma mungkin dia kurang kasih sayang dan perhatian dari abang... sebab tu dia ikut lumba haram."

"Begitulah, sejak abang cerai dengan isteri abang... dia dah berubah, asyik buat hal dia sendiri saja. Pasal dia buli adik kamu pun abang baru je tahu..."

Halim menundukkan kepalanya kerana malu, serentak dalam perjalanan tadi, Faris sempat memberitahu Halim mengenai apa yang dibuat oleh Syukri pada Zafran ketika di sekolah.

Halim juga merupakan orang yang mengusahakan kedai makan di kampung itu, kiranya adalah duit sedikit. Tidaklah kaya, cuma lebih mampu dari Ammar dan keluarganya.

"Bang... yang lepas tu biarkan lepas. Sekarang ni abang kena jaga Syukri, tanggungjawab abang perlu dijalankan. Didiklah dia elok-elok."

"Abang malu dengan kau..."

"Kecil saja pertolongan saya tu, hari ini hari abang... manalah tahu esok lusa hari saya perlukan pertolongan, dapatlah abang tolong saya." Ammar tersenyum sambil tangannya menepuk bahu memberikan semangat pada Halim.

◆◆

2 tahun kemudian (Januari, 2007)...

"Along dah lama menyimpan duit. Jadi untuk hari ini, disebabkan adik Along yang disayangi dah mula masuk darjah 1, Along nak hadiahkan kamu semua pakaian baru!"

Ammar dan adik-adiknya yang lain baru saja sampai ke pekan tempat di mana macam-macam benda dijual di sana termasuklah pakaian. Mereka menaiki bas dari kampung sehingga ke pekan, ambil masa 2 jam juga nak sampai.

"Yeay! Baju baru, aku memang dah lama nak pakai baju sekolah baru tahu!" Zafran menyambut dengan keriangan.

Maisarah tidak berkata apa-apa, senyuman diberi kerana dia sudah bersyukur dengan apa yang ada sekarang.

Dua anak-anak kecil itu tidak perlu diberitahu, memang gembira sakan!

"Yeay! Along baik! Along baik!" sahut Aqil dan Inara secara serentak. Memang terbaiklah Along ni! Sorak mereka dalam hati.

"Setiap seorang dari kau orang boleh pilih sepasang baju sekolah dengan seluar. Along bagi kebebasan untuk kau orang pilih, tapi ingat! Dalam kedai ni saja tahu, kalau ada lebih kita pergi makan sama-sama ya?"

"Baik Along!"

Ammar berjalan-jalan seketika di sekitar kedai untuk melihat-lihat baju yang ada di situ. Semua baju sekolah itu nampak elok dan baru. Ammar mahu semuanya baru dan boleh dipakai dengan kemas.

"Kak Long? Kenapa tak pilih baju?" Ammar melirik ke arah Maisarah yang tidak memilih apa-apa.

"Aku... tak naklah long."

"Kenapa pula? Baju sini semuanya tak kena dengan apa yang Kak Long nak ke?" soal Ammar dengan sedikit lurus bendul. Dia bukannya reti sangat pasal selera orang perempuan ni, takut ada yang tidak kena ke apa.

Risau juga.

"Ish! Mana adalah, aku okay je. Cuma... mahalnya baju-baju ni semua. Tak menyusahkan kau ke? Aku... tak kisah nak pakai baju lama long. Bukannya aku tak biasa dengan baju seluar lama tu."

Ammar menjentik dahi Maisarah dengan niat bergurau, ketawa kecil kedengaran dari mulut Ammar.

"Along bukannya sengaja nak ajak kamu semua datang beli baju baru kalau Along tak ada duit. Ingat Along tak tahu? Kamu tahun ni jadi ketua pengawas sekolah kan? Cikgu Harun ada telefon Along pagi tadi, sebab itulah Along nak adik-adik Along semuanya pakai baju baru! Terutamanya kamu."

Ammar mencubit pipi Maisarah dengan perlahan sebelum dia menolak bahu Maisarah ke arah bahagia baju dan tudung sekolah perempuan.

"Janganlah rasa malu, Along ada duit."

Lama Maisarah berfikir sebelum dia perlahan-lahan mengangguk, kalau Ammar dah berdegil begitu, takkanlah dia nak menolak.

◆◆

"Ammar, macam mana dengan adik-adik you? Dapat baju sekolah baru ka?" Tauke Chong datang dan bertanyakan khabar Ammar ketika waktu rehat tengahari.

"Terima kasihlah Tauke. Adik-adik saya semuanya gembira malam tadi sebab dapat baju sekolah baru. Lagi-lagi si Maisarah, dia kan ketua pengawas sekolah tahun ni. Jadi saya kenalah bagi yang terbaik untuk dia, biar semangat nak jalankan tanggungjawab!"

"Bagus-bagus! Ini macamlah yang wa suka. Apa itu orang Islam cakap? Orang yang buat pahala... itu Allah bagi sama you syurga."

Ammar pula yang terkejut mendengar Tauke Chong berkata begitu. Beragama benar bunyinya.

"Aih Tauke? Rasa nak log in ke?" soal Ammar dengan ketawa besar. Dia memang suka bergurau dengan semua orang tak kira usia.

"Log in apa? Wa punya office mana ada itu komputer."

Ammar tergaru-garu kepala, nampaknya orang tua ini tak faham dengan lawak aku tadi. Tak apalah...

"Apa-apa pun, terima kasih ya Tauke sebab dah banyak sangat bantu keluarga saya. Kalau tak kerana avengers yang Tauke bagi, memang duit dalam simpanan bank tak cukup."

"Nanti, nanti... avengers apa? Itu Hulk dengan Iron Man ka?"

"Alah Tauke... yang duit Tauke bagi sebelum dapat gaji itu harilah!"

"Itu advance lah! Haiyaa! Nasib baik you tak ada sebut Captain America. Apalah you ni! Sama saja dengan arwah Hamzah, selalu salah sebut."

Kedua-dua mereka gelak ketawa kerana masing-masing punya perangai.

(905 Words)

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro