𝐊𝐀 | 02
AWAL pagi pukul 6:30 pagi, Ammar sudah bersiap-siap dengan motosikal kapcai milik arwah Encik Hamzah. Dia ingin menghantar semua adik-adiknya ke sekolah.
"Kak Long, meh Along hantarkan kamu dulu. Sekolah kamu yang paling dekat."
Maisarah tanpa rasa malu terus memanjat tempat pijak kaki belakang motosikal itu, beg diletakkan di dalam raga besi hadapan.
"Angah, siap-siap dulu ya. Nanti Along datang semula ambil kamu," pesan Ammar pada Zafran dengan senyuman.
"Tapi Along, aku nak pergi jalan kaki tak boleh ke?"
"Kenapa pula? Motor ni elok lagi. Tak adanya nak mati tengah jalan pun. Sudah, nanti Along mari ambil ya." motosikal dipulas minyaknya meninggalkan rumah.
◆◆
"Kak Long, belajar rajin-rajin ya? Lagi dua tahun nak periksa SPM kan?"
"Aku janji... nanti aku akan balas jasa kau long." Maisarah memandang Ammar dengan mata yang berkaca. Apa yang diusahakan Ammar merupakan jasa yang tidak mungkin dia lupakan.
"Iyalah, Along pergi dulu." Ammar menghulurkan tangannya sebelum dicium oleh Maisarah. Dia melambaikan tangan ke arah Ammar sebelum motosikalnya hilang dari pandangan mata.
Dia perlu berusaha mengejar cita-citanya.
◆◆
"Along! Malulah orang tengok nanti." Zafran menutup mukanya dengan bahagian belakang baju Ammar. Bukan main laju lagi Ammar memecut motosikal itu, mujurlah tak jatuh.
"Hehehe, saja lepas gian. Kamu belajar rajin-rajin ya. Nanti tak payah naik motor dengan Along dah." Seloroh Ammar dengan tawa kecilnya. Suka dia mengusik adik lelakinya yang satu ini.
"Ya aku janji. Bye Along!" Zafran terus melangkah masuk ke pintu pagar sekolah. Sekolah dia sama dengan Maisarah, jadi tidaklah Ammar perlu menghantar mereka ke tempat yang berlainan arah. Mudahlah nanti.
Ammar membalas dengan senyuman sebelum dia membelokkan motosikalnya ke arah berlawanan dan meninggalkan perkarangan sekolah. Waktu sudah menunjukkan pukul tujuh pagi.
◆◆
"Yeay! Best lah naik motor dengan Along! Nara suka!" Nadia Inara, usianya baru memasuki darjah satu memegang rapat pinggang Ammar. Angin yang lalu meniup ke pipi merah yang berseri. Turun sama dari arwah maknya.
"Laju kan!" Ammar ketawa sebelum memulas minyak dengan lebih laju agar angin yang dirasakan semakin kencang.
"Adik suka! Angin laju!" Aqil yang berada di dalam raga motosikal menjerit keriangan. Seronok dia dapat menikmati angin sejuk di pagi hari.
Selama ini kalau Aqil dihantar ke tadika, memang dia akan naik kereta dengan arwah Encik Hamzah. Kata ayahnya, motosikal itu untuk kegunaan Along pergi kerja.
Deruman enjin motosikal bergema dalam keheningan pagi, memecah kabus yang masih berlegar di permukaan jalan. Dia memulas pendikit, merasai hembusan angin yang membawa aroma embun dan tanah basah.
Keseronokan yang sederhana namun memberi makna.
◆◆
Setelah Aqil dihantar ke tadika, giliran Inara untuk dihantar ke sekolah rendah kampung itu, tangan kecilnya dipimpin erat oleh Ammar menuju ke pagar sekolah.
Inara memang sudah terbiasa dipanggil Nara oleh semua adik beradiknya yang lain.
"Nara... besar nanti Nara nak jadi apa?" Ammar melirik ke arah anak kecil itu dengan senyuman manis semanis air gula.
Inara berfikir, dengan jari kecilnya naik memegang kepala seolah-olah sedang berfikir dengan sangat tekun.
"Nara nak jadi doktor! Nanti kalau Along sakit, Nara akan tolong dan rawat Along!"
"Doktor ya! Bagus cita-cita Nara, meh sini cium sikit!" Ammar mengangkat tubuh gadis kecil itu dan mencium pipinya beberapa kali sebelum diturunkan. Inara ketawa kerana geli dan juga terhibur dengan layanan penyayang Ammar terhadapnya.
"Nara... belajar elok-elok. Apa saja Nara nak jadi, Along sentiasa sokong. Asalkan tak buat kerja-kerja yang Tuhan marah. Faham?"
"Okay Along! Roger!" Inara mengangkat sebelah tangannya ke kepala, seolah-olah sedang memberi tabik hormat kepada tentera yang tinggi pangkatnya.
"Pandai! Along pergi dulu ya."
Lambaian diberikan sebelum dia berjalan ke arah motosikal yang diparkir luar pagar sekolah.
◆◆
Baju yang telah dipakai dikumpulkan dan dibawa ke dalam bilik air, lalu dimasukkan ke mesin basuh. Ammar tidak suka hendak menyusahkan mereka membasuh segala baju-baju yang ada.
Jadi Ammar tidak malu untuk membantu. Biarlah orang kata dia memanjakan adik-adiknya, asalkan kasih sayang mereka terhadap Ammar tidak pudar.
"Assalamualaikum!"
Ammar kenal dengan suara itu, nampaknya ibu dan bapa saudara dia datang ke rumah. Mesti nak cerita pasal perkara yang hendak dibincangkan kelmarin dahulu.
"Waalaikumsalam. Mak Long, Pak Ngah rupanya. Eh, Ayah Su dengan Ayah Long pun ada?" Ammar keluar dari pintu belakang rumah, dan pergi untuk menyambut mereka. Terkejut jugalah apabila dia melihat adik-beradik sebelah ayahnya pun ada datang.
Azhar dan Rashid merupakan saudara sebelah arwah Encik Hamzah. Mereka selama ini tidak begitu mencampuri urusan keluarga Ammar, jauh lagi hendak berbaik-baik.
Mereka dipelawa masuk ke dalam rumah, Ammar datang dari dapur membawakan teko teh dan cawan untuk mereka minum.
"Maaflah ya, Am tak sempat nak masak tadi."
"Tak apalah, kami ni datang ada perkara penting nak bincang. Rasanya Mak Long kamu ni ada beritahu kot masa majlis tahlil itu hari." jawab Ayah Su sambil jarinya bermain-main dengan batu di cincinnya.
Ammar hanya melihat dengan senyum simpul, adik-beradik mak dan ayahnya ini bukan main kaya lagi. Telefon yang dipegang oleh Mak Long itu pun keluaran paling terbaru dalam pasaran dan sudah tentunya tidak mampu untuk Ammar membelinya.
"Kami ni dah buat keputusan, apa kata kamu serahkan adik-adik kamu kepada kami untuk dijaga. Lagipun... kasihan pula dengan kamu kena jaga mereka,"
Kerutan dahi di wajah Ammar jelas menunjukkan bahawa dia tidak menyukai dengan cadangan itu.
Dengan keluhan, dia membalas hasrat mereka, "Minta maaf ya, Mak Long, Pak Ngah, Ayah Su, Ayah Long. Am tak boleh nak setuju dengan cadangan ini."
Begitu Ammar berkata demikian, langsung berubah reaksi mereka semua. Terutamanya Aziah.
"Cis... berlagak ya kamu sekarang? Ingat gaji kerja kilang kayu tu cukup ke untuk kamu sekeluarga? Kamu mampu ke nak tanggung semua adik-adik kamu tu? Semuanya masih sekolah lagi." soal Aziah dengan sinisnya. Melampau benar gayanya itu.
"Allah ada dengan kami. Saya dah berjanji dengan arwah mak dan ayah yang saya akan jaga adik-adik dengan baik sampailah mereka dewasa. Am minta maaf sebab biadab dengan Mak Long dan yang lain-lain, tapi kalau tak ada hal lain. Boleh balik ya."
Teguran lembut Ammar itu tidak diterima baik oleh semua yang ada. Mereka semuanya melemparkan kata-kata yang tidak sedap didengari telinga pemuda itu.
"Berlagak betul, macam dia tu berharta sangat."
"Jom kak, tak guna duduk di sini." sampuk Hassan sebelum dia menarik tangan Aziah keluar dari rumah keluarga Ammar itu.
Tinggallah Rashid dan Azhar, "Am, kami tak nak ambil tahu pasal adik-adik kamu. Cumanya kami ada benda lain nak cakap,"
Ammar menggelengkan kepalanya, "Ayah Su dengan Ayah Long boleh lupakan saja niat itu. Sedangkan adik saya sendiri pun tidak saya benarkan untuk orang lain jaga. Apatah lagi tanah rumah ini."
Ammar faham benar dengan perangai semua adik-beradik ayah dan maknya itu, kalau tidak kerana wang dan perkara lain, bukannya nak sampai ke rumah ini.
"Baliklah, saya takkan izinkan. Geran itu ada dengan saya. Jadi lupakan..."
Azhar yang paling pantang apabila ada orang tidak mendengar cakapnya, "Kau jangan macam-macam Am... aku akan buat kau keluar dari rumah ini. Tengoklah nanti, geran tanah itu akan jadi milik aku!"
Dengan perasaan marah, Azhar dan Rashid keluar dari rumah, menaiki kereta dan terus beredar dari kawasan halaman rumah.
Helaan nafas ditarik dan dihembus beberapa kali. Sebab itulah, mak dan ayahnya tidak begitu berkenan apabila ada di antara anak-anaknya rapat dengan mereka.
Sebab semuanya mata duitan.
(1194 Words)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro