𝐊𝐀 | 06
AMMAR duduk di sebelah Zafran. Dia sendiri pun tidak pasti apakah reaksi yang diberikan oleh abangnya sekarang.
Marah? Kecewa? Sedih? Dia tak nampak semua itu pada wajah Ammar.
"Begini Ammar... selepas saya meneliti tentang pergaduhan adik kamu ini... sebenarnya dia buat kerana rasa marah kerana diejek. Pendek kata, Zafran tidak bersalah."
"Alhamdulillah, lega saya bila cikgu cakap macam itu." Ammar memegang tangan Zafran dengan erat. Dia sangat risau jika Zafran sudah mula bergaduh di sekolah kerana sebab lain. Rupanya bukanlah dia punca.
"Cikgu... boleh tak saya nak buat permintaan sikit?" soal Ammar kepada pengetua lelaki itu.
"Permintaan apa?"
"Saya... bodoh dalam belajar. Sekolah pun tak sempat nak habis. Jadi... jika adik saya ada buat salah di sekolah, janganlah segan-segan nak berikan apa-apa hukuman. Sebab saya sedar... saya tak mampu nak hukum mereka. Boleh ya cikgu?"
"InshaAllah,"
Ketika di luar sekolah, Ammar menghulurkan helmet kepada Zafran untuk dipakai. Sebelum mereka hendak beredar, Syukri datang menahan motosikalnya.
"Benda ni takkan habis di sini... aku tak puas hati dengan kau orang berdua... tengoklah!"
Ammar menggeleng kepala, "Nama siapa? Syukri kan? Abang nak pesan... tak guna berdendam dengan sesuatu yang kita sendiri lakukan. Abang takut suatu hari nanti... bukan keluarga kaya kamu, dengan orang miskin macam kami pula yang kamu datang nak minta tolong..."
Ammar dan Zafran dengan segera beredar dari situ kerana tidak mahu melayan karenah Syukri lagi. Jika dilayan bukannya semakin baik, semakin parah adalah.
◆◆
"Along... kenapa kita hidup macam ni! Aku tak boleh terima dengan hinaan yang dia orang cakap pada kita!"
Ammar menenangkan Zafran yang sedikit beremosi. Bukan sengaja dia menegur Zafran tadi, kerana dia sayangkan adik lelakinya itu.
"Along faham... tapi semua ini terjadi kerana Allah nak menguji hamba-Nya. Dia tahu kita hamba yang kuat, jadi Dia nak uji kita dengan semua ni. InshaAllah suatu hari nanti kita akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda nilainya di dunia dan akhirat kelak."
"Aku malu dengan kata-kata orang. Mereka cakap kau lemah, kau lembik, kau senang orang ambil kesempatan, kau macam-macam lagi! Mereka kata aku anak yatim piatu, orang miskin tak layak belajar tinggi! Aku benci semua ni!"
"Shhh..." Ammar menarik Zafran masuk ke pelukannya, ubun-ubun kepala remaja itu dicium dengan air mata yang bertakung. Namun suaranya dikawal agar tidak terdengar seperti Ammar sedang menangis.
"Kalau kamu bencikan hidup seperti ini... kamu belajarlah rajin-rajin, usaha dengan bersungguh-sungguh agar kamu tinggalkan dunia miskin dan hina ini..."
Zafran mengangguk perlahan sebelum dia mendongak dan menatap wajah bersih Ammar.
"Along, nanti aku dah kaya... tak payah duduk rumah lama ni lagi. Kau duduk je dengan aku, semuanya aku akan tanggung."
"Along tak apa, dah biasa hidup susah. Kamu tu, jangan lupa pulihkan semula hidup kamu."
"Terima kasih Along..."
◆◆
Dua minggu kemudian...
"Yeay! Along bawa pergi pasar malam! Nara nak beli taki!" kata Inara riang apabila Ammar membawa dia pergi ke pasar malam kampung. Sudah berapa lama mereka tidak pergi ke sana.
"Taki tu apa? Along tak tahulah, makanan baru ke?" soal Ammar sambil mengendalikan motosikalnya dengan cermat melalui celah kereta dan motosikal lain di sekitar jalan.
"Along ni! Tak syoklah! Semuanya tak tahu... itulah yang bentuk bola-bola, ada inti sotong tu!"
Ammar ketawa dengan kuat apabila dia mengerti apa yang dimaksudkan Inara, "Itu takoyaki lah! Hahaha! Patutlah Along tak tahu, apalah Nara ni, itu pun salah sebut. Tak malu!"
Inara yang duduk di belakang Ammar sambil memeluk pinggangnya berkata, "Hmph! Tak nak kawan Along! Gelakkan Nara ya! Nara majok!"
Ammar ketawa kecil lagi, nak saja dia mencubit pipi anak gadis itu, nasib baik dia duduk di belakang dan bukannya depan.
"Ya lah, nanti Along belanja taki banyak-banyak ya?"
Hilang terus rajuk si comel itu, "Along janji eh! Jangan tipu."
"Ya, jangan sampai haus poket Along dibuatnya sudahlah," kata Ammar dengan senyum kecil, hari ini juga dia mendapat sedikit gaji dari Tauke Chong. Jadi dapatlah dia belanja Inara sekali-sekala.
Namun, apabila motosikal Ammar melalui celah kereta, pergerakan kereta semakin melambat. Dia melihat ada beberapa orang keluar dari kereta ingin ke depan.
Ammar menahan seorang lelaki yang kebetulan berada di situ, "Kenapa dekat depan tu ramai orang?"
Lelaki itu menggelengkan kepala, "Syukri anak si Halim eksiden motor. Katanya lumba haram, tak sempat nak belok kiri terus kena hentam dengan kereta, dia orang cakap masih hidup tapi cedera."
Patutlah ramai orang.
Ammar melajukan motosikalnya ke hadapan, Inara yang berada di belakangnya juga disuruh untuk memegang kuat-kuat.
Sampai sahaja di situ, Ammar mengarahkan Inara untuk duduk di atas motosikal dan menunggunya. Ammar terus berlari anak ke lokasi kemalangan dan memeriksa keadaan remaja itu.
Boleh dilihat kepala dan kaki Syukri berdarah.
"Tolong telefon ambulans sekejap." Ammar mengarahkan seorang lelaki yang memegang telefon untuk mencari bantuan.
Matanya memandang ke arah Faris, kebetulan betul dia terjumpa sahabatnya di situ, "Faris! Mari sini kejap tolong aku!"
Faris yang melihat seluruh kejadian terus berlari ke tempat kejadian, "Ya Allah, apa jadi ni Am. Bukan ke ni Syukri budak yang satu sekolah dengan adik kau tu?"
"Ya, nampak macam teruk cedera ni. Kau bawa kereta kan? Kau pergi rumah Abang Halim, cakap anak dia kemalangan. Kau hala terus ke hospital tahu! Kejap lagi ambulans sampai bawa budak ni ke hospital."
"Okay kejap!" Faris terus meninggalkan lokasi menuju ke keretanya.
Sementara itu, Ammar melutut di sebelah remaja itu, tangannya menepuk perlahan tubuh Syukri bagi memastikan dia tidak hilang kesedaran.
"Syukri, ni abang ni! Jangan tidur tahu, sekejap lagi bantuan sampai! Sabar sekejap ya."
Ammar tidak tahu apa yang remaja itu nampak dan rasa sekarang, harganya dengan sedikit bantuan, dapatlah dia menyedarkan Syukri yang kelihatan sedang nyawa-nyawa ikan itu.
'Ya Allah, selamatkanlah Syukri dari bencana-Mu. Ibu bapa dia masih lagi memerlukan dia... ampunilah dosa-dosanya.'
(925 Words)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro