Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

𝐊𝐀 | 05

"ALONG, kenapa Allah ambil mak dengan ayah?" soalan yang tidak dijangka keluar dari mulut Aqil. Anak kecil itu duduk bersandar di sisi Ammar.

Mereka berdua duduk di atas sebab pangkin di sawah berdekatan rumah, sedang memancing ikan puyu. Bolehlah buat pekasam, sedap!

"Hmm, Along tak adalah pandai agama nak menjawab soalan adik ni..." Ammar tersengih sambil dirinya cuba memikirkan jawapan yang kedengaran mudah untuk diterima oleh seorang kanak-kanak berusia lima tahun.

Ammar memandang ke langit senja yang berwarna jingga sebelum beralih semula kepada Aqil.

"Okay, adik tahu tak kenapa cikgu tadika adik suruh balik rumah selepas waktu tengahari?"

Aqil mengangguk kecil sebelum dia menjawab, "Sebab dah habis masa dekat tadika?"

Ammar tersenyum, mengusap kepala Aqil dengan lembut. "Macam tu jugak dengan mak dan ayah. Allah panggil mereka balik sebab masa mereka dekat dunia dah habis. Mereka dah buat banyak benda baik, jadi Allah nak bagi mereka rehat dekat tempat yang lebih best, lebih cantik dari rumah kita."

Aqil berkerut dahi mendengar penjelasan Ammar. "Tapi... kenapa Allah tak bagi mereka duduk dengan kita lebih lama?"

Ammar tersenyum simpul, "Sama macam bila adik main dekat taman... Kalau main lama sangat, kita rasa letih, kan? Lebih kurang macam itulah Allah panggil kita balik, sebab Allah sayangkan kita. Macam tu jugak mak dan ayah. Allah sayang mereka, sebab tu Dia ambil mereka dulu."

Aqil terdiam sekejap, kemudian memeluk lengan Ammar dengan lebih erat.

"Nanti kita jumpa mak ayah balik, kan?"

Ammar membalas senyum, menarik adiknya masuk ke dalam pelukan. "Mestilah! Kalau kita jadi anak yang baik, kita akan jumpa mereka balik dekat syurga. Di sana, tak ada rasa sedih lagi."

"Jumpa Along sekali kan?"

Ammar memandang Aqil dengan pandangan tertanya-tanya, "Kenapa pula Along, mak dengan ayah kan lebih penting. Along ni siapa saja dalam dunia ini..."

"Along yang jaga adik! Mana boleh Along cakap macam tu! Adik janji dengan Along, akan jaga Along bila adik dewasa nanti..."

"Macam itulah adik Along! Sayang busyuk masyam Along ni!" Ammar mencium-cium wajah dan badan kecil Aqil sehingga anak itu ketawa kerana geli.

◆◆

Zafran membawa buku-buku yang berkaitan dengan subjek sains ke makmal. Lagi dua minit masa Sains yang diajar oleh Cikgu Asyikin akan bermula. Jadi dia tak mahu lambat.

"Weh, budak yatim piatu tengah buat rajin lah!" ejek seorang murid lelaki berusia 14 tahun bernama Dani.

"Tengoklah tu, dengan bawa bukunya lagi. Bajet pandailah tu!" sampuk rakannya, Aiman dengan pandangan sinis.

"Tak ada mak bapak, sibuk nak sekolah lagi. Pergilah tolong abang kau tu, kesian aku tengok, kerja kilanglah, nelayanlah, macam orang tak ada masa depan! Hahaha!" yang ini senior sikit, Syukri. Tua setahun dari dua orang tadi.

Akibat tidak tahan terus diejek, pandangan Zafran menyinga ke arah mereka, "Kau apahal!"

Buku teks Sains yang ada di tangannya semakin kuat digenggam. Amarah perlahan-lahan memuncak, apatah lagi jika melibatkan mak ayah.

"Tak ada apa. Mesti sedih jadi kau, hidup tak ada mak bapak. Ada abang pun, lemah! Mudah orang nak ambil kesempatan."

"Hidup aku tak payah sibuklah!" Zafran menoleh semula ke depan ingin berjalan meninggalkan mereka.

Namun, "Weh, tengoklah kasut dia! Kasut pun dah lekang, miskinnya dia!" Dani menambahkan perisa sebelum disambung pula oleh Aiman,

"Entah-entah dekat rumah diaorang makan makanan kucing! Ke anjing? Hahaha!"

PAK!

Buku teks dan segala macam buku yang ada di tangan Zafran dihempuk tepat atas kepala Aiman dengan kuat. Pelajar-pelajar dan guru yang ada di situ semuanya terkejut, sehingga yang ada dalam kelas juga turut keluar untuk melihat.

"Kau memang cari pasal dengan aku kan!" Zafran terus melompat ke atas Dani dan menumbuk mukanya dengan kuat. Syukri tidak memberikan peluang, melihat rakannya dipukul, dia juga turut sama bergelut dengan Zafran.

Zafran mencengkam baju Aiman sehingga terkoyak di bahagian lengan, jeritan kemarahan bergema di kawasan koridor sekolah itu.

"Zafran! Aiman! Dani! Syukri! Sudah jangan bergaduh lagi!" Muncul seorang cikgu disiplin yang cukup terkenal satu sekolah, iaitu Cikgu Harun.

Ada dua tiga orang pelajar lain di belakang Cikgu Harun datang untuk menahan mereka dari terus bergaduh, antaranya ialah Maisarah yang merupakan pengawas sekolah.

"Angah sudahlah tu!" Maisarah menarik bahu Zafran sehingga dia berdiri.

"Sudah apa! Aku tak boleh sabar dengan dia orang! Dia hina kita Kak Long!"

"Angah!" Maisarah bersuara dengan lebih lantang menyuruh dia untuk mendiamkan diri.

Cikgu Harun yang melihatnya, "Saya akan panggil ibu bapa kau orang semua! Termasuk abang kamu, Zafran!"

Dani, Aiman dan Syukri pasrah mendengarnya. Begitu juga dengan Zafran. Setelah dipastikan keadaan kembali tenang dan ramai murid disuruh bersurai ke kelas masing-masing. Barulah Cikgu Harun memberi arahan.

"Ikut saya ke pejabat pengetua sekarang."

◆◆

Habuk-habuk kayu yang bertaburan di seluruh baju dan seluarnya disapu sehingga bersih. Peluh diseka dengan kain sapu tangan yang dibawa. Penat juga seharian bekerja di kilang ini. Mujurlah sudah tengahari, bolehlah dia berehat sekejap sementara tunggu waktu bekerja semula.

Kaki yang terasa kebas-kebas diurut. Sejak selepas mak dan ayah meninggal dunia, semakin kuat dia bekerja sehingga tak sempat nak duduk. Kakinya sampai kerap kali kebas.

"Ammar, ini ada orang cari sama you." Tauke Chong datang ke arah Ammar yang sedang duduk. Telefon berjenama Nokia 1100 dihulurkan kepada Ammar.

"Terima kasih Tauke," Ammar mengambil telefon di tangannya dan diletakkan pada telinga. Ammar memang tidak ada telefon bimbit sendiri. Yang ada hanyalah Maisarah, hadiah dari arwah Encik Hamzah kerana dia mendapat keputusan cemerlang PT3 tempoh hari.

Jadi Ammar akan memberikan nombor Tauke Chong kepada mana-mana orang penting termasuklah pihak sekolah.

"Assalamualaikum, ya saya Ammar Haziq abang kepada Zafran. Kenapa ya? Bergaduh, Astaghfirullahalazim. Baiklah nanti saya akan sampai di sana."

Tauke Chong yang kelihatan tertanya-tanya terus ingin tahu, "Kenapa itu cikgu sekolah cari you."

"Zafran... bergaduh dekat sekolah. Tauke, boleh tak saya minta izin nak keluar sekejap. Mungkin saya akan lewat sikit masuk kerja, tak apa ke?"

"Haiyaa! Wa sudah anggap you macam anak sendiri. Pergi saja, nak masuk pukul berapa pun tak apa." Tauke Chong mengambil semula telefon bimbit itu. Dengan mudah dia memberikan izin kepada Ammar.

"Terima kasih. Saya pergi dulu!" Ammar berlari ke arah motosikal, helmet dipakai sebelum enjin motosikalnya dihidupkan. Ammar beredar dari kilang dalam perjalanan ke sekolah.

(1004 Words)

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro