Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Awal musim sejuk 1996

SUASANA Senate House Library agak lengang. Hakimi menguap beberapa kali. Dia sebenarnya tawar hati untuk menyentuh buku rujukan di depannya.

"Kenapa aku tengok kau gelisah semacam? Ini tentu tak cukup tidur sebab buat ulang kaji." Fakru di depan mula terperasan sikapnya.

"Tak adalah, aku sebenarnya tak dapat tidur semalam tengah fikirkan sesuatu."

"Fikirkan sesuatu? Penting ke sampai tak boleh tidur?" soal Fakru semakin berminat. Kebiasaannya perangai Hakimi tidak sedemikian. Selalunya jika di kelas ataupun di pustaka ini, Hakimilah yang paling kelam-kabut menelaah, mengalahkan profesor yang sedang membuat rujukan. Sebab itu Fakru tidak hairan jika Hakimi merupakan antara salah seorang pelajar yang terbaik di kelas sehingga sering kali diberi pujian oleh pensyarah.

"Cuba kau bagi tahu aku, apa yang sebenarnya yang sedang bersimpul dalam kepala otak kau tu."

Hakimi menghelakan nafasnya panjang-panjang. Haruskah dia menceritakan masalahnya kepada Fakru sekarang? Kalau diceritakan, dia bimbang dia akan ditertawakan.

Anak mata Fakru masih sedang menacap wajahnya penuh penantian. "Cepatlah!"

"Sebenarnya mak aku telefon petang semalam. Dia nak... nak... " Mulut Hakimi terasa berat untuk bercerita. Bimbang Fakru akan mentertawakannya.

"Kau ini nak bagi tahu ke tidak?"

"Okeylah tapi janji kau jangan ketawa!"

"Okeylah aku janji."

"Mak aku telefon aku semalam. Dia... dia nak jodohkan aku dengan anak kawannya," ujar Hakimi penuh berhati-hati.

"Itu aje?" Fakru tergelak kecil, nasib baik sempat ditahan. Kalau tidak, tentu mereka berdua akan dihalau oleh pengawas yang sedang bertugas. Setelah menenangkan dirinya sendiri Fakru kembali memandang Hakimi yang nampak mati akal seperti orang yang tenggelam punca.

"Aku serius ni!" dahi Hakimi berkerut.

"Okeylah... okeylah, aku serius. Habis tu apa keputusan kau?"

"Itu yang tengah buat aku dok fikir ni. Aku tak tahu nak terima ke tidak."

Fakru memandang wajah Hakimi dengan perasaan berbaur. Geli hati, simpati semuanya bercampur. Dia tidak menyangka Hakimi begitu menggelabah bila menghadapi hal seremeh itu.

"Okey, sebelum itu aku nak tanya, kau dah ada buah hati ke tidak?"

Hakimi terus menggeleng. Takkan itu Fakru tidak tahu. Sudah tiga tahun mereka berkawan. Mungkin Fakru cuba mendapatkan kepastian dari mulutnya sendiri.

"Gadis yang mak kau cari tu kau kenal tak?"

"Seumur hidup aku pun tak pernah jumpa. Yang aku dengar dia hanya anak rakan arwah ayah angkat aku."

"Teruk juga kes kau ni... " Kini masalah Hakimi seperti hinggap di kepala Fakru. "Habis tu apa keputusan kau?"

"Entahlah, semalam aku dah buat solat sunat istikharah. Hati aku terasa berat untuk terimanya. Tapi... aku tak tergamak nak tolak permintaan mak aku. Walaupun dia mak angkat aku tapi dia dah aku anggap ibu aku dunia akhirat."

Fakru termenung sejenak. Memang dia mengetahui tentang latar belakang Hakimi sejak awal lagi. Dari tahun pertama dia sudah maklum itu semua.

"Secara jujur, aku pun rasa itu keputusan terbaik buat kau. Kau dikira beruntung sebab tak payah susah nak cari calon isteri. Ni dah ada orang tolong cari. Lainlah macam aku, tak ada orang nak," ujar Fakru, sekadar untuk meluahkan pendapatnya. Tapi yang berhak menentukan adalah Hakimi sendiri. Apa saja keputusan Hakimi dia akan sokong.

"Kau yang jual mahal. Aisyah yang syok dekat engkau buat tak layan." Giliran Hakimi mengejek.

"Aisyah tu lain, bukan macam wanita yang aku idamkan. Macam tomboy. Silap-silap aku kena penumbuk dia tiap-tiap hari kalau aku jadi teman lelaki dia."

Mereka sama-sama tergelak.

"Dahlah kita balik aje lagipun dah lewat ni."

Malaysia

TUAN HASAN mengelamun untuk seketika. Puan Suraya, isterinya sekadar memerhati gelagat suaminya. Dia sedar perkara itu melibatkan soal hidup anak tunggal mereka. Lamaran daripada Tengku Murni harus ditimbang baik-baik sebelum keputusan muktamad dikeluarkan.

"Macam mana pendapat awak?" Tanya Tuan Hasan.

"Saya ikut aje keputusan abang."

"Awak ni... saya tanya pendapat awak, boleh tak kita terima lamaran dari Kak Engku tu?"

"Kan saya dah bagi pendapat saya?"

"Saya bukan apa, Kak Engku dan arwah Abang Syed tu dah macam keluarga kita. Tanpa mereka, kita tak sampai ke tahap ni."

"Kalau abang dah kata macam tu, apa kata kita terima aja lamaran Kak Engku?" Puan Suraya menyuarakan pendapatnya dengan lebih yakin bila mengenangkan kata-kata suaminya.

"Saya fikir pun macam tu juga, tapi... ." Sekali lagi Tuan Hasan mengeluh panjang. Buntu.

Puan Suraya dapat mengagak masalah terakhir mereka sekarang. Persetujuan Suria, anak mereka memang penting.

"Kalau tentang Su, abang jangan bimbang. Biar saya aje yang pujuk dia." Puan Suraya cuba menenangkan kegelisahan suaminya.

"Tapi abang bimbang dia akan menolak. Nanti apa abang nak jawab pada Kak Engku," gusar juga Tuan Hasan bila memikirkan perkara tersebut. Anak manjanya kalau sudah membuat keputusan memang tidak boleh dicampur tangan.

"Begini aje, bang. Bila Su balik, kita ajak dia berbincang. Kalau dia minta tempoh kita bagi, tapi jika dia tak setuju juga nak buat macam mana, kita beritahu Kak Engku perkara yang sebenar. Buat apa nak malu? Kak Engku tentu faham."

Deruman enjin kereta yang kedengaran di halaman membuatkan gelisah mereka berdua semakin kuat. Itu enjin kereta Suria.

"Panjang umur budak tu, tentu dah balik dari kuliah. Abang cakap dengan Su elok-elok ya, bang!"

"Hai, mama... papa... " Suria yang baru pulang dari kampus melangkah masuk lalu menyertai kedua-dua orang tuanya. "Penat betul hari ni!" keluhnya.

"Banyak kuliah hari ni, Su?"

Suria menggeleng.

"Bang!"

"Awaklah!"

"Saya pula, kan tadi kita dah janji?" gerutu Puan Suraya seperti berbisik menyalahkan suaminya.

Suria kehairanan. Tidak pernah selama ini kedua-dua orang tuanya berkelakuan demikian.

"Okey... okey, cukuplah mama dan papa berbisik. Kalau ada perkara nak bagi tahu Su, baik cakap sebelum Su masuk bilik!"

Tuan Hasan dan Puan Suraya kembali tenang.

"Sebenarnya macam ni, Su. Mak Engku Murni tanya papa dan mama pasal Su," ujar Tuan Hasan agak berhati-hati dalam memilih kata kerana tidak mahu Suria menerima berita tersebut dengan mendadak.

"Tanya tentang Su? Tentang apa?" Dahi Suria mula berkerut. Sudah agak lama dia tidak bertemu dengan Tengku Murni kerana kesibukan pengajiannya.

"Dia nak tahu Su dah ada yang punya ke belum?" celah Puan Suraya untuk membantu suaminya.

"Baik mama dan papa cakap betul-betul, apa yang sebenarnya Mak Engku Murni nak?" Suria menjegilkan matanya. Hatinya semakin kurang sabar untuk mendengar penjelasan daripada kedua-dua orang tuanya.

"Mak Engku Murni nak lamar Su untuk menjadi menantunya."

"Apa?" Mulut Suria terlopong. Antara percayai tidak percaya, dia memandang wajah Puan Suraya dan Tuan Hasan bergilir-gilir. Kedua-duanya mengangguk serentak. Sahlah perkara itu bukan main-main.

"Mama, papa jangan nak bergurau dengan Su."

"Kami tak main-main, Su," balas Puan Suraya dengan bersungguh.

"Okey, kalau betul macam tu beri masa untuk Su menarik nafas dulu, Su benar-benar terkejut dengan berita ni!" Suria meraup wajahnya. Dia menghela nafasnya panjang-panjang.

"Jadi sebelum keputusan untuk menerima atau tidak, kami nak tanya Su terlebih dahulu."

Suria menacap satu per satu wajah-wajah di depannya. Nampaknya mereka telah pun mempunyai kata sepakat. Tidak mungkin mereka menolak lamaran itu. Tengku Murni begitu berpengaruh kepada orang tuanya. Dia sendiri amat menyenangi kebaikan wanita tersebut. Sejak kecil hingga dewasa, setiap kali Tengku Murni berkunjung ke rumah, dia dilayan bagai anak kandung.

Tiba-tiba hati Suria ragu-ragu siapa lelaki yang akan dijodohkan dengannya. Tentu tidak lain tidak bukan Hakimi, anak angkat Tengku Murni yang tidak pernah ditemuinya. Sudah banyak kali dia mendengar cerita mengenai Hakimi melalui mulut Tengku Murni. Setahunya Hakimi sedang melanjutkan pelajaran di luar negara.

"Macam mana, Su?" Suara lembut Puan Suraya menyusup ke telinga, kembali mematikan ingatan Suria tadi.

"Su kan masih belajar lagi mama... papa... "

"Itu kami tahu, Mak Engku Murni kata kalau Su setuju dia hanya mahu mengikat tali pertunangan dahulu. Nanti bila anaknya dan Su habis belajar barulah perkahwinan akan dilangsungkan."

Suria masih lagi tidak percaya, begitu jauh perancangan yang diatur oleh Tengku Murni dan kedua-dua orang tuanya. Sedangkan keputusannya belum lagi diperolehi segala perancangan mereka sudah pun lengkap.

"Sebenarnya Su masih lagi belum bersedia nak kahwin. Su fikir lepas habis belajar nanti Su nak bina kerjaya Su dulu," ujar Suria. Siapa lelaki yang sedang bertakhta di hatinya buat masa ini ruang itu masih kosong setelah cintanya telah putus sewaktu di tahun pertama berada di kampus. Sejak itu dia berasa malas untuk bercinta walaupun ramai lelaki yang menyatakan hasrat untuk berkawan dengannya namun semua hasrat itu ditolak dengan baik. Hatinya terasa tawar untuk bercinta kembali. Dia sudah jemu dengan janji manis lelaki.

"Papa bukan apa, Su. Su pun tahu jasa Mak Engku Murni pada keluarga kita. Disebabkan bantuan dia kita masih lagi berada di tahap ini," ujar Tuan Hasan agak lemah bila mengenangkan hal tersebut. Dia berharap anaknya memahami maksud yang tersirat di sebalik ucapannya.

"Su faham maksud papa dan mama. Su tak kata Su menolak dan Su akui Su pun sukakan Mak Engku Murni, malah dia dah Su anggap seperti ibu kedua Su."

"Habis tu, apa lagi yang Su fikirkan?" Puan Suraya merasa lega bila mendengar ucapan daripada anak gadisnya. Peluang mereka masih lagi terbuka.

"Sebenarnya Su takut tak dapat menerima anak Mak Engku Murni tu. Kami berdua tak pernah bertemu. Kenal pun tidak. Yang Su tahu hanya melalui cerita Mak Engku Murni saja."

"Kalau macam tu, Su tengok wajah Hakimi melalui gambar ini. Moga-moga Su boleh buat keputusan yang sewajarnya," ujar Puan Suraya sambil menghulurkan gambar Hakimi yang diberi oleh Tengku Murni petang tadi.

Entah mengapa hati Suria terasa berdebar untuk menyambut pemberian tersebut. Nasib baik gambar tersebut dimasukkan ke dalam sampul surat. Dalam diam dia cuba membayangkan bagaimana rupa pemuda di dalam foto itu nanti.

"Papa harap bila Su tengok gambar Hakimi tu, Su buatlah keputusan dengan seeloknya. Walau apa pun keputusan Su nanti kami berdua akan terima dengan hati terbuka."

"Macam ini aje papa, mama. Bagi Su tempoh tiga hari untuk Su buat keputusan," ujar Suria untuk tidak mengecewakan harapan mereka. Soal hidupnya tidak seharusnya dibuat tergesa-gesa.

SURIA mundar-mandir di dalam biliknya. Sampul surat yang berada di atas katilnya dijeling beberapa kali. Haruskah dia membuka sampul itu sekarang? Sudah dua hari dia cuba membuka sampul tersebut namun tidak berdaya hingga kini. Hatinya kini berperang sesama sendiri untuk melihat isinya. Adakah wajah lelaki tersebut seperti putera idamannya selama ini? Mengapa hatinya begitu gusar sekali di saat ini? Debaran di dada Suria kini tidak pernah dialami sepanjang hidupnya.

Menyedari esok hari terakhir untuk membuat keputusan, akhirnya dia terpaksa gagah mencapai sampul itu. Dengan penuh debaran matanya dipejam rapat-rapat. Biar wajah tersebut menjadi misteri untuk seketika.

Satu, dua, tiga! Kelopak mata Suria terbuka perlahan-lahan sambil memandang gambar yang sudah berada di tangan. Dia mengamati wajah tersebut dengan penuh perhatian. Senyuman pemuda itu seolah-seolah menjadikan gambar di tangannya kini seperti bernyawa. Seperti sedang memandangnya.

Berkenan atau tidak? Dia cuba mencari jawapan yang tidak pasti. Jika berdasarkan foto tersebut pemuda itu sudah cukup untuk memenuhi ciri-ciri lelaki idamannya.

Keesokannya Suria bersiap sedia untuk ke kampus. Hatinya terasa berat untuk berhadapan dengan papa dan mamanya. Sekejap lagi keputusan muktamad dari bibirnya akan kedengaran. Sedangkan hatinya masih lagi bercelaru untuk membuat keputusan.

Tuan Hasan dan Puan Suraya memerhati setiap langkah Suria. Hati mereka berdua turut berdebar. Senyuman tadi hanya sebagai penutup kegelisahan.

"Pagi mama, papa!" tegurnya sambil duduk di atas sofa.

"Pagi Su!" balas Tuan Hasan.

Buat pertama kali dalam hidupnya entah mengapa Suria merasakan ada kecanggungan bila berada di ruang tamu itu sekarang. Suria sedar mereka sudah tidak sabar-sabar mendengar kata putus daripadanya.

"Papa, mama... tentang lamaran Mak Engku Murni itu, mama dan papa terima aje," ujar Suria agak nekad biarpun belum yakin dengan hatinya sendiri.

"Betul Su?" soal Puan Suraya seolah-olah tidak percaya.

Suria angguk lagi.

"Alhamdulillah, bang. Nampaknya berjaya juga hasrat kita nak berbesan dengan Kak Engku."

"Terima kasih, Su!" ucap Tuan Hasan yang kelihatan berseri.

Suria dapat melihat perubahan di wajah papa dan mamanya. Ada seri yang berkumpul pada wajah mereka. Kesuraman selama tiga hari kini terubat. Wajah mereka kembali seperti biasa. Jika selama ini mereka tidak pernah menolak sebarang kemahuannya mengapa dia sebagai anak tidak dapat membalas jasa mereka. Tidak ada kebahagiaan yang lebih besar bagi seorang anak selain dapat menggembirakan hati kedua-dua ibu bapanya. Tambahan dalam bulan puasa seperti ini pasti berganda pahalanya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro